Marrakech: 5 Tempat Paling Indah & Menarik Untuk Dilawati

Nama Marrakech sering mengundang bayangan souq yang bersimpang siur, aroma rempah yang memanaskan deria, dan gema azan yang bergema di langit senja. Namun di sebalik hiruk-pikuk itu, kota purba ini mengajak kita berfikir dan mengenal makna diri.

Kembara ke Marrakech bukan sekadar pelancongan. Kota bersejarah ini, yang pernah berfungsi sebagai pusat empayar dan keilmuan, memiliki signifikansi berlapis. Warisan sejarah Islam dan Berber-Arab, ditambah dengan estetika seni bina Moorish, mewujudkan suasana yang kondusif untuk refleksi dan kontemplasi.

Marrakech yang digelar Kota Merah  mengajar bahawa keindahan bukan hanya pada warna dan bentuk, tetapi pada nilai dan renungan di sebaliknya. Di sinilah, setiap langkah menjadi zikir, dan setiap sudut menjadi hikmah yang menunggu untuk disingkap.

Latar & Sejarah Kota Marrakech

Didirikan pada tahun 1070 Masihi oleh Yusuf ibn Tashfin daripada Dinasti Almoravid, Marrakech pernah menjadi pusat pemerintahan, perdagangan, dan keilmuan Islam di Maghribi.[1] Kota ini menjadi nadi penyebaran ilmu, seni bina, dan tamadun Islam ke Andalusia serta Afrika Barat.

Gabungan warisan Berber-Arab dan pengaruh Moorish melahirkan keunikan seni bina seperti Masjid Koutoubia, Istana Bahia, dan Madrasah Ben Youssef  semuanya berdiri sebagai simbol kesatuan antara keindahan dan keimanan.

Dikenali sebagai Al-Madina al-Hamra atau Kota Merah, warna tanah liatnya yang kemerahan bukan sekadar estetika, tetapi melambangkan kekuatan, keteguhan dan semangat masyarakatnya yang berakar pada nilai Islam dan budaya tempatan.

Simbolik Agama di Sebalik Kota Merah

Kedudukan Marrakech di antara Banjaran Atlas dan Gurun Sahara bukan sekadar geografi, tetapi membawa makna simbolik keseimbangan antara dunia dan akhirat. Gunung yang teguh mencerminkan kekuatan iman dan keteguhan prinsip, manakala gurun yang luas menggambarkan perjalanan jiwa menuju penyucian dan pengharapan.

Dalam sejarahnya, Marrakech pernah menjadi tempat berhimpunnya ulama, sufi dan pedagang dari pelbagai wilayah Islam. Pertemuan ini membentuk kota yang tidak hanya berfungsi sebagai pusat ekonomi, tetapi juga medan pertukaran ilmu dan keagamaan.[2]

Oleh sebab itu, setiap lorong, pasar dan masjid di Marrakech seperti menyimpan gema masa lalu mengingatkan bahawa keindahan dan hikmah sering lahir di persimpangan antara dunia zahir dan batin.

Warisan Seni Bina Islam

Salah satu keunikan Marrakech ialah bagaimana seni bina Islamnya menzahirkan prinsip tauhid. Unsur simetri, geometri dan keseimbangan bukan sekadar estetika, tetapi manifestasi keesaan dan keteraturan ciptaan Allah.

Bangunan seperti Masjid Koutoubia, Istana Bahia, dan Madrasah Ben Youssef menampilkan seni ukiran, jubin zellij, serta reka bentuk halaman berpusat (courtyard) yang menggambarkan harmoni antara keindahan, fungsi dan spiritual.

Jemaa el-Fna: Nadi Kebudayaan Marrakech

Terletak di pusat Medina Marrakech, Jemaa el-Fna ialah dataran hidup yang menjadi jantung sosial Kota Merah sejak abad ke-11 (era Almoravid). Namanya ditafsir sebagai tempat perhimpunan atau merujuk kepada masjid yang pernah wujud namun nilai sebenar dataran ini terletak pada interaksi manusia yang menghidupkannya saban hari.[3]


Suasana di Jemaa el-Fna lebih tenang pada waktu siang, dan mulai meriah menjelang petang dengan kehadiran penjaja serta pelawat.

