Masalah Najis Dalam Solat

Masalah Najis Dalam Solat

Ini adalah jawapan untuk beberapa soalan yang berkaitan masalah najis dalam solat.

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN

Saya hendak tanya beberapa soalan pasal najis dan sembahyang.

Kalau dirumah yang banyak tahi cicak adakah kena ulang semula sembahyang jika lepas memberi salam nampak ada tahi cicak pada tumitnya?

Jika tangan seorang itu kena najis air kencing tetapi dia lupa tangan sebelah mana macamanakah cara membasuhnya?

Kalau kita nampak ada najis pada badan orang yang hendak sembahyang kita kena bagi tahu atau tidak?

Selepas sembahyang baru sedar ada kumbang yang telah mati tersangkut pada pakaian kita sah atau tidak sembahyang kita itu?

PERSOALAN TAHI CICAK

Tahi cicak adalah najis dan wajib orang yang hendak sembahyang suci badannya dan pakaiannya dan tempat sembahyangnya dari najis termasuk tahi cicak kerana suci dari najis itu adalah antara syarat sahnya sembahyang.

Akan tetapi jika pada suatu tempat seperti rumah banyak tahi cicak atau tahi burung misalnya dan sukar hendak menjaga daripada terkenanya maka dimaafkan tanpa disengajakan memijaknya.

Adapun jika sengaja memijaknya maka tidak dimaafkan.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

واستثني من الْمَكَان مَا لَو كثر زرق الطُّيُور فَإِنَّهُ يُعْفَى عَنهُ للْمَشَقَّة فِي الِاحْتِرَاز عَنهُ وَقيد فِي الْمطلب الْعَفو بِمَا إِذا لم يتَعَمَّد الْمَشْي عَلَيْهِ

Ertinya:

Dan dikecualikan daripada tempat (sembahyang) yang jikalau banyak tahi burung maka sungguhnya dimaafkan daripadanya kerana kesukaran pada menjaga dari terkenanya. Dan pada Kitab Al-Mathlab dimaafkan apabila tidak disengajakan berjalan atasnya.”

(Al-Iqna’)

TERLUPA BAHAGIAN YANG KENA NAJIS

Jika anggota badan seorang itu terkena najis kemudian dia terlupa bahagian manakah pada badannya yang terkena najis maka wajib dia membasuh sekelian badannya supaya dia yakin bahawa tempat yang kena najis itu sudah dibasuh.

Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi:

فَلَو أصَاب الثَّوْب نَجَاسَة وَعرف موضعهَا غسلهَاوَإِن لم يعرف موضعهَا من الْبدن وَالثَّوْب وَجب غسله كُله وَلَا يجْزِيه الِاجْتِهَاد

Ertinya :

Maka jikalau kena akan pakaian olih najis dan tahu tempat kena najis itu nescaya wajib dibasuhnya akan tempat itu. Dan jika dia tidak tahu tempat kena najis itu pada badan dan pakaian nescaya wajib dia basuh sekeliannya dan tidak sah jika dia ijtihad (mengagak).”

(Kitab Kifayatul Akhyar)

Dan berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

(وَلَوْ نَجَسَ) بِفَتْحِ الْجِيمِ وَكَسْرِهَا (بَعْضُ ثَوْبٍ أَوْ) بَعْضُ (بَدَنٍ) أَوْ مَكَان ضَيِّقٍ (وَجَهِلَ) ذَلِكَ الْبَعْضَ فِي جَمِيعِ مَا ذُكِرَ (وَجَبَ غَسْلُ كُلِّهِ) لِتَصِحَّ الصَّلَاةَ فِيهِ إذْ الْأَصْلُ بَقَاءُ النَّجَاسَةِ مَا بَقِيَ جُزْءٌ مِنْهُ

Ertinya :

Dan jikalau ternajis sebahagian pakaian atau sebahagian badan atau tempat yang sempit dan dia tidak tahu bahagian manakah yang kena najis pada pakaian dan badan dan tempat tersebut nescaya wajib dia basuh semuanya supaya sah sembahyang padanya kerana asalnya kekal ada najis tersisa pada satu juzuk daripadanya.”

(Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Maksudnya jika yakin kena najis pada baju tetapi tidak ingat bahagian manakah yang kena najis itu maka cara menyucikannya ialah membasuh sekelian baju itu keseluruhannya.

Maka berbalik pada soalan jika tidak ingat tangan kanankah yang kena najis atau tangan kiri nescaya wajib basuh kedua belah tangan.

NAMPAK NAJIS PADA ORANG LAIN

Siapa yang nampak ada najis pada seorang yang hendak sembahyang misalnya maka wajib atasnya memberitahunya supaya tidak dia sembahyang dengan najis.

Berkata Syeikh Al-Qalyubi:

قَوْلُهُ: (مَعَ النَّجِسِ) أَيْ وَإِنْ جَهِلَهُ وَيَجِبُ عَلَى مَنْ رَآهُ إعْلَامُهُ بِهِ

Ertinya:

Dan katanya (tidak sah sembahyang) serta najis (pada badan atau pakaiannya) artinya sekalipun dia tidak tahu akan najis itu dan wajiblah atas siapa yang melihat najis itu memberi tahunya akan najis itu.”

(Hasyiah Al-Qalyubi)

Maksudnya kalau kita nampak pada pakaian seorang yang hendak sembahyang misalnya ada najis maka wajib atas kita memberitahu orang tersebut kerana jika dia sembahyang dalam keadaan membawa najis seperti itu maka sembahyangnya tidak sah.

BANGKAI SERANGGA PADA BADAN ORANG SOLAT

Jika seorang yang hendak sembahyang dan melihat ada bangkai serangga pada badan atau pakaiannya hendaklah dia buang dahulu bangkai itu sebelum sembahyang.

Dan jika selepas memberi salam baru dia menyedari ada bangkai serangga pada badan atau pakaiannya maka hendaklah dia ulang semula sembahyangnya itu kerana tidak sah sembahyang menanggung najis.

Berkata Syeikh Jamal:

وَلَيْسَ مِنْ الْمَعْفُوِّ عَنْهُ حَمْلُ مَا لَا يَحْكُمُ عَلَيْهِ بِالتَّنْجِيسِ لِمُلَاقِيهِ كَمَيِّتَةٍ لَا دَمَ لَهَا فَإِذَا حَمَلَهُ لَمْ تَصِحَّ صَلَاتُهُ؛ لِأَنَّهُ لَا حَاجَةَ إلَى حَمْلِهِ فِي الصَّلَاةِ

ertinya:

Dan tidak diberi maaf menanggung suatu yang tidak menajiskan sebab sentuh seperti bangkai serangga yang tidak mengalir darahnya. Maka apabila menanggungnya nescaya tidak sah sembahyangnya kerana sungguhnya tiada keperluan kepada menanggungnya di dalam sembahyang.”

(Kitab Futuhat Al-Wahhab ala Syarah Al-Minhaj)

Maksudnya bangkai serangga itu jika bersentuh dengan tangan nescaya tidak menajiskan ia akan tangannya itu tetapi jika dibawa dalam sembahyang maka sembahyang itu tidak sah.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

2 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
JENAH BINTI ADAM
JENAH BINTI ADAM
3 tahun yang lalu

Boleh tak baca istigfar, selawat tanpa berwuduk ?