Nama penuhnya, Rifa’a Bin Badwi Rafi.
Beliau lahir di At-Tahtawi, Mesir dan menuntut ilmu di Al-Azhar. Beliau bermazhab Syafi’e.
Beliau pernah bersama satu delegasi ke kota Paris bersama penaungnya, iaitu Muhammad Ali Pasha.
Tujuan ke kota Paris adalah semata-semata untuk menimba ilmu (kemahiran mahupun seni) daripada kota yang diperintah oleh kerajaan Perancis.
Tidak ada perihal Paris termaktub di dalam teks Arab, maka sebab itulah terbitnya niat delegasi tersebut untuk ke sana.
Rifa’a mengatakan yang amatlah rugi untuk kita tidak mengambil manfaat baik dari segi nilai moral yang diamalkan oleh orang Eropah.
Orang Islam itu wajib untuk menuntut ilmu.
Maka, segala kesempurnaan yang orang Eropah mampu wujudkan, kita perlu pelajari.
Ini kerana, kita sentiasa memandang serong terhadap orang Eropah hanya kerana mereka bukan negara Islam.
Ingat, setiap sangkaan itu adalah dosa.
Hanya kebenaran yang disaksikan oleh mata sendiri tidak dapat dinafikan seperti mana mesej syair berikut,
Sekiranya kau tidak melihat anak bulan,
Bergantunglah kepada mereka yang menyaksikan dengan mata mereka sendiri.
Dialog peradaban sudah berlaku dahulu, kesannya ialah ilmu pengetahuan yang maksima diperoleh bagi rakyat.
Kemahiran yang rakyat perlukan.
Meskipun ia berbentuk umum, seperti matematik, geografi dan sebagainya, mahupun dalam bentuk khusus, seperti ilmu pemerintahan (politik) dan ilmu pembikinan logam.
Orang Paris pada ketika itu, mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi.
Meskipun seorang tukangan, mesti boleh membaca dan menulis.
Mereka sangat cenderung kepada ilmu pengetahuan yang boleh membantu mereka, menghasilkan barang yang lebih baik daripada yang sedia ada (inovasi).
Bak kata Ibnu Durayd,
Seseorang itu hanyalah satu kisah selepas kematiannya,
Jadilah kisah yang baik bagi mereka yang peduli.
Jadi, orang Paris berprinsipkan peninggalan manfaat yang berpanjangan sebelum mereka mati.
Tidak seperti Kristian Qibti yang tidak mementingkan ilmu, sebab itulah mereka masih dikongkong oleh pemikiran yang anti-modenisme. Kesan daripada itu, inovasi tiada. Tiada manfaat.
Mereka juga, sangat mesra dengan orang asing. Mudah kata, peramah. Mereka tidak suka menunjukkan kebaikan berupa duit, namun mereka tunjukkan keluhuran budi mereka melalui kata-kata dan perbuatan.
Selain itu pembaca sekalian. Mereka sangat bertanggungjawab atas kerja yang mereka lakukan baik miskin atau kaya.
Mereka tidak membuat sebarang pekerjaan dengan sambil lewa. Mereka cintakan kepada pangkat dan anugerah, namun tidak dengki dan berdendam.
Hanya bangga sendiri-sendiri. Self-satisfaction gitu.
Jadi, saya memang sengaja utarakan empat pengajaran ini supaya kita dapat melakukan perbandingan terhadap budaya kita.
Bersama-samalah kita bermuhasabah, apa yang kita boleh banggakan dengan rutin harian yang saban hari saban pasif?
-
Menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh.
Wajib bagi kita menuntut ilmu pengetahun tidak kira dunia atau akhirat.
Tuntutlah kedua-duanya, itu lebih baik bagi kita. Sudah semestinya ilmu itu seharusnya bermanfaat bukan sahaja pada kita, namun masyarakat sekeliling kita.
Malangnya, hari ini. Kita menuntut ilmu hanya untuk melabel pihak tertentu dengan label yang kotor, seperti wahabi.
Adakah ini yang kita inginkan daripada agamawan?
Belajar jauh-jauh ke Jordan menggunakan biasiswa kerajaan, balik-balik hanya berbicara tentang wahabi sambil memaki hamun? Rugi.
Reformasi pemikiran Islam yang diharapkan, namun wahabi yang dibawa pulang.
-
Menilai dengan adil.
Tidak suka tidak semestinya kita harus menilai dengan kezaliman.
Misalnya, kita tidak suka akan seseorang, habis seluruh perihal tentangnya kotor belaka. Dosa sahaja.
Yang paling ekstrem, tuduh kafir. Senang buat kerja, ya?
Sifat masyarakat hari ini, ialah suka menilai yang buruk-buruk sahaja, namun yang baik diabaikan.
Tatkala mangsa berbuat satu kemungkaran, habis fasik semuanya terletak pada mangsa. Apabila mangsa berbuat yang ma’ruf, kenapa tidak dicontohi?
Tak suka, tak sukalah. Jangan sampai tak adil.
-
Mesra dengan orang lain.
Menjadi sifat kita untuk tegur orang yang kita kenal sahaja.
Seolah-olah orang yang kita tidak kenal ini, tiada nilai melainkan yang kita kenal.
Macam mana nak kenal jika tidak mahu mengenal?
Bila tidak menegur, dituduh sombong. Mengapa tidak engkau sahaja yang mula tegur? Janganlah memilih sangat.
Buanglah perangai yang pilih kasih ini.
Nabi Muhammad mengajar kita untuk sampaikan salam (bertegur-sapa) kepada sesiapa sahaja, walaupun bukan Islam.
-
Bertanggungjawab
Kita ini manusia yang dilahirkan dhoif (lemah) menurut Surah An-Nisa.
Kita akan berbuat dosa.
Namun, Allah sentiasa menantikan taubat kita.
Hari ini, kita mengabaikan salah kita. Kalau dah salah sendiri pun kita tidak bertanggungjawab, macam mana nak bertanggungjawab tentang perkara yang lebih daripada diri sendiri?
Penjagaan ibu bapa? Jaga isteri? Jaga anak-anak?
Kita tidak mendidik orang untuk bertanggungjawab terhadap apa yang dibuat.
Ini berlaku, maka kesannya, orang akan bekerja sambil lewa. Tak produktif langsung. Maklumlah, gaji masuk sahaja, bukan?
Kesimpulannya, saya hanya mengkritik serba sedikit perangai orang kita bukan saya dapat membeli sebiji Ferrari pada keesokan hari.
Namun, untuk menyedarkan diri saya sendiri dan anda, supaya kita muhasabah diri. Apa yang dapat anda pelajari daripada penulisan ini, bukan saya yang mendapat kredit.
Namun, anda sendiri mendapatnya. Bertambahb baiknya integriti anda, anda sahaja yang rasa. Semoga berjaya.
Rujukan
- Sulhah Ramli, Imam di kota Paris: Kembara seorang imam di kota Paris (Rifa’a Al-Tahtawi), Awal Nahdah Resources, 2016.
Tinggalkan Komen Anda..