Contoh & Jenis Najis: Mughallazah, Mutawassitah & Muhaffafah

jenis najis dalam islam

Apakah contoh dan jenis najis dalam Islam?

Bagaimana pula cara yang betul menyucikan najis-najis tersebut menurut Islam?

Panduan ini akan menghuraikan secara lengkap mengenai soal taharah (bersuci).

Panduan ini merangkumi beberapa perkara seperti:

  • Takrifan najis
  • Kategori najis ringan, sederhana dan berat serta perbezaannya
  • Kaedah membersihkan dan menyucikan najis

.. dan sebagainya.

Panduan ini ditulis secara tersusun untuk memudahkan pemahaman anda.

Jika memerlukan maklumat mengenai topik ini, mari kita mulakan.

Pengenalan

Islam adalah agama kebersihan.

Agama ini ialah satu cara hidup yang sempurna syariatnya dan lengkap pula tatacara pengamalannya.

Taharah atau bersuci merupakan suatu tugas yang begitu penting dalam kehidupan seorang Muslim kerana ia punca atau asas penerimaan segala amal ibadat.

Sekiranya seseorang itu mengerjakan ibadah solat tetapi belum bersuci dan membersihkan diri sama ada dari segi tubuh badan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya, maka solatnya dikira tidak sah.

Apabila solat yang merupakan tiang agama itu tidak sah maka ibadah-ibadah lain juga turut tidak diterima Allah.

Takrif Najis

Pengertian najis dari segi bahasa ialah benda yang kotor.

Dari segi syarak pula, najis adalah benda kotor yang menghalang sahnya solat, termasuklah najis hukmi dan hakiki.

Pembahagian Bentuk Najis

Terdapat dua jenis bentuk najis, iaitu Najis ‘Aini dan Najis Hukmi.

1. Najis ‘Aini

Najis ‘aini adalah najis yang dapat dilihat atau dirasa atau dihidu baunya. Contohnya tahi, air kencing dan darah.

2. Najis Hukmi

Najis hukmi adalah najis yang sudah hilang kesannya seperti sudah hilang bau atau warnanya. Contohnya air kencing yang sudah kering.

Pensyariatan Untuk Bersuci (Taharah)

Kewajipan membersihkan najis disebutkan dalam al-Quran dan al-Sunah dengan jelas.

AL-QURAN

1. DAGING BABI

Firman Allah SWT tentang daging babi:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan ke padaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi — kerana sesungguhnya ia adalah kotor.

(Surah al-An’am 6:145)

2. CECAIR YANG MEMABUKKAN

Firman Allah SWT tentang cecair yang memabukkan adalah najis:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari pada perbuatan syaitan.”

(Surah a-Ma’idah 5:90)

3. BANGKAI HAIWAN

Firman Allah SWT tentang bangkai haiwan:

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.

(Surah Ma’idah 5:3)

AL-HADIS

4. AIR LIUR ANJING

Sabda Rasulullah SAW tentang air liur anjing yang najis:

“Bekas air sesiapa di antara kamu yang dijilat anjing boleh dibersihkan dengan membasuh nya tujuh kali dan yang pertamanya dengan tanah.”

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Taharah: Bab hukum jilatan anjing)

Jenis-Jenis Najis

Semua najis yang menghalang sahnya solat adalah sama dari segi kekotorannya.

Tetapi yang membezakannya adalah cara ia dibersihkan berdasarkan syarak.

Fuqaha membahagikan najis kepada tiga bahagian berdasarkan kepada cara menyucikannya.

TIGA KATEGORI NAJIS

1. Najis Mughallazah (Najis Berat)

Najis yang hanya boleh dibersihkan dengan tujuh basuhan termasuk sekali basuhan dengan air tanah.

2. Najis Mutawassitah (Najis Pertengahan)

Najis yang perlu dibasuh dengan air mutlak hingga hilang bau, rasa dan warna.

3. Najis Mukhaffafah (Najis Ringan)

Najis yang boleh dibersihkan dengan renjisan air.

NAJIS MUGHALLAZAH (NAJIS BERAT)

cara samak

Najis yang tidak memadai membasuhnya dengan air seperti najis-najis yang lain.

Najis ini perlu dibersihkan dengan cara “sertu”, iaitu enam kali basuhan dengan air mutlak dan satu kali basuhan air tanah.

