Rasulullah ﷺ bersabda:
[Direkodkan oleh al-Bukhari (6612) dan Muslim (2657), lafaz hadis ini berdasarkan riwayat Muslim.]“Telah ditetapkan bagi anak Adam bahagiannya daripada zina; pasti dia akan menemuinya. Zina mata adalah melihat, zina telinga adalah mendengar, zina lidah adalah berkata, zina tangan adalah menyentuh, dan zina kaki adalah melangkah. Hati pula menginginkan dan berangan-angan, dan alat kelamin mengesahkan atau menafikannya.”
Huraian Hadis 📖
Penyakit hati berpunca daripada shubuhat (keraguan) atau shahawat (keinginan). Antara keinginan yang paling kuat dan berpotensi memusnahkan ialah tarikan kita terhadap jantina yang berlawanan.
Dalam hadis ini, diperlihatkan bagaimana anggota badan dan hati bertindak balas terhadap keinginan yang haram, serta bagaimana keinginan tersebut boleh membawa kepada perbuatan yang dilarang.
Pintu Masuk Perkara Dari Luar Ke Dalam Hati
Mata dan telinga adalah dua saluran paling penting yang membawa pengaruh ke dalam hati.
Melalui apa yang kita lihat dan dengar, akan memberikan akses dari dunia luar kepada hati. Apa yang hati fikirkan dan mahukankan selalunya mencerminkan imej dan berita yang dibawa oleh kedua-dua pancaindera ini.
Hati juga mengarahkan kedua-dua anggota ini untuk memenuhi keperluannya. Apabila hati kita menginginkan sesuatu, ia akan mengarahkan mata dan telinga untuk mencarinya, dan apabila ia ditemui, kita memberikan perhatian sepenuhnya terhadap perkara itu. Oleh itu, pancaindera ini bukan sahaja mempengaruhi hati tetapi juga dipengaruhi olehnya.
Kerana peranan penting ini, mata dan telinga boleh menjadi satu saluran yang menyuburkan hati kita dan juga meningkatkan iman. Apabila kita rindu mendengar firman Allah, mata dan telinga kita membawa kita kepada Al-Quran, dan hati kita dapat merasai kebenaran.
Apabila kita memandang dan merenung keindahan alam semesta, hati kita dipenuhi rasa kagum akan kekuasaan Allah dan kerendahan hati terhadapNya. Bila kita ingin menanamkan lebih banyak sifat rahmah dan kebaikan dalam diri, kita memerhatikan orang-orang lemah, sakit, dan miskin, lalu kita bangkit dari kelalaian duniawi untuk berkongsi apa yang kita miliki dengan penuh kasih sayang.
Dan sebaliknya, jika disalahgunakan, mata dan telinga juga boleh menjadi sebab kita terjerumus ke dalam kebinasaan.
Allah Yang Maha Bijaksana memerintahkan kita supaya berhati-hati terhadap apa yang kita lihat dan dengar. Allah berfirman dalam Al-Quran:
“Tidakkah mereka memerhatikan kerajaan langit dan bumi serta segala ciptaan Allah, dan memikirkan bahawa mungkin ajal mereka telah dekat?” (Al-A’raf: 185)
Allah juga berfirman:
“Maka tidakkah mereka berjalan di muka bumi lalu memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka? (Yusuf: 109)
Selain itu, Allah berfirman lagi:
“Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang-orang yang menyeru Rabb mereka pada waktu pagi dan petang dengan mengharap keredhaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana menginginkan perhiasan kehidupan dunia.” (Al-Kahfi: 28)
Ayat-ayat ini menyeru kita untuk menjaga mata dan pancaindera kita supaya hanya mengarahkannya kepada perkara yang bermanfaat. Merenung keagungan ciptaan Allah membawa kita kepada keyakinan yang lebih kukuh terhadapNya. Mata dan telinga kita boleh menghidupkan kisah umat terdahulu yang mengingkari Allah dan akibat buruk yang menimpa mereka.
Ia juga mendatangkan hikmah apabila kita mempelajari kehidupan para solehin. Daripada kata-kata, amalan, dan pilihan mereka dalam kehidupan mengingatkan kita kepada makna mencintai Allah dan dicintai olehNya.
