Bagaimana cara solat duduk & baring untuk orang sakit?
Ini adalah panduan mudah untuk melakukan solat duduk atas kerusi, solat berlunjur dan solat baring.
Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah sehingga selesai dan panduan ini diringkaskan agar mudah difahami.
Apa yang menarik:
Panduan cara solat orang sakit ini juga dipermudahkan dengan gambar dan video untuk memudahkan pemahaman anda.
Tanpa buang masa, mari kita mulakan..
Pengenalan
Keuzuran boleh ditafsirkan sebagai kesakitan, kecederaan, kecacatan, penyakit kronik atau kelumpuhan.
Orang yang sarat mengandung dan orang yang menjalani pembedahan iaitu dalam proses penyembuhan juga termasuk dalam kategori ini.
Sebagai seorang muslim, solat tidak boleh dikecualikan meskipun bagi golongan yang mengalami keuzuran.
Islam adalah agama yang indah dan mudah.
Mereka yang mengalami keuzuran mendapat rukhsah (keringanan) dalam menunaikan solat.
Ini supaya umat Islam sentiasa berhubung dengan Allah SWT.
Syarat-Syarat Solat Atas Kerusi
Golongan yang uzur ini biasanya menghadapi kesukaran untuk bergerak iaitu ketika berdiri ataupun duduk.
Kesukaran lain adalah seperti kesakitan pada anggota badan yang disebabkan oleh faktor usia, contohnya seperti sakit lutut dan gout.
Maka di sini, Islam memberi keringanan kepada mereka untuk bersolat dengan cara duduk di atas kerusi.
Syarat-syarat untuk solat duduk atas kerusi adalah seperti berikut:
- Disebabkan oleh faktor usia dan kesakitan di bahagian lutut dan pinggang.
- Menghadap kiblat ketika mengerjakan solat.
Cara Solat Duduk Atas Kerusi
Kaedah solat duduk atas kerusi adalah seperti yang dinyatakan dalam langkah-langkah di bawah:
Selepas takbiratul ihram, kedua-dua tangan diletak di antara pusat dan dada sepertimana solat berdiri.
2. Apabila rukuk badan ditundukkan sedikit dengan niat rukuk dan kedua-dua tangan diletak di atas paha di pangkal lutut.
3. Iktidal, badan ditegakkan semula.
Tangan dilepaskan ke bawah.
4. Sujud dilakukan dengan badan dibongkokkan lebih sedikit daripada kedudukan rukuk.
5. Untuk duduk diantara dua sujud atau tahiyat, badan ditegakkan kembali dengan kedua-dua tangan dihujung pada seperti kedudukan awal.
6. Solat dilaksanakan menurut tertib hingga selesai memberi salam.
Cara Solat Duduk Tahiyat Awal
Cara solat duduk yang elok adalah duduk secara iftirasy (duduk tahiyat awal).
Sekiranya pesakit tidak mampu melakukannya, dia dibolehkan duduk berlunjur atau mengikut kemampuannya.
Sila tonton video di bawah:
Selepas takbiratul ihram, kedua tangan diletakkan di antara pusat dan dada sepertimana solat berdiri.
2. Apabila rukuk badan ditundukkan sedikit dengan niat rukuk dan kedua-dua tangan diletak di atas paha di pangkal lutut.
3. Iktidal, badan ditegakkan semula. Tangan dilepaskan ke bawah.
4. Sujud dilakukan seperti biasa apabila mampu. Apabila tidak mampu, badan dibongkokkan lebih sedikit daripada kedudukan rukuk dengan niat melakukan sujud.
5. Untuk duduk antara dua sujud atau tahiyat, badan ditegakkan kembali dengan kedua-dua tangan di hujung paha seperti kedudukan awal.
6. Solat dilaksanakan menurut tertib hingga selesai memberi salam.
Cara Solat Duduk Berlunjur
2. Apabila hendak rukuk, boleh diisyaratkan dengan menundukkan badan sedikit dengan niat rukuk dan tangan disampaikan sekadar yang boleh di atas kepala lutut.
3. Badan ditegakkan semula untuk iktidal.
4. Sujud dilakukan dengan membongkokkan badan lebih sedikit daripada kedudukan rukuk dengan niat melakukan sujud.
5. Untuk duduk antara dua sujud atau tahiyat, badan ditegakkan kembali dengan kedua-dua tangan di hujung paha.
6. Solat dilaksanakan menurut tertib hingga selesai memberi salam.
Cara Solat Secara Baring
Kepada mereka yang menghadapi kesukaran yang kronik dan hanya mampu terlantar sahaja di katil, maka dibolehkan untuk melakukan solat secara baring atau mengiring.
Bantal juga boleh diletakkan di atas riba untuk memudahkan solat kepada mereka yang memerlukan sokongan badan hadapan.
Sila tonton video di bawah:
1. Pilihan pertama, badan perlu mengiring di atas lambung kanan dengan dada menghadap kiblat.
2. Apabila tidak mampu atau tiada siapa yang dapat membantu mengalihkan badan, badan boleh mengiring ke sebelah lambung kiri. Kedudukan dada mesti mengadap kiblat.
3. Apabila tidak mampu juga, dibolehkan bersolat secara menelentang iaitu kaki dihadapkan ke arah kiblat.
kepala ditinggikan sedikit supaya dada dapat menghadap kiblat.
Semua pergerakan dalam solat dilakukan secara satu isyarat sahaja, seperti berikut:
- Apabila hendak rukuk, diisyaratkan dengan menundukkan kepala atau menutup kelopak mata apabila kepala tidak boleh digerakkan lagi.
- Apabila hendak iktidal, angkat semula kepala atau buka kembali kelopak mata dengan niat sedang melakukan iktidal.
- Begitu juga dengan sujud, sama ada ditundukkan kembali kepala atau ditutup kelopak mata dengan niat melakukan sujud.
- Untuk duduk antara dua sujud, kepala diangkat kembali atau kelopak mata dibuka dengan niat melakukannya.
- Begitulah seterusnya hingga selesai memberi salam.
4. Untuk orang sakit hingga tidak terdaya menggerakkan sebarang anggota termasuk mata, boleh bersolat dengan niat di dalam hati.
Segala bacaannya sama seperti solat biasa.
Soalan Lazim Berkaitan Solat Orang Sakit
Di bawah ini dikumpulkan beberapa soalan-soalan yang berkaitan dengan rukhsah solat orang sakit:
1. Berdiri Secara Membongkok
Apabila seorang yang sudah tua atau uzur tetapi masih mampu berdiri dan berjalan, walaupun secara membongkok, dia perlu mengerjakan solat fardu dengan berdiri walaupun secara membongkok.
Hukum asal solat fardu ialah berdiri tegak, maka perlu dia berdiri mengikut kemampuannya.
Apabila pada rakaat awal dia mampu berdiri tetapi pada rakaat berikutnya dia tidak mampu berdiri, dibolehkan meneruskan solatnya dalam keadaan duduk.
2. Rukuk dan Sujud ketika Solat Duduk
Apabila tidak berupaya berdiri disebabkan uzur atau solat di atas kenderaan bergerak yang menyebabkan sukar untuk tetap berdiri tegak, dibolehkan solat dengan cara duduk.
Ketika rukuk, kepala ditundukkan sehingga setentang dengan lutut.
Tetapi yang lebih utama apabila dapat setentang dengan tempat sujud sepertimana rukuk ketika berdiri.
Begitu juga ketika sujud, kedudukannya adalah sama sebagaimana sujud untuk orang yang solat dengan berdiri.
Bagaimanapun, apabila tidak mampu melakukan pergerakan yang sedemikian, bolehlah melakukan setakat yang mampu.
3. Mengerjakan Solat Menggunakan Isyarat Mata
Solat dengan isyarat mata adalah dengan membuka kelopak mata sebagai isyarat berdiri, menutupnya separuh sebsgai isyarat rukuk, membuka mula sebagai tanda berdiri iktida) dan menutupnya sebagai isyarat sujud.
Mata dibuka semula semasa duduk, seperti semasa berdiri.
Begitulah seterusnya yang penting dapat bezakan kedudukan kelopak mata antara isyarat rukuk dan sujud.
Manakala bacaannya boleh dibaca seperti biasa, Apabila tidak mampu, boleh dibaca di dalam hati sahaja.
4. Mengerjakan Solat dalam Hati
Apabila tidak mampu mengerjakan solat sekalipun dengan isyarat mata kerana terlalu uzur sebagai pilihan akhir, dibenarkan solat di dalam hati
Caranya dengan membayangkan pergerakan dirinya ketika berdiri, rukuk, iktidal dan sujud.
Segala bacaan pada setiap pergerakan perlu dibaca di bibir tetapi apabila tidak mampu, perlu membaca di dalam hati sahaja
5. Solat Wanita yang Hampir Bersalin
Seorang ibu yang sudah sampai masa hendak melahirkan anak lalu waktu solat sudah masuk, sedangkan dia tidak mampu mengambil wuduk atau menutup aurat dan tidak dapat mengerjakan solat dengan sempurna kerana torlalu sakit, dia perlu mengerjakan solat dengan sebarang cara yang termampu sama ada secara isyarat atau solat di dalam hati.
Perlu diingatkan, seorang ibu yang hampir masa melahirkan anak. biasanya akan keluar tanda yang berupa darah dan sebagainya.
Ketika itu wanita tersebut masih wajib mengerjakan solat solagi belum melahirkan anak kerana darah itu bukan darah nifas atau haid yang boleh menggugurkan kewajipan solat
6. Solat Hormat Waktu
Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas kerana tidak ada air untuk berwuduk atau tidak ada tanah untuk bertayamum serta solat yang tidak dapat menghadap kiblat.
Wajib digadha semula setelah mendapat air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat semula.
Kita juga boleh mengqadha solat hormat waktu secara jamak atau qasar dengan syarat masih dalam musafir.
Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah diqadha dengan sempurna.
Sekiranya kita musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwudhu atau tanah untuk bertayammum bagi mengqadha solat maka solat hormat waktu tadi sudah memadai untuk Allah terima
Sebaliknya apabila kita berpeluang untuk mengqadha solat hormat waktu setelah adanya air atau debu tanah tetapi kita melengahkannya maka dikira berdosa.
Penutup: Hikmah Rukhsah Solat
Islam adalah agama yang mudah dan tidak ada alasan bagi kita untuk meninggalkan solat walaupun ketika dalam keadaan sakit.
Antara hikmah diharuskan untuk rukhsah adalah:
- Menunjukkan Islam agama yang mudah.
- Membuktikan Allah sayang akan hambanya.
- Supaya umat Islam dapat menunaikan kewajipan dalam sebarang keadaan.
Semoga panduan ini dapat membantu anda.
Jika terdapat sebarang pertanyaan, bolehlah ditinggalkan pada ruangan komen di bawah.
Wallahuaklam.
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum ustaz..
saya nak bertanya kaedah solat yg betul untuk org yg sakit kaki,tahiyat awal & akhir duduk atas kerusi,untuk sujud & ruku’,betul ke buat sambil berdiri juga,bukan sambil duduk atas kerusi?
Waalaikumussalam,
Untuk orang yang sakit kaki dan tidak mampu melakukan solat seperti biasa, berikut adalah kaedah yang boleh diikuti:
1. Duduk di atas kerusi. Jika anda tidak mampu berdiri, solat boleh dilakukan dengan duduk di atas kerusi. Kedudukan ini termasuk tahiyat awal dan tahiyat akhir.
2. Ruku’ dan Sujud.
3. Takbiratul Ihram. Boleh dilakukan sambil duduk jika tidak mampu berdiri. Jika mampu berdiri sekejap untuk takbiratul ihram, itu lebih baik, kemudian duduk untuk seterusnya.
Pandangan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menekankan bahawa jika seseorang tidak mampu berdiri, dia boleh solat dengan duduk di atas kerusi, dan rukuk serta sujud dilakukan mengikut kemampuan.
Sujud dan rukuk boleh dilakukan dengan membongkokkan badan mengikut kemampuan.
Semoga jawapan ini membantu dan Allah menerima amal ibadah kita semua.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum..Ustaz..saya seorang pesakit kanser usus & akan menjalani pembedahan utk pembuangan ketumbuhan di ususl,ldisebabkan pembuangan usus itu saluran najis akan dibawa keluar dlm beg stoma.pohon agar ustaz dpt membuat pencerahan cara utk melakukan solat keyika memakai beg stoma.sekian Terima kasih.😔
Wassalam,
1. Tuan perlu melakukan wuduk seperti biasa. Jika tidak dapat ke bilik air, boleh berwuduk dengan kaedah spray. Bagi individu yang mempunyai stoma, pembersihan kawasan stoma dengan air dan memastikan ia kering sebelum memasang beg stoma semula sudah dianggap cukup.
2. Orang yang memakai beg stoma masih boleh solat seperti biasa. Dalam Islam, kebersihan adalah sebahagian daripada iman, tetapi dalam situasi di mana seseorang itu sakit dan tidak mampu memastikan kebersihan sepenuhnya, kemudahan dan belas kasihan Islam muncul. Jadi, jika najis sedikit keluar semasa solat, solat itu masih dianggap sah selama usaha terbaik telah dilakukan.
3. Bagi seseorang yang memakai beg stoma, dia perlu memastikan kebersihan dengan membersihkan beg tersebut dengan cara yang betul dan selamat. Apabila beg stoma perlu dikosongkan atau diganti, kerja ini perlu dilakukan dengan penuh kesabaran dan kebersihan.
4. Pakaian yang bersih adalah penting untuk solat. Jika ada najis yang tidak dapat dielakkan pada pakaian atau badan, usaha harus dilakukan untuk membersihkannya sebaik mungkin sebelum solat.
5. Dalam keadaan di mana seseorang itu sakit dan tidak mampu untuk beribadat seperti biasa, Islam memberikan kemudahan. Misalnya, jika seseorang itu tidak dapat berdiri semasa solat, dia boleh solat sambil duduk atau berbaring.
Yang paling penting adalah menjaga hubungan dengan Allah dalam apa jua keadaan, dan berdoa agar Allah memberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi cabaran ini.
Saya mendoakan tuan diberi Aafiyah dan kesembuhan daripada Allah SWT.
Semoga Allah mengurniakan pahala sebanyak-banyaknya kepada tuan atas kesabaran tuan mengadapi ujian ini. Aminn.
Assalamualaikum… Ustaz… Pesakit baring terlentang… Seandainya pesakit tidak dpt mengadap arah kiblat… Bole ka dteruskan solatnya
Wassalam. Boleh jika tiada kemampuan untuk mengadap kiblat.
Assalamualaikum ustaz.. boleh kah saya solat duduk? Saya ingin lakukan solat seperti biasa tapi tak boleh kerana sakit semasa mahu bersujud, bukan lutut sahaja terasa azab.. malah tapak tangan.. belum pun dahi cecah sejadah terasa sakit.. sebab kemalangan jalanraya.. saya nak solat duduk tapi takut solat saya tak diterima.. saya bukan lumpuh.. saya boleh bergerak seperti biasa.. hanya apabila menunaikan solat saja.. bila sujud terasa azab.. terkeluar perkataan yang membatalkan solat.. minta pandangan ustaz..
As Salam,
Dalam Islam, kemudahan telah diberikan kepada umatnya dalam pelbagai keadaan, termasuk ketika mengerjakan ibadah solat. Jika anda menghadapi kesakitan semasa mahu bersujud atau rukuk dalam solat, anda boleh melakukan solat dalam keadaan duduk atau menggunakan cara lain yang sesuai dengan kemampuan anda.
Menurut hadis Nabi Muhammad SAW (riwayat Bukhari), “Bila salah seorang di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (dan ia merasa berat untuk mengerjakan solat), maka hendaklah ia solat dalam keadaan duduk.”
Berikut adalah beberapa langkah untuk mengerjakan solat dalam keadaan duduk:
1. Anda boleh duduk dengan kaki dilipat atau duduk bersila, atau dalam posisi mana pun yang membuat anda rasa selesa dan berkurang sakit.
2. Untuk rukuk, anda boleh membungkukkan badan sedikit ke hadapan sejauh yang anda mampu, tanpa membahayakan kesihatan anda.
3. Untuk sujud, anda boleh membungkukkan badan lebih jauh daripada rukuk, atau menundukkan kepala anda lebih rendah daripada semasa rukuk. Anda juga boleh menggunakan isyarat tangan jika perlu.
4. Jika anda tidak dapat duduk, anda juga boleh melakukan solat semasa berbaring di sisi kanan atau kiri dengan menghadap kiblat.
Selalu ingat bahawa Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang dan Dia mengetahui usaha dan niat kita dalam mengerjakan ibadah walaupun dalam keadaan sakit. Allah tidak membebani hamba-Nya melainkan sesuai dengan kemampuannya.
Assalamualaikum Ustaz..saya tanya dah 2 bulan tapi ustaz masih belum jawab soalan saya..
Wassalam. Maaf tuan, saya terlepas pandang. Saya dah cari soalan tuan tersebut dan telah membuat balasan jawapan
Assalamualaikum , maaf saya ingin bertanya , boleh ke kalau kita melakukan solat duduk di kerusi atas sebab injured bahagian buku lali memang sakit kalau nak duduk sujud tahiyat akhir apa semua tapi masih mampu berdiri , jadi bagaimana? Ketika awal solat kita berdiri sehingga rukuk kemudian , mahu sujud kita duduk begitu? Boleh kalau nak tahan sakitnya tetapi tidak fokus lah dan memang sakit 💀
Wassalam, kita sakitnya membuat awak hilang fokus terhadap solat, baguslah awak duduk dari awal kerana ia dikira tidak mampu untuk berdiri
Assalamualaikum Ustaz
Saya akan mengalami operasi untok membuang buah pinggang sa-belah kanan pada tanggal 8 June 2022.
Walaupun saya boleh solat secara duduk, bagaimana kah saya boleh melaksana kan rukuk dan sujud? sebab pembedahan itu di kawasan perut
Saya harap Ustaz dapat menjawab soalan ini. Terima kasih
Wassalam. Rukuklah sekadar yang mampu. Jika tidak mampu, boleh guna isyarat kepala
Assalamualaikum Ustaz.
Saya menghidap penyakit osteoarthritis di kedua-dua belah kaki saya. Penyakit saya membataskan pergerakan saya. Saya masih boleh berdiri dan berjalan.
Persoalan saya,
saya harap Ustaz dapat menjawab persoalan saya.. terima kasih
Wassalam,
Wallahu a’lam
Terima kasih ustaz..
Assalamualaikum Ustaz, regarding point nombor 2, kalau saya boleh sujud tapi duduk antara dua sujud tak boleh, saya mula kan solat berdiri. Semasa sujud, saya sujud seperti biasa, semasa duduk diantara dua sujud, saya duduk atas kerusi. Selepas duduk pertama, saya terus sujud seperti biasa atau sambung dari kerusi?
Waalaikumsalam.
Dalam situasi di mana seseorang boleh sujud tetapi mengalami kesukaran untuk duduk antara dua sujud, ada beberapa penyesuaian yang boleh dilakukan dalam solat menurut Mazhab Syafie.
1. Memulakan Solat Berdiri: Tuan seharusnya memulakan solat dengan berdiri jika mampu. Ini kerana berdiri adalah salah satu rukun solat yang wajib dilakukan jika seseorang itu mampu.
2. Sujud Seperti Biasa: Jika tuan mampu sujud, lakukanlah sujud seperti biasa.
3. Duduk Antara Dua Sujud: Jika tuan tidak mampu duduk di lantai antara dua sujud, tuan boleh menggunakan kerusi. Tuan duduk di kerusi untuk tasyahhud awal dan akhir atau duduk antara dua sujud.
4. Selepas Duduk Pertama: Apabila sudah selesai duduk antara dua sujud di atas kerusi, tuan boleh bangun untuk rakaat berikutnya atau, jika sudah pada rakaat terakhir, tuan boleh terus duduk di kerusi untuk tahiyyat akhir.
Penting untuk diingat bahwa dalam Islam, kemudahan dan keringanan diberikan kepada mereka yang menghadapi kesulitan. Solat harus dilakukan sebaik mungkin sesuai dengan kemampuan.
Jadi, jika tuan menghadapi kesukaran untuk melakukan sebahagian daripada gerakan solat, tuan dibenarkan untuk melakukan penyesuaian seperti yang diterangkan di atas.
Assalamualaikum Ustaz. Untuk solat secara duduk, niat solat berbeza ke?
Wassalam.
Tidak, niat solatnya sama sahaja.
Cuma dari segi pergerakan sahaja dilakukan dari atas kerusi.
Salam Ustaz..bagaimana saya nak sholat kalau ibu jari kaki saya operasi dan bungkus..Doctor cakap jangan kena air nanti lambat kering.
.Sedangkan saya mesti berwudhu sabelum sholat..Saya tak sholat salama sabulan sebab ibu jari kaki saya waktu tu belum kering..Maaf Ustaz tolong berikan bantuan nasihat untuk saya..Terima kaseh
Wassalam.
Solat itu wajib dilakukan walau apapun keadaan kita. Jika tidak dapat kena air, maka boleh tayamum.
Jika tidak dapat tayamum, kecualikan air dari terkena ibu jari tersebut.