Apakah hukum berdehem dalam solat?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANKalau kita sedang menunaikan solat dan terpaksa kena berdeham sebab tidak dapat membaca jika tidak berdehem maka setakat manakah berdehem itu tidak membatalkan solat?
JAWAPAN
Antara perkara yang membatalkan solat ialah berkata-kata dengan sengaja dan masuk dalam hukum berkata-kata itu ialah mengeluarkan suara seperti dengan berdehem.
Maka orang berdehem dengan sengaja menurut pendapat yang sahih jika berbunyi dua huruf maka batal solatnya.
Berkata Imam Nawawi :
Dan ada pun berdehem maka kesimpulannya yang dinaqal padanya tiga pendapat dan pendapat yang sahih yang telah diputuskan dengannya oleh pengarang (Imam As-Syairazi) dan kebanyakkan ulamak apabila nyata bunyi dua huruf nescaya batal solatnya dan jika tidak nyata dua huruf maka tidak batal.
Dan pendapat yang kedua tidak batal sekalipun nyata dua huruf telah berkata Ar-Rafie dan telah menghikayatkan ini dari nas Imam Syafie.
Dan pendapat yang ketiga jika adalah mulutnya tertutup nescaya tidak batal sama sekali dan jika terbuka dan nyata dua huruf batal dan jika tidak nyata dua huruf maka tidak batal.
Dan dengan ini telah memutuskan oleh Al-Mutawali.
Dan sekira-kira kami kata batal sebab berdehem itu yaitu jika dengan ikhtiar tanpa hajat.
Maka jika terpaksa berdehem nescaya tidak batal sama sekali.Dan jikalau uzur oleh membaca fatihah melainkan dengan berdehem maka berdehem tidak memudaratkan kerana sungguhnya ia yang diuzurkan.
Dan jika dia boleh baca fatihah cuma uzur hendak kuatkan suara melainkan dengan berdehem maka berdehem bukanlah uzur atas pendapat yang paling sahih dari dua pendapat kerana menguatkan suara bukanlah yang wajib.”
(Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab)
KESIMPULAN
Sengaja berdehem yang mengeluarkan bunyi dua huruf adalah membatalkan solat.
Jika tidak dapat membaca yang wajib seperti fatihah melainkan dengan berdehem maka berdehem ketika ini tidak membatalkan solat.
Jika berdehem kerana hendak membaca yang sunat maka ia membatalkan solat menurut pendapat yang paling sahih.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum , Kalau saya berdehem “ehmmm” , tak bunyi macam huruf tapi macam nafas kuat dua kali , saya berdehem sebab dua kali salah baca Al fatihah , dan nak cover dengan kononnya “ehmmm” tu , sebab saya jadi Imam , adakah sah solat saya tu ? , mulut saya juga rasanya tertutup tapi masa permulaan dehem tu terbuka sikit je la , tak besar mana , sah ke solat saya?
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh,
Berdehem atau membuat bunyi seperti “ehmmm” dalam solat tidak membatalkan solat kecuali jika ia disengajakan untuk mengeluarkan bunyi yang jelas seperti perkataan. Namun, dalam situasi yang anda nyatakan, niat anda adalah untuk membetulkan bacaan, dan bukan dengan niat untuk bercakap atau mengeluarkan bunyi yang memiliki makna tertentu.
Oleh itu, berdasarkan situasi yang anda nyatakan:
1. Berdehem dengan cara seperti yang anda gambarkan tidak membatalkan solat.
2. Solat anda adalah sah.
Namun, pada masa hadapan, jika anda melakukan kesilapan dalam bacaan Al-Fatihah atau bacaan lain semasa menjadi imam, adalah lebih baik untuk mengulangi bacaan yang salah tersebut dengan betul daripada berdehem. Ini kerana Al-Fatihah adalah rukun dalam solat, dan kesalahan dalam bacaannya perlu diperbetulkan untuk memastikan solat adalah sah.
Semoga Allah menerima ibadah kita dan memberikan kita kefahaman yang benar dalam urusan agama.
Terima Kasih Ustaz, semoga dipermudahkan urusan dan dilimpahkan rezeki oleh Allah SwT