Hukum Mengucapkan Istirja’ (Innalillah Wainna Ilahirajiun)

Istirja'

Apakah hukum mengucapkan Istirja’ (Innalillah Wainna Ilahirajiun)

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN

Kenapa disuruh kita menyebut innalillah wainna ilaihirajiun bila ada orang yang mati?


JAWAPAN

Terlebih dulu hendaklah diketahui makna istirja’ ialah :

قول إنا لله وأنا إليه راجعون عند حدوث المصيبة أو سماع خبر المصيبة

Ertinya: “Ucapan إنا لله وأنا إليه راجعون ketika berlaku musibah atau mendengar khabar tentang musibah.”

Hukum mengucap istirja’ ini adalah sunat apabila berlaku pada seseorang atau keluarganya atau masyarakatnya atau negerinya atau negeri orang lain suatu musibah atau perkara yang tidak baik.

Disunatkan mengucap istrija’ ini pada ketika berlaku segala perkara yang tidak baik yang menimpa manusia daripada musibah samada besar atau kecil.

Contoh musibah besar itu ialah berlaku wabak penyakit atau malapetaka atau kematian atau seumpamanya manakala contoh musibah kecil itu ialah tercucuk jari pada duri atau tergelincir kaki ketika berjalan atau kehilangan sepatu atau sakit yang ringan atau seumpamanya.

1. Dalil ia diperintahkan ialah firman Allah:

وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Maksudnya:

Dan berilah khabar gembira akan segala orang yang sabar yaitu orang yang apabila berlaku atas mereka suatu musibah nescaya berkata mereka itu “Sungguhnya kami milik Allah dan kami semua akan kembali kepada-Nya”. Mereka itulah orang-orang yang atas mereka itu keberkatan dari Tuhan mereka itu dan rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang dapat pertunjuk.”

(Al-Baqarah : 155-157)
2. Dan ada pun tujuan atau hikmah disuruh ucap istirja’ ketika berlaku musibah itu ialah sebagaimana yang telah disebut oleh ulamak di dalam kitab-kitab mereka iaitu :

وَالْحِكْمَةُ فِي الاِسْتِرْجَاعِ عِنْدَ الْمَصَائِبِ: الإِْقْرَارُ بِعُبُودِيَّةِ اللَّهِ وَوَحْدَانِيِّتِهِ، وَالتَّصْدِيقُ بِالْمُعَادِ، وَالرُّجُوعُ إِلَيْهِ، وَالتَّسْلِيمُ بِقَضَائِهِ، وَالرَّجَاءُ فِي ثَوَابِهِ

Maksudnya :

Dan bermula hikmah pada ucapan istirja’ ketika berlaku segala musibah itu ialah pengakuan dengan sifat kehambaan kita kepada Allah dan keesaan-Nya dan membenarkan segala janji Allah dan kembali kepada-Nya dan menyerah kepada qadha-Nya serta mengharapkan akan pahalanya.”

(Lihat kitab Tafsir Naisaburi & Fatawa Ibnu Hajar)

KESIMPULAN

Sunat mengucapkan istirja’ iaitu إنا لله وأنا إليه راجعون ketika berlaku musibah samada musibah yang besar atau kecil.

Dan disunatkan juga mengucap istrija’ apabila mendengar musibah yang berlaku ditempat lain seperti dinegeri-negeri orang Islam.

Ucapan istrija’ bukan untuk kematian sahaja seperti yang disalah fahami oleh setengah orang.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments