Cara Menebus Kesalahan Terhadap Orang Yang Telah Mati

Cara Menebus Kesalahan Terhadap Orang Yang Telah Mati

Bagaimana cara menebus kesalahan terhadap orang yang telah mati?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN

Kalau seorang yang kita lakukan kasalahan terhadapnya sudah mati apakah cara kita hendak tebus kesalahan kita itu?


JAWAPAN

Siapa yang ada melakukan kezaliman terhadap seseorang nescaya wajib dia meminta halal daripadanya.

Ada pun jika orang yang dizalimi itu telah mati maka tidak dapat lagi meminta halal daripadanya dan hendaklah dia bertaubat kepada Allah dan memperbanyakkan amal kebajikan dan bersedekah kepadanya dan berdoa agar orang yang dizaliminya itu menghalalkan perbuatan zalimnya itu di akhirat nanti.

1. Berkata Syeikh Ibnu Hajar:

Maka jika lemah dari meminta halal daripadanya kerana tiada berita daripadanya atau telah mati nescaya hendaklah dia bersedekah sebanyak mungkin untuknya dan jika tidak mampu maka hendaklah perbanyakkan dari amal kebajikan dan bertaubat kepada Allah Taala dan merendahkan diri kepada-Nya mudah-mudahan diredhai daripadanya pada hari kiamat nanti.”

(Fatawa Ibnu Al-Hajar)
2. Dan berkata Imam Ghazali :

Hendaklah dia meminta halal dari orang yang dia sakiti itu dengan lidahnya atau menyakitkan hatinya dengan perbuatan dari segala macam perbuatannya. Maka jika tiada dijumpai atau telah mati maka telah putuslah pekerjaan dan tidak dapat dilakukan apa lagi selain memperbanyakkan amalan kebajikan untuk diambil sebagai penebus pada hari kiamat kelak.”

(Az-Zawajir ‘ani Iqtiraf Al-Kabaair)

Maksudnya apabila yang dizalimi itu sudah mati maka tidak dapat lagi meminta halal daripadanya dan perkara tersebut akan diselesaikan di hari kiamat nanti iaitu dia kena meminta halal daripadanya di padang mahsyar dan jika tidak dihalalkannya nescaya dibayar penebusan iaitu pahala yang melakukan kezaliman diberikan kepada yang dizalimi menurut kadar banyak atau sedikit kezaliman yang dilakukan.

3. Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah saw bersabda :

Siapa yang ada baginya berbuat zalim terhadap saudaranya daripada kehurmatannya atau lainnya maka hendaklah dia meminta halal daripadanya pada hari ini sebelum tibanya hari yang tiada lagi wang ringgit. Pada hari itu jika dia mempunyai amal soleh nescaya diambil daripadanya sekadar mana kezalimannya. Dan jika dia tidak mempunyai amal kebajikan nescaya akan diambil dari dosa-dosa orang yang dia zalimi itu dan dipikulkan ke atas dirinya.”

(Hadith Imam Bukhari)

Kesimpulannya siapa yang telah melakukan kezaliman terhadap seseorang samada pada kehormatannya atau pada hartanya maka hendaklah dia lazimi melakukan hal berikut :

  • Bertaubat kepada Allah Taala. Meminta halal kepada orang yang dia zalimi itu.
  • Mengembalikan hartanya jika ada dicurinya atau ditipunya atau seumpamanya dan jika harta tersebut telah binasa nescaya wajiblah dibayar kepadanya akan nilainya.
  • Jika dia tidak dapat membayar nilainya sekali gus nescaya harus dia membayar secara ansuran sampai habis atau sampai dia meninggal dunia.
  • Jika orang yang dizalimi itu telah mati maka hendaklah dikembalikan hartanya kepada warisnya yang sah.
  • Jika tidak dapat diketahui dimana warisnya maka hendaklah dia memperbanyakkan bersedekah dan jadikan pahalanya kepada orang yang dizalimi itu.
  • Jika dia tidak mempunyai harta untuk bersedekah kepadanya maka hendaklah dia memperbanyakkan amalan soleh seperti solat dan membaca Quran dan berzikir dan berjihad dan seumpamanya supaya banyak pahalanya kerana diakhirat nanti jika orang yang dizaliminya itu tidak sudi menghalalkan perbuatannya itu maka akan ditebus kesalahannya itu dengan cara diambil pahalanya dan diberikan kepada orang yang dia zalimi itu.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments