Berkenaan dengan hukum makan dan minum dalam masjid, adakah ia sebenarnya dibolehkan atau tidak? Ada yang mengatakan boleh dan ada yang mengatakan tidak boleh.
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dihalaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat
Hukum makan dan minum di dalam masjid adalah harus, dengan syarat menjaga kebersihan masjid daripada tumpahan makanan atau minuman ke atas lantai, serta mengelakkan daripada menyebabkan bau busuk melekat pada masjid.
Adalah lebih baik bagi sesiapa yang ingin makan dan minum di dalam masjid untuk menghamparkan alas seperti tikar, supaya sisa makanan atau minuman tidak tumpah ke atas lantai masjid.
Selain itu, tidak dibenarkan membawa makanan yang mengeluarkan bau busuk ke dalam masjid, walaupun tidak memakannya. Ini kerana terdapat larangan daripada Nabi Muhammad s.a.w. untuk membawa makanan yang berbau tidak enak ke dalam masjid.
Imam Nawawi berkata:
هو جائز ولا يمنع منه لكن ينبغي له أن يبسط شيئًا ويصون المسجد ويحترز من سقوط الفُتات والفاكهة وغيرها في المسجد. وهذا الذي ذكرناه فيما ليس له رائحة كريهة: كالثوم والبصل والكراث والطبيخ الذي ليس فيه شيء من رائحة ذلك ونحوه فإن كان فيه شيء من ذلك فيكره أكله في المسجد ويمنع آكلهُ من المسجد حتى يذهب ريحه فإن دخل المسجد أُخرج منه للحديث الصحيح المشهور في ذلك هذا كله مع وجود الرائحة فإن ماتت رائحته بالطبخ لم يمنع آكله من المسجد ويجوز أكله في المسجد.
Maksudnya:
“Ia (makan dalam masjid) adalah harus dan tidak dihalang daripadanya, tetapi sepatutnya dia menghamparkan sesuatu dan menjaga masjid daripada jatuhnya cebisan makanan, buah-buahan, dan lain-lain di dalam masjid. Apa yang telah kami sebutkan ini adalah berkenaan makanan yang tidak mempunyai bau busuk seperti bawang putih, bawang merah, daun bawang, dan masakan yang tidak mempunyai bau seumpamanya. Jika ada padanya sesuatu daripada yang demikian itu, maka dimakruhkan memakannya di dalam masjid, dan dihalang orang yang memakannya daripada masjid sehingga hilang baunya. Jika dia masuk masjid, dia dikeluarkan daripadanya berdasarkan hadis sahih yang masyhur dalam hal ini. Semua ini berlaku jika masih ada bau tersebut; jika hilang baunya selepas dimasak, maka tidaklah dihalang orang yang memakannya daripada masjid, dan harus memakannya di dalamnya.” (Kitab Fatwa Nawawi)
Kesimpulannya, makan dan minum di dalam masjid adalah dibolehkan dengan syarat menjaga kebersihan dan tidak membawa makanan yang berbau busuk. Sentiasa pastikan masjid kekal suci dan dihormati sebagai tempat ibadah.
Wallahu a’lam.
Ustaz Azhar Idrus
Sumber dan teks asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus menerusi pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..