Pada 2001, UNESCO mengiktiraf Jemaa el-Fna sebagai Warisan Tidak Ketara bukan kerana binaan, tetapi kerana tradisi lisan, penceritaan, muzik, seni jalanan, dan suasana komuniti yang sentiasa diperbaharui.

  1. Waktu Terbaik
    Waktu senja sehingga malam untuk suasana penuh dan padat . Waktu pagi untuk dataran yang lebih lapang dan cahaya lembut.
  2. Titik Rujuk
    Masjid Koutoubia (menara sebagai kompas visual), pintu masuk ke souq (pasar), dan teres kafe sekitar dataran untuk pandangan di aras tinggi.
  3. Makanan & Halal
    Gerai tempatan menyajikan tagine, couscous, harira, roti panas. Pilihlah gerai bersih, ramai pelanggan tempatan, dan minta air mineral bertutup.
  4. Adab & Etika
    Hormati privasi dimana anda minta izin sebelum merakam wajah penggiat seni/pedagang dan elakkan kandungan yang memalukan.
  5. Tip Keselamatan
    Simpan barang berharga rapat, tawar harga dengan sopan, dan gunakan landmark (Koutoubia) untuk elak tersasar.

Ringkasnya, Jemaa el-Fna ialah muzium hidup sebagai tempat terbaik memahami esensi Marrakech. Sebuah kota yang menyatukan ekonomi, budaya, dan rohani dalam satu ruang yang tidak pernah luput.

Medina of Marrakech & Souq: Warisan, Pasar dan Jiwa Kota

Di tengah Kota Merah, tersembunyi dunia lama bernama Medina of Marrakech iaitu  kawasan berdinding tanah merah yang masih bernafas dengan kehidupan sejak abad ke-11.

Lorong-lorong sempitnya bukan sekadar jalan, tetapi nadi sejarah dan budaya Islam yang masih hidup hingga kini.

Medina ini diasaskan pada zaman Dinasti Almoravid sebagai pusat perdagangan dan keilmuan. Kini, ia diiktiraf UNESCO (1985) sebagai Tapak Warisan Dunia bukan kerana keindahan seni binanya semata-mata, tetapi kerana ia masih dihuni, digunakan dan dijaga dengan cara hidup yang sama sejak ratusan tahun dahulu.


Di kawasan Medina of Marrakech & Souq, tawar-menawar adalah budaya dan jangan segan berunding untuk dapatkan harga terbaik!

Gelaran “Kota Merah” datang daripada tembok tanah liat yang mengelilinginya menjadi simbol kekuatan, keteguhan, dan keaslian seni bina Islam-Afrika Utara.

Setiap riad, gerbang, dan ukiran menjadi cerminan hubungan rapat antara seni, spiritualiti dan kehidupan seharian masyarakat Maghribi.

Di sini, Medina bukan sekadar kota, tetapi cerminan kehidupan berasaskan nilai Islam kerana tempat niaga, ilmu, dan ibadah bertemu dalam harmoni.

Ribuan keluarga masih menetap di dalamnya, mewarisi kemahiran turun-temurun seperti menyamak kulit, menempa logam, menenun permaidani dan menghasilkan minyak wangi.

Melangkah ke lorongnya seperti memasuki dunia lain dimana bau kulit dan rempah bercampur, bunyi tukul dan zikir kerja kedengaran serentak. Kanak-kanak bermain di celah lorong, dan para peniaga menegur pelanggan dengan senyuman ikhlas.

