Berbohong Yang Dibenarkan

berbohong yang dibenarkan

Apakah berbohong yang dibenarkan dalam Islam?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN

Dalam satu siri kuliyah ustaz di youtube ada saya mendengar ustaz membolehkan suami berbohong kepada isteri kerana tujuan memujuknya.

Minta ustaz perjelaskan lagi berkenaan hukumnya kerana setahu saya berbohong itu dilarang oleh agama.


JAWAPAN

Berbohong atau berdusta pada asalnya adalah dilarang dan pada kebanyakkan hukumnya adalah haram.

Akan tetapi pada keadaan tertentu hukum berbohong ini menjadi harus atau disebut sebagai berbohong yang dibenarkan syarak misalnya berbohong kerana mendamaikan manusia yang berbalah.

Dan hendaklah diketahui berbohong yang diharuskan ini ialah pada ketika tidak memberi kesan melainkan dengan berbohong.

1. Telah diriwayatkan daripada Ummu Kalthum binti ‘Uqbah r.a. kata beliau:

Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda:

لَيْسَ الْكَذَّابُ الَّذِي يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ فَيَنْمِي خَيْراً أَوْ يَقُولُ خَيْراً

Ertinya :

Tiadalah dinamakan berdusta orang yang mendamaikan antara manusia maka dia menyampaikan akan kebenaran atau berkata akan kebenaran.”

(Hadith riwayat Syaikhain)
2. Dan begitu juga diharuskan berbohong di dalam peperangan dan suami berbohong akan isterinya untuk kebaikkan.

Telah diriwayatkan daripada Asma’ binti Abu Yazid r.a. kata beliau:

Rasulullah saw telah bersabda:

لَا يَحِلُّ الْكَذِبُ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ : يُحَدِّثُ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ لِيُرْضِيَهَا ، وَالْكَذِبُ فِي الْحَرْبِ ، وَالْكَذِبُ لِيُصْلِحَ بَيْنَ النَّاسِ

Ertinya :

Tidak halal berbohong melainkan pada tiga keadaan : Pertama seorang suami berbohong akan isterinya supaya suka isterinya dan kedua berbohong dalam peperangan dan ketiga berbohong supaya mendamaikan manusia.”

(Hadith riwayat Tirmizi & Abu Daud)

Hadith ini menjadi dalil atas harus suami bercerita dengan perkara yang tidak benar kepada isterinya dengan tujuan supaya suka isterinya.

Dan begitu juga harus atas isteri berdusta akan suaminya kerana menyukakan hati suaminya.

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Syihab r.a. katanya :

وَلَمْ أَسْمَعْ يُرَخَّصُ فِي شَيْءٍ مِمَّا يَقُولُ النَّاسُ كَذِبٌ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ، الْحَرْبُ، وَالْإِصْلَاحُ بَيْنَ النَّاسِ، وَحَدِيثُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ، وَحَدِيثُ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا

Ertinya :

Tiada aku dengar diberi kelonggaran pada suatu daripada barang yang berkata dusta oleh manusia melainkan pada tiga keadaan : Ketika peperangan dan ketika mendamaikan antara manusia dan suami bercakap akan isterinya dan isteri bercakap akan suaminya.”

(Riwayat Imam Musllim)
3. Dan yang diharuskan berbohong dengan isteri atau dengan suami itu ialah pada perkara yang bukan menggugurkan kewajipan dan bukan mengambil hak atau harta.

Jika berbohong suami akan isteri sehingga jadilah suami tidak perlu menunaikan kewajipan umpama nafaqah maka berbohong di sini adalah haram.

Begitu juga haram suami berbohong akan isteri sehinga dapat kepada suami harta isteri tanpa sebenar.

Telah berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar :

واتَّفَقوا على أنَّ المُرادَ بالكَذِبِ في حَقِّ المَرأَةِ والرَّجُلِ إنَّما هوَ فيما لا يُسقِطُ حَقَّاً عَلَيهِ أو عَلَيهَا أو أَخذِ ما لَيسَ لَهُ أو لَها.

Ertinya :

Telah sepakat ulamak atas bahawa dikehendaki dengan dusta pada hak isteri dan suami itu hanyalah pada perkara yang bukan menggugurkan hak atas suami atau atas isteri atau mengambil suatu yang tidak halal bagi suami atau bagi isteri.”

(Kitab Fathul Baari Syarah Sahih Al-Bukhari)

Berkata Syeikh Ahmad SYarif An-Na’saan :

فالكَذِبُ بَينَ الزَّوجَينِ لِدَيمومَةِ المَوَدَّةِ والمَحَبَّةِ لا حَرَجَ فيهِ، ولكن لا يَجوزُ فيما يَتَعَلَّقُ بالحُقوقِ الوَاجِبَةِ المُتَرَتِّبَةِ على كُلٍّ مِنهُما.

Ertinya :

Maka berdusta antara suami isteri kerana mengekalkan keharmonian dan kasih sayang tiada salah padanya akan tetapi tidak harus berdusta pada barang yang bergantung dengan segala hak yang wajib yang berkait atas suami isteri.”

Dan telah berkata Mufti Mesir Dr Syauki ‘Allam:

وأما كذبه لزوجته وكذبها له فالمراد به في إظهار الود والوعد بما لا يلزم ونحو ذلك، فأما المخادعة في منع ما عليه أو عليها أو أخذ ما ليس له أو لها فهو حرام بإجماع المسلمين،

Ertinya :

Dan ada pun dusta suami bagi isterinya dan dusta isteri bagi suaminya maka yang dikehendaki dengannya ialah pada menzahirkan kasih sayang dan janji baik dengan perkara yang bukan wajib atau seumpamanya. Maka adapun menipu pada menegah barang yang wajib atas suami atau atas isteri atau mengambil apa yang bukan milik suami atau bukan milik isteri maka ialah haram dengan ijmak Muslimin.

(Darul Ifta Mesir)

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments