Apakah hukum jual makanan kepada orang tidak puasa?
Adakah si penjual turut berdosa?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dihalaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat
SOALAN:Adakah harus penjual menjual makanan seperti nasi kepada orang yang tidak berpuasa kerana banyak berlaku perkara ini di tempat kita?
JAWAPAN:
Haram hukumnya menjual makanan kepada orang yang tidak berpuasa yang tidak mempunyai uzur tidak berpuasa.
Ada pun yang mempunyai uzur seperti perempuan yang haid dan nifas dan kanak-kanak dan orang yang sakit maka tidak haram menjual makanan kepada mereka kerana sungguhnya menjual makanan kepada orang yang derhaka kerana tidak berpuasa tanpa uzur adalah dikira menolong orang yang melakukan maksiat.
Tersebut dalam kitab I’anah At-Talibin, ertinya:
Maka tidak harus menolong orang yang menggunakannya kepada perkara maksiat samada dengan yakin atau berat sangkaan dan ada pun jual beli itu sah ia.”
Dan termasuk diharamkan menjual makanan kepada mereka ini ialah orang bukan Islam yang jika mereka masuk Islam maka mereka wajib berpuasa.
Berkata Syeikh Jamal, ertinya:
Telah berfatwa oleh Syeikh Ramli dengan bahawasanya diharamkan ke atas orang Islam memberikan air minum akan kafir zhimmi dalam bulan Ramadhan samada dengan jual beli atau lainnya kerana yang demikian itu adalah menolong atas maksiat.”
(Hasyiah Jamal)
Dan tempat dikatakan haram jual kepada mereka ini ialah apabila adalah yang membeli itu hendak makan ia pada siang hari bulan Ramadhan.
Ada pun jika bukan untuk dimakan pada siangnya maka tidak haram menjualnya.
Tersebut pada kitab Al-mausua’tul Fiqhiyah, ertinya:
Sebagaimana telah menaskan atasnya oleh Syeikh Syarwani dan Ibnu Qasim Al-Ibadi atas tegahan orang Islam menjual makanan kepada orang kafir yang dia ketahui atau berat sangkaan pembeli akan memakannya pada siang hari Ramadhan sebagaimana telah berfatwa oleh Syeikh Ramli yang berkata : Sungguhnya yang demikian itu adalah menolong atas maksiat kerana bersandarkan pendapat yang kuat bahawa orang kafir juga diperintahkan dengan cabang-cabang syariat.”
Kesimpulan
Jika yang hendak membeli makanan itu adalah orang yang tidak ada uzur tidak berpuasa Ramadhan dan dia hendak makan makanan yang dibelinya itu pada waktu siang maka haram menjual apa sahaja makanan atau minuman kepadanya.
Jika yang membelinya memang hendak makan dan minum pada siang hari Ramadhan tetapi mereka adalah orang yang tidak wajib berpuasa atau tidak sah berpuasa seperti perempuan yang sedang haid atau nifas dan kanak-kanak dan orang yang sakit atau musafir maka tidak haram menjual makanan dan minuman kepada mereka.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..
Assalammualaikum.. maaf bertanya saya ni kerja di dalam MALL menjual Coffe. Shiff mula pagi sampai 10malam.. bagai mana hukumnya..
Bagaimana jika kita kerja bahagian peruncitan dan kita didatangi pelanggan yang kita tak tahu statusnya islam ataupun tidak. Apa hukumnya? Dan bagaimana kalau kita masih menjual kepada yang kita tahu statusnya islam dan sihat atas sebab tanggungjawab dalam pekerjaan?