Apakah hukum baca quran tanpa pakai tudung?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat
SOALANSaya ada satu pertanyaan iaitu saya sering membaca Quran ketika duduk di rumah dan kadang-kadang saya tidak memakai tudung atau hanya memakai baju lengan pendek.
Dan kadang-kadang saya baca Quran itu dari skrin computer tanpa wuduk.
Apakah hukumnya saya baca Quran dalam keadaan tidak ada wuduk dan tidak menutup aurat seperti itu?
JAWAPAN
Di antara perkara yang disunatkan ketika membaca Quran ialah menutup aurat.
Hukum sunat ini adalah jika membacanya itu pada tempat yang tiada orang yang haram melihatnya.
Ada pun jika berada pada tempat yang ada orang yang haram melihatnya maka menutup aurat adalah wajib.
Begitu juga jika membaca Quran tanpa wuduk dan tidak menyentuhnya maka hukumnya adalah harus tetapi jika membacanya dalam keadan bersuci maka ia adalah afdhal.
Berkata Mufti Mesir Dr Ali Jum’ah :
Harus membaca Quran tanpa wuduk dan hadith dari Nabi saw sungguhnya baginda membaca Quran pada setiap keadaan melainkan pada ketika junub (hadith riwayat Daruqutni & Abu Ya’la).
Maka inilah kelakuan Nabi saw dan kita mengikutnya pada sekelian kelakuan.
Dan adalah Nabi saw berzikir akan Allah atas tiap keadaan samada ketika junub atau tidak junub.
Dan adalah Nabi saw membaca akan Quran atas setiap keadaan samada ketika ada wuduk atau tidak melainkan pada ketika junub.
Oleh itu hanya pada ketika junub sahaja menghalang dari membaca Quran.
Dan harus bagi perempuan bahawa membaca ia akan Quran dalam keadaan tidak berhijab dan tiada suatu (kesalahan) atas perempuan itu pada yang demikian itu.”
(Darul Ifta Mesir)
KESIMPULAN
Sunat membaca Quran dalam keadaan berwuduk tetapi jika membacanya dalam keadaan tidak berwuduk maka hukumnya adalah harus asalkan tidak menyentuh akan mushaf.
Sunat membaca Quran dalam keadaan menutup aurat tetapi tidak menjadi kesalahan membacanya dalam keadaan tidak menutup aurat dan sungguhnya membacanya dalam keadaan menutup aurat adalah adab yang elok.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..