Hukum Bermesra Dengan Isteri Yang Sedang Haid

 Bermesra Dengan Isteri yang sedang haid

Apakah hukum bermesra dengan isteri yang sedang haid?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dihalaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN:

Waktu isteri sedang mengalami haid dimanakah sempadan yang dibolehkan bagi suaminya bermesra dengannya?


JAWAPAN:

Hukum suami bermesraan dengan isterinya ketika isterinya itu sedang mengalami haid ada tiga keadaan.

Pertama: Bersetubuh Maka hukumnya adalah haram ia dengan ijmak sekelian ulamak.

Firman Allah, maksudnya:

Hendaklah kamu sekelian tidak menyetubuhi isteri-isteri ketika sedang haid.”

(Al-Baqarah : 222)

Berkata Imam Nawawi, ertinya :

Telah ijmak sekelian Muslimin atas diharamkan menyetubuhi isteri yang haid kerana berdalilkan ayat Quran dan hadis yang sahih.”

(Kitab Al-Majmu’)

Kedua: Persentuhan Selain Antara Pusat Dan Lutut

Maka hukumnya adalah harus dengan sepakat sekelian ulamak.

Berkata Imam Nawawi, ertinya:

Bermula persentuhan pada anggota yang selain antara pusat dan lutut samada dengan ciuman atau pelukkan atau menjamah atau lainnya adalah halal dengan sepakat ulamak.”

(Kitab Syarah Muslim)

Ketiga: Persentuhan Anggota Antara Pusat Dan Lutut

Maka hukumnya berlaku perselisihan dikalangan ulamak-ulamak mazhab yaitu jumhur ulamak mengharamkannya dengan tiada berlapik dan sebahagian yang lain mengharuskannya selain faraj.

Tersebut pada kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah, ertinya:

Dan telah berselisihan para fuqahak pada bermesraan pada anggota isteri yang antara pusat dan lutut.

Maka berjalan oleh jumhur fuqaha’ yaitu ulamak mazhab Hanafi dan Maliki dan Syafie kepada diharamkan bermesraan dengan anggota antara pusat dan lutut.

Dan berjalan oleh ulamak mazhab Hanbali kepada harus bermesraan dari isteri yang haid itu dengan selain faraj.

Maka harus bagi suami itu bermesraan barang yang antara pusat dan lututnya.”

Hadith Yang Menjadi Sandaran Halal Semuanya Melainkan Bersetubuh

Daripada Anas bin Malik r.a. menceritakan ketika para sahabat bertanyakan Rasulullah saw tentang larangan pada ayat 222 surah Al-Baqarah lalu Rasulullah saw menjawab :

اصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إِلا النِّكَاحَ

Ertinya:

Lakukan apa sahaja kecuali bersetubuh.”

(Hadith Imam Muslim)

Hadith Yang Menjadi Sandaran Halal Semuanya Melainkan Barang Antara Pusat Dan Lutut

Daripada Zaid bin Aslam r.a. berkata, ertinya:

Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah saw dengan katanya : Apakah yang halal bagi aku ketika isteriku sedang haidh? Maka rasulullah saw menjawab : Pakaikan atas isterimu kain kemudian harus bagi kamu apa yang di atas kain itu.”

(Kitab Al-Muwatta’)

Dan daripada Abdullah bin Saad r.a. menceritakan seorang lelaki bertanya Rasullullah saw, ertinya:

Apakah yang halal bagiku daripada isteriku yang sedang haidh? Jawapab baginda : Harus bagimu apa yang di luar daripada kain sarung.”

(Hadith Ibnu Majah)

Kesimpulan

Ulamak berselisih pada hukum bermesraan dengan isteri yang sedang haidh yaitu jumhur ulamak mazhab berkata dengan haram berseronok atau bermesraan pada anggota yang antara pusat dan lutut isteri.

Dan mazhab Hanbali hanya mengharamkan bersetubuh sahaja dan sebahagian fuqahak mazhab Syafie dan Maliki dan Hanafi juga berjalan dengan pendapat ini.

Dan setengah fuqahaak memberi perincian yaitu bagi orang yang mempunyai kesabaran yang kuat menahan nafsunya boleh ia mengikut pendapat yang hanya mengharamkan bersetubuh manakala orang yang tidak kuat menahan nafsunya hendaklah beramal dengan pendapat jumhur ulamak yaitu halal sekeliannya melainkan antara pusat dan lutut.

Berkata Al’Allamah Syeikh Ali As-Sobuni, ertinya :

Bermudah-mudah dengan bermesraan pada barang antara pusat dan lutut itu terkadang mengheret kepada yang dilarang dari kerana sungguhnya siapa yang bermain berdekatan kawasan larangan maka hampirlah akan terjatuh di dalamnya.

Maka yang lebih cermat ialah kita menjauhi kawasan sangkaan yang dilarang.”

(Kitab Rawai’ul Bayan)

Wallahua’lam

Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini


Bacaan tambahan:

Tinggalkan Komen Anda..

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments