Cara SUJUD Yang Betul (Siri Panduan Solat Sempurna)

Bagaimana cara sujud yang betul?

Panduan ini akan menerangkan cara sujud yang betul dan sempurna dalam solat.

Soal jawab soalan lazim berkaitan sujud solat juga turut disediakan bagi meluaskan lagi pemahaman.

Mari kita mulakan.

Pengenalan

Ini adalah bab 7 dari siri panduan solat sempurna.

Untuk bab ini, saya akan menerangkan mengenai cara sujud dalam solat, perkara sunat dibuat dan bacaan semasa sujud.

Matlamat panduan ini adalah agar kita semua tahu dan faham mengenai cara rukuk dalam solat secara sempurna seterusnya solat kita diterima Allah.

Maksud Sujud

Apakah maksud sujud?

Sujud adalah perbuatan orang yang bersolat meletakkan atau menyentuh dahinya atau sebahagian daripada dahinya yang tidak berlapik ke tempat sujud.

Takrif ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

Apabila kamu sujud letakkan dahimu ke tanah sehingga bertemu tanah

— Riwayat Ahmad

Syarat Sah Sujud

cara sujud

Syarat-syarat sah sujud ada 7 perkara:

  1. Hendaklah sujud dengan 7 anggota badan. Anggota tersebut adalah:
    • Dahi
    • Perut jari tapak tangan kanan
    • Perut jari tapak tangan kiri
    • Lutut kanan
    • Lutut kiri
    • Perut jari-jari kaki kanan
    • Perut jari-jari kaki kiri
  2. Dahi hendaklah terbuka. Tidak boleh ada sesuatu yang menutup seluruh dahi. Hendaklah sekurang-kurangnya 1/3 dahi terbuka.
  3. Kepada ditekankan (sedikit). Hendaklah menekan dahi ke tempat sujud sekadar jika diletakkan segumpal kapas di bawahnya, ia akan tertekan dan nyata kesan tekanannya. Tidak harus menekan terlalu kuat sehingga menyakitkan dahi dan tidak sah sujudnya jika terlalu ringan.
  4. Tidak ada tujuan lain ketika sujud. Hendaklah bersujud semata-mata kerana Allah SWT dan untuk melakukan rukun solat. Jika sujud kerana ditolak dari belakang, tidak sah sujudnya dan wajib dia mengulanginya.
  5. Tidak berlapik. Tidak sujud di atas kain atau pakaian yang bersambung dengan orang yang bersolat, sedangkan kain itu bergerak mengikut pergerakannya. Seperti serban atau jubah yang panjang.
  6. Punggung hendaklah lebih tinggi daripada kepala. Hendaklah terangkat bahagian punggung melebihi kepala, sekadar yang termampu.
  7. Hendaklah ada thoma’ninah ketika sujud. Thoma’ninah bermaksud berada dalam keadaan tenang ketika sujud sekadar dapat mengucapkan tasbih.

Kaedah Cara Sujud Yang Betul

Apakah Dalil Sujud Dalam Solat?

Firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu rukuk dan bersujud (mengerjakan solat).

— Surah al-Hajj ayat 77

Bagitu juga hadis Abu Hurairah tentang kisah al-Musi’ Solatuh (orang yang tidak sempurna dalam solatnya), di mana Rasulullah SAW bersabda:

Kemudian sujudlah sehingga kamu tenang dalam keadaan sujud

— Riwayat Bukhari, Muslim dan Ashhab as-Sunan

Bagaimana Cara Melakukan Sujud?

cara sujud lelaki perempuan

Hendaklah meletakkan di tempat sujud sebahagian daripada dahi, sebahagian daripada setiap lutut, sebahagian daripada setiap tapak tangan, sebahagian daripada telapak jari setiap kaki walaupun satu jari setiap tangan dan kaki.

Kemudian sujud iaitu wajib bersentuh sebahagian daripada dahi ke tempat sujud dengan memberatkan sedikit (menekan) kepalanya di tempat sujud. Wajib meletakkan anggota-anggota sujud di tempat sujud. Wajib meninggikan punggung daripada kepala dan bahu. Wajib dilakukan pada tiap-tiap rakaat dengan dua kali sujud.

— Lihat Fath al-‘Allam 2/268, Manhah al-Qarib al-Mujib ms.22, Syarh al-Yaqut an-Nafis ms.137

Urutan Pergerakan Anggota Badan Semasa Sujud

Ketika hendak sujud, sunat diletakkan terlebih dahulu dua lutut, kemudian dua tapak tangan, kemudian dahi, kemudian hidung.

cara sujud

Wa’il Bin Hujr berkata:

Adalah Nabi SAW ketika sujud, Baginda meletakkan kedua-dua lututnya sebelum kedua-dua tangannya dan apabila Baginda bangun, Baginda mengangkat kedua-dua tangannya sebelum kedua-dua lututnya.

— Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan an-Nasa’i.
  • Sujud yang sempurna ialah dengan mengucapkan takbir sebelum turun untuk sujud.
  • Kedua-dua belah lutut diletakkan terlebih dahulu kemudian kedua-dua belah tangan, dan diikuti dengan dahi dan hidung.
  • Tangan diletakkan di atas lantai pada kedudukan bersetentang dengan bahu, dalam keadaan jari-jarinya dirapatkan dan diarahkan ke kiblat.
  • Kedua-dua paha hendaklah dijauhkan daripada perut dan kedua-dua siku diangkat dari lantai dan direnggangkan daripada pinggang.
  • Kemudian baca “Subhana Rabbiyal A’la” sebanyak tiga kali.

Sujud Diatas Tujuh Anggota

cara sujud

Hadis Ibnu Abbas; Nabi SAW bersabda:

Aku diperintahkan untuk sujud atas tujuh anggota: dahi — dan Nabi SAW mengisyaratkan juga hidungnya –, kedua-dua tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua telapak kaki, dan kami tidak boleh menghalangkan kain (yang sedang dipakai) dan rambut

— Muttafaq ‘Alaih
Keterangan

Walau bagaimanapun, jika cuaca panas dan tidak memungkinkan untuk sujud kerana kepanasan tempat sujud, maka boleh dihamparkan kain umpamanya untuk sujud di atasnya.

Ini berdasarkan hadis daripada Anas:

Kami pernah solat bersama Rasulullah SAW ketika hari sangat panas, maka ketika itu tidak seorang pun diantara kami yang berupaya menekankan dahinya ke bumi, lalu dihamparkannya kain, maka dia sujud di atasnya

— Riwayat Bukhari dan al-Baihaqi

Hadis ini bukan menjadi dalil untuk menolak pendapat Imam Syafi’e yang mengatakan bahawa solat tidak sah jika sujud di atas tepi atau hujung kain yang dipakai.

Ini kerana boleh jadi tepi kain yang diletakkan seperti yang tersebut di dalam hadis, tidak bergerak dengan bergeraknya orang yang bersolat kerana dia tidak membawanya ataupun mungkin dibawanya tetapi tidak bergerak walaupun orang yang bersolat itu sendiri bergerak (dalam solat) kerana kain itu panjang.

Menekankan Hidung Dan Dahi Ke Tempat Sujud

cara sujud

Daripada Abu Humaid as-Sa’idi, beliau berkata:

Sesungguhnya Nabi SAW apabila sujud, Baginda menekankan hidungnya dan dahinya ke bumi (tanah/tempat sujud) dan merenggangkan kedua-dua tangannya dari kedua-dua rusuknya

— Riwayat Tirmizi dan Abu Daud

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

Sujudlah kamu dengan lurus dan janganlah seseorang diantara kamu membentangkan kedua-dua lengannya seperti pembentangan anjing

— Muttafaq ‘Alaih, Abu Daud dan Ahmad

Menghadapkan Anak-Anak Jari Tangan & Jari Kaki Ke Kiblat Ketika Sujud

cara sujud

Daripada al-Barra’ bin ‘Azib; beliau berkata:

Adalah Rasulullah SAW ketika Baginda sujud, lalu meletakkan kedua-dua tangannya ke bumi, Baginda menghadapkan kedua-dua tapak tangannya dan anak-anak jarinya ke kiblat

— Riwayat al-Baihaqi

Daripada Abu Humaid as-Sa’idi:

Sesungguhnya Nabi SAW sujud dan menghadapkan anak-anak jari kakinya ke kiblat

— Riwayat Bukhari

Lelaki Sunat Untuk Merenggangkan Lutut, Kaki & Siku

cara sujud
cara sujud
Kedudukan lengan yang salah

Bagi lelaki, sunat ketika hendak sujud itu merenggangkan kedua lutut dan kedua tapak kaki, dan merenggangkan siku dari rusuk.

Bagi perempuan pula sunat ketika sujud itu keadaan yang sebaliknya.

Hukumnya adalah sunat hai’ah

Lihat Manhah al-Qarib al-Mujib, ms. 22, At-Taqrirat as-Sadidah, ms. 245, Zain ath-Tholib, ms. 105 dan Hidayah ash-Shibyan ms. 19

Dalil mengenai sunat untuk merenggangkan kaki:

Daripada Abi Humaid as-Sa’di berkata:

Ketika Baginda sujud, Baginda merenggangkan kedua-dua kakinya

— Riwayat Abu Dawud dan al-Baihaqi

Perempuan Sunat Untuk Merapatkan Kaki

Sifat sujud bagi perempuan adalah sedikit berbeza.

Untuk perempuan, kedua-dua kaki hendaklah dirapatkan ketika sujud. Hukumnya adalah sunat hai’ah.

cara sujud

Ini berdasarkan hadis riwayat al-Baihaqi bahawa Rasulullah SAW telah lalu berdekatan dua orang perempuan yang sedang bersolat, lalu Baginda bersabda kepada mereka (selepas solat):

Apabila kedua-dua kamu sujud, hendaklah dirapatkan sesetengah anggota ke lantai, perempuan dalam keadaan ini tidak sama dengan lelaki

— Riwayat Abu Daud dalam kitab al-Marasil dan al-Baihaqi

Bacaan Ketika Sujud

Bacaan Tasbih Sujud

Bacaan ketika sujud adalah seperti berikut:

SubHaaNa Rabbiyal A’laa WaBiHamdihi (3 kali)

Maksudnya:

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi dan dengan segala pujian ke atasNya”

Dalil

Hadis daripada Ibnu Mas’ud; beliau berkata: Sesungguhnya Nabi SAW bersabda:

Apabila seseorang kamu rukuk lalu berkata di dalam rukuknya (mafhumnya): “Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung” tiga kali, maka telah sempurna rukuknya dan itulah yang sekurang-kurangnya dan apabila seseorang kamu sujud, lalu membaca di dalamnya sujudnya (mafhumnya): “Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi” tiga kali, maka telah sempurna sujudnya dan itulah yang sekurang-kurangnya”

— Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi

Memperbanyakkan Doa Ketika Sujud

Rasulullah SAW bersabda:

Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya ialah ketika dia sedang sujud, maka perbanyakkanlah doa (ketika sujud itu)

— Riwayat Muslim

Thoma’ninah Ketika Sujud

YouTube video

Sujud mesti dilakukan dalam keadaan thoma’ninah.

Rasulullah bersabda:

Sempurnakan rukuk dan sujud

— Riwayat Bukhari dan Muslim

Antara dalil lain adalah:

Sejahat-jahat pencuri ialah yang mencuri ketika solat”

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana dia mencuri di dalam solatnya?”

Baginda menjawab: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya”

— Riwayat Ibnu Syaibah, Tirmizi dan al-Hakim

Takbir Intiqalat Ketika Bangun Daripada Sujud

Disunatkan untuk mengucapkan takbir (Allahu Akbar) ketika bagun daripada sujud untuk duduk antara dua sujud.

Hukumnya adalah sunat hai’ah.

Adalah Rasulullah SAW apabila berdiri untuk solat, Baginda bertakbir ketika berdiri, kemudian bertakbir ketika hendak rukuk, kemudian Baginda membaca (mafhumnya), “Allah mendengar sesiapa yang memujinya” ketika mengangkat tulang sulbinya (pinggangnya) daripada rukuk.

Kemudian Baginda membaca ketika berdiri (mafhumnya): “Wahai Tuhan kami, bagiMu segala pujian”.

Kemudian, Baginda bertakbir ketika hendak turun sujud, kemudian bertakbir ketika mengangkat kepalanya (dari sujud).

— Muttafaq ‘Alaih

Soal Jawab Berkaitan Sujud Solat

1. Kaedah sujud manakah yang paling mengikut sunnah, adakah turun dengan tangan dahulu diikuti dengan lutut, ataupun turun dengan lutut dahulu baru diikuti dengan tangan?

Tidak ada sebarang nas daripada al-Quran ataupun hadis yang menjelaskan secara terperinci tentang tatacara yang tepat untuk turun sujud.

2. Adakah benar posisi sujud orang perempuan berbeza dengan orang lelaki?

Tatacara sujud perempuan sedikit berbeza daripada lelaki.

Ini jelas berdasarkan hadis yang direkodkan oleh al-Baihaqi, Rasulullah lalu berdekatan dua orang perempuan yang sedang bersolat, lalu Baginda berkata kepada mereka (selepas solat):

Apabila kedua-dua kamu sujud, hendaklah dirapatkan sesetengah anggota ke lantai, prempuan dalam keadaan ini tidak sama dengan lelaki

— Direkodkan oleh Abu Daud dalam kitab al-Murasil dan al-Baihaqi
3. Ketika sedang iktidal dalam solat, tiba-tiba anak saya menolak saya dari belakang sehingga saya terduduk. Adakah saya perlu bangun semula dan sujud ataupun adakah saya boleh terus sujud?

Sujud hendaklah dilakukan dengan niat untuk sujud.

Dalam keadaan terjatuh ataupun ditolak tidak boleh dianggap sebagai sujud. Anda perlu bangun semula pada posisi iktidal dan kemudian sujud.

4. Saya sering melihat orang yang berambut panjang menyingkap rambut yang menutup dahi hadapan ketika sujud. Adakah sujud dengan dahi di atas rambut tidak sah?

Antara syarat sujud adalah dahi hendaklah menyentuh tempat sujud dan tidak terhalang oleh objek lain yang bergerak bersama orang yang bersolat seperti serban atau pakaian ataupun rambut.

Tetapi, sekiranya hanya sebahagian dahi sahaja yang ditutup rambut, solat masih sah.

5. Apakah yang dimaksudkan dengan tujuh anggota sujud?

Anggota sujud adalah anggota-anggota yang wajib dirapatkan ke tempat sujud ketika bersujud.

Sujud melibatkan tujuh anggota sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW

Aku diperintahkan bersujud pada tujuh anggota; dahi kemudian mengisyaratkan ke arah hidungnya, dua tangan, dua lutut, hujung jari-jari kaki

— Direkodkan oleh Ahmad daripada Abdullah Bin al-Abbas dalam kitab Musnad Ahmad pada bab Permulaan Musnad Abdullah Bin Abbas
6. ketika bersolat di Masjidil Haram, jemaah terlalu ramai dan terlalu sesak. Sehingga saya terpaksa sujud di atas kaki ataupun badan jemaah lain. Adakah sah solat saya?

Sujud di atas anggota orang lain sama ada orang yang sedang solat ataupun tidak adalah sah kerana anggota itu tidak bergerak dengan pergerakan orang yang bersolat.

7. Bagaimana sekiranya ketika sujud, tiba-tiba sehelai daun melayang dan jatuh di dahi sehingga menyebabkan orang yang bersolat itu sujud di atas daun itu. Adakah solatnya sah?

Sujudnya dianggap sah kerana daun itu tidak mengikut orang yang bersolat.

Tetapi, sekiranya daun itu melekat di dahi ketika bangun, ia perlu ditanggalkan.