Najis itu juga disebut sebagai Najis Mughallazah dalam bahasa Arab yang bermaksud najis yang berat untuk menyucikannya.

Jenis-Jenis Najis Mughallazah

Najis mughallazah atau najis berat ini terbahagi kepada dua, iaitu:

1. Anjing

Anjing dan keturunannya serta semua yang berasal daripadanya adalah najis, termasuk air liur, peluh dan darah.

Jika bekas, pakaian atau anggota badan terkena najis ini, ia hendaklah dibersihkan sebanyak tujuh kali dan salah satunya hendaklah menggunakan air yang dicampurkan dengan tanah.

Hukum ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

Bekas air sesiapa diantara kamu yang dijilat anjing boleh dibersihkan dengan membasuhnya tujuh kali dan pertamanya dengan tanah.

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Taharah, Bab Hukum jilatan anjing)

Boleh difahami disini, jika mulut anjing yang lebih bersih adalah najis, bahagian-bahagian lain sudah tentu lebih najis.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah dijemput ke rumah satu keluarga Ansar dan dia menerimanya.

Kemudian, dia sekali lagi dijemput ke sebuah rumah lain, tetapi dia tidak pergi.

Apabila mereka bertanya, Baginda menjawab:

“Kerana di rumah kamu ada anjing.” Mereka membalas. “Tapi di rumah mereka ada kucing”. Baginda menjawab: “Kucing adalah haiwan pemangsa”

(Riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah)

2. Babi

Babi dan keturunannya sama ada disembelih mengikut syarak atau tidak, haiwan ini adalah najis berat.

Oleh itu, air liur darah, darah, najis, daging, bulu, tulang atau kulit sama ada yang telah disamak atau tidak, adalah najis.

Ini adalah berdasarkan firmah Allah SWT:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi, kerana sesungguhnya ia adalah kotor.

— Surah al-An’am 6: 145)

Cara Menyucikan Najis Mughallazah

Najis ini apabila terkena pada pakaian, badan atau tempat, hendaklah dibersihkan dengan tujuh basuhan.

Salah satu daripada tujuh basuhan itu hendaklah menggunakan air bercampur tanah.

(1 air tanah + 6 kali air mutlak = 7 basuhan)

Cara samak (sertu) ini terpakai tidak kira sama ada najis itu nampak zahir najisnya (‘aini) atau tiada kesan (hukmi)

Kaedah penyuciannya secara lengkap langkah-demi-langkah boleh dirujuk pada panduan ini: Kaedah Menyucikan Najis Mughallazah

NAJIS MUTAWASSITAH (NAJIS PERTENGAHAN)

Najis mutawassitah adalah najis pertengahan najis yang perlu dibasuh dengan air mutlak.

Najis sederhana yang tidak perlu dibasuh berulang kali seperti najis berat dan tidak memadai dengan hanya dipercikkan air ke atasnya seperti najis ringan.

Jenis-Jenis Najis Mutawassitah

1. ARAK

Ini termasuk semua jenis arak dan semua cecair yang memabukkan.

Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari pada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

(Surah a-Ma’idah 5:90)

Rasulullah SAW pula bersabda:

Setiap yang memabukkan itu adalah arak, dan setiap arak adalah haram.

(Riwayat Muslim daripada Ibn Umar dalam Sahih Muslim, kitab Minuman: Bab penjelasan bahawa setiap yang memabukkan itu adalah arak, dan setiap arak adalah haram)

2. DARAH

Semua jenis darah manusia dan haiwan adalah najis.

Darah yang tidak tergolong sebagai najis:

  • Bukan darah manusia yang mati syahid, kerana darah orang yang mati syahid adalah suci.
  • Bukan darah haiwan yang hidup di dalam air, seperti ikan.
  • Darah yang banyak dan mengalir, tidak termasuk darah hati dan limpa, kerana kedua dua darah ini tidak dianggap najis berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

“Dihalalkan untuk kamu dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai itu ialah ikan dan belalang. Semen tara dua jenis darah pula ialah hati dan limpa.”

(Riwayat Ibn Majah daripada Abdullah bin Umar dalam Sahih Ibn Majah, kitab Makanan: Bab hati dan limpa)

3. BANGKAI

Semua haiwan yang tidak disembelih atau disembelih tanpa mengikut hukum syarak adalah najis.

