Apakah kesalahan umum yang sering berlaku dalam solat?
Panduan ini akan menerangkan secara terperinci kesalahan-kesalahan yang sering berlaku dalam solat.
Setiap jawapan adalah bersandarkan dalil dari hadis-hadis Nabi dan jawapan-jawapan dari kitab ulama muktabar.
Semoga membantu.
- Pengenalan
- Bolehkah Solat Fardu Di Belakang Orang Yang Solat Sunat?
- Solat Sambil Menahan Kencing
- Berniat Mufaraqah Dari Solat Jemaah Kerana Sukar Menahan Kencing
- Menutup Mulut Ketika Solat
- Solat Tanpa Menggerakkan Kedua Bibir
- Memejamkan Mata Ketika Solat
- Menoleh Tanpa Ada Keperluan Dalam Solat
- Banyak Bergerak Ketika Solat
- Memandang Ke Atas Ketika Solat
- Menguap Dalam Solat Tanpa Menutupnya Dengan Tangan
- Tidak Membaca Ta’awwudz Bila Terasa Terganggu Dalam Solat
- Masalah Was-Was Ketika Solat
- Wanita Tidak Menguatkan Bacaan Pada Solat Jahriyah
- Menguatkan Bacaan Dalam Solat Sunat Qabliyyah Dan Ba’diyyah
- Zohor Tertinggal 2 Rakaat. Apakah Rakaat Yang Diperolehi Bersama Imam Itu Dianggap Rakaat 1-2 atau 3-4?
- Buat Saf Baru, Padahal Saf Di Depan Masih Kosong
- Cara Membuat Saf Baru
- Kedudukan Saf Wanita Dan Saf Lelaki
- Adakah Sah Solat Jika Didepannya Ada Tandas Atau Bilik Air?
- Hukum Lalu Di Depan Orang Sedang Solat
- Berdiri Di Belakang Imam Ketika Solat Berdua
Pengenalan
Panduan ini adalah berasaskan kepada penulisan Syeikh Salahuddin As-Sa’id dari buku berjudul Kesalahan Semasa Mendirikan Solat (Tajuk asal: إِتَّحَافُ الْمُسْلِمِيْنَ بِذِكْرِ أَخْطَاءِ الْمُصَلِّيْنَ)
Solat merupakan tiang agama Islam. Ia juga adalah amalan yang mula-mula sekali dihisab dihadapan Allah SWT.
Solat yang berkualiti adalah solat yang dilaksanakan mengikut apa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan diamalkan oleh para sahabat serta pengikutnya.
Semoga ibadah solat kita sempurna dan diterima oleh Allah SWT.
Bolehkah Solat Fardu Di Belakang Orang Yang Solat Sunat?
Sebahagian orang masuk masjid, sedangkan mereka belum solat Isyak. Sementara, para jemaah pada ketika itu akan memulakan Solat Tarawih.
Orang yang terlewat tersebut pun menyendiri di salah satu sudut masjid untuk mengerjakan solat Fardu Isyak.
Dia ingat bahawa solat dibelakang imam yang sedang solat Tarawih adalah tidak boleh.
Ini adalah kefahaman yang salah kerana perkara ini sebenarnya dibolehkan.
Jika kita semak jawapan daripada Lajnah Da’imah mengenai permasalahan ini;
Bolehkah seseorang itu solat fardu bermakmumkan orang yang solat tarawih?”
Lajnah menjawab:
Ya boleh, orang tersebut boleh solat fardu di belakang imam yang solat tarawih kerana adanya dalil-dalil yang menunjukkan keharusan orang yang mengerjakan solat wajib di belakang imam yang sedang solat sunat. Diantaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Jabir bahawa Mu’az solat Isyak bersama Nabi SAW. Setelah itu, dia pulang kepada kaumnya untuk mengimami solat yang sama. Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam kepada Nabi Muhamad SAW dan para sahabatnya.
Solat Sambil Menahan Kencing
Kadangkala, seseorang itu solat sambil menahan kencing sehingga terganggu tumpuan dan kuran khusyuk dalam mengerjakan solat.
Solat dengan keadaan sedemikian hukumnya adalah makruh.
Ini kerana dia telah membebankan dirinya sendiri, menyempitkan kelapangan dan menjerumuskan dirinya ke dalam solat yang tidak sempurna.
Tidak sempurna solat dengan menunda makanan yang telah dihidangkan dan orang yang sedang menahan dua hadas (buang air kecil dan besar)
— Hadis riwayat Muslim (560)
Apabila orang tersebut berhadas lalu mencari air, namun tidak berjaya mendapatkannya lalu dia bertayamum dan solat, solatnya itu adalah sah.
Ini adalah perbuatan yang menepati syariat, menurut firman Allah SWT:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.
(Surah al-Ma’idah ayat 6)
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pernah ditanya tentang orang yang menahan kencing:
“Manakah yang lebih baik, solat dengan wuduk tetapi menahan kencing atau membuang hadasnya lalu bertayamum kerana tidak ada air?”
Ibnu Taimiyyah menjawab:
“Solat dengan tayamum tanpa menahan kencing lebih baik daripada solat dengan wuduk tetapi menahan kencing. Ini kerana, solat sambil menahan kencing adalah makruh dan dilarang. Tentang sah atau tidaknya solat yang kedua (menahan kencing), ada dua pendapat dalam perkara ini. Sedangkan solatnya dengan tayammum adalah sah dan tidak ada larangan menurut kesepakatan ulama. Wallahu a’lam.”
(Rujuk Majmu’ al-Fatawa: XXI/473)
Berniat Mufaraqah Dari Solat Jemaah Kerana Sukar Menahan Kencing
Sesetengah orang terasa sukar dalam solat kerana manahan kencing.
Apabila dia ingin meneruskan solat berjemaah bersama imam, dia tidak mampu menyelesaikan solatnya.
Apakah dia boleh niat berpisah (mufaraqah) dan menyelesaikan solatnya sendirian sebelum wuduknya batal?
Ini adalah persoalan yang tidak diketahui oleh ramai orang.
Dari segi boleh atau tidaknya, dia boleh sahaja meniatkan berpisah (mufaraqah) dan keluar dari solat lalu solat sendirian.
Dalilnya adalah kisah Mu’az dan seorang Ansar pemilik alat penyiram tanaman.
Imam al-Bukhari menjelaskan di dalam sahihnya berkaitan perbahasan bila imam memanjangkan solat, sedangkan seseorang ingin membuang hajat lalu dia keluar dari jemaah dan solat bersendirian.
Setelah itu, dia menyebutkan hadis Jabir (701).
Namun, ada riwayat penjelasan lain oleh al-Bukhari dari Jabir bin Abdullah al-Ansari yang berkata:
Seorang lelaki datang dengan membawa dua alat penyiram tanaman — dan waktu itu telah larut malam — lalu dia mendapati Mu’az sedang solat. Dia pun meletakkan alat penyiramnya dan ikut solat bersama Mu’az. Mu’az membaca surah al-Baqarah — atau an-Nisa’, sehingga orang tersebut pergi…”
Dalam riwayat Muslim, Jabir berkata:
“Mu’az waktu itu telah solat bersama Nabi lalu pulang dan mengimami kaumnya. Pada suatu malam, dia solat Isyak bersama Nabi lalu pulang kepada kaumnya dan mengimami mereka. Dia membukanya dengan surah al-Baqarah sehingga seseorang menyendiri dan mengucapkan salam. Dia lalu solat sendirian dan pergi.
— Hadis riwayat Muslim 465
Ini adalah bukti yang menunjukkan bolehnya memutus solat setelah ikut berjemaah kerana suatu alasan.
Orang yang membawa alat penyiram tanaman datang dan ikut solat bersama Mu’az. Sayangnya Mu’az memanjangkan solatnya, padahal orang itu dalam keadaan letih.
Dia tidak mampu mengikut solat Mu’az sehingga dia keluar dari jemaah dan solat sendirian. Akan tetapi Nabi tidak mengingkari perkara itu.
Ini merupakan dalil harusnya perbuatan tersebut bagi orang yang keadaannya seperti keadaaan pemilik alat penyiram tanaman itu.
Menutup Mulut Ketika Solat
Abu Daud, Ibnu Majah dan Al-Baghawi telah meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Nabi melarang untuk menutup mulut ketika solat, baik dengan kain mahupun selain itu.
Namun, terdapat pengecualian ketika menguap, seperti yang telah dijelaskan sebelumnya.
Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata:
Menutup mulut saat solat adalah makruh, kecuali ada alasan
(Kitabu Ad-Da’wah, Al-Fatawa: 83)
Solat Tanpa Menggerakkan Kedua Bibir
Beberapa orang ketika solat tidak menggerakkan kedua bibirnya.
Ini adalah perbuatan yang menyalahi ajaran. Amalan Nabi kita adalah baginda mengucapkan bacaan solat, baik dalam solat jahriyyah mahupun solat sirriyyah.
Dalam solat jahriyyah, semua orang yang dibelakangnya mendengar suara baginda. Sedangkan dalam solat sirriyyah, mereka mengetahui bacaan baginda dari gerakan janggut baginda.
Baginda kadangkala memperdengarkan bacaan ayat kepada mereka.
Berikut ini beberapa dalilnya:
1. Abu Mu’ammar berkata:2. Abu Qatadah meriwayatkan bahawa Nabi membaca Ummul Kitab dan dua surah dalam dua rakaat solat Zohor.“Kami bertanya kepada Khabbab, ‘Apakah Rasulullah membaca (mengucapkan bacaan solat) dalam solat Zohor dan Asar?’
— Hadis riwayat Bukhari (746)
‘Ya Betul’ jawabnya.
‘Bagaimana kamu mengetahuinya?’ tanya kami lagi.
‘Dari gerakan janggutnya’ jawabnya.
Sedangkan di dua rakaat berikutnya, baginda membaca Ummul Kitab. Baginda memperdengarkan bacaan ayat kepada kami (Hadis riwayat Bukhari 776 dan Muslim 451)
3. Muhammad Bin Rusyd berkata: “Menurut pendapat yang benar, bacaan seseorang di dalam hati tanpa gerakan mulut bukanlah bacaan.Ini kerana, bacaan adalah ucapan dengan mulut. Hukuman pun hanya dikenakan apabila sesuatu telah diucapkan di mulut.
Dalilnya adalah firman Allah SWT:
… Dia mendapati perkara (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya ..
(Surah al-Baqarah 286)
Sabda Nabi SAW:
Allah memaafkan umatnya dari apa yang terlintas dalam hatinya selama tidak diucapkan mahupun dikerjakan.
— Hadis riwayat Muslim 127
Manusia juga tidak akan dihukum kerana bacaan atau kebaikan yang dibisikkan di dalam hati, sebagaimana mereka dihukum kerana bacaan yang digerakkan oleh mulut atau perbuatan baik. (Al-Qawlu Al-Mubin fi Akhta’i Al-Musallin: 98)
Memejamkan Mata Ketika Solat
Nabi tidak pernah memejamkan mata dalam solat.
Baginda adalah orang yang paling khusyuk kepada Allah dalam solat.
Beberapa ulama mengatakan:
Memejamkan kedua mata (dalam ibadah) merupakan kebiasaan orang-orang Yahudi
Berikut ini beberapa dalil yang menjelaskan ajaran/amalan Nabi dalam solat dan bahawa baginda tidak memejamkan mata.
Dalam sebuah hadis tentang gerhana matahari yang panjang yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, disebutkan bahawa para sahabat berkata:
Wahai Rasulullah, kami melihatmu mengambil sesuatu di depanmu lalu kami melihatmu berpaling”
Baginda bersabda:
Aku melihat Syurga, lalu aku mengambil satu tandan (makanan darinya). Sekiranya aku mendapatkannya, kamu pasti akan cukup makan daripadanya selama dunia ini masih ada. Aku diperlihatkan tentang neraka, lalu aku tidak melihat satu pun pemandangan yang lebih mengerikan daripada hari ini. Aku melihat kebanyakkan penghuninya adalah wanita
— Hadis riwayat Bukhari (1052) dan Muslim (907)
Ibnul Qayyim berkata:
Memejamkan mata dalam solat bukanlah amalan Nabi. Para ahli feqah berbeza pendapat tentang larangannya. Imam Ahmad dan yang lain memakruhkan. Mereka berkata, ‘Itu perbuatan orang-orang Yahudi’
Sementara itu, sebahagian besar ulama membolehkan dan tidak memakruhkannya.
Mereka berkata, ‘Itu kadangkala menjadi cara yang paling dekat untuk mendapatkan kekhusyukan, yang merupakan roh, rahsia dan tujuan solat.
Apabila orang terpaksa memejamkan matanya kerana sesuatu yang muncul/terlihat dalam solat, seperti adanya perempuan yang lalu di depannya saat solat di Masjidil Haram, atau hiasan dan dekorasi di depan atau pakaian orang yang solat di depan yang mengganggu dan menghilangkan kekusyukannya, pada saat seperti ini, dia dianjurkan untuk memejamkan mata, bahkan disunatkan untuk memfokuskan hati dan mendapatkan kekusyukkan.
Adapun yang sebaiknya, ‘Apabila membuka mata tidak menghilangkan kekhusyukan, ini lebih utama. Namun, apabila itu boleh menghalangnya dari kekhusyukkan kerana adanya hiasan, dekorasi atau lain-lain yang mengganggu hatinya, saat itu tidak masalah baginya jika dia memejamkan mata.’
Pendapat tentang sunat melakukannya dalam keadaan seperti ini adalah lebih dekat kepada dasar-dasar dan maksud syariat berbanding pendapat yang memakruhkannya. (Zad Al-Ma’ad: 1/293-294)
Menoleh Tanpa Ada Keperluan Dalam Solat
Menoleh saat solat tanpa ada keperluan hukumnya adalah makruh.
Aisyah r.a berkata:
Saya bertanya kepada Rasulullah tentang perbuatan menoleh dalam solat. Baginda menjawab “Itu adalah pencurian yang dilakukan oleh syaitan dari solat seorang hamba”
— Hadis riwayat Bukhari (751)
Ibnu Qayyim r.h. menjelaskan: “Menoleh dalam solat bukanlah amalan Nabi SAW” (Zad Al-Ma’ad: 1/248)
Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Al-Fath berkata:
Hadis tersebut merupakan dalil atas larangan perbuatan itu. Ini adalah suatu ijmak. Namun, jumhur ulama berpendapat bahawa itu adalah larangan untuk dijauhi.
(Fath Al-Bari: II/274)
Adapun apabila seseorang itu menoleh kerana ada keperluan, perkara ini dibolehkan.
Sahl bin Sa’d As-Sai’idi meriwayatkan bahawa Rasulullah pergi berjumpa Bani Amr bin Auf untuk membuat perjanjian dengan mereka.
Waktu solat pun tiba lalu seorang muazzin datang kepada Abu Bakar. Dia berkata: “Apakah kamu akan mengimami sehingga iqamah saya kumandangkan sekarang?”
“Ya”, jawab Abu Bakar. Abu Bakar lalu mengimami solat.
Rasulullah datang sedangkan orang-orang sedang solat. Baginda pun segera masuk ke barisan.
Orang ramai bertepuk tangan. Abu Bakar waktu itu tidak menolah dalam solatnya.
Namun, ketika ramai orang yang bertepuk tangan, dia pun menoleh dan melihat Rasulullah (HR Bukhari 948)
Al-Hafiz di dalam Al-Fath berkata:
Ini merupakan dalil kebolehan menoleh kerana satu keperluan
— Fath Al-Bari: II/199
Banyak Bergerak Ketika Solat
Kalau setiap orang mahu memerhatikan pergerakan manusia dalam solat, pasti tidak akan ada habisnya.
Namun, perkara itu tidak menghalang kita untuk mengingatkan beberapa pergerakan sebagai peringatan, baik dalam solat mahupun yang lain.
Di antaranya adalah:
- Mengorek hidung. Ini adalah kebiasaan yang tercela di luar solat, apatah lagi bila dilakukan di dalam solat.
- Mengaru-garu kepala.
- Membetulkan ikat kepala, kopiah atau songkok.
Nabi SAW pernah melihat suatu kaum yang menggerakk-gerakkan tangan mereka dalam solat tanpa ada keperluan sehingga baginda bersabda:
Mengapa aku melihat kamu mengangkat tangan kamu bagaikan ekor kuda yang tidak boleh diam? Tenanglah kamu dalam solat
–Hadis Riwayat Muslim 996
Dalam hadis tersebut, ada perintah agar tenang, khusyuk dan penuh tumpuan ketika solat.
Dalam kesempatan ini, kami juga akan memberitahu sebuah hadis maudhu’ yang banyak dibicarakan kaum muslimin.
Mereka meyakini bahawa Nabi melihat seorang lelaki yang bermain janggutnya saat solat. Baginda lalu bersabda:
“Seandainya hati orang itu khusyuk, tentu anggota badannya juga khusyuk”
— Ini adalah hadis maudhu’ yang dinisbahkan oleh Asy-Suyuti dalam Al-Jami’ As-Saghir (V/319 – dengan huraiannya) kepada Al-Hakim. Dia telah mendaifkannya.
Satu pertanyaan pernah disampaikan kepada Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz dengan ungkapan seperti berikut:
Saya sering melakukan banyak pergerakan di dalam solat. Saya pernah mendengar bahawa ada hadis yang maknanya bergerak lebih daripada 3 kali boleh membatalkan solat. Apakah hadis itu benar?
Bagaimana caranya agar saya terhindar daripada banyak pergerakan yang tidak berguna dalam solat?
Syeikh Ibnu Baz menjawab:
“Setiap orang disunatkan untuk memberi tumpuan dan khusyuk dalam solat dengan hati dan badannya, baik dalam solat wajib mahupun sunat.
Dia harus tumakninah dalam solatnya. Ini merupakan rukun dan kewajipan yang paling penting dalam solat. Adapun pembatasan pergerakan yang mengganggu ketenangan dan kekhusyukkan dengan had tiga pergerakan, dan bukanlah hadis yang berasal daripada Nabi.
Itu hanyalah kata-kata beberapa ulama. Tidak ada dalil yang dipercayai dalam perkara ini. Namun, pergerakan yang tidak berguna dalam solat hukumnya makruh, seperti menggerak-gerakkan hidung, janggut dan baju.
Apabila seseorang banyak melakukan pergerakan itu dan lalai, itu boleh menyebabkan batalnya solat.
Apabila dia bergerak, baik sedikit mahupun banyak tapi tidak melalaikan, solatnya tidak batal.
Akan tetapi, orang beriman disyariatkan agar menjaga kekhusyukkan dan meninggalkan pergerakan yang tidak berguna.
Dia harus berusaha seboleh mungkin untuk menyempurnakan solatnya.
Memandang Ke Atas Ketika Solat
Sering kita jumpa beberapa orang memandang ke depan saat solat.
Ada juga yang memandang ke tempat sujudnya. Namun, sebahagian yang lain lagi ada yang memandang ke atas.
Manakah yang benar?
Sebenarnya solat sambil memandang ke atas tidak dibolehkan.
Dalilnya adalah sabda Nabi:
Apa maksud suatu kaum mengangkat pandangannya ke langit dalan solat?
Baginda sangat menekankan ucapan ini sehingga bersabda:
Hendaklah mereka benar-benar berhenti atau pandangan mereka akan menjadi buta
— Hadis riwayat Bukhari 750
Sedangkan yang benar, pendapat ulama terbahagi menjadi dua dalam masalah ini.
a. Pandangan Ke Depan
Dalilnya adalah hadis solat gerhana, bahawa Nabi ketika solat Khusuf, baginda maju dan mundur.
Baginda bersabda: “Syurga dan neraka diperlihatkan kepadaku di depan dinding ini”.
Mereka berkata: “Kalau baginda memandang ke bawah, baginda pasti tidak akan melihat syurga dan neraka yang dinampakkan ke dinding tersebut.“
Inilah salah satu alasan orang-orang yang mengatakan bahawa kita harus memandang ke depan.
Berikutnya adalah pertanyaan salah seorang sahabat, “Bagaimana kamu mengetahui bacaan Nabi dalam solat sirriyyah?”
Sahabat itu menjawab, “Dari gerakan janggutnya”
b. Pandangan Ke Tempat Sujud
Adapun ulama yang mengatakan bahawa pandangan dalam solat adalah ke tempat sujud, mereka berhujah dengan hadis dari pada sahabat Rasul yang memandang ke tempat sujud.
Walaupun riwayat ini masih dibahaskan antara ulama yang mensahihkan dan ulama yang mendaifkannya, namun dua pendapat ini adalah saling berkaitan.
Menguap Dalam Solat Tanpa Menutupnya Dengan Tangan
Nabi SAW memerintahkan agar orang yang menguap dalam solat agar menahan semampunya, atau menutupnya dengan tangan.
Muslim meriwayatkan di dalam sahihnya dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi bersabda:
Menguap itu dari syaitan, maka apabila salah seorang diantara kamu menguap hendaklah dia menahan semampunya.
— Hadis riwayat Muslim 994
Di dalam riwayat lain, Muslim menyebut bahawa Nabi bersabda:
Hendaklah dia menutupkan tangannya di mulut kerana syaitan akan masuk
— Hadis riwayat Muslim 995
Inilah amalan Nabi kita Muhamad SAW. Inilah sebaik-baik petunjuk dan yang paling sempurna.
Tidak Membaca Ta’awwudz Bila Terasa Terganggu Dalam Solat
Sesetengah orang ada yang mudah terganggu dalam solat.
Gangguan ini selalunya godaan syaitan dalam solatnya sehingga dia lupa dan lalai dalam solatnya.
Ironinya, dia tidak berlindung kepada Allah dari syaitan kerana menyangka bahawa itu tidak boleh.
Muslim meriwayatkan di dalam sahihnya bahawa Uthman bin Abul Ash menghadap menghadap Rasulullah dan berkata:
“Wahai Rasulullah, syaitan telah menghalang antara aku, solatku dan bacaanku. Dia telah membuatku lupa terhadapnya.“
Rasulullah pun bersabda: “Itu adalah syaitan yang disebut Khinzib. Bila kamu digodanya, berlindunglah kepada Allah darinya dan meludahkan ke kiri sebanyak tiga kali.“
Aku pun melakukannya dan akhirnya Allah menjauhkannya dariku.
— Hadis riwayat Muslim 2203
Nabi telah mengucapkan ta’awudz lebih daripada satu kali dalam solat.
Di dalam sahih muslim, Abu Ad-Darda’ berkata:
Rasulullah berdiri (untuk solat), lalu kami mendengar baginda mengucapkan (أَعُوْذُ بِاللَّهِ مِنْكَ) “Aa’UuZu Billahi Minka”
Ertinya: “Aku berlindung kepada Allah daripadamu (syaitan)
— Hadis riwayat Muslim 542
Baginda lalu mengucapkan:
أَلْعِنْكَ بِلَعْنَةِ اللَّهِ
Ertinya: “Aku melaknatmu dengan laknat Allah (sebanyak 3 kali)”
Baginda menghulurkan tangannya seolah-olah mengambil sesuatu. Selesai solat, kami bertanya:
Wahai Rasulullah, kami mendengar kamu mengucapkan sesuatu yang tidak pernah kamu ucapkan sebelumnya dan kami melihatmu menghulurkan tangan.
Baginda bersabda:
Sesungguhnya musuh Allah, iblis, telah datang dengan cambuk (cemeti) dari api untuk dipukulkan ke wajahku. Aku pun mengucapkan, ‘Aku berlindung kepada Allah daripadamu’ sebanyak 3 kali.
Aku lalu berkata, ‘aku melaknatmu dengan laknat Allah yang sempurna’. Aku mengucapkan tiga kali, namun tidak pergi juga, lalu aku ingin memukulnya.
Demi Allah, sekiranya bukan kerana doa saudara kita, Sulaiman, syaitan itu pasti akan terbelenggu dan dipermainkan oleh anak-anak penduduk Madinah”
Dari keterangan tersebut, satu lagi masalah yang sama dengan perkara ini juga tidak dianggap menyalahi sunnah. Iaitu, apakah ketika seorang muslim mendengar ringkikan keldai harus mengucapkan ta’awwudz, sedangkan dia sedang dalam keadaan solat?
Jawapannya adalah seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda:
Apabila kamu mendengar ringkikan keldai, hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah kerana dia melihat syaitan
— Hadis riwayat Bukhari 3303
Konteks hadis ini adalah umum, mencakupi orang yang sedang solat atau orang yang tidak solat.
Dalil-dalil tadi menunjukkan keharusan bagi orang-orang yang sedang solat untuk berlindung daripada syaitan, sehingga meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan saat solat dibolehkan..
.. baik daripada bisikan syaitan mahupun ketika mendengar ringkikan keldai. Wallahu a’lam.
Masalah Was-Was Ketika Solat
Masalah yang banyak terjadi diantara manusia adalah was-was ketika solat.
Kerana pentingnya masalah ini dalam solat serta besarnya pengaruh terhadap kehormatan seorang muslim, kami ingin membawa kata-kata ulama mengenai masalah ini.
Syeikh Muhammad Ibrahim telah memaparkan semuanya. Pertanyaan tentang was-was ketika solat adalah:
- Apakah was-was tersebut ada pada zaman Nabi?
- Apakah itu dapat membatalkan solat?
- Apakah pergi ke masjid kerana riak dianggap sebagai salah satu bisikan syaitan terhadap orang yang diuji tersebut?
- Apakah orang yang membenarkan diri untuk meninggalkan solat jemaah kerana takut riak juga bisikan syaitan?
- Bagaimana kita boleh bebas daripada bisikan syaitan dalam solat?
Jawapan tentang ada atau tidaknya was-was dalam solat pada zaman Nabi, menurut sifat solat yang telah kami sebutkan, tiada ada bisikan tersebut pada zaman Nabi mahupun zaman para sahabat.
Perkara ini seperti yang ditegaskan oleh dua orang imam Muwafiquddin bin Qudamah dalam bukunya Dzammul Muwaswasin dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah yang diriwayatkan oleh muridnya iaitu Ibnul Qayyim.
Apakah itu boleh membatalkan solat?
Jawapannya, ia boleh merosakkan solat.
Ibnu Qudamah dalam Dzammul Muwaswasin berkata:
Diantara jenis was-was yang merosakkan solat adalah mengulangi sebahagian kata. Contohnya, ketika tahiyat membaca: “At… at.. attahiy …attahiy”. Ketika salam membaca: “As.. as.. assalam”. Ketika takbir membaca: “Akkkbar”.
Ini adalah pengulangan yang tidak ada makna dalam bacaan dan tindakan mengeluarkan lafaz dari tempat yang sebenarnya tanpa ada alasan darurat.
Secara zahir, dengan begitu solatnya menjadi batal.
Jika dia seorang imam, dia boleh merosakkan solatnya dan solat makmum.
Solat yang merupakan ketaatan paling besar ini pun berubah menjadi dosa yang menjauhkan diri dari Allah.
Sekiranya itu tidak membatalkan solat, hukumnya adalah makruh.
Dia boleh jadi menguatkan suaranya, sehingga mengganggu orang yang mendengar dan orang lain akan mencelanya. Dia telah menyalahi sunnah, melakukan perkara yang buruk dan mengganggu makmum yang lain.
Mengenai pergi ke masjid kerana riak dianggap sebagai salah satu bisikan syaitan, jawapannya anggapan seperti itu tidak boleh. Bahkan, anggapan seperti itu pula merupakan seruan syaitan untuk memalingkan diri dari petunjuk Nabi SAW.
Tentang cara untuk bebas daripada bisikan syaitan dalam solat, ada hadis yang diriwayatkan oleh Kitab at-Tibb di dalam sahihnya, dari Uthman Bin Abul Ash r.a, bahawa dia datang kepada Nabi lalu berkata:
Wahai Rasulullah, syaitan telah menghalang antara aku, solatku, dan bacaanku. Dia telah membuatku lupa terhadapnya.
Rasulullah pun bersabda: “Itu adalah syaitan yang disebut Khinzib. Bila kamu digodanya, berlindunglah kepada Allah darinya dan meludahkan ke kiri sebanyak tiga kali.“
Aku pun melakukannya dan akhirnya Allah menjauhkannya dariku.
— Hadis riwayat Muslim 2203
Wanita Tidak Menguatkan Bacaan Pada Solat Jahriyah
Menguatkan suara dalam solat jahriyah adalah sunnah yang telah ditetapkan dari Nabi SAW.
Syeikh Salih Al-Fauzan menyampaikan bahawa bacaan sirriyyah dan jahriyah tidak ada bezanya antara lelaki dan perempuan.
Solat pada waktu malam adalah jahriyah dan solat pada waktu siang hari adalah sirriyyah.
Cuma, ketika ada lelaki, seorang wanita tidak dianjurkan untuk menguatkan bacaan kerana khuatir terjadi fitnah.
Adapun jika tidak ada lelaki, tidak ada masalah apabila dia menguatkannya dalam solat jahriyah.
Menguatkan Bacaan Dalam Solat Sunat Qabliyyah Dan Ba’diyyah
Sesetengah orang menguatkan bacaannya dalam solat sunnah qabliyyah dan ba’diyyah (kecuali solat malam).
Contohnya, dia menguatkan bacaannya dalam solat sunat Zohor dan Maghrib. Menguatkan bacaan seperti memerlukan dalil yang pasti dari Nabi SAW.
Zohor Tertinggal 2 Rakaat. Apakah Rakaat Yang Diperolehi Bersama Imam Itu Dianggap Rakaat 1-2 atau 3-4?
Apabila seseorang tertinggal dua rakaat dalam solat empat rakaat, apakah dalam dua rakaat terakhir tersebut dia harus meniatkannya sebagai dua rakaat pertama atau sebagai rakaat terakhir lalu dua rakaat pengganti yang tertinggal diniatkan untuk dua rakaat pertama?
Jawapannya, rakaat yang diperolehi oleh seseorang merupakan awalnya dan rakaat yang dia ganti adalah sebagai akhirnya.
Apabila seseorang mendapat dua rakaat terakhir dalam solat Zohor dan boleh baginya untuk membaca surah al-Fatihah dan surah yang mudah, ketika imam telah salam, dalam rakaat pengganti, cukup baginya membaca al-Fatihah sahaja.
Ini kerana, yang dia ganti itu adalah dua rakaat terakhir.
Ini bersesuaian dengan sabda Nabi SAW:
Kesempatan yang kamu perolehi, maka gunakanlah untuk solat dan kalau ada (rakaat) yang tertinggal, sempurnakanlah
— Fatawa Islamiyyah: I/308
Buat Saf Baru, Padahal Saf Di Depan Masih Kosong
Ada sesetengah kejadian di masjid, ada sebahagian makmum yang datang lewat membentuk saf baru padahal saf di depannya belum penuh.
Namun, jarak yang jauh atau keinginan untuk tidak ketinggalan rakaat telah membuatkan mereka malas untuk memenuhi barisan depan.
Perbuatan tersebut telah mewujudkan ruang dalam kesempurnaan barisan kerana dia telah membentuk saf baru, sementara saf di hadapannya masih belum penuh.
Lebih parah lagi, kemungkinan selepas itu beberapa makmum yang datang lalu melakukan seperti yang dilakukan oleh mereka sehingga saf menjadi terputus di dua sisi.
Ini tidak dibolehkan kerana menurut sabda Nabi:
Siapa yang memutuskan saf, Allah akan memutuskannya
— Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasa’i
Demikian juga hadis:
Tegakkan saf atau Allah akan membalikkan hati kamu
— Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban
Cara Membuat Saf Baru
Sesetengah orang datang ke masjid saat barisan telah penuh.
Berkaitan dengan kedatangan dua orang yang tidak mengetahui dimana mereka harus berdiri, menurut pendapat ulama, hendaklah mereka berdiri tepat dibelakang imam (tengah-tengah masjid), baik di barisan pertama mahupun selepasnya.
Selepas itu, barisan harus memanjang ke kanan dan ke kiri.
Lajnah Daimah pernah ditanya dengan masalah serupa:
Dari manakah barisan dalam solat jemaah harus dimulakan? Apakah dimulakan dari belakang imam atau dari hujung sebelah kanan?
Ia dijawab:
Saf pertama dalam solat dimulakan dari belakang imam lalu memanjang ke kanan dan ke kiri, bukan dari hujung kanan seperti yang disebut dalam pertanyaan.
— Al-Lajnah Ad-Daimah, Fatawa Islamiyyah: I/358
Perkara yang sama juga berlaku untuk saf kedua dan seterusnya
Kedudukan Saf Wanita Dan Saf Lelaki
Sesetengah orang meyakini bahawa sebaik-baik saf lelaki ialah saf pertama dan seburuk-buruknya ialah saf terakhir.
Sebaliknya, sebaik-baik saf perempuan ialah terakhir dan seburuk-buruknya ialah saf pertama.
Dua perkara itu diyakini secara mutlak dan akan berlaku di semua tempat.
Dalam perkara ini, ada keterangannya:
1. Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda:2. Imam an-Nawawi berkata:Sebaik-baik saf lelaki ialah saf pertama dan seburuk-buruknya ialah saf terakhir. Sedangkan sebaik-baik saf perempuan ialah saf terakhir dan seburuk-buruknya ialah saf pertama
— Hadis riwayat Muslim 440
Saf lelaki secara umum yang paling baik ialah tetap yang paling depan. Sedangkan saf perempuan yang dimaksudkan dalam hadis ialah saf mereka ketika solat bersama lelaki.
(Syarh Muslim, An-Nawawi: IV/225)
Adapun apabila mereka solat tidak berjemaah bersama lelaki, saf mereka seperti lelaki, iaitu sebaik-baik saf mereka ialah saf pertama dan seburuk-buruknya ialah yang terakhir.
Adakah Sah Solat Jika Didepannya Ada Tandas Atau Bilik Air?
Berikut ini adalah fatwa Syeikh Abdul Aziz Bin Baz r.h. yang berkaitan dengan masalah ini.
Seseorang bertanya:
Apakah seseorang boleh solat di tempat yang di depannya ada bilik mandi dan hanya terhalang oleh tembok sahaja?
Apakah dia lebih baik mengerjakan solat di tempat lain.
Beliau menjawab:
Tidak ada larangan solat di tempat tersebut selama tempat itu suci. Walaupun solat menghadap bilik mandi sekalipun.
Solat juga boleh dilakukan di atas lantai bilik kecil selagi ia suci, menurut pendapat ulama yang lebih benar. Semoga Allah memberi taufik.
Hukum Lalu Di Depan Orang Sedang Solat
Bisr Bin Sa’id meriwayatkan bahawa Zaid Bin Khalid Al-Juhni datang berjumpa Abu Juhaim untuk bertanya kepadanya apa yang dia dengar dari Rasulullah tentang orang yang lalu di depan orang solat.
Abu Juhaim berkataa:
Rasulullah bersabda, ‘Sekiranya orang yang lalu di depan orang yang sedang solat mengetahui apa (akibat) baginya, nescaya berdiri selama empat puluh tahun lebih baik baginya daripada lalu di depannya”
Abu An-Nazhar berkata:
Saya tidak mengetahui apakah beliau bersabda empat puluh hari, empat puluh bulan, atau empat puluh tahun
— Hadis riwayat Bukhari 510
Ertinya, kalau orang tersebut mengetahui dosanya, pasti dia akan memilih berdiri selama empat puluh daripada melakukan dosa tersebut.
Makna hadis tersebut adalah larangan yang kuat dan ancaman yang keras dari perbuatan tersebut.
Keterangan ini disampaikan oleh Imam an-Nawawi r.h (an-Nawawi, Syarh Muslim: IV/225)
Berdiri Di Belakang Imam Ketika Solat Berdua
Perlu diingatkan bahawa sesetengah orang apabila solat berdua — seperti yang dilakukan oleh sebahagian orang yang ketinggalan solat berjemaah — imam bergerak ke depan sedikit dari kedudukan makmum.
Dalam perkara ini, seharusnya makmum sejajar dengan imam, tidak perlu maju ataupun mengundur.
Imam Al-Bukhari berkata:
Bab berdiri sejajar disamping kanan imam bila yang solat dua orang
Dia lalu menyebutkan hadis Ibnu Abbas ketika bermalam di rumah emak saudaranya, Maimunah.
Dalam hadis tersebut disebutkan bahawa dia tidur lalu bangun. Dia berkata:
Saya berdiri disamping kirinya lalu beliau menempatkan diriku disamping kanannya
(Fath al-Bari: II/190)
Imam al-Hafiz Ibnu Hajar r.h. berkata:
Makna perkataan al-Bukhari ‘sawa’ adalah tidak maju ataupun mengundur
Diceritakan dari Ibnu Juraij bahawa dia berkata:
Saya berkata kepada Atha, “Seorang solat bersama seorang lagi, dimanakah dia berdiri?
“Disamping kanan” jawabnya.
“Apakah dia harus sejajar sehingga sebaris dengannya dan tidak ada jarak antara kedua-duanya?” tanya saya lagi.
“Ya” jawabnya.
“Apakah kamu senang bila dia merapatkannya hingga tidak ada celah antara kedua-duanya?” tanya saya lagi.
“Ya,” jawabnya.
(Fath al-Bari: II/190-191)
Tinggalkan Komen Anda..
Hadir. Terima kasih atas ilmunya.