Bagaimanakah tahap atau kadar sakit yang membolehkan buka puasa?
Dalam artikel ini, saya melampirkan soalan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dihalaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALAN:Berkenaan orang yang sakit yang dibolehkan tidak berpuasa itu banyak manakah kadar sakit yang boleh berbuka dan yang tak boleh berbuka?
JAWAPAN:
Allah Tala berfirman:
وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Ertinya:
Barang siapa yang adalah ia sakit atau sedang musafir maka hendaklah dia qadha puasanya pada hari yang lain.”
(Al-baqarah : 185)
Dalam ayat ini Allah telah memberi keringanan kepada orang yang sakit tidak berpuasa Ramadhan dan hendaklah dia qadha selepas bulan Ramadhan.
Ada pun kadar sakit yang membolehkan berbuka itu ialah sakit yang memudaratkan jika dia berpuasa seperti kalau dia berpuasa maka boleh jadi membawa kepada binasa dirinya atau atau hilang menafaat anggotanya seperti menjadi cacat atau semakin parah penyakitnya atau tidak dapat ia bangun atau pengsan ia atau lukanya tidak sembuh atau seumpamanya.
Ada pun sakit yang tidak sampai kepada apa yang disebutkan tadi maka wajib atasnya berpuasa seperti orang yang sihat.
Berkata Syeikh Nawawi Bantan:
وَإِن تحقق الضَّرَر الْمَذْكُور أَو غلب على ظَنّه أَو انْتهى بِهِ الْعذر إِلَى الْهَلَاك أَو ذهَاب مَنْفَعَة عُضْو حرم الصَّوْم وَوَجَب الْفطر وَإِن كَانَ الْمَرَض خَفِيفا بِحَيْثُ لَا يتَوَهَّم فِيهِ ضَرَرا يُبِيح التَّيَمُّم حرم الْفطر وَوَجَب الصَّوْم
Ertinya:
Jika dia yakin atau berat sangkaannya akan membawa kepada kemudaratan atau akhirnya uzurnya itu membawa kepada kebinasaan atau hilang menafaat anggota badannya maka haram atasnya berpuasa yaitu wajib ia berbuka.
Dan jika penyakitnya itu sedikit atau ringan sekira-kira tidak ia sangka sampai memudaratkan maka haram ia berbuka dan wajib atasnya berpuasa.”
(Kitab Nihayah Zain)
wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..