Bagaimana cara sembelih ikan?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANSaya ada mendengar dalam satu siri kuliyah ustaz menyebut sunat disembelih ikan yang besar.
Mohon ustaz perjelaskan lagi dengan terperinci kerana saya kurang faham dengan masalah ini.
JAWAPAN
Ulamak menyebut di dalam kitab mereka apabila mendapat ikan yang diburu dan ikan itu lambat mati kerana besarnya maka sunat dimatikan ikan itu dengan cara disembelih pada ekornya.
Memang pada kebiasaan ikan yang bersaiz besar lambat matinya setelah diangkat keluar dari air.
Sembelih ikan ini bukan kerana menghalalkan makannya kerana sungguhnya haiwan laut tidak wajib disembelih, tetapi sembelih tersebut hanyalah kerana mencepatkan matinya dari kerana lama berada di atas kapal misalnya.
Berkata Syeikh Ibnu Hajar :
Disunatkan sembelih ikan yang besar yang lama hidupnya. Dan yang zahir bahawasanya dikehendaki dengan sembelihnya itu ialah mematikannya seperti yang ditunjukkan kepadanya oleh alasan fuqahak yaitu merehatkannya. Dan yang utama bahawa adalah sembelih itu pada ekornya.”
(Kitab Tuhfah Al-Muhtaj)
KESIMPULAN
Jika mendapat ikan yang besar samada dari laut atau lainnya dan lambat matinya maka sunat disembelih pada ekornya yakni bertujuan mematikannya supaya rehat ia.
Jika dimatikan dengan disembelih pada selain ekornya atau dibiarkan ikan itu mati sendirinya maka ikan itu tetap halal kerana haiwan laut tidak wajib sembelihnya kerana halal bangkainya.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..