Namun, untuk mencapai manfaat ini, kita mesti menjaga mata daripada terpaut kepada keindahan dunia.
Allah berfirman:
“Dan janganlah engkau (Muhammad) mengarahkan pandanganmu kepada apa yang Kami berikan kepada golongan tertentu dari mereka berupa keindahan kehidupan dunia sebagai ujian bagi mereka; rezeki Rabb-mu jauh lebih baik dan lebih kekal.” (Taha: 131)
Godaan Dunia dan Pengaruhnya kepada Hati
Jika mata dan telinga kita terlalu lama menikmati godaan dunia seperti rumah besar, kereta mewah, dan fesyen terkini, hati kita mudah terpaut kepada materialisme dan tenggelam dalam kecintaan terhadap dunia.
Sebagaimana Rasulullah ﷺ bersabda:
“Jika salah seorang daripada kamu melihat orang yang lebih kaya atau rupawan daripadanya, maka hendaklah dia melihat orang yang berada di bawahnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari [6490] dan Muslim [2963])
Kata-kata ini menunjukkan bagaimana satu pandangan sahaja boleh mempengaruhi hati kita, sama ada membawa kesyukuran atau kekecewaan.
Bagaimana Mata dan Telinga Menjadi Pintu Zina?
Zina bermula dengan pandangan dan kata-kata. Nabi ﷺ menggelar pandangan yang haram sebagai zina mata dan mendengar kata-kata yang tidak baik sebagai zina telinga.
Pandangan yang tidak dijaga boleh menjadi anak panah beracun daripada syaitan yang apabila menembus hati, sukar untuk diubati. Mata membawa imej yang memicu keinginan, dan telinga menyerap perkataan yang meruntuhkan keimanan. Semakin mata dan telinga kita melayani keinginan yang haram, maka semakin lemah hati kita.
Sebagaimana kilang yang mengisar gandum, hati juga menghasilkan apa yang dikumpulkan oleh mata dan telinga.
Jika yang dikumpulkan itu baik, , maka hasilnya juga baik. Tetapi jika yang dikumpulkan itu buruk, hati juga akan turut menghasilkan kerosakan. Oleh itu, mata dan telinga perlu dijaga seperti harta yang disimpan dalam kubu.
Apa yang harus dilakukan?
Selain menjauhi yang haram, kita juga perlu menghindari perkara yang harus tetapi memberi kesan buruk kepada diri. Jika kita merasa tertarik kepada seseorang yang tidak patut, jauhilah mereka dan tundukkan pandangan.
Sibukkanlah diri dengan ibadah dan berdoa kepada Allah agar membantu kita mengatasi godaan ini. Dengan usaha dan keikhlasan, kita dapat melindungi hati kita dan mengembalikannya kepada fitrah iman.
Fitnah Tarikan Antara Jantina
Antara pelbagai godaan yang kita hadapi dalam kehidupan, hanya sedikit yang mampu menandingi kekuatan dan pengaruh tarikan kepada jantina yang berlainan.
Malah, dalam Al-Quran, ia disenaraikan sebagai keinginan duniawi yang paling memikat manusia, sebagaimana Allah berfirman:
“Dihiaskan kepada manusia kecintaan kepada syahwat berupa wanita, anak-anak, harta benda yang bertimbun dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak, dan sawah ladang.” (Ali ‘Imran: 14)
Disebabkan tarikan ini sangat kuat dan ditambah pula dengan kelemahan manusia, hadis dalam bab ini menjelaskan bahawa jarang sekali manusia dapat melepaskan diri daripada cengkaman dosa-dosa yang disebutkan.
Dosa-dosa ini dianggap “tertulis” dalam erti kata bahawa ia hampir tidak dapat dielakkan dalam pelbagai bentuk, bukan kerana manusia dipaksa untuk melakukannya.
Oleh kerana dosa-dosa kecil ini begitu meluas dan boleh membawa kepada dosa besar zina, amat penting untuk kita menjaga pancaindera dan anggota badan daripada terlibat dengannya.
Apabila kita memahami dosa-dosa kecil pada anggota tubuh sebagai pendorong awal kepada perbuatan zina, kita akan lebih berhati-hati dan menahan diri daripada memulakan atau meneruskannya.
Bagaimana Dosa Diperkenalkan Kepada Kita Secara Bertahap?
Daripada hadis ini, kita memahami bahawa dosa bermula daripada pandangan kecil dan kata-kata ringkas yang akhirnya membawa kepada perbuatan keji yang merosakkan seluruh tubuh.
Syaitan tidak memulakan godaannya dengan mencadangkan dosa besar, kerana kita secara semula jadi akan menolaknya. Sebaliknya, dia bergerak secara beransur-ansur. Dia memulakan dengan dosa kecil yang dapat meyakinkan kita untuk melakukannya, membawa kita satu langkah kecil lebih dekat kepada dosa besar.
Apabila kita menerima bisikan pertama itu, dia memperkenalkan dosa seterusnya, dan begitulah seterusnya sehingga tanpa sedar kita tiba pada dosa yang paling besar.
Setiap dosa juga diperkenalkan kepada kita secara bertahap.
Dosa bermula sebagai lintasan fikiran (khatrah).
Jika kita membiarkannya masuk, ia berubah menjadi bisikan berulang (waswasah), dan selepas itu kita mula berbicara mengenainya dalam hati (hadith al-nafs).
Jika fikiran itu tidak ditolak pada tahap ini, ia menjadi perbuatan yang kita cenderung lakukan tetapi masih belum bertekad melakukannya (al-hamm).
Langkah terakhir adalah niat yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan perbuatan itu (al-‘azm) (rujuk al-Tibyan fi Ayman al-Quran oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 635 dari siri Majmu’ Athar Ibn al-Qayyim).
خَطْرَةٌ ← وَسْوَسَةٌ ← حَدِيثُ النَّفْسِ ← الْهَمُّ ← الْعَزْمُ
Adalah paling mudah untuk menghentikan dosa pada peringkat awal dan lebih sukar pada peringkat kemudian.
Dosa dalam bentuk lintasan fikiran adalah pada tahap paling lemah, dan kita dapat menolaknya dengan zikir, bergantung kepada Allah, berdoa kepadaNya, menjauhkan diri daripada teman buruk, dan mendekati orang-orang soleh.
Berseorangan dengan fikiran-fikiran seperti ini adalah berbahaya. Apabila kita melayani fikiran tersebut, ia akan berakar dalam minda dan hati, menjadikannya lebih sukar untuk dibuang. Apabila kita mencapai tahap niat bersungguh-sungguh, kemungkinan besar tindakan itu akan dilakukan.
Jika kita ingin menghentikan diri daripada dosa, kita perlu melawannya pada peringkat awal: adalah jauh lebih mudah menolak lintasan fikiran berbanding bertarung dengan fikiran yang telah menguasai kita.
Fikiran-fikiran ini datang daripada sumber luaran (contohnya, imej yang kita lihat) dan dalaman (contohnya, nafsu). Fikiran jahat cenderung muncul daripada apa yang kita bayangkan, terutamanya apabila kita kenyang dengan makanan.
Nafsu kita berada pada tahap paling kuat apabila kita terlalu kenyang, malas untuk beribadah, atau ketika waktu lapang.
Khatrah (lintasan fikiran) menemui ruang dalam hati yang kosong—kosong daripada cinta dan takut kepada Allah, serta kosong daripada fikiran dan niat yang baik.
Melawan fikiran buruk memerlukan kita mengisi hati dengan iman, kepercayaan kepada Allah, dan rancangan konkrit untuk melakukan kebaikan setiap hari, minggu, bulan, atau tahun. Apabila hati penuh dengan keimanan, ruang untuk fikiran jahat atau merosakkan akan menjadi sempit.
Keinginan Hati Terhadap Zina
Keinginan terhadap zina merupakan salah satu penyakit hati.
Allah berfirman dalam Al-Quran:
“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu tidaklah seperti mana-mana wanita lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu berbicara dengan nada lembut sehingga orang yang hatinya berpenyakit merasa tergoda, tetapi berkatalah dengan perkataan yang baik.” (Al-Ahzab: 32)
Sebagaimana dijelaskan dalam ayat ini, seseorang yang hatinya berpenyakit, yakni penyakit keinginan terhadap zina sebagaimana yang diterangkan oleh al-Sa‘di dalam tafsirnya, akan mudah tergoda dan terdorong melakukan dosa hanya dengan suara lembut seorang wanita.
Sebaliknya, seseorang yang hatinya sihat akan membenci zina dan tidak akan tergoda hanya kerana suara tersebut. Ayat ini memberi kita satu cara untuk menguji hati kita, sama ada ia cenderung kepada dosa ini atau tidak.
Ramai orang mungkin menjauhi zina bukan kerana mereka takut kepada Allah, tetapi kerana peluang untuk melakukannya belum muncul: mereka takut akan akibat jika tertangkap, tidak tahu di mana untuk melakukannya, atau tidak menemui seseorang yang bersetuju melakukannya.
Individu seperti ini hanya menjauhi zina selagi halangan-halangan tersebut wujud. Namun, apabila peluang terbuka, dia akan mengambil kesempatan tersebut.
Ini berbeza sekali dengan seseorang yang benar-benar takut kepada Allah dan tidak akan melakukannya walaupun tiada sebarang hukuman dunia, bahkan jika dia dijanjikan ganjaran sekalipun.
Ketika itulah kita memahami ujian besar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Beliau adalah seorang pemuda, seorang hamba di tanah asing. Seorang wanita cantik, kaya, dan berkuasa mengajaknya melakukan perbuatan yang dimurkai Allah, tetapi beliau menolak dengan tegas.
Beliau lebih rela dipenjara daripada menikmati kemewahan dan kekayaan yang dosa itu dapat berikan kepadanya. Ini adalah bukti cinta dan ketakutannya kepada Allah yang sejati.
Hadis ini menjelaskan zina hati yang melibatkan keinginan (hawa) dan angan-angan (amani) terhadap zina. Keinginan merujuk kepada apa yang dekat dan mungkin berlaku (contohnya, seseorang yang kita kenali), manakala angan-angan merujuk kepada sesuatu yang tidak mungkin berlaku (contohnya, selebriti atau model).
Hati boleh terbawa-bawa dengan kedua-dua jenis fantasi ini, yang akhirnya menjadikannya lebih menerima zina untuk dirinya dan orang lain.
Walaupun berfantasi tentang zina nampak tidak berbahaya bagi sesetengah orang, ia sebenarnya menormalkan dosa tersebut dan membuka jalan kepadanya. Ini seperti persediaan mental untuk melakukan dosa di masa depan. Ia juga meningkatkan kecintaan kita kepada dosa tersebut.
Menyimpan rasa cinta terhadap dosa ini bertentangan dengan iman dalam hati. Sesiapa yang bimbang tentang kesihatan hatinya mesti mengelak daripada fantasi seperti ini dan menjauhkan diri daripada zina serta segala sesuatu yang mendekatkan kepadanya.
Jika kita mudah terbawa-bawa dengan fantasi seperti ini ketika bersendirian, maka kita tidak sepatutnya bersendirian. Luangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan sahabat, libatkan diri dalam aktiviti kebajikan, perbanyakkan ibadah, habiskan masa di masjid, dan hadiri kuliah atau ceramah agama.
Jika kita berfantasi untuk melarikan diri daripada kekecewaan hidup sebenar, kita perlu sedar bahawa ia tidak menyelesaikan masalah atau memperbaiki realiti. Daripada menginginkan apa yang tidak kita miliki, lebih baik kita memohon kepada Allah agar menjadikan kita reda dengan apa yang kita ada dan menganugerahkan lebih banyak rezeki yang halal.
Jika masa lapang kita membawa kita ke jalan dosa, keinginan itu akhirnya akan merosakkan hidup kita. Jalan menuju syurga melalui pintu-pintu pengorbanan dan pengawalan diri.
Seperti kata al-Fudayl ibn ‘Iyad:
“Kamu ingin ke syurga bersama para Nabi dan siddiqin? Kamu ingin berdiri di Hari Kiamat bersama Nuh, Ibrahim, dan Muhammad عَلَيْهِمُ ٱلسَّلَامُ?
Dengan amalan apa? Keinginan mana yang telah kamu tinggalkan kerana Allah Yang Maha Tinggi?
Siapa yang dekat denganmu yang telah kamu jauhi kerana Allah? Dan siapa yang jauh darimu yang telah kamu dekati kerana Allah?”
(Hilyat al-Awliya’, jilid 8, hlm. 90)
Tinggalkan Komen Anda..