Sekiranya daun yang melekat itu tidak ditanggalkan dan dia terus sujud, maka sujudnya tidak sah kerana dia bersujud di atas objek yang bergerak bersama dengan pergerakannya ketika bersolat.

8. Ketika bersolat, jemaah di sebelah saya memakai serban yang panjang ekornya. Apabila sujud, ekor serbannya jatuh ke tempat sujud saya sehingga saya terpaksa sujud di atas serbannya. Adakah sujud saya sah?

Sujud anda sah kerana serban itu tidak mengikut pergerakan anda.

9. Adakah hidung termasuk dalam anggota sujud yang wajib diletakkan pada tempat sujud?

Hidung tidak termasuk dalam anggota sujud, tetapi menjadi sunnah sekiranya meletakkan dahi dan hidung pada tempat sujud ketika bersujud.

Selain itu, ia juga sebagai meraikan pandangan Mazhab Hanbali yang menganggap hidung sebagai anggota sujud.

Tetapi tidak memadai meletakkan hidung semata-mata tanpa meletakkan dahi.

10. Bagaimana sekiranya seorang itu sujud di atas permukaan yang kasar ataupun panas, lalu dia mengangkat kembali dahinya dan kemudian meletakkannya kembali?

Keadaan ini dapat dilihat dengan dua cara:

  1. Sekiranya dia meletakkan dahi dan segera mengangkatnya tanpa thoma’ninah, dan kemudian meletakkan kembali, perbuatan seperti itu tidak mengapa.
  2. Sekiranya dia meletakkan dahinya dalam tempoh thoma’ninah kemudian mengangkatnya dan meletakkannya kembali, solatnya terbatal kerana melebihkan rukun.
11. Ketika sedang solat, tiba-tiba anak lelaki yang masih kecil duduk di atas sejadah. Apakah boleh saya menolaknya bagi membolehkan saya sujud?

Dalam keadaan ini, anda boleh melakukan seperti berikut:

  • Tolak dengan perlahan anak anda ke sebelah. Awas, jangan sampai anak terjatuh.
  • Tunggu sehingga anak itu beredar sendiri.
  • Melangkah ke belakang ataupun ke kanan ataupun ke kiri supaya mendapat ruang untuk sujud.
  • Apa pun yang anda lakukan, jangan sesekali mengangkat anak itu kerana anak itu mungkin belum berkhitan atau mempunyai kesan air kencing ataupun tahi pada pakaiannya ataupun di dalam lampinnya. Menanggung najis ataupun sesuatu yang bernajis ketika solat menyebabkan solat batal.

Senarai rujukan:

  1. Praktikal Solat Sempurna, Ustaz Muhadir Haji Joll
  2. Anda Bertanya Ustaz Menjawab Mengenai Solat, Ustaz Rohidzir Rais
  3. Ensiklopedia Solat A-Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa
  4. Indahnya Hidup Bersyariat, Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid.
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

3 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Bachelor of Interior Design Telkom University
Bachelor of Interior Design Telkom University
2 tahun yang lalu

Assalamulaikum ustaz. Apakah jika sholad kita belum sempurna, ada hukumannya di akhirat?

Nadzar
Nadzar
3 tahun yang lalu
  • Salam ustaz. Masa sujud tapak tangan direnggangkan sedikit atau jari2 dirapatkan? Tapak tangan atas lutut masa duduk antara dua sujud kena rapat juga ke atau sedikit renggang? Terima kasih ustaz
Anonymous
Anonymous
3 tahun yang lalu

Assalamulaikum ustaz. Ustaz maaf ganggu ustaz. Ustaz nak tanya kalau saya terlupa sebut Allahukbar ketika solat jumaat perlu tak saya qada solat? Saya terlupa ketika ingin sujud 2kali saya lalai ustaz. Saya baru sedar ketika dalam solat dan saya pun tros balik umah. Perlu ke saya qada solat zohor ataupun terus solat fardu zohor? Maaf ustaz ganggu ustaz. Saya takut ustaz.

Last edited 3 tahun yang lalu by Anonymous