Hukum Guna Duit Raya Anak

hukum guna duit raya anak

Apakah hukum guna duit raya anak?

Artikel ini akan membincangkan hukum ibu bapa guna duit raya anak-anak dari sudut fiqh Islam secara lengkap.

Semoga bermanfaat..

Soalan

Apa hukumnya jika ibu bapa guna duit raya anak-anaknya?

Saya pernah terbaca dalam akhbar, penulisnya mengatakan haram hukumnya melainkan ketika terdesak. Kemudian wajib menggantikannya semula.

Ada juga mengatakan boleh sahaja menggunakannya sekadar yang perlu tanpa mensyaratkan dalam keadaan terdesak. Bahkan tidak perlu menggantikannya semula.

Sejujurnya, saya keliru dan tidak tahu pandangan manakah yang perlu dipegang.

Jawapan

Sebelum melangkah kepada penjelasan yang lebih mendalam, ada baiknya kita teliti dahulu beberapa hadis Nabi SAW yang berkait rapat dengan hukum ibu bapa menggunakan harta anaknya:

1. Daripada ‘Umarah bin Umair, ibu saudaranya pernah bertanya kepada Sayidatina ‘Aisyah:

“Dalam ribaku (di bawah jagaanku) ada seorang anak yatim, adakah boleh aku makan (menggunakan sebahagian) daripada hartanya?

Lalu ‘Aisyah menjawab, ‘Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda, “Antara sebaik-baik makanan yang dimakan oleh seorang lelaki adalah hasil usahanya, dan anak seseorang itu adalah termasuk daripada usahanya”

(Riwayat Abu Dawud No hadis 3528)
2. Sayidatina ‘Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Anak seseorang itu termasuk daripada usahanya, bahkan daripada harta sebaik-baik usahanya. Maka makanlah sebahagian daripada harta-harta mereka

(Riwayat Abu Dawud No Hadis 3529)
3. Sayidatina ‘Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya anak-anak kalian adalah pemberian Allah kepada kalian, sebagaimana firmanNya, ‘Dia memberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki anak perempuan dan dia memberikan kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki anak lelaki’. Maka mereka dan harta mereka adalah hak kalian jika kalian memerlukan”

(Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak)
4. Jabir Bin ‘Abdillah meriwayatkan:

“Seorang lelaki berkata, ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, namun ayahku ingin mengambil hartaku’. Baginda kemudiannya bersabda, ‘Engkau dan hartamu adalah bagi ayahmu’

(Riwayat Ibnu Majah No Hadis 2291)
5. Daripada ‘Amru bin Syu’aib daripada ayahnya, daripada datuknya meriwayatkan:

“Ada seorang lelaki datang menemui Nabi SAW lalu berkata, ‘Sesungguhnya ayahku mengambil hartaku’. Lalu Nabi SAW bersabda, ‘Engkau dan hartamu adalah bagi ayahmu.’ Kemudian Baginda SAW bersabda, ‘Sesungguhnya anak-anak kalian adalah termasuk daripada sebaik-baik usaha kalian. Makanlah sebahagian daripada harta mereka’”

(Riwayat Ibn Majah No Hadis 2292)

PANDANGAN ULAMA

Hadis-hadis di atas jelas menunjukkan tiada halangan bagi ibu bapa untuk mengambil harta anak-anaknya.

Meskipun begitu, para ulama berbeza pandangan dari sudut perletakan syarat tertentu.

Perinciannya seperti berikut:

PANDANGAN PERTAMA:
BOLEH SEKADAR KEPERLUAN

Majoriti ulama fiqh seperti Imam Abu Hanifah, Imam malik dan Imam al-Syafi’e mengambil hukum daripada hadis-hadis tersebut lalu merumuskan bahawa boleh bagi ibu bapa mengambil harta anaknya sekadar keperluan sahaja, tidak boleh lebih daripada itu.

Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab-kitab berikut:

1) Imam al-Munawi menjelaskan dalam kitab al-Taisir Bi Syarh al-Jami’ al-Saghir jilid 2 halaman 378 ketika mensyarahkan hadis ‘Engkau dan hartamu adalah bagi ayahmu’, katanya:

“Yakni ayahmu adalah penyebab wujudnya dirimu dan kewujudan dirimu adalah penyebab wujudnya hartamu, maka ayahmu lebih utama dengannya (harta tersebut) berbanding dirimu. Apabila ayahmu memerlukannya, maka harus baginya mengambil daripada hartamu sekadar keperluannya”

2) Beliau juga menjelaskan dalam kitab yang sama dalam jilid 2 halaman 210, terjemahannya:

“Kerana sesungguhnya makna hadis ini ialah jika dia (si ayah) berhajat kepada harta anaknya, maka dia boleh mengambilnya. Namun tidaklah bererti dia boleh mengambil harta tersebut (milik anaknya) secara mutlak.”

