Hukum Latah Ketika Dalam Solat

latah ketika dalam solat

Apakah hukum latah ketika dalam solat?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN

Apakah batal solat seorang itu kalau dengan tidak dia sengaja terlatah sebab terkejut akan sesuatu?


JAWAPAN

Seorang yang sedang solat jika dia sengaja berkata-kata walau pun dengan sepatah perkataan nescaya batal solatnya.

Akan tetapi jika terkeluar dari mulutnya perkataan yang sedikit tanpa dia sengaja seperti terlatah atau terkejut misalnya maka dimaafkan yakni tidak batal solatnya.

Ada pun jika panjang perkataan yang tidak disengajakan atau sebab terkejut itu nescaya batal solatnya.

Berkata Imam Taqiyuddin:

Apabila orang yang sedang solat berkata-kata dengan sengaja dengan perkataan yang termasuk bercakap dengan manusia nescaya batal solatnya samada perkataan itu berkait dengan solat atau lainnya walau pun dengan satu perkataan kerana hadith yang telah diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam r.a. katanya : Adalah kami dulu bercakap dalam solat sehingga turun firman Allah iaitu ayat “Hendaklah kamu tunaikan solat dalam keadaan khusyuk” maka kami telah diperintahkan supaya diam dan dilarang akan kami dari berkata-kata.

Dan Nabi saw telah bersabda kepada Muawiyah bin Al-Hakam As-Sulami yang sungguhnya beliau telah telah mendoakan orang bersin di dalam solat dengan sabdanya “Sungguhnya solat ini tidaklah elok di dalamnya suatu pun dari percakapan manusia. Hanya sungguhnya solat ini hanyalah tasbih dan takbir dan membaca Quran.

Dan kata pengarang berkata dengan sengaja itu mengeluarkan dari berkata dengan sebab lupa.

Dan semakna dengannya itu ialah jahil dengan haramnya bercakap dalam solat sebab baru lagi memeluk Islam.

Dan semakna dengannya juga ialah tersalah cakap pada hal tidak sengaja dan tidak panjang.

Dan begitu juga tidaklah batal sebab tergelak kerana sabda Nabi saw “Diangkat dari umatku yang tersalah dan terlupa dan terpaksa.”

(Kitab Kifayatul Akhyar)

Berbalik kepada soalan maka terlatah dalam solat jika sedikit perkataannya maka dimaafkan kerana bukan disengajakan dan jika banyak perkataannya nescaya batal solatnya sekali pun tidak sengaja.

Wallahua’lam

Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments