Hukum Zikir Allah Allah

Hukum Zikir Allah Allah

Apakah hukum zikir dengan perkataan Allah Allah sahaja?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

Sesi soal jawab ini telah saya ringkaskan bagi memudahkan kefahaman para pembaca. Pautan asal kepada sesi soal jawab ini saya nyatakan pada akhir artikel ini.

SOALAN

Adakah kita dibenarkan melakukan zikir hanya dengan menyebut nama Allah sahaja, kerana ada pendapat yang mengatakan bahawa zikir seperti ini tidak boleh kerana tiada makna yang jelas dan manfaatnya?

JAWAPAN

Dalam hal ini, zikir bermaksud mengucapkan nama Allah.

Jadi, seseorang yang berzikir dengan menyebut nama Allah adalah seseorang yang mengingati-Nya.

Dalil Al-Quran

Allah SWT berfirman:

“Katakanlah serulah kamu semua akan Allah atau serulah akan Rahman. Mana satu nama yang kamu seru maka bagi Allah itu nama-nama yang indah.”” (Al-Israk: 110)

Syeikh Tantowi menjelaskan:

“Maksudnya, katakanlah wahai Muhammad kepada umat manusia: Sebutlah nama Tuhan yang disembah dengan sebenar-benar dengan lafaz Allah atau lafaz Ar-Rahman. Dengan mana pun di antara keduanya kamu menyebut nama-Nya, kamu telah melakukan yang benar.” (Kitab Tafsir Al-Wasith)

Ayat Allah yang lain:

“Dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung.” (Al-Anfal: 45)

Ayat Allah yang lain:

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah Allah dengan ingatan yang banyak.” (Al-Ahzab: 41)

Ayat Allah yang lain:

“Dan carilah kurnia dari Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung.” (Al-Jumaah: 10)

Dalil Dari Hadis

Telah diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ

Ertinya : “Sungguhnya Rasululah saw telah bersabda : Tidak akan berlaku kiamat sehingga tiada lagi dikata pada bumi ini Allah Allah.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Dan pada lafaz yang lain juga riwayat Imam Muslim :

لا تقوم الساعة على أحد يقول الله الله

Ertinya : “Tidak akan berlaku kiamat atas seorang yang berkata Allah Allah.”

Dan pada riwayat Al-Hakim sabda Nabi saw :

لا تقوم الساعة حتى لا يقال في الأرض : الله الله

Ertinya : “Tidak akan berlaku kiamat sehingga tidak lagi dikata pada bumi Allah Allah.” (Al-Mustadrak)

Dan diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. dari Nabi saw bersabda :

والذي نفس محمد بيده لينقضن الإسلام عروة عروة حتى لا يقال : الله الله

Ertinya : “Demi diri Muhammad yang di dalam kekuasan Allah nanti akan terlerai ikatan Islam satu demi satu sehingga tidak lagi dikata orang : Allah Allah.” (Riwayat Imam Ibnu Abi Dunya)

Kesimpulan

Zikir adalah ibadah yang sangat dituntut oleh syarak dan dijanjikan dengan pelbagai ganjaran kebaikkan di dunia dan di akhirat.

Zikir artinya menyebut Allah dengan perlbagai lafaz yang datang di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Antara lafaz yang datang dalam Quran disuruh kita sebut ialah lafaz Allah maka harus berzikir hanya dengan menyebut Allah Allah.

Pendapat yang paling kuat disisi ulamak zikir Lailahaillallah lebih afdhal dari lafaz Allah sahaja.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar :

ذكر لا إله إلا الله أفضل من ذكر الجلالة مطلقا بلسان أهل الظاهر، وأما أهل الباطن فالحال عندهم يختلف باختلاف حال السالك

Artinya : “Zikir Laialahaillallah lebih afdhal dari zikir Allah sahaja dengan lisan disisi ahli zahir manakala disisi kalangan sufi maka berbeda ia dengan sebab berbeda hal salik itu sendiri.” (Kitab Fatawa Hadisiyah)

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Pautan sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Analogi Kepentingan Zikir

Nota: Ini adalah tambahan dari saya

Sebagai contoh atau analogi, anggaplah zikir sebagai makanan rohani.

Seperti makanan fizikal yang kita makan, yang memberi kita tenaga dan nutrisi, zikir adalah sumber tenaga dan kekuatan rohani yang membantu kita dalam menjalani kehidupan.

Dalam hal ini, mengucapkan nama “Allah” adalah seperti memilih makanan yang paling berkhasiat untuk jiwa kita.

Selain itu, boleh diibaratkan zikir sebagai pokok yang tumbuh di dalam hati kita.

Semakin kerap kita berzikir dan mengingati Allah, semakin subur dan kuat pokok tersebut tumbuh. Pokok zikir ini akan memberikan buah iman, ketenangan, dan taqwa kepada kita.

Dari perspektif yang lebih luas, berzikir dengan menyebut nama Allah saja sebenarnya telah merangkumi makna yang sangat luas.

Nama “Allah” merangkumi semua sifat-sifat sempurna yang dimiliki-Nya. Oleh itu, berzikir dengan menyebut nama “Allah” merupakan cara mudah namun berkesan untuk mengingati kebesaran, kekuasaan, dan keagungan Allah SWT.

Jadi, berzikir dengan hanya menyebut “Allah” sahaja dibenarkan dan mempunyai manfaat yang luar biasa bagi jiwa kita.

Selagi niat kita ikhlas dan murni dalam berzikir, Allah akan memberkati usaha kita dalam mendekatkan diri kepada-Nya.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments