Belém Tower (Lisbon) — Panduan Lawatan Pelancong Muslim

Gambar lokasi Torre de Belém (Belém Tower)

Torre de Belém (Belém Tower) adalah permata seni bina Lisbon dan simbol kebanggaan maritim Portugal. Kubu pertahanan abad ke-16 yang tersenarai sebagai Warisan Dunia UNESCO ini pernah menjadi titik permulaan bagi penjelajah seperti Vasco da Gama.

Bagi pelancong, ia adalah spot fotografi wajib dan satu perjalanan singkat ke Zaman Penjelajahan Portugal. Walau bagaimanapun, lawatan ke kawasan Belém memerlukan perancangan teliti bagi pelancong Muslim kerana ia kurang kemudahan halal dan solat di pusat bandar.

Panduan ini akan memandu cara terbaik untuk menerokai Belém Tower secara efisien, merangkumi logistik, tiket, peringatan keselamatan, dan cara merancang keperluan ibadah serta makanan halal anda.

Ringkasan Kemudahan Lokasi Ini

KriteriaMaklumat
LokasiBelém, Lisbon, Portugal
Tiket MasukDari ~€8 (untuk masuk ke dalam). Percuma lihat dari luar.
Waktu Operasi10:00 Pagi – 5:30 Petang (Masukan terakhir 5:00 Petang). Tutup setiap Isnin.
Tempoh Lawatan30 min (Luar sahaja) / 1.5 – 2 jam (Jika masuk & beratur)
Akses TerdekatTrem 15E (dari Cais do Sodré / Praça do Comércio)
Mesra KeluargaYa (taman luar). Tidak (tangga dalam menara sangat sempit & curam)
Mesra OKUTerhad (hanya kawasan taman luar dan tingkat bawah)

Skor Mesra Muslim

  • Makanan Halal:
    Tiada pilihan halal disahkan di kawasan Belém. Pilihan terdekat (15-20 minit naik trem) sangat terhad.
  • Kemudahan Solat :
    Tiada surau rasmi. Masjid terdekat memerlukan 40-50 minit perjalanan sehala (trem + metro) ke pusat bandar.
  • Privasi: ★★★
    Kawasan taman luar sangat luas, tetapi bahagian dalam menara sangat sempit dan sesak.
  • Akses Keluarga:
    Taman luar mesra stroller, tetapi bahagian dalam menara sangat tidak sesuai untuk kanak-kanak kecil atau stroller kerana tangga berpusing yang sempit.
  • Keselamatan: ★★★★
    Kawasan selamat dan papan tanda jelas. (Lihat amaran pickpocket di seksyen Peringatan & Keselamatan di bawah).

Sejarah, Gambaran & Konteks Budaya

Dibina pada tahun 1515 atas arahan Raja Manuel I, Belém Tower Lisbon (Torre de São Vicente) adalah sebahagian daripada sistem pertahanan di muara Sungai Tagus, bersama-sama dengan kubu di seberang sungai (yang telah musnah).

Ia adalah simbol kemuncak “Zaman Penjelajahan” (Age of Discovery) Portugal dan menjadi kubu terakhir yang dilihat oleh pelayar seperti Vasco da Gama sebelum mereka memulakan pelayaran ke India, dan pemandangan pertama yang mereka lihat apabila kembali.

Menara ini adalah contoh terbaik seni bina gaya Manueline (gaya Gothik Portugis) yang unik, dihiasi dengan ukiran tali, sfera armilari (simbol pelayaran), dan lambang diraja.

Melawat Belém Tower Lisbon adalah satu kemestian atas tiga sebab utama:

  • Pertama, ia adalah ikon Lisbon yang paling terkenal. Lawatan anda tidak akan lengkap tanpa bergambar di sini.
  • Kedua, ia memberi peluang unik untuk melihat sendiri seni bina Manueline yang sangat terperinci, yang tidak terdapat di tempat lain.
  • Akhir sekali, anda akan dapat berdiri di tapak sejarah maritim yang penting, betul-betul di tempat penjelajah Portugal memulakan pelayaran mereka yang mengubah dunia.

Tidak seperti Andalusia (Sepanyol), Belém Tower tidak mempunyai kaitan sejarah dengan warisan Islam. Ia dibina lama selepas era pemerintahan Moor berakhir.

Lawatan ke lokasi ini adalah sekadar untuk menghayati dan seni bina Eropah semata-mata. InsyaAllah ia tidak menjejaskan akidah sebagai Muslim.

Lokasi Belém Tower

Pertama sekali, anda perlu tahu bahawa kawasan Belém ini terletak sedikit jauh, kira-kira 6-7 km ke barat dari pusat bandar Lisbon (seperti Baixa atau Alfama).

Cara paling popular dan terbaik untuk ke sini (walaupun dengan amaran pickpocket yang akan saya ceritakan nanti) adalah dengan menaiki Trem 15E dari stesen utama Cais do Sodré atau Praça do Comércio.

Anda boleh berhenti di hentian “Largo da Princesa”, yang merupakan hentian paling dekat untuk berjalan kaki ke menara, atau turun di “Mosteiro dos Jerónimos” dan berjalan kaki 10 minit dari situ.

Jika anda datang dalam kumpulan 3-4 orang atau mahukan keselesaan, mengambil teksi atau e-hailing (Uber/Bolt) adalah lebih bijak. Kosnya sekitar €10-€15 dari pusat bandar, dan anda hanya perlu sebutkan nama “Torre de Belém” (disebut Tor-rə də Bə-laing) kepada pemandu.

Apabila anda tiba, penting untuk anda tahu bahawa Belém adalah satu kawasan tumpuan yang menempatkan beberapa tarikan utama.

Anda bukan hanya melawat menara itu sahaja. Ia terletak berdekatan dengan dua lagi tarikan utama:

  • Padrão dos Descobrimentos (Tugu Penjelajah) yang hanya 5-10 minit berjalan kaki santai
  • Mosteiro dos Jerónimos (Biara Jerónimos) yang mengambil masa 10-15 minit berjalan kaki dari Belém Tower Lisbon.

Rancang untuk melawat ketiga-tiga lokasi ini sekali gus untuk menjimatkan masa perjalanan anda.

Mosteiro dos Jerónimos

Tiket Dan Waktu Operasi Belém Tower Lisbon

Baik, sekarang kita bercakap tentang tiket dan waktu lawatan. Perkara pertama yang anda perlu putuskan ialah: adakah anda mahu masuk ke dalam menara?

Sejujurnya, ramai pelancong berpendapat melihat menara ini dari luar sahaja sudah cukup memuaskan, kerana bahagian dalamnya agak kecil. Anda mungkin beratur 1 jam hanya untuk 30 minit di dalam.

Walau bagaimanapun, jika anda memang mahu masuk dan melihat pemandangan dari atas, nasihat paling penting ialah tempah tiket anda secara online terlebih dahulu.

Ini adalah beberapa perkara penting mengenai tiket dan waktu:

  • Tiket Online. Beli di laman web rasmi untuk elak beratur panjang di kaunter tiket.
  • Tiket Kombo. Pertimbangkan Lisboa Card jika anda banyak menggunakan pengangkutan awam (ia termasuk kemasukan percuma), atau tiket kombo (Belém Tower + Biara Jerónimos) untuk sedikit penjimatan.
  • Waktu Operasi. Belém Tower Lisbon ini dibuka dari 10:00 Pagi hingga 5:30 Petang (kemasukan terakhir 5:00 Petang).
  • Belém Tower Lisbon TUTUP PADA SETIAP HARI ISNIN. Jangan rancang lawatan anda pada hari Isnin!
  • Waktu Terbaik. Untuk elak orang ramai, datanglah pada hari bekerja (Selasa-Jumaat), sama ada tepat jam 10:00 pagi atau lewat petang selepas jam 3:00 petang.

