Pernahkah Anda Dikutuk & Dicaci Kerana Dosa Kisah Silam?

dosa yang berulang

Pernah tak anda merasai dikutuk, dipulau dan dijauhi beberapa individu oleh kerana dosa atau kesalahan anda yang lepas?

Walaupun anda sudah bertaubat dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi, tapi ada juga orang yang akan menilai anda daripada kisah silam.

Anda berasa sedih. Sedih sangat.

Apalah dosa aku lagi?

Aku dah bertaubat. Aku usaha untuk berubah.

Apa lagi?

Cuba fikirkan, kenapa kita bersedih?

Bukankah Allah Maha Menerima Taubat?

Kenapa kita masih bersedih jika begitu?

Jawabnya, kerana kita makhluk sosial.

Makhluk yang dambakan penghargaan daripada orang lain.

Makhluk yang ingin diterima di dalam kelompok manusia lain.

Nak jadi macam orang lain. Sama-sama gembira. Sama-sama bergelak ketawa.

Sama-sama menyokong antara satu sama lain untuk mencapai azam masing-masing.

Tetapi, setiap manusia itu lain-lain.

Ada yang dibesarkan di dalam keluarga yang cukup didikan agama dan ada juga yang dibesarkan di dalam keluarga yang kurang didikan agama.

Yang cukup didikan agama, selalunya susah nak bergaul dengan yang sebaliknya.

Itu jikalau kita melihat dari sudut didikan sejak kecil.

Yang ini pula, dari sudut sifat manusia yang semulajadi itu sendiri.

Ada orang, cukup didikan agamanya sejak kecil. Namun, dia juga melakukan maksiat.

Orang lain pun memperkecilkan keperibadiannya. “Kopiah je lebih!”. “Dasar munafik!”.

Mesti individu seperti demikian akan berasa sangat kecil hati.

Manusia itu lumrahnya buat salah, bukan?

Surah An-Nisaa’ ada menyatakan yang bermaksud, “Diciptakan manusia itu lemah.

Tidak kiralah seseorang itu berlatarbelakangkan agama mahupun tidak.

Dia juga tetap seorang manusia.

Yang Allah ciptakan dan Allah sediakan peluang kedua.

Setiap manusia itu berhak untuk mendapat peluang kedua, walau apa pun kisah silam dan dosa yang lampau..

Siapa kita untuk menilai kisah silam seseorang?

Siapa kita untuk pulau seseorang oleh kerana dosa-dosanya yang lepas? Siapa kita?

Peluang kedua itu ialah ruang untuk kita kembali kepada Allah.

Peluang kedua itu ialah pengajaran.

Peluang kedua itu juga ialah untuk jadi lebih kuat berbanding sebelumnya.

Jika tidak ada peluang kedua, perspektif manusia itu akan menjadi sempit.

Manusia tidak akan belajar.

Manusia tidak akan menghargai setiap ‘peluang’.

Kerana, dengan peluang kedua itulah manusia akan membuktikan yang dia mampu untuk membaiki peluang yang telah terlepas.

Janganlah mencaci.

Berikanlah seseorang itu peluang untuk dia belajar lalu membaiki.

Allah itu Maha Pengampun.

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Bin Zainal Abidin saat menerang ayat Surah Ali-Imran ayat 135 sehingga 136, beliau berkata:

Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri.

Ketika dia bertaubat, jika ia lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya.

Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan mengharapkan keampunan.

Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa.

Jika taubat seperti itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha atau yang ikhlas.

Ia diterima Allah.

Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian, hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang sama.

Jika, dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha Mengetahuinya dan insyaAllah akan mengampuni dosanya yang awal, juga dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi.[1]

Bertaubat itu adalah tugas sepanjang hayat.

Tidak kira bangsa apa sekalipun.

Pada kita pula, kita perlu sedia dan sentiasa tidak mengungkit kisah lama seseorang.

Dan juga, kita sedia untuk memaafkan seseorang.

Anda bukan seorang yang bodoh jika anda tidak memberi peluang kedua kepada seseorang.

Anda juga tak rugi bila memberi peluang kedua kepada seseorang.

Jika anda teruskan memberi peluang kedua kepada sesiapa yang pernah buat silap terhadap diri anda, anda sebenarnya seorang individu yang mempunyai pengharapan yang tinggi terhadap potensi seseorang untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Seseorang yang buat silap, pasti memerlukan pengharapan untuk dirinya belajar dan membaiki kesilapan.

Tetapi, anda yang berada di sana memberinya peluang dan pengharapan, walaupun anda telah dikecewakan.

Ketahuilah, anda sangat hebat.

Anda pasti akan merasai kebahagiaan apabila anda memaafkan orang lain.

Tidakkah anda mahukan perkara yang sama?

Apabila anda tergelincir berbuat suatu kesalahan. Pasti anda akan menyesal, dari situ anda meminta peluang juga, bukan?

Kerana dari situ anda akan belajar daripada peluang pertama dan anda akan tunjukkan yang anda sudah ‘belajar’ pada peluang yang kedua.

Setiap orang mampu belajar untuk berubah.

Maka, berikanlah peluang.

Artikel ini adalah tulisan saudara Sadiq Salihoddin.

Semoga memberi input yang berguna kepada semua pembaca.

Rujukan

Abidin, P. M. (2019, November 20). Masihkah Ada Taubat Bagi Dosa Yang Berulang? Retrieved from Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis: https://mufti.perlis.gov.my/index.php/minda-mufti/54-masihkah-ada-taubat-bagi-dosa-yang-berulang

Daniels, K. (2017). Why Second Chances Are So Important. Retrieved from Vocal : https://vocal.media/humans/why-second-chances-are-so-important


[1] Dipetik dari: https://mufti.perlis.gov.my/index.php/minda-mufti/54-masihkah-ada-taubat-bagi-dosa-yang-berulang

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments