Hukum Selawat Solat Tarawih

Apakah hukum selawat solat tarawih?

Dalam artikel ini, saya melampirkan soalan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dihalaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN:

Adakah benar seperti kata orang bahawa dilarang berselawat ketika menunaikan solat tarawih kerana perbuatan itu adalah bidaah dan haram?


JAWAPAN:

Ketika selesai menunaikan solat sunat tarawih tidak ada sebarang ketetapan berselawat atau tidak.

Siapa yang hendak berselawat maka hukumnya adalah harus dan dapat baginya segala kelebihan berselawat yang datang dalam hadis-hadis yang sahih dan ulamak telah ijmak atas diperintahkan memperbanyakkan selawat pada bila masa dan tempat yang kita suka.

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a. Rasulullahs aw bersabda:

أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَىَّ صَلاَةً

Ertinya :

Orang yang paling utama denganku pada hari kiamat nanti ialah yang paling banyak berselawat atasku.”

(Hadith Tirmizi)

Dari Abi Talhah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :

أَتَانِي آتٍ مِنْ رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ فَقَالَ مَنْ صَلَّى عَلَيْكَ مِنْ أُمَّتِكَ صَلَاةً كَتَبَ اللَّهُ لَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ وَمَحَا عَنْهُ عَشْرَ سَيِّئَاتٍ وَرَفَعَ لَهُ عَشْرَ دَرَجَاتٍ

Ertinya:

Jibril telah datang kepada ku dan berkata : Siapa yang berselawat atasmu daripada umatmu sekali selawat nescaya Allah akan menulis sepuluh pahala baginya dan menghapuskan daripadanya sepuluh dosa dan mengangkat baginya sepuluh darjat.”

(Hadith Imam Ahmad)

Dan banyak lagi hadith-hadith tentang kelebihan orang mengucapkan selawat.

Maka orang yang berselawat ketika menunaikan solat tarawih juga akan mendapat sekelian ganjaran yang telah disebut oleh Rasulullah saw.

Siapa yang berkata berselawat selepas solat tarawih adalah haram atau wajib maka dia adalah pendusta agama dan suka berdusta dalam membuat hukum agama itu adalah perangai kaum yahudi.

Berkata Mufti Negeri Mesir :

وقد أمر الله تعالى بها أمرًا مطلقًا في قوله سبحانه وتعالى: ﴿إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا﴾ [الأحزاب: 56]، والأمر المطلق يقتضي عموم الأمكنة والأزمنة والأشخاص والأحوال، فمن ادَّعى -بلا دليل- أنها مُحَرَّمةٌ في وقتٍ من الأوقات فقد ضيَّق ما وسَّعه الله تعالى؛ لأنه قيَّد المطلَق وخصَّص العامَّ بلا دليل، وهذا في نفسه نوعٌ من أنواع البدعة المذمومة. دار الإفتاء المصرية

Ertinya :

Dan sungguhnya Allah telah memerintahkan dengan berselawat itu sebagai perintah yang bebas pada firman-Nya : Sungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi maka wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu sekelian berselawat atasnya dengan sebenar-benar selawat.

Maka perintah Allah ini bebas tidak terikat dengan tempat atau masa atau seseorang atau keadaan.

Siapa mendakwa tanpa dalil bahawa selawat itu diharamkan pada waktu tertentu maka sungguhnya dia telah menyempitkan perkara yang diluaskan oleh Allah.

Kerana sungguhnya dia telah telah menkhususkan suatu yang bersifat umum tanpa dalil.

Dan inilah sebenarnya satu jenis dari bidaah yang keji.”

(Darul Ifta Mesir)

Maka jelas disini orang yang berkata berselawat ketika solat tarawih adalah bidaah yang haram maka sebenarnya dia adalah ahli bidaah yang patut dijauhi oleh sekelian manusia.

Dan orang yang memandai-mandai menyempitkan apa yang diluaskan oleh Allah adalah orang bodoh lagi jahil dengan syariat.

Berkata Imam Syafie:

وأحب كثرة الصلاة على النبي صلى الله عليه وسلم في كل حال

Ertinya :

Aku kasih seorang itu memperbanyakkan selawat ke atas Nabi saw pada semua keadaan.”

(Kitab Al-Uum)

Jadi samada berselawat selepas solat tarawih atau selepas bersukan atau dalam kenderaan atau dirumah atau di masjid atau dimana sahaja dan bila sahaja adalah disunatkan.

Dari Ali bin Abi Talib r.a. Nabi saw bersabda :

الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَىَّ ‏”

Ertinya :

Orang yang bakhil itu ialah orang apabila namaku disebut dihadapannya dia tidak berselawat atasku.”

(Hadith Tirmizi)

Lihatlah orang yang tidak berselawat pun Nabi saw hukumkan sebagai bakhil maka betapa pula orang yang melarang selawat.


Kesimpulan

Tidak diwajibkan berselawat ketika solat sunat tarawih sebagaimana diamalkan.

Siapa yang mengucapkan selawat ketika menunaikan solat sunat tarawih maka dia akan mendapat segala kelebihan dan ganjaran yang disebut di dalam hadis-hadis.

Perbanyakkanlah selawat tidak kira tempat atau masa selagi tidak ada larangan.

Jangan sekali-kali melarang orang berselawat kerana tiada yang melarang perkara yang dikasihi oleh Allah dan Rasul itu melainkan dia adalah syaitan.

Wallahua’lam

Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

2 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
halimah abd rahman
halimah abd rahman
3 tahun yang lalu

asmkm, terima kasih dgn panduan ini, namun saya ada pertanyaan boleh ka mendirikan solat sunat isyrak ketika dirumah mohon doa solat isyrak dalam tulisan rumi.