
Bagaimana niat Puasa Enam Syawal?
Panduan ini disediakan secara lengkap dan tersusun mengenai topik Puasa Sunat Enam Syawal dan hukum berkaitan dengannya.
Apa yang menarik:
Terjemahan bahasa Melayu dan ejaan dalam rumi juga turut disertakan dalam niat tersebut bagi membantu mereka yang sukar membaca tulisan arab.
Semoga panduan ini dapat membantu anda melakukan ibadah puasa sunat enam syawal dengan sempurna.
- Pengenalan Puasa Sunat
- Niat Puasa Enam Syawal
- Niat Puasa Enam Syawal Gabung Dengan Puasa Ganti (Qadha Ramadan)
- Keistimewaan & Kelebihan Ibadah Puasa Sunat
- Dalil Puasa Sunat Enam Syawal
- Hukum Puasa Enam Syawal
- Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
- Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
- Hukum Menggabungkan Puasa Qadha Dan Puasa Enam
- Penutup: Ganjaran Puasa Sunat di sisi Allah adalah Sangat Besar
Pengenalan Puasa Sunat

Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular dalam kalangan masyarakat kita hari ini.
Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya’ dengan amalannya.
Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam.
Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat.
Sebenarnya terdapat 3 jenis puasa sunat, iaitu:
- Bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis)
- Bersifat bulanan (tiga hari dalam sebulan)
- Bersifat tahunan (hari Arafah, Asyura dan enam hari dalam bulan Syawal).
Jika anda ingin menggabungkan Puasa Qadha tersebut dengan Puasa Sunat Syawal, maka niatnya adalah seperti berikut:

NawaiTu Sauma Ghodin ‘an Qodho’ie RomaDhoNa Ma’a SitTati SyawWaaLi Lillahi Taala
Niat Dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawal kerana Allah Taala.
Keistimewaan & Kelebihan Ibadah Puasa Sunat
Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, Allah SWT berfirman (dalam hadis Qudsi) maksudnya:
Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).”
(Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.”
— Muslim no: 1151
Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan kelebihan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”.
— Al-Bukhari no: 2840
Dalil Puasa Sunat Enam Syawal
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
— Muslim no: 1164
Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut, kerana setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.
Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari.
Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
Hukum Puasa Enam Syawal
A. Hukumnya adalah sunat.
Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam alSyafi‟e, Imam Ahmad, Daud dan ulama‟ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
B. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh.
Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]
Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal.
Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut.
Abu Hurairah ra berkata:
Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.”
— Al-Bukhari no: 1991
Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.
Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama ialah:
1. Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal.
Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.
Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:
Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
— Surah Ali Imran:133
2. Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Men-qadha Puasa Ramadhan.
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya?
Hasil daripada perbincangan ini menghasilkan dua pendapat:
Berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya‟ban yang akan datang.
Aisyah ra berkata:
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya‟ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw.
[Muslim no: 1146. Al-Bukhari, no: 1950]
Penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa’id
Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal.
Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada Bulan Syaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
Berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini.
Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”.
Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya.
Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu.
Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat)
Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri.
Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat.
Ini disokong dengan ayat 133 surah Ali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan.
Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan:
Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”.
— Syarah Sahih Muslim 8/22
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini:
“Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”.
[Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub al-Ilmiah, Beirut].
Hukum Menggabungkan Puasa Qadha Dan Puasa Enam
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qada dan puasa enam hari di bulan Syawal.
Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
Persoalan ini berlaku KHILAF di kalangan ulama.
Sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.
Sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.
Tetapi ada juga di kalangan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan.
[Lihat: Mughni Al-Muhtaj 2/184, Hasyiah Asy-Syarqawi 1/428, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Setelah dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah.
Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qada dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyatul masjid dengan solat fardu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul masjid).
Wallahu a’lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan.
Kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya.
Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula).
Penutup: Ganjaran Puasa Sunat di sisi Allah adalah Sangat Besar
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu.
Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah SAW
Sempurnakan dahulu qada beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya.
Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhaiNya.
Informasi dan persoalan-jawapan berkaitan dengan puasa enam ini dipetik dari artikel oleh Tuan Guru Dr. Basit Bin Abdul Rahman (Abu Anas Al Madani)




Assalamualaikum.. Adakah puasa 6 mempunyai hari2 yang afdal utk berpuasa jika Sekiranya ingin berpuasa 6 berselang seli dlm bulan syawal
wslm tiada hari khusus tak kisah janji dalam bulan syawal.
Assalamualaikum ustaz, puasa 6 tuh kan , kena niat setiap malam macam puasa bulan Ramadhan jugak ke atau hanya cukup sekali sahaja niat lepas tu terus puasa selama 6 hari berterusan tanpa perlu niat lagi pada hari berikutnya? Mohon pencerahan. Terima kasih ustaz.
Wassalam.
Afdal niat setiap malam.
Assalamualaikum.begini ustaz.sy hutang puasa Ramadhan contoh 10 hari.kemudian sy nk berpuasa 6 syawal.adkh jika sy berpuasa 6 hari syawal tu kemudian sy cuma perlu bayar hutang lg 4 hari saja ka ustaz.
#betulkh puasa 6 boleh diangkat sekali pahalanya bersama puasa hutang bln rmdn tu?
#adakah puasa 6.dan puasa hutang perlu diasingkan ka?@blh disatukan???
Wassalam.
1) kalau awak niat puasa 6 bersama-sama puasa ganti, makan awak perlu tambah 4 hari lagi puasa ganti. Jika awak niat puasa 6 sahaja, makan puasa ganti nanti kena buat 10 hari.
2) lebih afdal di asingkan. Tetapi jika disatukan, id dibolehkan.
Aslmualaikum wbt. Sekiranya saya tidak tahu akan jumlah(hari) puasa wajib yang telah ditinggalkan sepanjang hayat, bagaimanakah dan apakah yang boleh saya lakukan untuk mengqada kan semuanya.
Wassalam.
Buatlah anggaran puasa yang tertinggal dan gantikan puasa berdasarkan anggaran tersebut.
Assalamualaikum saya nk tnya saya cuti Puasa 3 hari hari pertama saya cuti disebabkan skit kepala yg teramat hari ke2 & ke3 atas faktor full BF bleykah 2 syawal saya niat qada skali dengan puasa 6 ? Dan pada 3 syawal saya niat puasa qada sahaja Dan 4 syawal saya niat puasa 6 plakk bleykah ustaz ?
Wassalam.
Boleh. Cuma nanti pastikan puasa syawal tu cukup 6 hari dalam sepanjang bulan syawal ni.
Okey terima kasih
Sama sama
Sama sama
Assalamualaikum ustaz… Boleh tak saya puasa enam hari syawal… Sebelum ganti puasa Ramadhan
Wassalam.
Boleh, tiada masalah ?
Kalau puasa dua dua nya sekali .boleh tak
Dan macam mana niat nya
Boleh.
Niatnya boleh niat dalam melayu sahaja:
Salam ustaz, niat puasa dlm bhasa Melayu tu tak ada perkataan SUNAT.. btul ke tu atau sy yg salah ni
Wassalam.
Tidak apa tiada perkataan sunat atau fardu. (tiada lafaz niat khusus mengenai puasa)
Bagaimana dgn niat untuk gabungan puasa ganti dan puasa enam
Sahaja aku puasa qada ramadan dan sunat syawat esok hari kerana Allah Taala.
Terima Kasih. Ilmu buang bermanfaat
Sama-sama :-)
Terima kasih sangat2 kerana banyak memberi maklumat ilmu yg sangat berguna dan bermanfaat sekaligus menambahkan ilmu agama..alhamdulillah ..
Alhamdulillah, sama-sama Pn Ami
Assalammualaikum ustaz, boleh tak gabung puasa enam dan puasa ganti tu sekali ?
Wassalam,
Boleh, tiada masalah.
Assalamualaikum Ustaz, boleh kah berpuasa enam tidak mengikut hari asalkan d bulan Syawal? Contoh minggu pertama hari Sabtu dan isnin, minggu kedua hari khamis dan jumat, minggu tiga hari rabu dan sabtu?
Boleh, tiada masalah.
Asalkan masih dalam bulan syawal
Boleh ke kita niat puasa enam sebelum tengah hari
Boleh, dengan syarat awak belum makan dan minut serta buat perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Assalamualikum Ustaz , saya kurang faham tentang pendapat pertama dan pendapat ke dua ?
Kenapa pendapat yang kedua tidak boleh melakukan ?
Wassalam,
Sebab ada ulama yang memberi pandangan berbeza. Ada kata boleh, ada yang kata tidak boleh. Inilah yang disebutkan sebagai perkara khilafiah.
Sebagai orang awam, kita boleh memilih yang dirasakan sesuai sebab kedua-dua pendapat itu betul.
Salam ustad, puasa 6 boleh dibuat pada bila2 hari, sabtu, atau ahad, x semestinya pada isnin kamis je
Wassalam,
Ya betul.
Asalammualaikum.. ustaz.sya nak tnya
Skira nya sya menganti puasa Syawal.
Pada hri Khamis dn jumaat..dn di sambung lgi dgn hari Isnin dan selasa.
Dan seterus nya.puasa 6 boli kh.
Dn dgan niat sya tidak di kodek.
Wassalam,
Boleh, tiada masalah.
Assalamualaikum.. Ustaz nk tanya. Selepas selesai puasa ganti adakah saya perlu rehat sehari sebelum saya puasa enam syawal atau boleh je terus puasa enam syawal.
Wassalam,
Boleh diteruskan, tiada masalah.
Terima kasih
Sama-sama.
Assalamualaikum..ustat saya nak tanya,kalau saya ada tinggal puasa dibulan ramadhan pada banyak tahun tahun yang lepas semasa jahil dulu tapi hari ini saya nak puasa 6 dibulan syawal buleh tak..
Wassalam,
Boleh, tiada masalah.
Nak gabung puasa syawal dengan puasa ganti pun boleh.
Assalamualaikum Maaf Saya Tanya Soalan Yang Tiada Mengena dengan Puasa 6 ni ?? saya harap min dpt jawab soalan saya ini,
Adakah Sah Solat Saya Jika Saya Was Was Keluar Nya Air Mazi Atau Melekat Di Pakaian Saya
Wassalam,
Kalau was-was tidak batal solat sebab penyakit was-was ini permainan syaitan.
Tapi kalau syak, maka batal solat.
Beza was-was dan syak adalah; was-was ini selalu terjadi pada awak untuk setiap solat. Syak pula hanya kadang-kadang berlaku pada awak.
Saya puasa enam syawal ,niat puasa sya xsebut enam hari.cuma sya niat sahaja aku puasa sunat bln syawal kerana Allah taala ada kah puasa sya dikira puasa enam.tp hati mmng nk puasa enam
Ya sah, jangan risau.
Lafaz niat awak betul.
Tima kasih ustaz
Sama-sama.