Apakah hukum membazir air ketika berwuduk?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANBenarkah kata seorang ustaz yang menyebut dalam ceramahnya siapa yang ambil wuduk lebih dari tiga kali di masjid maka orang itu berdosa?
JAWAPAN
Ulamak fiqah telah menyebut bahawa siapa yang membasuh anggota wuduk lebih dari tiga kali maka dia telah melakukan perbuatan yang dilarang.
Di dalam hadith Rasulullah saw telah menghukumkan orang yang berwuduk melebihi tiga kali ini sebagai orang yang telah melakukan kesalahan dan orang yang melampau batas dan orang yang zalim.
Telah diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr r.a. katanya:
Telah datang seorang arab dusun kepada Nabi saw dan dia bertanya tentang wuduk.
Maka Nabi saw menunjukkan kepadanya cara berwuduk iaitu tiga kali tiga kali.
Kemudia Nabi berkata: Seperti inilah cara berwuduk. Maka siapa yang menambah lebih dari ini maka sungguhnya dia seorang yang telah salah dan melampau dan zalim.”
(Hadith riwayat An-Nasaaie)
Dan maksud larangan pada hadith ini ialah larangan makruh atau haram.
Larangan makruh ialah apabila air yang dibazirkannya itu ialah airnya sendiri seperti seorang yang berwuduk dirumahnya atau air laut dan air sungai.
Larangan haram ialah jika air yang dibazirkannya ketika wuduk itu ialah air yang diwaqafkan seperti air yang disediakan untuk wuduk di masjid dan surau.
Telah berkata oleh Dr Wahbaz Az-Zuhaili:
Bermula membazirkan pada menuang air yaitu seorang menggunakan air lebih dari kadar yang diperlukan atau lebih dari kadar yang mencukupi. Ini ialah apabila air itu yang harus (seperti air laut atau sungai) atau air itu milik yang berwuduk. Maka jika air itu air yang diwakafkan atas berwuduk daripadanya seperti air yang disediakan untuk mengambil wuduk di segala masjid maka membazir padanya adalah haram.”
(Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
Begitu juga haram membazirkan air yang diwakafkan ketika membasuh kaki atau mandi dan sebagainya.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..