3) Dijelaskan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab juzuk 15 halaman 384, terjemahannya:

“Imam al-Syafi’e, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berpendapat bahawa tidak boleh bagi si ayah mengambil harta anaknya kecuali hanya sekadar keperluannya sahaja. Hal ini berdasarkan hadis, ‘Sesungguhnya darah dan harta kalian adalah haram ke atas kalian…”

4) Imam al-Khatthabi menukilkan dalam kitab Ma’alim al-Sunan juzuk 3 halaman 166, terjemahannya:

“Adapun hadis, ‘Engkau dan hartamu adalah bagi ayahmu’, bermakna apabila dia (si ayah) memerlukan hartamu, dia boleh mengambil hartamu sekadar keperluannya. Namun jika engkau tidak memiliki harta tetapi memiliki pekerjaan, maka engkau wajib bekerja dan memberi nafkah kepadanya”

5) Ibn Hazm al-Zahiriy meriwayatkan dalam kitab al-Muhalla suatu athar yang menurutnya sahih pada juzuk 6 halaman 385, terjemahannya:

“Daripada Jabir bin Abdillah, katanya, ‘Ayah dan ibu boleh mengambil harta anak-anaknya tanpa izin si anak. Namun anak-anaknya (lelaki ataupun perempuan) tidak boleh mengambil harta ibu bapanya tanpa izin kedua-duanya…”

6) Ibn Qudamah menjelaskan dalam kitab al-Mughni juzuk 5 halaman 395, terjemahannya:

“Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam al-Syafi’e berpandangan, ‘Si ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali sekadar keperluannya”

7) Dijelaskan juga dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqqhiyyah al-Kuwaitiyyah juzuk 45 halaman 202, terjemahannya:

“Majoriti ulama fiqh berpandangan bahawa ayah tidak boleh mengambil sedikitpun daripada harta anak-anaknya melainkan apabila dia memerlukannya”

PANDANGAN KEDUA:
BOLEH MESKIPUN TIADA KEPERLUAN

Ulama mazhab Hanbali berpandangan bahawa ibu bapa boleh sahaja mengambil harta anak-anaknya, tidak kira kerana keperluan ataupun tidak.

Namun disyaratkan ia tidak memberi mudarat kepada anak, juga tidak boleh diberi harta tersebut kepada anak yang lain.

Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab-kitab berikut:

1) Ibn Qudamah menjelaskan dalam kitab al-Mughni, terjemahannya:

“Harus bagi ayah mengambil harta anaknya dengan  kadar yang dia kehendaki, bahkan dia memiliki harta tersebut (menjadi haknya) sama ada wujudnya keperluan terhadap harta yang diambilnya ataupun tidak. Juga, tidak kira si anak masih kecil atau telah dewasa. Namun disyaratkan dua perkara; pertama, ia (harta tersebut) tidaklah diambil secara tidak wajar, tidak mendatangkan mudarat dan tidak mengambil sesuatu yang bersangkutan dengan keperluan si anak. Keduanya, dia tidak mengambil harta seorang anaknya dan diberikan kepada seorang yang lain.”

2) Imam al-Syaukani juga berpandangan sedemikian sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab Nail al-Authar juz 6 halaman 117, terjemahannya:

“Dengan kesemua jalur sanadnya, hadis ini boleh dijadikan berhujah. Hadis ini menjadi dalil bahawa seorang lelaki berkongsi dengan anaknya pada harta anaknya, justeru boleh dia makan (menggunakan) daripada harta anaknya sama ada anaknya itu memberi keizinan ataupun tidak. Bahkan dia juga boleh menggunakan harta anaknya sebagaimana hartanya sendiri selagi bukan (pada jalan) pembaziran dan kebodohan.”

KESIMPULAN

Justeru itu, berdasarkan penjelasan ini, dirumuskan bahawa boleh dan tiada halangan bagi ibu bapa menggunakan duit raya anaknya bahkan tidak wajib menggantikan semula.

Meskipun demikian, haruslah difahami bahawa majoriti ulama meletakkan syarat tertentu iaitu hanya mengambilnya ketika terdesak dan memerlukan sahaja.

Wallahu a’lam.

Nota Rujukan:

  1. Soal Jawab Fiqh Ibadah, Jilid 3, Bab Puasa, Haji, Korban & Akidah — Ustaz Abu Usamah @ Mohd Hanapiah Haji Hussin.
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments