Apakah hukum jawab panggilan ibu bapa dalam solat?
Perlu berhenti solat atau teruskan solat?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat
SOALANDulu saya ada dengar jika kita sedang solat dan orang tua kita panggil kita boleh berhenti solat tapi ada pula saya dengar orang lain kata tidak boleh berhenti dari solat walau pun orang tua yang panggil.
Mohon penjelasan ustaz.
JAWAPAN
Apabila seorang itu telah masuk dalam sembahyang yang wajib maka haram dia berhenti melainkan kerana darurah dari kerana tiap-tiap amalan yang wajib tidak harus memutuskannya melainkan kerana darurah sahaja.
Ada pun pada sembahyang sunat maka tidak haram berhenti tetapi makruh hukumya berhenti jika tiada darurah dan harus berhenti jika dipanggil oleh ibu bapa.
Oleh itu siapa yang sedang menunaikan sembahyang yang fardu dan ibu bapanya memanggilnya maka tidak wajib dia menjawabnya atau berhenti dari sembahyangnya itu.
Telah berkata Syeikh Bajuri:
Dan menjawab pangilan dua ibu bapa itu haram pada sembahyang fardu kerana sengaja memutuskan sembahyang fardu itu haram dan harus memutuskan sembahyang yang sunat.”
(Hasyiah Al-Bajuri)
Tersebut pada Kitab Fiqhul Ibadah As-Syafie:
Dan haram atas seorang yang telah masuk ke dalam sembahyang yang fardu memutuskannya kecuali kerana darurah seperti menyelamatkan nyawa kanak-kanak atau mencegah dari berlakunya kemudaratan yang sangat seperti kebakaran.
Dan harus memutuskan sembahyang yang sunat kerana menjawab panggilan dua ibu bapa jika mereka tidak tahu dia sedang sembahyang dan kesukaran atasnya kalau tidak dijawab.”
Dan kata Syeikh Khatib Syarbini:
Dan tidak wajib jawab panggilan ibu bapa di dalam sembahyang bahkan haram pada sembahyang fardu dan harus pada sembahyang sunat.”
(Kitab Mughni Al-Muhtaj)
KESIMPULAN
Jika seorang sedang sembahyang fardu dan ibu bapanya memanggil maka haram dia jawab dan batalkan sembahyanggnya itu melainkan jika darurah seperti ibu bapa yang memanggil itu sedang kesakitan atau rebah atau seumpamanya.
Tidak wajib orang yang sembahyang sunat menjawab panggilan ibu bapanya di dalam sembahyang tetapi jika dijawabnya maka hukumnya adalah harus dan solatnya itu batal.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..