Ibadah Korban & Syarat Sah Sembelihan

korban dan syarat sah sembelihan

Apakah hukum ibadah korban?

Dan juga apakah syarat sah sembelihan?

Dalam artikel ini, saya akan menerangkan secara ringkas tapi lengkap mengenai ibadah korban dan syarat sah sembelihan haiwan.

Definisi Dan Maksud Istilah Korban

Korban bermaksud hampir. Dari segi istilah bermaksud menyembelih binatang tertentu pada Hari Raya Aidiladha dan hari tasyrik, iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan tujuan untuk beribadat atau menghampirkan diri kepada Allah SWT.

Dalil yang menerangkan tentang ibadah korban ini boleh dilihat pada Surah al-Kautsar ayat 2, yang bermaksud:

Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah

(Surah al-Kautsar 108: 2)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Nabi SAW telah berkorban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dan Baginda telah menyebut nama Allah, bertakbir sambil meletakkan kakinya di tepi tengkuk kibas tersebut

(Hadis riwayat al-Bukhari (5245) dan Muslim (1966)

Hukum Melakukan Korban

Hukum melakukan ibadah korban adalah sunat muakkad.

Sunat muakkad bermaksud ia adalah ibadah yang sangat dituntut ke atas umat Islam yang berkemampuan tetapi dihukumkan wajib apabila bernazar.

Tuntutan sunat muakkad adalah bagi orang yang cukup syarat-syaratnya seperti Islam, sempurna akal, dan baligh.

Orang yang melakukan korban dianjurkan menyembelih binatang itu sendiri atau sekurang-kurangnya melihat pada waktu penyembelihan dilakukan.

Syarat Haiwan Korban

Binatang yang hendak dikorbankan mestilah mempunyai ciri-ciri tidak cacat, tidak sakit, tidak buta, tidak berkurap dan tidak kurus.

Manakala syarat sah untuk haiwan korban adalah:

  • Kambing biri-biri yang berusia satu tahun dan ke atas.
  • Kambing biasa yang berusia dua tahun dan ke atas.
  • Unta yang berusia lima tahun dan ke atas.
  • Lembu atau kerbau yang berusia dua tahun dan ke atas.

Syarat Sah Sembelihan

Istilah Sembelihan

Dalam bahasa Arab disebut sebagai zabihah. Maksud sembelihan ialah sembelihan binatang yang halal dimakan mengikut lunas-lunas syarak dan syarat-syarat tertentu.

Syarat Tukang Sembelih Haiwan

Syarat bagi tukang sembelih adalah seperti berikut:

  1. Islam atau ahli kitab. Ahli kitab atau salah seorang datuk neneknya menjadi ahli kitab sebelum berlakunya penyelewengan terhadap kitab tersebut.
  2. Sembelihan hanya diniatkan kerana Allah SWT atau dengan nama Allah SWT.
  3. Pisau atau alat sembelih mestilah tajam dan diperbuat daripada besi, tembaga, timah, kaca, batu dan yang seumpamanya.
  4. Tidak menggunakan gigi, tulang ataupun kuku sebagai alat sembelihan.

Syarat Semasa Menyembelih Haiwan

  1. Haiwan yang disembelih mempunyai hayah mustaqirrarah, iaitu tidak mati disebabkan sakit atau cedera, dan ia menggeletar sebelum mati selepas disembelih (keadaan nyawa-nyawa ikan)
  2. Putuh halkum dan urat merih.
  3. Memotong sekali gus dengan cepat.
  4. Sekiranya binatang yang disembelih itu mempunyai anak di dalam perutnya, maka halal dimakan daging anak binatang tersebut dengan syarat anak itu mati dengan kematian ibunya.

Jenis-Jenis Sembelihan

Sembelihan dibahagikan kepada tiga bahagian:

1. Al-Zablu

Memotong batang leher sebelah atas haiwan yang boleh ditangkap oleh manusia untuk disembelih dengan syarat-syarat tertentu.


2. Al-Nahru

Memotong batang leher sebelah bawah haiwan dan cara ini disunatkan ketika menyembelih unta.


3. Al-‘Aqru

Sembelihan yang dilakukan secara darurah (terpaksa) dengan cara mencederakan haiwan tertentu pada mana-mana bahagian badannya dengan kecederaan yang membawa kepada maut.

Al-‘Aqru juga ialah cara menyembelih binatang yang liar (yang boleh dimakan) dan tidak boleh ditangkap oleh tuannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesungguhnya binatang-binatang ini memiliki sifat binatang liar, apabila ia mengatasi kamu maka lakukanlah terhadapnya seperti ini

(Hadis riwayat al-Bukhari (5190) dan Muslim (1968) daripada Rafi’ bin Khidaji r.a)

Hikmah Disyariatkan Sembelihan

Sembelihan dan bangkai merupakan dua istilah yang berbeza.

Hukum memakan bangkai adalah haram dan ianya dikategorikan sebagai najis.

Sembelihan membezakan antara yang halal dan yang haram atau dalam erti kata lain sembelihan dalam hukum syarak merupakan pembeza yang mutlak antara kedua-duanya.

Sembelihan menjamin kesihatan orang yang memakannya kerana ianya menyucikan binatang yang disembelih itu daripada darah.

Dan sepertimana yang kita maklum, darah dikategorikan sebagai najis.

Kematian binatang dengan cara dicekik atau dilanggar akan menyebabkan darah menjadi beku di dalam tubuh haiwan tersebut dan boleh menyebabkan orang yang memakan bangkai tersebut mendapat penyakit.


Sumber

1. Indahnya Hidup Bersyariat, Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat — Dato’ Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments