Semasa sedang membaca al-Fatihah dalam rakaat pertama Solat Witir, saya terdengar azan subuh berkumandang.
Saya musykil, apakah status solat witir tersebut? Adakah masih sah dan dikira mendapat pahala?
Sebelum kita berbincang lebih lanjut berkenaan status solat tersebut, ada baiknya kita teliti dahulu beberapa asas berkenaan solat witir.
Asas yang dimaksudkan ialah berkenaan tempoh perlaksanaannya iaitu bermula setelah mengerjakan solat Isyak sehinggalah terbit fajar (masuk waktu subuh).
Perkara ini berpandukan kepada beberapa sandaran, antaranya:
1. Rasulullah SAW bersabda, terjemahannya:Laksanakan solat witir sebelum masuk waktu subuh
(Riwayat Muslim)
2. Rasulullah SAW bersabda: [Terjemahan]
Jika fajar telah terbit, maka tamatlah seluruh waktu solat malam dan doa witir. Maka berwitirlah sebelum terbit fajar (masuk waktu Subuh)
(Riwayat al-Tirmizi)
3. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab Minhaj al-Tolibin: [Terjemahan]
Waktu solat sunat witir adalah antara solat fardu Isyak dan terbit fajar (waktu Subuh)
Jika Tertinggal Solat Witir Kerana Tertidur Atau Terlupa
Disyariatkan ke atas individu yang tertinggal solat witir kerana terlupa atau tertidur untuk qada semula solat sunat witir tersebut.
Hal ini berpandukan kepada sabda Baginda SAW dalam beberapa hadis:
1. Imam Abu Dawud merekodkan dalam Sunan Abu Dawud: [Terjemahan]Sesiapa yang tidur sehingga tertinggal solat witirnya atau dia lupa, maka hendaklah dia mengerjakannya (solat witir) ketika dia ingat…
2. Imam al-Tirmizi meriwayatkan: [Terjemahan]
Sesiapa yang tidur sehingga tertinggal solat witirnya, maka hendaklah dia melakukannya ketika masuk subuh
3. Dinyatakan dalam kitab ‘Umdah al-Salik: [Terjemahan]
Setiap solat sunat yang berwaktu seperti sunat hari raya, sunat dhuha, sunat witir, sunat-sunat rawatib, apabila ia terluput (daripada waktunya), maka sunat untuk qada selama-lamanya (pada bila-bila masa)…
Jika Berkumandang Azan Subuh Ketika Sedang Baca Al-Fatihah, Apa Status Solat?
Pada dasarnya, setiap solat yang berwaktu dan sempat dilakukan satu rakaat dalam waktunya, maka ia dikira sebagai tunai.
Hal ini sebagaimana sabda Baginda:
[Terjemahan]Sesiapa yang sempat satu rakaat daripada solat, maka dia mendapat solat tersebut
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Adapun jika tidak sempat satu rakaat, contohnya azan subuh berkumandang ketika membaca al-Fatihah dalam rakaat pertama solat witir, maka ia dikira sebagai qada.
Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi ‘Ala al-Khatib:
[Terjemahan]Telah berkata Syeikh Ibn Qasim al-‘Abbadiy, “Jika seseorang bertakbiratul ihram dengan semuanya (sempurna) dan dia mendapat satu rakaat dalam waktu, maka solatnya tersebut dikira sebagai tunai.
Kesimpulan
Bagi individu yang berada dalam rakaat pertama solat sunat witir, namun azan subuh berkumandang ketika dia sedang membaca al-Fatihah, maka dia perlu meneruskan solat witir tersebut sehingga selesai.
Adapun berkenaan status solat tersebut, ia dikira sebagai qada kerana tidak sempat menyempurnakan satu rakaat dalam waktunya.
Wallahu a’lam
Rujukan:
- Ustaz Abu Usamah, Mohd Hanapiah Haji Husin, Buku Soal Jawab Fiqh Ibadah (Bab solat, solat musafir, Jenazah, Zakat & Puasa
Tinggalkan Komen Anda..
Bagaimana niat solat sunat witir setelah masuk waktu subuh?