Di souq, suasana menjadi lebih hidup melalui pasar tradisional yang padat dengan warna dan suara. Di sinilah pengunjung benar-benar memahami jiwa Marrakech. Ketika di tengah kesibukan dunia, masih ada kehangatan manusia, kejujuran rezeki, dan keindahan hidup sederhana.


Jangan lupa cuba makanan tempatan disini. Rasanya autentik dan paling sedap di kedai yang ramai penduduk tempatan!
  1. Datang pada waktu pagi atau senja
    Pagi sesuai untuk menikmati cahaya lembut dan lorong yang masih tenang, sementara senja memperlihatkan perubahan warna tembok tanah merah yangmempesonakan.
  2. Berjalan tanpa peta
    Benarkan diri ‘tersesat’. Lorong berliku itulah cara terbaik merasai kehidupan sebenar penduduk tempatan dan menemui sudut tersembunyi seperti bengkel tukang atau riad lama.
  3. Berinteraksi dengan penduduk
    Mengucapkan “Salam” membuka banyak pintu kerana mereka menghargai pelancong yang datang dengan adab dan minat terhadap budaya Islam.
  4. Nikmati seni tangan tempatan
    Lihat tukang kulit, penenun dan pandai besi bekerja. Setiap hasil buatan mereka bukan sekadar barang, tetapi simbol warisan dan ketekunan.
  5. Berbelanja dengan adab
    Tawar-menawar dilakukan dengan senyuman dan kesopanan. Anggap ia satu bentuk perbualan, bukan persaingan.
  6. Rasai cita rasa Maghribi
    Cuba jus oren segar, roti panas, tagine, dan mint tea di gerai kecil. Di sinilah anda memahami makna keberkatan rezeki dalam kesederhanaan.
  7. Perhatikan adab merakam
    Minta izin sebelum mengambil gambar wajah atau tempat ibadah. Pendekatan sopan akan dihargai dan membuka lebih banyak pengalaman positif.

Medina bukan sekadar peninggalan sejarah, tetapi cermin kehidupan . Merekalah tempat di mana nilai Islam hidup dalam bentuk paling nyata.

Disebalik kesibukan pasar, ada ketulusan dalam mencari rezeki di celah lorong sempit, ada kasih dan saling mengenal di tangan tukang, ada seni yang mengingatkan manusia kepada Pencipta.

Bahia Palace: Keindahan yang Mendidik Jiwa

Terletak di jantung kota Marrakech, di sebalik tembok merah bersejarah, berdiri Bahia Palace yang bermaksud “Keindahan yang Cemerlang.” Istana ini bukan sekadar peninggalan sejarah, tetapi lambang seni, ketertiban, dan keindahan yang berpaksikan iman.

Dibina pada akhir abad ke-19 oleh Si Moussa, Wazir kepada Sultan Hassan I dari Dinasti Alaouite, keindahan Bahia mencapai kemuncaknya ketika diperluas oleh anaknya, Ba Ahmed. Projek ini mengambil masa hampir 15 tahun, hasil kerja tangan tukang terbaik dari Fès, Meknès, dan Tlemcen.[4]

Setiap ruang menampilkan seni bina Islam-Maghribi yang memukau melalui ukiran kayu cedar, jubin zellij yang halus, dan siling emas yang memantulkan cahaya lembut.


Antara struktur seni bina Islam di Bahia Palace yang menunjukkan ukiran halus dan memukau setiap pandangan.

Simetri yang tersusun menggambarkan falsafah hidup Islam sepertti seimbang, tertib dan damai. Bahia bukan istana untuk menunjukkan kuasa, tetapi madrasah seni yang mengajar bahawa keindahan adalah sebahagian daripada iman.

Air kolam melambangkan penyucian, taman hijau menggambarkan syurga yang dijanjikan, manakala warna biru, hijau, dan putih pada dindingnya menzahirkan ketenangan hati.


Antara keunikan utama di Bahia Palace ialah ukiran halus pada bahagian siling yang menampilkan seni bina Islam-Maghribi klasik.

Melangkah ke dalam Bahia seperti memasuki ruang tafakur di luar, Marrakech sibuk dan berdebu namun di sini, masa seolah-olah berhenti.

Bunyi angin menyentuh dedaunan, pantulan cahaya pada jubin biru, dan bayangan palma di kolam seakan zikir alam yang menenangkan jiwa.

  1. Datang pada waktu pagi
    Cahaya lembut menonjolkan keindahan ukiran, dan suasana masih tenang sebelum ramai pengunjung tiba.
  2. Perlahan langkah, buka deria
    Dengarkan gema tapak kaki di lantai marmar dan hirup aroma taman. Ianya membantu anda menghayati ketenangan yang dimaksudkan oleh seninya.
  3. Perhatikan simetri dan cahaya
    Setiap garisan dan bayang bukan kebetulan, tetapi lambang keseimbangan dan tauhid dalam seni bina Islam.
  4. Ambil masa di taman dalam (riad)
    Duduk di tepi kolam, dengar alunan air, dan biarkan fikiran diam sebentar. Di situlah letaknya makna keindahan dalam ketenangan. Gunakan hati bagi menilai diri ini.
  5. Jangan sekadar melihat, tetapi renungkan bahawa setiap keindahan adalah tanda kasih Allah terhadap hambaNya.
    Bahia Palace mengingatkan kita bahawa seni dalam Islam bukan hanya untuk mata, tetapi juga untuk hati mengajar manusia melihat dunia dengan rasa syukur, tertib, dan cinta terhadap keindahan yang membawa kepada Pencipta.

Koutoubia Mosque: Pusat Agama di Tengah Kota Merah

Di tengah-tengah Marrakech, berdiri Masjid Koutoubia sebagai mercu tanda agung yang menjadi nadi keimanan dan simbol kesatuan antara ilmu, ibadah dan seni Islam.

Terletak berhampiran Jemaa el-Fna dan pintu utama Medina, menaranya yang menjulang setinggi 77 meter dapat dilihat dari setiap penjuru kota menjadi kompas bagi jiwa dan penanda arah bagi musafir.

Masjid ini dibina pada tahun 1147 oleh Khalifah Abd al-Mu’min daripada Dinasti Almohad, dan disempurnakan oleh Ya’qub al-Mansur. Ia merupakan antara karya seni bina Islam paling berpengaruh di Afrika Utara.[5]

Batu pasir merah yang digunakan menjadikannya sebati dengan warna kota, sementara jubin hijau dan biru, gerbang melengkung, serta corak geometri mencerminkan falsafah tauhid dan keseimbangan dalam seni Islam.

Koutoubia turut mengilhamkan dua menara tersohor dunia iaitu Giralda di Seville dan Hassan Tower di Rabat. Ini membuktikan bahawa keindahan seni Islam melangkaui batas geografi.


Menara Koutoubia, Marrakech dibina abad ke-12 oleh Dinasti Almohad dan menjadi mercu tanda utama kota ini.

Nama Koutoubia berasal daripada perkataan al-Kutubiyyin bermaksud penjual buku, merujuk kepada pasar kitab dan manuskrip yang dahulu memenuhi kawasan sekitarnya. Ini menandakan bahawa ilmu dan ibadah saling terikat dalam tradisi Islam dan satu pun tidak hidup tanpa yang lain.[6]

Melangkah ke perkarangan Koutoubia, dunia seolah-olah memperlahankan langkahnya. Lorong-lorong sibuk Medina berganti dengan ketenangan taman dan aroma bunga oren.

Pagi di sini lembut dan suci , burung berterbangan di antara pohon palma, jemaah datang perlahan-lahan untuk solat Subuh dan Dhuha, dan cahaya matahari menari lembut di dinding merah menara.


Masjid ini antara tarikan utama , digalakkan datang awal pagi untuk elak kesesakan.

