Jika makmum masbuk sempat rukuk serentak dengan imam yang sedang mengangkat kepala dari rukuk, adakah makmum itu mendapat rakaat? Bagaimana pula jika kita ragu sama ada sempat rukuk dengan imam atau tidak?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dihalaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat
Jika makmum masbuk sempat rukuk bersama imam dan sempat tumakninah (berhenti seketika dengan tenang dalam rukuk), maka makmum tersebut mendapat satu rakaat. Namun, jika makmum rukuk serentak dengan imam yang sedang bangkit dari rukuk, sehingga makmum tidak sempat tumakninah, maka dia tidak mendapat rakaat tersebut.
Imam Nawawi berkata:
قال أصحابنا: إِن كَبَّرَ المأمومُ قائمًا ثم ركع واطمأنَّ قبلَ أن يرفعَ الإمامُ حُسِبَتْ له الركعةُ فإن لم يطمئنَّ حتى رفعَ الإمامُ لم تُحسَبْ له هذه الركعةُ.
Maksudnya:
“Para ulama mazhab kami berkata: Jika makmum bertakbir dalam keadaan berdiri, kemudian rukuk dan sempat tumakninah sebelum imam mengangkat kepala, maka dikira baginya rakaat tersebut. Namun, jika dia tidak sempat tumakninah sehingga imam mengangkat kepala, maka tidak dikira baginya rakaat ini.” (Kitab Fatawa An-Nawawi)
Jika makmum ragu sama ada dia sempat rukuk bersama imam atau tidak, pendapat yang paling sahih adalah dia tidak mendapat rakaat tersebut.
Imam Nawawi berkata:
ولو شكَّ في ذلك فهل تُحسَبُ له؟ فيه وجهان: أصحُّهما لا تُحسَب؛ لأن الأصلَ عدمُ الإدراكِ.
Maksudnya:
“Dan jika makmum ragu adakah dikira mendapat rakaat baginya? Maka terdapat dua pendapat; yang paling sahih adalah tidak dikira kerana asalnya adalah tidak mendapat rakaat.” (Kitab Fatawa An-Nawawi)
Dalam Kitab Al-Majmu’, Imam Nawawi menyebut:
ونَصَّ عليه الشافعيُّ في الأم: لا يكون مُدرِكًا للركعة؛ لأن الأصلَ عدمُ الإدراكِ
Maksudnya:
“Imam Syafie telah menyatakan dalam Kitab Al-Umm: Makmum itu tidak dianggap mendapat rakaat kerana asalnya adalah tidak mendapat.” (Kitab Al-Majmu’)
Wallahu a’lam.
Ustaz Azhar Idrus
Kesimpulan
- Makmum masbuk perlu sempat rukuk bersama imam dengan tumakninah untuk mendapatkan rakaat tersebut.
- Jika tidak sempat tumakninah sebelum imam bangkit dari rukuk, maka rakaat itu tidak dikira baginya.
- Jika ragu-ragu sama ada sempat atau tidak, maka yang lebih sahih adalah dianggap tidak sempat, dan rakaat tersebut tidak dikira.
Sumber dan teks asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus menerusi pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..