Apakah hukum tundukkan kepala dan badan dengan tujuan beri hormat pada seseorang?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANApakah hukumnya menundukkan kepala dan badan kerana memberi hormat kepada seseorang?
JAWAPAN
Hukum menundukkan kepala atau kepala serta badan kerana menunjukkan rasa hormat kepada seorang hukumnya adalah harus menurut pandangan sebahagian ulamak.
Tersebut pada Kitab Ghiza Al-Albab :
Dan telah lalu sebutnya pada Kitab Adab Al-Kubra daripada Abi Al-Ma’ali sungguhnya penghurmatan dengan menundukkan belakang badan adalah harus.
Dan kata setengah ulamak ialah sujudnya malaikat bagi Nabi Adam a.s.”
Akan tetapi jika sampai tunduknya itu kepada had rukuk maka berkata sebahagian ulamak dengan makruh.
Tersebut pada Kitab Fawakih Ad-Dawani Al-Malikiyyah :
Dan telah menfatwakan oleh sebahagian ulamak dengan harusnya menundukkan badan apabila tiada sampai ia kepada had rukuk pada syarak.”
Dan setengah ulamak mengharamkan tunduk hormat sampai kepada had rukuk.
Telah berkata Imam Ibnu ‘Alan As-Syafie :
Setengah daripada bida’ah yang diharamkan ialah menundukkan badan ketika berjumpa dengan rupa rukuk.”
Dan telah berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:
Dimakruhkan tundukkan badan secara mutlak bagi setiap orang. Ada pun sujud baginya maka hukumnya haram.”
(Kitab Mughni Al-Muhtaj)
Tersebut pada Kitab Muasu’atul Fiqhiyah :
Berkata ulamak apa yang berlaku dengannya pada adat dari menundukkan kepala dan menundukkan badan kepada had yang tidak sampai kepada sekurang-kurang rukuk ketika bertemu tiada kufur dengannya dan tiada haram akan tetapi tak dapat tidak dari makruhnya.”
KESIMPULAN
Harus hukumnya memberi penghormatan kepada seorang ketika bertemu dengan cara menundukkan kepala atau menundukkan kepala serta badan di sisi sebahagian ulamak.
Ada pun jika sampai tunduknya itu kepada had rukuk maka hukumnya adalah makruh di sisi sebahagian ulamak dan haram di sisi sebahagian yang lain.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..