
Apakah hukum istibrak semasa istinjak?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANApakah erti istibrak ustaz dan adakah wajib kita kena istibrak setiap kali buang air?
JAWAPAN
Istibrak ialah perbuatan memastikan najis yang keluar ketika buang air benar-benar berhenti.
Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :
Dan erti istibrak ialah menuntut bersih dari najis yang keluar sehingga diyakini hilangnya kesan kotoran atau berarti usaha supaya kemaluan tiada lagi padanya air kencing yang keluar.”
(Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
KETERANGAN
Apabila seorang itu buang air kecil najis yang keluar akan berhenti sendiri di akhirnya dan selepas berhenti keluarnya maka baru dilakukan istinjak iaitu membersihkan kemaluan dari air kencing.
Akan tetapi ada setengah orang berlaku padanya selepas dia istinjak air kencing keluar pula sedikit lagi menyebabkan pakaiannya tercemar dengan najis atau kena pada badannya dan dia wajib membasuhnya semula.
Oleh itu dia hendaklah melakukan istibrak iaitu selepas berhenti air kencing dari keluar dia menunggu sekejap sehinggga dia pasti air kencingnya tidak ada yang keluar lagi lalu dia pun membasuhnya.
Maka perbuatan dia menunggu sekejap itu dinamakan istibrak.
Dan boleh juga istibrak dengan cara duduk bangun duduk bangun beberapa kali selepas berhenti air kencing sebelum membasuh supaya jika ada air kencing yang masih berbaki maka air kencing tersebut akan keluar kemudian barulah dia membasuhnya.
Dan boleh juga istibrak itu dengan berdehem kerana biasanya dengan berdehem jika masih ada sedikit air kencing dalam kemaluannya akan keluar dan selepas itu barulah dia membasuhnya atau dengan beberapa cara lagi.

Pendeknya difahami pengertian istibrak itulah usaha seseorang untuk memastikan air kencingnya tidak keluar lagi selepas berhenti ketika selesai kencing.
Maka hukum istibrak ini bagi orang yang hanya akan berhenti air kencingnya dengan melakukan istibrak maka istibrak ini hukumnya adalah wajib.
Dan jika tidak berhajat kepada istibrak untuk berhenti air kencingnya maka istibrak itu sunat baginya.
Amalan istibrak ini sangat penting kerana berkait dengan sah atau tidaknya ibadah termasuk taharah yang dilakukan.
Jika seorang itu tidak melakukan istibrak lalu menitis air kencingnya ketika dia bangun hendak mengambil wuduk atau sedang berwuduk maka wuduknya tidak sah.
Berkata Dr Wahbah Zuhaili:
Dan tidak boleh memulai wuduk sehingga seorang itu sudah yakin bersih ia dari kesan air kencing.”
(Al-Fiqh Al-Islami)
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..