Apakah adab-adab menziarahi kematian?
Artikel ini akan menjelaskan adab-adab semasa menziarahi kematian secara ringkas dan mudah.
Semoga memberi manfaat.
Hukum Mengucapkan Takziah
Umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan bersabar menghadapi ketentuan ilahi ini.
Imam asy-Syafi’e r.a menjelaskan bahawa sunat memberi ucapan takziah kepada kaum kerabat si mati, ahlinya yang tua dan yang muda, lelaki dan perempuan.
Tetapi bagi perempuan yang muda tidak sunat diberi ucapan takziah, kecuali oleh saudara yang diharamkan nikah dengannya (mahramnya).
Lafaz Takziah Yang Digalakkan
Menurut para ulama mazhab asy-Syafi’e, kita digalakkan mengucapkan ucapan takziah seperti berikut:
Maksudnya:
Semoga Allah memberikan kepadamu pahala yang berganda, mengelokkan kelembutan hatimu, dan mengampunkan orang yang mati daripada kalangan kamu.
Waktu Sesuai Mengucapkan Takziah
- Setelah meninggal sehinggalah dikebumikan.
- Setelah dikebumikan sehinggalah tiga hari. Selepas itu makruh mengucapkan takziah.
Iman Syafi’e r.a. berpendapat bahawa takziah sebelum dikebumikan dan sesudahnya adalah diharuskan tetapi selepas dikebumikan adalah lebih afdal.
Hukum Menziarahi Kematian Orang Bukan Islam
Hukum menziarahi kematian orang bukan Islam adalah HARUS.
Ia adalah sekadar hadir pada majlis untuk memberikan penghormatan dan bukan melakukan sebarang ritual keagamaan.
Firman Allah SWT maksudnya:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
– Surah al-Mumtahanah ayat 8
Kesimpulannya, menghadiri pengebumian sahabat-sahabat atau ahli keluarga yang tidak memeluk Islam dan tidak memusuhi Islam, adalah dibolehkan dan tidak ada larangan padanya.
Namun begitu, hendaklah dihindari daripada melibatkan diri dengan upacara keagamaan mereka.
Hukum Mencium Mayat
Menurut ijmak ulama, hukumnya harus mencium mayat kerana Rasulullah SAW telah mencium mayat Usman bin Maz’un.
Begitu juga Abu Bakar r.a. menangis ketika mencium tubuh Nabi Muhammad SAW sewaktu Baginda wafat.
Tidak batal wuduk si mati walaupun dicium oleh Isteri atau suaminya.
Batal wuduk orang yang mencium itu tetapi orang yang kena cium tidak batal kerana orang yang sudah mati tidak ada hukum lagi ke atas mereka.
Tinggalkan Komen Anda..