Apakah hukum perempuan pakai gelang kaki?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dihalaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALAN:Saya ingin mendapatkan kepastian tentang wanita memakai perhiasan emas pada kakinya seperti gelang kaki sebenarnya boleh atau tidak?
JAWAPAN:
Kaum wanita diharuskan memakai perhiasan sama ada emas atau lainnya dengan syarat bukan kerana menunjuk-nunjuk kepada lelaki ajnabi atau menyombongkan diri atau dengan kadar yang melampau banyaknya.
Begitu juga dengan gelang kaki maka harus kaum wanita memakainya sama ada gelang emas atau perak atau plastik atau lainnya tetapi dengan syarat dia tidak menyingsingkan kainnya supaya dilihat dan terbuka auratnya.
Atau dihentak kakinya dengan keras supaya menarik perhatian orang supaya orang yang memandangnya.
Firman Allah Taala:
وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ
Ertinya:
Jangan kaum wanita itu menghentakkan kaki mereka supaya diketahui apa yang tersembunyi dari segala perhiasan mereka.”
(An-Nur : 31)
Berkata Imam Ibnu Kathir :
كَانَتْ الْمَرْأَةُ فِي الْجَاهِلِيَّةِ إذَا كَانَتْ تَمْشِي فِي الطَّرِيقِ ، وَفِي رِجْلِهَا خَلْخَالٌ صَامِتٌ لَا يُعْلَمُ صَوْتُهُ ، ضَرَبَتْ بِرِجْلِهَا الأَرْضَ فَيَسْمَعُ الرِّجَالُ طَنِينَهُ ، فَنَهَى اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى الْمُؤْمِنَاتِ عَنْ مِثْلِ ذَلِكَ ، وَكَذَلِكَ إذَا كَانَ شَيْءٌ مِنْ زِينَتِهَا مَسْتُورًا ، فَتَحَرَّكَتْ بِحَرَكَةٍ لِتُظْهِرَ مَا هُوَ خَفِيٌّ دَخَلَ فِي هَذَا النَّهْيِ
Ertinya:
Adalah kaum wanita pada zaman jahiliyah apabila mereka keluar berjalan dijalanan yang mana pada kakinya terdapat gelang kaki dalam keadaan tidak diketahui akan bunyinya lalu dihentakkan dengan kakinya pada tanah maka didengar oleh segala lelaki akan dering locengnya.
Maka Allah telah melarang sekelian perempuan yang beriman dari yang demikian itu.
Begitu juga apabila adalah perhiasan mereka itu tersembunyi lalu dia berbuat gerakan yang akan menampakkan perhiasannya yang tersembunyi itu juga masuk dalam larangan ayat ini.”
(Tafsir Ibnu Kathir)
Maka diketahui bahawa kaum wanita harus memakai gelang kaki kerana yang dilarang bukannya memakai gelang kaki tetapi menunjuk-nunjuk kepada bukan mahram.
Termasuk yang haram juga ialah perbuatan setengah perempuan yang memakai kain atau seluar yang singkat atau dilipatnya supaya kelihatan gelang yang dipakainya pada kakinya kerana telah mendedahkan auratnya.
Dan sebahagian ulamak memakruhkan memakai gelang yang ada loceng manakala sebahagian ulamak pula mengharuskannya.
Berkata Imam Ibnu Qudamah :
ويباح للنساء من حلي الذهب والفضة والجواهر كل ما جرت عادتهن بلبسه، مثل السوار والخلخال والقرط والخاتم وما يلبسنه على وجوههن وفي أعناقهن وأيديهن وأرجلهن وآذانهن وغيره] اهـ.
Ertinya :
Diharuskan bagi kaum wanita memakai perhiasan emas dan perak dan segala permata yang biasa kaum wanita memakainya seperti gelang tangan dan gelang kaki dan subang dan cincin dan perhiasan yang dipakai pada wajahnya dan pada lehernya dan tangannya dan kakinya dan telinganya dan lainnya.
(Kitab Al-Mughni)
Dan setengah ulamak mensyaratkan jangan gelang itu terlalu besar atau kecil tetapi terlalu banyak kerana ia termasuk melampau pada berhias dari kerana berlebihan atau melampau itu tidak disukai oleh Allah.
Tersebut pada kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:
لا يجوز الْإِسْرَافُ فِي التَّحَلِّي بالحلي كَاِتِّخَاذِ الْمَرْأَةِ أَكْثَرَ مِنْ خَلْخَالٍ مِنْ الذَّهَبِ
Artinya :
Tiada harus melampau atau berlebihan pada berhias seperti memakai perempuan gelang kaki yang banyak daripada emas.”
Kesimpulan
Hukum kaum wanita memakai gelang kaki adalah harus.
Hendaklah wanita yang memakai gelang kaki itu apakala keluar dari rumah jangan dihentakkan kakinya atau dipakainya kain yang singkat atau dilipat akan kaki seluarnya dengan tujuan supaya orang mengetahui dengan perhiasan yang ada pada kakinya itu.
Jangan berlebihan pada kadar perhiasan yang dipakai kerana ia tidak disukai oleh syarak dan mendedahkan kepada bahaya diragut atau seumpamanya.
Ada pun dirumah dihadapan mahramnya harus ia mendedahkan gelang kaki dan segala perhiasan yang dipakainya istimewa lagi kepada suaminya.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus:
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
- Rujukan lain untuk masalah ini boleh dilihat pada laman web Mufti Wilayah Persekutuan
Tinggalkan Komen Anda..