Apakah darah yang keluar sebelum bersalin?
Adakah ia darah haid atau darah nifas?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dihalaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat
SOALAN:Ketika seorang perempuan dekat hendak bersalin biasanya keluar darah samada sedikit atau banyak.
Adakah itu darah haid atau darah nifas?
Bagaimana dengan solat ustaz?
JAWAPAN:
Darah yang keluar dari seorang perempuan ketika dekat bersalin maka jika darah itu berterusan keluar sampai kepada melahirkan anak maka itu adalah darah talak namanya.
Hukumnya sama seperti darah istihadah
Dan jika darah yang keluar itu berhenti dahulu sebelum beranak maka jika sampai sehari semalam itulah darah haid dan hukumnya seperti hukum haid.
Dan jika tidak sampai sehari semalam maka ia adalah darah istihadah.
Menyebut oleh Syeikh Abdul Rahman Al-Ba’lawi :
الدَّمُ الْخَارِجُ مِنَ الْحَامِلِ بِسَبَبِ الْوِلاَدَةِ قَبْلَ انْفِصَالِ جَمِيْعِ الْوَلَدِ وَإِنْ تَعَدَّدَ عَنِ الرَّحْمِ يُسَمَّى طَلْقًا وَحُكْمُهُ كَدَمِ اْلاِسْتِحَاضَةِ فَيَلْزَمُهَا فِيْهِ التَّعْصِيْبُ وَالطَّهَارَةُ وَالصَّلاَةُ وَلاَ يَحْرُمُ عَلَيْهَا مَا يَحْرُمُ عَلَى الْحَائِضِ حَتَّى الْوَطْءِ أَمَّا مَا يَخْرُجُ لاَ بِسَبَبِ الْوِلاَدَةِ فَحَيْضٌ بِشَرْطِهِ
Ertinya :
Bermula darah yang keluar dari perempuan yang hamil dengan sebab hendak bersalin sebelum keluar anak itu sekalipun berulang-ulang keluar dari rahim dinamakan darah talak yang sama hukumnya dengan darah istihadah.
Maka (jika hendak sembahyang) wajib atasnya memakai cawat dan bersuci dan sembahyang dan tidak haram atasnya apa yang haram atas perempuan yang haidh termasuk jimak.
Ada pun darah yang keluar itu tidak sebab hendak keluar anak (tidak berterusan hingga beranak) maka ia adalah haidh dengan segala syaratnya.”
(Kitab Bughyatul Murtassyidin)
Kesimpulan
Jika darah yang keluar dari perempuan yang hendak beranak itu berterusan sampai masa keluar anak maka darah tersebut adalah darah talak iaitu satu jenis dari darah istihadah yang hukumnya bukan hukum darah haid.
Maka harus dia mengerjakan solat dengan didahului membasuhnya dan memakai cawat dan tidak haram atasnya apa yang diharamkan atas perempuan yang haid.
Dan darah yang keluar selepas semua juzuk anak telah keluar dari rahimnya itu adalah darah nifas yang hukumnya sama dengan hukum haid.
Contoh untuk mudah difahami pada jam 5 pagi darah telah keluar dan berterusan keluar sampai ia melahirkan anak pada jam 8 pagi.
Maka darah yang keluar selama 3 jam itulah darah talak.
Jika dia larat maka hendaklah dia membersihkan darah tersebut seperti dilakukan pada darah istihadah dan memakai cawat dan mengambil wuduk dan sembahyang subuh.
Jika tidak larat seperti terlalu lemah maka hendaklah diqadha solat subuh itu selepas kering darah nifas nanti.
Jika darah yang keluar itu sampai sehari semalam kemudian berhenti yakni tidak berterusan keluar sampai melahirkan anak maka darah itu adalah darah haidh.
Jika keluar sedikit sahaja dan putus yakni tidak berterusan keluar sampai melahirkan anak maka darah itu adalah darah istihadah.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum ustaz, Apakah beza darah nifas, wiladah, fasad dan talak?
Waalaikumsalam,
Saya akan jelaskan perbezaan antara darah istihadah dengan darah nifas, dan juga wiladah dan maksud talak:
1. Darah Istihadah (Darah Fasad): Darah istihadah adalah darah yang keluar dari faraj wanita yang bukan merupakan darah haid atau nifas. Darah ini biasanya keluar kerana sebab-sebab tertentu seperti penyakit atau keadaan fizikal yang tidak normal. Dalam konteks ibadah, wanita yang mengalami istihadah tetap diwajibkan untuk solat dan puasa, tetapi perlu mengambil wudhu untuk setiap waktu solat.
2. Darah Nifas: Darah nifas adalah darah yang keluar dari rahim wanita selepas proses kelahiran (wiladah). Tempoh nifas maksimum dalam mazhab Syafi’i adalah 40 hari, tetapi ia boleh berbeza bagi setiap wanita. Selama masa nifas, wanita dikecualikan dari beberapa ibadah seperti solat dan puasa, dan tidak dibenarkan melakukan hubungan suami isteri.
3. Wiladah: Wiladah adalah proses kelahiran anak. Ini adalah peristiwa fizikal kelahiran bayi.
4. Maksud Talak: Talak adalah proses perceraian dalam Islam, yang dilakukan oleh suami terhadap isterinya. Proses ini mengikut tata cara tertentu dan mempunyai kesan yang berbeza dalam konteks keluarga dan status peribadi dalam Islam.
Perbezaan antara istilah-istilah ini penting untuk difahami dalam konteks hukum dan ibadah dalam Islam, terutama dalam menjalankan kehidupan sehari-hari.