Apakah hukum solat dengan memakai barangan kulit?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANSaya hendak tanya masalah barangan kulit yang diimpot dari negara bukan Islam seperti tali pinggang dan kasut pada hal yang menyamaknya mestilah orang bukan Islam adakah boleh orang Islam memakainya?
Satu lagi soalan barangan dari kulit ini bolehkah kita pakai dalam solat?
JAWAPAN
Barangan yang dibuat dari kulit terbahagi kepada dua
Satunya dibuat dari kulit haiwan yang halal yang disembelih maka hukum kulitnya adalah suci tidak perlu disamak lagi.
Dan satu lagi kulit haiwan halal yang tidak disembelih seperti lembu dan kambing dan unta atau kulit haiwan yang tidak halal seperti harimau dan buaya.
Maka keduanya jenis kulit haiwan yang tidak disembelih dan kulit haiwan yang tidak halal ini hukumnya adalah najis tetapi ia menjadi suci apabila di samak melainkan kulit anjing dan babi.
Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. Rasulullah saw bersabda :
إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ
Apabila disamak kulit bangkai itu maka sungguhnya ia menjadi suci”
(Hadith Imam Muslim)
Maka apabila kulit yang najis selain anjing dan babi itu menjadi suci sebab disamak nescaya haruslah memakainya di dalam solat.
Berkata Syeikh Abu Bakar:
Kemudian apabila disamak akan kulit yang najis itu nescaya diputuskan jadi suci zahirnya dan begitu juga batinnya atas pendapat yang masyhur yang baharu.
Maka harus seorang solat atasnya dan padanya.
Dan harus digunakan untuk suatu yang kering dan yang basah dan harus pula jual belinya dan menghebahkannya dan mewasiatkan dengannya.”
(Kitab Kifayatul Akhyar)
Dan tidak disyaratkan orang yang menyamaknya itu mesti beragama Islam seperti disyaratkan pada sembelih bahkan sah ia dari orang yang bukan Islam kerana samak kulit ini hanya bersamaan hukumnya dengan membasuh atau membersih sahaja.
Dan hanya yang disyaratkan ialah bersih ia selepas disamak.
Kesimpulannya sah memakai pakaian yang disamak yang diimpot dari negara bukan Islam kerana keadaanya adalah suci setelah disamak melainkan kulit anjing dan babi.
Tidak disyaratkan orang yang menyamak kulit yang najis itu mesti bergama Islam.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..