Ketika senja, suasana berubah menjadi magis. Langit jingga, batu menara berkilau keemasan, dan azan Maghrib bergema memecah kesibukan dunia, menyatukan semua hati yang mencari ketenangan.

  1. Datang pada waktu pagi atau selepas Asar
    Waktu pagi (8:30–10:00) menawarkan cahaya yang lembut dan suasana damai manakala waktu petang pula menampilkan keindahan menara yang bersinar jingga keemasan menjelang matahari terbenam.
  2. Nikmati taman sekitar masjid
    Taman palma dan oren di sekeliling masjid sesuai untuk berehat atau bertafakur. Dari situ, anda dapat melihat keagungan menara sambil mendengar desiran angin dan kicauan burung.
  3. Hayati azan dan suasana sekeliling
    Walaupun pelawat bukan Muslim tidak dibenarkan masuk ke ruang solat utama, mereka tetap boleh merasai getaran spiritual melalui gema azan, bacaan al-Qur’an dan tenangnya suasana luar.
  4. Perhatikan seni dan struktur menara
    Lihat bagaimana geometri, corak jubin, dan simetri melambangkan keesaan dan keteraturan ciptaan Allah melalui satu pelajaran tauhid yang diterjemah melalui seni.
  5. Renungkan makna namanya Masjid Buku
    Ia mengingatkan bahawa dalam Islam, ilmu dan ibadah adalah dua cahaya yang saling menerangi jalan manusia.

Masjid Koutoubia bukan sekadar bangunan megah, tetapi pusat jiwa Marrakech . Inilah tempat di mana setiap azan mengingatkan manusia bahawa di tengah hiruk-pikuk dunia, masih ada ruang untuk diam, berzikir, dan kembali kepada Allah.

Menara Gardens & Agdal Gardens: Alam, Air dan Ketenangan Jiwa

Terletak di pinggir barat Marrakech, di sebalik tembok tanah merah bersejarah, berdiri dua taman warisan Islam yang menenangkan iaitu Menara Gardens dan Agdal Gardens. Kedua-duanya menjadi simbol keseimbangan antara manusia, alam, dan spiritualiti.

Menara Gardens: Simbol Tenang dan Refleksi

Dibina pada abad ke-12 oleh Khalifah Abd al-Mu’min dari Dinasti Almohad, Menara Gardens menggambarkan visi Islam tentang harmoni antara manusia dan alam.

Di tengah kawasan ini berdiri sebuah pavilion berwarna pasir dengan bumbung hijau, menghadap kolam besar yang memantulkan langit dan puncak Gunung Atlas di kejauhan.

Kolam ini bukan sekadar hiasan. Ia disokong oleh sistem khettara iaitu sebuah saluran bawah tanah purba yang membawa air dari pergunungan sejauh hampir 30 kilometer. Inilah bukti kebijaksanaan tamadun Islam yang menekankan manfaat dan keberlanjutan, bukan sekadar keindahan.

Suasana di Menara Gardens pada waktu pagi lebih mendamaikan dan tidak terlampau padat dengan pengunjung.

Melangkah ke Menara Gardens seperti keluar dari dunia moden. Lorong dipayungi pohon zaitun, angin gurun bertiup lembut, dan pantulan pavilion di permukaan air mengajarkan bahawa ketenangan lahir daripada keseimbangan.

Ketika senja, cahaya keemasan matahari menyentuh kolam, azan dari kejauhan menggema, dan suasana menjadi seolah-olah lukisan hidup yang berzikir.

Agdal Gardens: Keindahan Ilmu dan Tanggungjawab

Di selatan Marrakech, terhampar Agdal Gardens sebagai taman diraja yang lebih luas dan lebih tua daripada Menara. Dibina sekitar abad ke-12 juga oleh Abd al-Mu’min, ia berfungsi sebagai pusat pertanian dan kebun istana.

Nama Agdal bermaksud padang berpagar dalam bahasa Berber, melambangkan kawasan yang dijaga, disuburkan, dan diurus dengan amanah. Falsafahnya berpaksikan konsep barakah bahawa sumber alam yang diurus dengan hikmah akan menjadi punca rezeki yang berpanjangan.

Seperti Menara, sistem khettara digunakan untuk mengalirkan air ke kolam besar yang menyalurkan kehidupan ke pohon zaitun, oren, dan limau.


Pokok zaitun merupakan spesies dominan yang ditanam di kawasan taman ini sejak zaman Dinasti Almohad.


Dari udara, taman ini membentuk corak geometri teratur, melambangkan kesempurnaan ilmu dan keindahan yang seimbang  antara fungsi, seni, dan spiritualiti. Suasananya hening.

Pohon palma dan oren berderet di sepanjang laluan menuju Dar al-Hana, bekas istana musim panas khalifah.

Kini, taman ini menjadi ruang keluarga tempatan berjalan petang dan berehat, menikmati angin lembut sambil menatap horizon yang luas.

  1. Datang pada waktu pagi atau senja
    Cahaya lembut pagi menonjolkan pantulan Gunung Atlas di kolam Menara, manakala senja memberikan warna emas yang memantul di air dan pepohon.
  2. Berjalan perlahan di laluan zaitun
    Hirup udara bersih, dengar geseran angin dan gemersik daun serta setiap langkah mengajar erti sabar dan syukur.
  3. Luangkan masa di tepi kolam utama
    Duduk diam, lihat pantulan langit dan pohon, dan renungkan makna keseimbangan diantara jasad yang sibuk dan jiwa yang mendambakan diam.
  4. Perhatikan sistem pengairan khettara
    Ia bukan sekadar teknologi purba, tetapi lambang falsafah Islam dalam pengurusan alam seperti adil, bijak dan berterusan.
  5. Nikmati interaksi masyarakat tempatan
    Di Agdal, anda akan melihat warga tua membaca al-Qur’an di bawah teduhan, dan anak-anak kecil berlari di celah pohon menunjukkan harmoni kehidupan yang sederhana tetapi penuh makna.

Menara dan Agdal Gardens mengajar bahawa ketenangan bukan sekadar ruang yang sunyi, tetapi hasil daripada hubungan yang seimbang antara manusia, ilmu, dan alam ciptaan Tuhan.

Di sinilah, keindahan menjadi zikir, dan alam menjadi madrasah yang menenangkan jiwa.

Menutup Catatan Kembara

Marrakech bukan sekadar destinasi, tetapi medan memahami sejarah, budaya dan nurani. Di celah lorong Medina, gema azan Koutoubia, dan taman Menara serta Agdal, kita belajar bahawa keindahan dalam Islam menuntun hati kepada syukur, tertib dan ketenangan.

Tulisan ini ialah sorotan daripada pengembaraan bersama Kembara Sufi di bumi Marrakech, sebagai sebahagian usaha menghidupkan dakwah melalui kembara berilmu dan beradab. Maklumat perjalanan, itinerari dan panduan berkaitan boleh dirujuk di sini: https://kembarasufi.com/luar_negara/pakej-spain-portugal-morocco-spm/

“Berjalanlah di muka bumi, lalu perhatikan bagaimana kesudahan umat-umat yang terdahulu.” (ar-Rum: 42)

Semoga setiap langkah dalam kembara menjadi ibadah, dan setiap pengalaman menjadi hikmah yang menguatkan hati menuju Allah.

Rujukan

  1. Rujukan utama menyatakan kota ini diasaskan sekitar 1070–1072M oleh Dinasti Almoravid; kebanyakan sejarawan moden menisbahkan pengasas kepada Abu Bakr ibn ‘Umar, manakala Encyclopaedia Britannica menisbahkannya kepada Yūsuf ibn Tāshfīn pada pertengahan abad ke-11. Walau berbeza nisbah pengasas, sumber-sumber ini sepakat bahawa Marrakech segera muncul sebagai pusat politik, perdagangan dan keilmuan bagi Maghribi/Barat Islam. Lihat: UNESCO World Heritage: Medina of Marrakesh, Encyclopaedia Britannica: Marrakech, Wikipedia: Marrakesh ↩︎
  2. Marrakech sebagai simpang ulama, sufi & pedagang. UNESCO menegaskan Marrakech kekal sebagai pusat politik-ekonomi-budaya yang mempengaruhi Barat Islam, sementara Britannica merekodkan peranannya sebagai pusat komersial yang terhubung dengan dagang Sahara. Tradisi keilmuan terserlah melalui Madrasa Ben Youssef (antara yang terbesar di Maghrib pada kemuncaknya), dan ekosistem ilmu dibayangkan pada nama Masjid Koutoubia (“Masjid Para Penjual Buku”). Kehadiran tarekat dan tokoh sufi seperti Sidi Bel ‘Abbas mengukuhkan fungsi kota sebagai medan pertukaran ilmu dan keagamaan. Rujuk: Wikipedia: Ben Youssef Madrasa, Britannica: Kutubīyah Mosque, Archnet: Zawiya Sidi Bel Abbes ↩︎
  3. Diiktiraf UNESCO sebagai ruang warisan budaya tak ketara (2001; disenarai 2008), dataran ini bernilai kerana menjadi medan interaksi harian iaitu pentas pertukaran sosial, lisan dan kesenian rakyat. Nama “Jemaa el-Fna” lazim ditafsir sama ada berkait jāmiʿ (perhimpunan/masjid) dengan “fanāʾ” (ranap/lenyap) antaranya merujuk projek masjid era Saadi yang terbengkalai dan sebagai medan himpunan orang ramai. Dari segi sejarah, konteks abad ke-11 seiring penubuhan Marrakech (1070–1072, Almoravid) dan bukti penggunaan dataran sebagai ruang awam sejak awal. Rujuk: UNESCO ICH: Cultural space of Jemaa el-Fna Square, UNESCO WHC: Medina of Marrakesh, Wikipedia: Jemaa el-Fnaa ↩︎
  4. Istana Bahia (akhir abad ke-19). Kompleks ini bermula pada 1860-an oleh Si Musa (wazir ‘Alawi di bawah Sultan Muhammad ibn ‘Abd al-Rahman), kemudian diperluas besar-besaran oleh Ba Ahmed antara 1894–1900. Kerja hiasan melibatkan tukang mahir dan bahan dari seluruh Maghrib (mis. marmar dari Meknès, jubin dari Tétouan). Beberapa sumber pelancongan menyatakan fasa Ba Ahmed mengambil ±14–15 tahun untuk disiapkan. Rujuk: Archnet ↩︎
  5. Diasaskan sejurus penaklukan Marrakech oleh ʿAbd al-Muʾmin pada 1147M. Struktur yang berdiri kini ialah binaan kedua (±1158–1162M). Menara ~77 m lazimnya dikaitkan penyempurnaannya pada era Abū Yūsuf Yaʿqūb al-Manṣūr (sekitar 1195M). Tipologi dan perinciannya menjadi model penting seni bina Almohad di Maghrib serta mempengaruhi Giralda (Seville) dan Menara Hassan (Rabat). ↩︎
  6. Nama ini terbit daripada Arab al-Kutubiyyīn (الكتبيين, “para penjual buku”) merujuk kepada deretan kedai kitab/manuskrip yang pernah memenuhi jalan di sisi timur masjid; sebab itu ia dikenali sebagai “Masjid Para Penjual Buku”. Lihat: Archnet, Jāmiʿ al-Kutubiyya (nota tentang jalan kedai buku di sisi timur) — https://www.archnet.org/sites/1741 ↩︎

Photo of author

Mohd Hafizi Abdullah

Pengurus dan ketua koordinasi web akuislam.com. Berpengalaman dalam dunia fotografi, travel dan pengurusan.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments