Apakah hukum gunting rambut dan potong kuku sebelum sembelih korban?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat
SOALANSaya hendak bertanya pasal perserta korban dilarang potong kuku dan gunting rambut sebelum sembelih korban.
Bagaimana kalau dia gunting juga rambut sebab mahu sambut hari raya?
JAWAPAN
Siapa yang hendak menyertai ibadah korban pada tahun tersebut maka apabila masuk 1 haribulan Zulhijjah nescaya disunatkan dia tidak potong kuku dan bulu-bulu badan sehinggalah haiwan korbannya disembelih.
Diriwayatkan dari Ummu Salamah dari Nabi saw sungguhnya baginda bersabda:
Barang siapa hendak sembelih haiwan korban maka bila sahaja masuk 1 haribulan Zulhijjah nescaya jangan dia kerat dari rambut dan bulu badannya dan jangan memotong kukunya sedikit pun sampailah dia sembelih korban.”
(Hadith Imam Muslim)
Jika dia sengaja memotong kuku atau bulu badan atau gunting rambut maka perbuatannya itu adalah makruh.
Maksud larangan dalam hal ini ialah makruh tanzih yaitu makruh yang tidaklah berdosa kalau dilanggarnya.
Berkata Imam As-Suyuthi:
Siapa yang berkehendak sembelih korban maka jangan dia memotong kukunya dan tidak mencukur suatu pun dari rambutnya pada sepuluh hari yang awal dari bulan Zulhijjah.
Larangan ini hanyalah larangan makruh tanzih di sisi jumhur ulamak.”
(Kitab Syarah As-Suyuthi ala An-Nasaai)
Jika haiwan korban orang lain sudah disembelih tetapi haiwannya belum disembelih maka berkekalan larangan makruh tersebut ke atas dirinya.
Dan jika seorang itu memotong juga rambut atau kukunya maka tidaklah sampai memudaratkan ibadah korbannya.
Tersebut pada Fatwa Majlis Islam Palestin:
Dan atas tiap-tiap keadaan jikalau seorang itu memotong akan kukunya atau menggunting rambutnya maka korbannya itu sah dan diterima insyaAllah.”
KESIMPULAN
Siapa yang hendak menyertai ibadah korban maka apabila masuk 1 haribulan Zulhijjah makruh dia mengerat kuku dan rambut dan bulu badannya sehinggala haiwan korbannya itu telah selesai disembelih.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..