Ini termasuklah semua haiwan yang disembelih untuk berhala dan yang disebut selain daripada nama Allah. Ini berasaskan kepada firman Allah SWT:

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.

(Surah Ma’idah 5:3)

Tiga Jenis Bangkai Yang Tidak Dianggap Sebagai Najis

1. MAYAT MANUSIA

Mayat manusia tidak dianggap sebagai najis kerana kemuliaannya di sisi Allah, sebagaimana firman-Nya:

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam. Dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih lebihnya atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.

(Surah al-Isra’ 17:70)

Maksud kemuliaan yang dikurniakan kepada manusia dalam ayat ini ialah manusia itu suci sama ada ketika dia masih hidup atau setelah mati.

Abu Hurairah r.a. pernah bercerita kepada Abu Rafie’ r.a. bahawa:

Nabi SAW bertemu dengannya di sebatang jalan Madinah, sedangkan dia dalam keadaan berjunub. Lalu dia menyembunyikan diri daripadanya dan pergi mandi junub. Setelah itu, Nabi SAW memanggilnya. Apabila dia pergi kepadanya, Baginda berkata: “Ke mana kamu pergi Abu Hurai rah?” Jawabnya, “Wahai Rasulullah, ketika anda terserempak dengan saya, saya dalam keadaan berjunub, dan saya tidak mahu duduk berdekatan denganmu sehinggalah saya mandi” Sabda Baginda: “Maha Suci Allah, sesungguhnya orang Mukmin tidak najis.”

(Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah dalam Sahih Muslim, kitab Haid: Bab dalil orang Islam tidak najis)

2. BELALANG

3. IKAN

Kedua-dua haiwan ini tidak dianggap sebagai bangkai yang najis berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

Dihalalkan kepada kamu dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua bangkai tersebut ialah ikan dan belalang. Dua jenis darah pula ialah hati dan limpa.

(Diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar dalam Sunan Ibn Majah, kitab Makanan: Bab hati dan limpa)

4. AIR KENCING, TAHI DAN MUNTAH MANUSIA SERTA BINATANG

Air kencing, tahi dan muntah manusia adalah najis dan wajib dibasuh.

Melainkan air kencing kanak-kanak lelaki yang masih menyusu, belum memakan makanan selain susu ibunya atau susu-susu yang lain, memadai sekadar direnjis air.

Begitu juga air kencing, tahi dan muntah haiwan-haiwan yang tidak dimakan dagingnya, seperti keldai dan baghal, atau yang dimakan dagingnya seperti lembu dan kambing, adalah najis.

Dalil yang menyatakan air kencing itu najis adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim bahawa seorang Badwi telah kencing di dalam masjid, lalu Baginda bersabda:

Tuangkan ke atasnya sebaldi air.

(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Perintah Baginda agar menuangkan sebaldi air ke atas air kencing menunjukkan bahawa air kencing adalah najis.

5. ANGGOTA BADAN YANG TERPOTONG ATAU TERCERAI DARIPADA SEEKOR HAIWAN YANG MASIH HIDUP

Anggota atau mana-mana bahagian haiwan yang terpisah atau terpotong dari pada haiwan yang masih hidup adalah najis.

Seperti ekor yang dipotong daripada seekor lembu yang masih hidup, adalah najis dan haram dimakan.

Sabda Rasulullah SAW:

Apa yang terpotong daripada haiwan yang masih hidup, adalah bangkai.

(Riwayat Abu Daud melalui Abu Waqid dalam Sunan Abi Daud, kitab Pemburuan: Bab buruan yang terpotong)

Tetapi rambut dan bulu haiwan yang boleh di makan dagingnya seperti bulu kambing biri-biri, dikecualikan daripada hukum ini, dan ia adalah suci.

Firman Allah SWT:

Dan Dia menjadikan bagi kamu daripada kulit binatang-binatang ternak: Khemah khemah (tempat berteduh), yang kamu mendapatinya ringan (dibawa ke mana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti dan (Dia juga menjadikan bagi kamu) daripada berjenis jenis bulu binatang-binatang ternak itu, pelbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga suatu masa.

(Surah al-Nahl 16:80)

6. SUSU HAIWAN YANG TIDAK DIMAKAN DAGINGNYA

Susu haiwan seperti keldai, dan baghal yang tidak dimakan dagingnya, adalah najis dan haram diminum.

Ini kerana hukum susu adalah sama dengan hukum dagingnya.

7. AIR WADI

Wadi ialah air putih yang keluar dari pada zakar selepas membuang air kecil atau kerana mengangkat benda yang berat, dan ia adalah najis.

Kerana air ini keluar bersama dengan air kencing dan selepasnya.

Oleh itu, ia mengikut hukum air kencing yang najis dan perlu dibersihkan.

8. AIR MAZI

Mazi ialah air jernih, pekat dan lekit yang keluar kerana syahwat atau apa bila memikirkan tentang seks.

Air mazi keluar dahulu sebelum air mani ketika berjimak walaupun manusia tidak akan merasa ketika ia keluar. Ia keluar daripada lelaki dan juga perempuan, tetapi perempuan lebih banyak me ngeluarkan air mazi.

Air mazi ini adalah najis dan perlu dibasuh zakar dan faraj serta pakaian atau tempat yang terkena air tersebut.

Keluarnya air mazi ini juga menyebabkan batalnya wuduk berdasarkan hadis Ali bin Abu Talib r.a.:

Saya adalah seorang lelaki yang kerap keluar air mazi, lalu saya mengarahkan seorang lelaki (al-Miqdad bin al-Aswad) untuk bertanyakan kepada Nabi SAW kerana (malu dengan) kedudukan anak perempuannya (Fatimah sebagai isteri Ali). Dia bertanya dan Baginda menjawab: ‘Berwuduklah dan basuh zakar kamu’

(Hadis Sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ali bin Abu Talib dalam Sahih al-Bukhari, kitab Basuhan: Bab membasuh air mazi dan berwuduk)

Cara Menyucikan Najis Mutawassitah

Najis mutawassitah adalah jenis najis yang tidak perlu dibasuh berulang kali seperti najis berat, tetapi ia juga tidak memadai dengan hanya dipercikkan air ke atasnya seperti najis ringan.

Kaedah penyucian bagi najis jenis ini adalah seperti berikut:

1. Baju atau pakaian terkena najis mutawassitah. Air najis tersebut hendaklah dihilangkan daripada badan, baju atau tempat yang terkena najis.

2. Hendaklah mengalirkan air di tempat tersebut hingga hilang sifat-sifatnya (warna, bau dan rasa) dan tidak memadai dengan mengelapnya dengan kain atau kertas.

3. Hendaklah dibersihkan semua sifat-sifat najis tersebut. Jika masih ada kesan, pakaian itu hendaklah diberus.

4. Rendam sebentar pakaian tadi jika kesannya masih ada.

5. Akhir sekali, apabila air najis telah hilang, seperti air kencing yang telah kering, tempat tersebut masih perlu dibilas dengan air mutlak yang mengalir.

NAJIS MUKHAFFAFAH (NAJIS RINGAN)

Najis mukhaffafah adalah najis yang boleh dibersihkan dengan renjisan air.

Jenis-Jenis Najis Mukhaffafah

1. AIR KENCING KANAK-KANAK

Secara spesifiknya adalah air kencing bayi lelaki yang berumur kurang daripada dua tahun dan hanya minum susu ibunya.

Dengan kata lain, bayi lelaki itu belum makan sebarang makanan lain (bijirin, susu lembu, buah-buahan, glukos dan sebarang bentuk makanan) sama ada banyak atau sedikit.

Memadai menyucikannya dengan merenjiskan air ke tempat yang terkena air kencing tersebut dan tidak disyaratkan air itu mengalir.

Dalilnya adalah berdasarkan hadis yang diriwayat kan daripada Ummu Qais binti Mihsan rha:

Dia menemui Rasulullah SAW ber sama dengan seorang anak lelaki yang masih kecil dan belum makan apa-apa makanan Lalu Baginda mendudukkannya di atas ribanya. Kemudian kanak kanak itu kencing di atas pakaiannya, dan Baginda pun meminta air lalu merenjs-renjinya tanpa membasuhnya.

(Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, kitab Taharah Bab air kencing kanak-kanak. Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Taharah: Bab air kencing kanak-kanak terkena baju dan riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’t, kitab Taharah: Bab air kencing kanak-kanak yang belum makan makanan)

Cara Menyucikan Najis Mukhaffafah

Jika air kencing kanak-kanak ini terkena pada badan, pakaian atau tempat, memadai merenjiskan air pada seluruh tempat yang terkena najis ini, tanpa perlu mengalirkan air.

Najis Yang Dimaafkan

Kadangkala ada najis yang terkena pada tubuh dan sesuatu tempat yang sukar dikesan atau sukar dielakkan.

Jenis najis seumpama ini dengan beberapa syarat tertentu, dimaafkan sehingga ibadah boleh dilakukan tanpa membersihkannya terlebih dahulu.

Antara jenis najis yang dimaafkan termasuklah:

1. PERCIKAN AIR KENCING

Percikan air kencing yang terlalu sedikit hingga tidak dapat dilihat oleh mata kasar apabila ia mengenai pakaian atau badan.

Sama ada ia najis mughallazah (air kencing anjing atau tahi), mutawassitah (seperti air kencing manusia atau haiwan) atau mukhaffafah (air kencing kanak-kanak lelaki berusia kurang dua tahun dan hanya minum susu).

2. DARAH, NANAH DAN NAJIS YANG DIBAWA LALAT

Darah, nanah, darah kutu anjing dan najis yang dibawa lalat yang sedikit dimaafkan.

3. DARAH ATAU NANAH SENDIRI

Darah atau nanah luka walaupun banyak dengan syarat ia terjadi pada diri manu sia itu sendiri (tidak berpindah ke tempat lain).

Luka tersebut juga bukan perbuatannya dan bukan dengan sengaja. Darah dan nanah itu juga tidak mengalir ke anggota lain. Jika ia terkena pada orang lain, darah dan nanah ini dianggap sebagai najis.

Atau jika darah pada tangan mengalir ke kaki, ia menjadi najis. Atau jika darahnya telah bercampur dengan darah orang lain, ia juga menjadi najis

4. TAHI ATAU AIR KENCING YANG SEDIKIT

Tahi atau air kencing haiwan yang me mujak biji-bijian dan yang terkena susu ketika diperah.

Syarat-syaratnya:

  • Najis tersebut tidak banyak hingga mengubah sifat-sifat susu tersebut.
  • Najis yang terkena biji-bijian dan susu adalah daripada haiwan yang digunakan untuk mengisar bijian tersebut dan yang diperah susunya

Selain itu, najis tersebut juga hanya sedikit dan tidak mengubah susu.

5. TAHI IKAN

Tahi ikan di dalam air selagi ia tidak mengubahnya.

Begitu juga dengan tahi burung pada tempat-tempat yang selalu dilaluinya, seperti kawasan Tanah Suci Makkah, Madinah dan Jamek Umawi kerana keadaan ini sukar untuk dihindari secara umum.

6. DARAH DAGING JUALAN

Darah yang terkena pada penjual daging, jika tidak banyak.

7. DARAH PADA DAGING DAN TULANG

Darah yang sedikit pada daging dan tulang.

8. SISA MUNTAH KANAK-KANAK

Sisa muntah pada mulut kanak-kanak atau bayi.

Mulut kanak-kanak yang terdapat sisa muntah padanya apabila dia menghisap puting ibunya.

9. AIR LIUR BASI YANG BUKAN DARIPADA USUS BESAR

Air liur basi yang keluar daripada orang yang sedang tidur.

Bagi orang yang mengeluarkan terlalu banyak air liur ketika tidur (seperti berpenyakit).

Keadaan ini tidak dapat dielakkan. Tetapi sekiranya air liur yang keluar itu adalah gelema atau lendir daripada usus besar, ia adalah najis.

Jika tidak dapat dipastikan sama ada ia daripada usus besar atau tidak, dihukum sebagai suci.

10. MAKANAN ATAU RUMPUT UNTUK DIKUNYAH

Makanan atau rumput yang dimasukkan ke dalam perut haiwan.

Kemudian dikeluarkan semula ke dalam mulut untuk dikunyah, jika terkena pada baju atau tubuh penggembala.

11. TANAH JALAN

Tanah jalan yang diyakini bernajis tetapi tidak dapat dielakkan daripada terkena pakaian.

Tetapi dengan syarat, ia hanya pada bahagian) bawah pakaian dan ain najis itu tidak kelihatan.

12. PAKAIAN ORANG BERNAJIS

Pakaian peminum arak, tukang daging, kanak-kanak dan orang kafir yang menggunakan bahan bahan yang najis (mengikut syarak).

Pakaian itu adalah bersih pada pendapat yang lebih sahih.

13. BULU HAIWAN YANG TIDAK DIMAKAN DAGINGNYA

Bulu yang sedikit.

Bulu yang hanya sedikit daripada haiwan yang tidak dimakan dagingnya, kecuali bulu anjing dan babi.

14. BULU HAIWAN TUNGGANGAN

Bulu haiwan tunggangan walaupun banyak.

Ini kerana sangat sukar untuk mengelakkannya. Seperti bulu kuda dan unta.

15. KESAN TATU

Kesan tatu pada kulit jika tidak dapat dihilangkan

Melainkan hingga memudaratkan manusia atau kos terlalu tinggi untuk membuangnya

16. NAJIS TIKUS YANG SEDIKIT

Sedikit najis tikus yang masuk ke dalam takungan air dan tidak mengubah sifat sifat air tersebut.

17. BANGKAI YANG TIDAK MENGALIR DARAH

Bangkai yang tidak mengalir darahnya atau yang tidak berdarah apabila terjatuh ke dalam cecair seperti lalat, lebah dan semut.

Tetapi dengan syarat, ia jatuh sendiri dan ia tidak mengubah sifat air tersebut.

Kesimpulan
  1. Najis yang halus dan sedikit sehingga sukar dilihat dengan mata kasar. Contohnya najis pada kaki lalat dan percikan air najis yang sedikit.
  2. Darah, nanah dan muntah yang sedikit dan tidak mengalir. Ini termasuk tompokan darah, nanah dan muntah yang besarnya tidak melebihi ukuran wang syiling lima sen.
  3. Bangkai binatang yang tidak berdarah seperti lalat dan semut.
  4. Darah dan nanah yang keluar daripada luka pada tubuh sendiri walaupun banyak. Namun, sekiranya darah dan nanah itu daripada tubuh orang lain, hukumnya tetap najis.
  5. Najis binatang melata yang sukar dikesan atau dielakkan.
  6. Najis ikan di dalam air, dengan syarat tidak mengubah sifat air.
  7. Najis burung yang terkena pada pakaian di tempat-tempat tumpuan manusia seperti kawasan Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid ‘Umawi. Ini disebabkan ia sukar dielakkan.
  8. Darah yang ada di dalam daging yang sudah siap dilapah dan dipotong.

Adakah Air Mani, Air Mazi Dan Air Wadi Itu Najis?

Apakah status hukum bagi tiga jenis cairan yang keluar dari badan ini?

Air Mani

Air yang terpancut keluar dari alat kelamin lelaki ketika bersetubuh atau apabila mencapai puncak syahwat atau bermimpi.

Air mani bukan najis tetapi perlu mandi wajib bagi menyucikannya untuk membolehkan seseorang menunaikan ibadah.


Air Mazi

Cecair jernih yang keluar dari alat kelamin, biasanya keluar terdahulu daripada mani, yang tidak mewajibkan seseorang mandi junub.

Air mazi adalah najis dan tidak wajib mandi, memadai membasuh sahaja tempat berkenaan.


Air Wadi

Air putih (pekat) yang keluar dari zakar atau faraj ketika badan penat bekerja.

Hukumnya adalah najis mutawassitah iaitu sama dengan air mazi dan tidak perlu mandi wajib memadai dengan membasuhnya sahaja.

Cara Basuhan Najis

Kaedah Basuhan 1

KAEDAH BERBILANG BASUHAN

Mazhab Syafi’i mensyaratkan agar najis mughallazah dibersihkan dengan tujuh kali basuhan dan salah satu basuhan tersebut adalah dengan air bercampur tanah yang bersih.

Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Bekas air sesiapa di antara kamu yang dijilat anjing boleh dibersihkan dengan membasuh nya tujuh kali dan yang pertamanya dengan tanah.”

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Taharah: Bab hukum jilatan anjing)

CARA BASUHAN NAJIS ANJING DAN BABI

Basuhan pertama hendaklah dengan air yang dicampurkan dengan tanah yang suci agar basuhan seterusnya dengan air boleh membersihkan tanah tersebut. Air tanah ini hendaklah diratakan atau dialirkan di atas tempat yang terkena najis.

Pendapat yang azhar dalam mazhab Syafi’i mene tapkan tanah sebagai campuran di dalam air, dan tidak memadai dengan sabun, atau peluntur.

Tetapi sekiranya sabun dan peluntur ini digunakan terlebih dahulu untuk menghilangkan ain najis tersebut, itu tidak mengapa.

CARA BASUHAN NAJIS SELAIN ANJING DAN BABI

  • Untuk membasuh najis selain daripada anjing dan babi pula, hendaklah dihilangkan ain najis itu terlebih dahulu, jika ada.
  • Kemudian air mutlak hendaklah dialirkan di tempat tersebut sehingga hilang bau, rasa dan warnanya. Boleh menggunakan sabun untuk menghilangkannya.
  • Tetapi tidak disyaratkan berapa kali basuhan, asalkan najis tersebut telah hilang.
  • Tetapi jika salah satu sifatnya tidak boleh atau, terlalu sukar untuk dihilangkan, ia dimaafkan.

Contoh: warna tidak hilang

Bau dan rasa najis dapat dihilangkan tetapi warnanya tidak hilang walaupun telah dibasuh berkali-kali, maka ia dimaafkan.

Sekiranya najis tersebut telah hilang sifat-sifatnya (najis hukmI), tetapi diyakini terdapat najis di situ, memadailah dengan mengalirkan air di tempat tersebut sekali sahaja

Contoh: najis telah kering

Baju yang terkena air kencing tetapi kerana terdedah lama pada cahaya matahari, ia telah kering sehingga menghilangkan bau, rasa dan warnanya.


Kaedah Basuhan 2

KAEDAH MENGALIRKAN AIR

Mazhab Syafi’e dalam pendapat yang lebih sahih mensyaratkan air dialirkan atau disimbah pada tempat yang terkena najis jika air sedikit.

Kerana air yang sedikit jika tidak dialirkan dan dibiarkan bertakung bersama dengan najis, ia akan menajiskan air tersebut.

Seperti memasukkan sehelai baju yang terkena tahi ke dalam sebaldi air, air itu menjadi najis dan menajiskan seluruh baju tersebut.

RENDAM DAN BILAS

Tetapi sekiranya seorang itu merendamkan sehelai baju yang bernajis di dalam sebaldi air dan dibiarkan semalaman untuk menanggalkan ain najis tersebut, kemudian membilasnya semula dengan air mutlak, maka ia menjadi suci.

BASUH MULUT SELEPAS MUNTAH

Begitu juga, seorang yang muntah atau minum arak hendaklah membasuh mulutnya dengan ber kumur dengan air beberapa kali sebelum menjamah makanan.

Jika tidak, makanan yang dimakan itu dikira sebagai bernajis.

DISIMBAH AIR YANG BANYAK

Tanah yang bernajis juga boleh dihilangkan dengan disimbah dan dialirkan air yang banyak padanya, sehingga menenggelamkan tempat najis tersebut.

Ini adalah berdasarkan hadis Abu Hurairah r.a. tentang seorang orang Badwi yang kencing di dalam masjid, katanya:

Seorang lelaki Badwi berdiri, lalu membuang air kecil di dalam masjid dan orang ramai memarahinya. Nabi SAW berkata kepada mereka: ‘Biarkan dia, dan curahkan sebaldi atau setimba air di atas air kencingnya. Kamu semua diutus untuk memudahkan dan bukannya menyu sahkan.”

(Riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah dalam Sahih al-Bukhari, kitab Wuduk: Bab mencurahkan air ke atas air kencing di dalam masjid)

Kaedah Basuhan 3

KAEDAH MENAMBAH AIR

Membersihkan air yang bernajis dengan menambahkan air boleh dilakukan dalam keadaan keadaan berikut:

AIR LEBIH DUA QULLAH BERUBAH SIFAT

Sekiranya najis mengubah sifat-sifat air yang lebih daripada dua qullah, ditambahkan air lain ke dalam bekas tersebut sehingga ia menghilangkan sifat-sifat najis.

AIR KURANG DUA QULLAH

Jika najis terjatuh ke dalam air yang kurang dua qullah, ditambah air lain ke dalamnya sehingga cukup dua qullah.

Tetapi dengan syarat, najis itu hanya sedikit dan tidak mengubah sifat-sifat air.

AIR MUSTAKMAL KURANG DUA QULLAH

Air mustakmal yang kurang dua qullah tidak boleh digunakan untuk mengangkat hadas.

Tetapi sekiranya ditambah air mustakmal atau air mutlak lain sehingga cukup dua qullah, air ini menjadi air mutlak yang suci dan menyucikan.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

82 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Homura
Homura
7 bulan yang lalu

Assalamualaikum, saya nak tanya , kalau telur itu , telur ayam , tapi bila bukak dah busuk , dia hitam ketul , tapi saya tak nampak darah , basically dia bentuk hitam bujur dalam telur tu dan busuk , saya tak nampak bentuk anak ayam atau apa , apakah hukum telur itu , adakah najis atau sebaliknya ?

Contri
Contri
11 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz , setakat yang saya tahu , hanya Anjing dan Khinzir yang najis termasuk anaknya jika haiwan itu berhubungan dengan haiwan lain mengikut kata Ustaz Azhar Idrus , tetapi , adakah ada haiwan lain lagi yang dihukumkan najis , hanya anjing dan Khinzir najis berat tetapi jika haiwan lain ada yang statusnya najis , adakah termasuk najis pertengahan

Last edited 11 bulan yang lalu by Contri
Siti
Siti
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz air dlm baldi y jadi mustakmal Klau dimasukkan air mutlak sehingga air dlm baldi tu mgalir kluar adakah dikira air tu mutlak sbb dia dah mgalir kluar..nk jadikan 2qullah mustahil sbb dlm baldi

marsya
marsya
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz, apa hukumnya jika anjing lalu di rumput yg basah selepas hujan kemudian saya lalu disitu jugak? perlukh disertu apa sahaja yg terkena rumput itu? seperti kaki dan ujung kain saya?

siti
siti
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz, sy ada beberapa soalan.

1.Sy ada bela 9 ekor kucing. kucing sy pernah kencing dalam bekas dan sy nampak ada kesan tapak kaki yg nampaknya mcm dia terpijak air kencingnya sendiri.Tetapi sy hanya perasan apabila mereka sudah berkeliaran di dalam rumah. Sy kemudian hanya mop lantai sekali sahaja. Persoalannya perlukah sy membersihkan rumah sy & perkara ini terjadi 3 minggu yg lepas

2. apakah hukum apabila seseorang memijak tempat najis yg sedang dibersihkan.

3. seluruh lantai rumah sy menggunakan karpet. kalau terdapat najis kucing pada karpet rumah sy, kemudian najis tersebut telah dipijak oleh ahli keluarga dgn kaki yg basah dan juga kering kerana kami tidak perasan kehadirannya. serta kami telah berjalan sekeliling rumah setelah terpijak najis tersebut. adakah sy perlu membasuh semua karpet di rumah sy setelah menyedari hal itu. mohon pencerahan ustaz.

Mohamad Aiman
Mohamad Aiman
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz,kalau kita langgar bangkai anjing selepas itu kita bawa motor dan air terpercik ke kaki kita.Apa hukumnya?

Student
Student
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum, saya nak tanya bagaimana nak sucikan sabun buku yang terkena najis dan juga , sabun cecair yang terkena najis

arissa
arissa
1 tahun yang lalu

kalau baju yang kering (suci) terkena pakaian atau benda basah yang ada najis hukmi …tak pindah kan najis tu?

Syafiq
Syafiq
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum . Saya pernah terlanggar bangkai anjing di waktu malam . Balik dari kerja saya cuba check dekat seluar kerja saya takut ada najis . Tapi dgn mata kasar dan sekilas lalu tiada najis . Dan bilik saya berbau hancing seperti air kencing . Sebab sebelum balik dari kerja saya ada pergi kencing dan saya tidak berdeheng dan air kencing masih mengalir sdikit .jadi saya anggap itu bau air kencing sy jela . Tapi Sy was² . Esok kan sy pergi check mmg sy langgar bangkai anjing yg masih berbulu tapi tiada bau hamis dan hanyir. Dan pakaian kerja saya dan bercampur dengan semua pakaian kerja lain . Perlukah saya sertu pakaian dan motor sy . Sya dah chek motor mmg tiada kesan bangkai yg sy langgar . Tolong ustaz

arissa
arissa
1 tahun yang lalu

aslm,saya nak tanya ,adakah najis hukmi yang ada pada baju yang kering akan berpindah jika bersentuhan dengan pakaian yang basah (suci)

arissa
arissa
Reply to  Muhamad Naim
1 tahun yang lalu

kalau baju yang kering (suci) terkena pakaian atau benda basah yang ada najis hukmi …tak pindah kan najis tu?