Anggaran Perbelanjaan

Dari segi bajet, lawatan ke Belém ini boleh jadi sangat murah, bergantung pada pilihan anda. Jika anda hanya melawat dari luar dan berkelah (seperti yang saya cadangkan), ia hampir percuma!

Ini adalah anggaran kasar untuk seorang jika anda bercadang untuk masuk ke dalam Belém Tower Lisbon:

  • Pengangkutan: ~€3.00 (jika guna kad Viva Viagem) atau ~€6.40 (jika bayar tunai dalam trem).
  • Tiket Masuk: ~€8.00 (untuk Belém Tower Lisbon sahaja).
  • Makan: ~€10-€15 (jika anda makan di pusat bandar, atau percuma jika bawa bekal).
  • Jumlah Anggaran: Sekitar €21 – €29 (anggaran RM100 – RM140).

Nasihat utama saya untuk berjimat ialah beli kad pengangkutan Viva Viagem di mana-mana stesen metro dan isi kredit. Tambang trem anda akan jadi separuh harga berbanding membayar tunai kepada pemandu.

Rancangan Lawatan & Aktiviti

Kawasan sekitar Torre de Belém (Belém Tower)

Pengalaman di Belém Tower Lisbon ini bergantung pada satu keputusan penting: Adakah anda mahu beratur dan masuk ke dalam, atau cukup sekadar bergambar dari luar?

Sejujurnya, ramai pelancong gembira dengan pilihan kedua. Anda sanggup ke beratur 1 jam hanya untuk 30 minit di dalam menara yang kecil?

Nasihat saya, jika anda kesuntukan masa, lawatan dari luar sudah sangat berbaloi.

Berikut adalah dua rancangan lawatan berdasarkan pilihan anda:

Jika Anda Ada 30 Minit:

Lakukan lawatan luar dan sesi foto. Ini adalah pilihan terbaik. Fokus utama anda adalah fotografi.

  1. Fokus di Taman: Ambil gambar poskad klasik dari taman rumput di hadapan.
  2. Berjalan di Tepi Sungai: Jangan lepaskan peluang berjalan di laluan persiaran (promenade) di sebelah Sungai Tagus.
  3. Gambar di Jambatan: Ambil gambar close-up dari jambatan kayu kecil yang menuju ke pintu masuk menara.

Jika Anda Ada 1.5 — 2 Jam

Boleh lakukan lawatan dalaman. Bagi anda yang ingin merasai pengalaman penuh dan masuk ke dalam (pastikan guna tiket online!), ini adalah apa yang anda akan lalui:

  1. Tingkat Bawah: Anda akan bermula di Lower Battery (ruang meriam di tingkat bawah).
  2. Naik Tangga (PENTING): Ini bahagian paling sesak. Anda akan naik tangga batu berpusing yang sangat sempit. Ada sistem lampu isyarat (merah/hijau) untuk kawal giliran. Tolong patuhi kerana ia sangat sesak.
  3. Bumbung (Rooftop): Ganjaran anda! Pemandangan dari atas teres ini sangat cantik, menghadap Sungai Tagus dan Jambatan 25 de Abril.
  4. Bilik Lain: Lawat bilik-bilik kecil (Bilik Raja, Dewan Penonton) sebelum beratur untuk turun semula (tunggu lampu hijau!).

Pelan B (Jika Cuaca Hujan atau Terlalu Panas):

Belém Tower Lisbon ini sangat terdedah kepada angin dan hujan. Jika cuaca tidak mengizinkan, jangan paksa diri.

Lebih baik anda habiskan masa di tarikan berdekatan yang berbumbung dan besar, seperti Mosteiro dos Jerónimos (Biara) atau Muzium Koc (Coach Museum).

Spot Menarik Untuk Bergambar

Spot bergambar Torre de Belém (Belém Tower)

Sejujurnya, Belém Tower Lisbon sangat fotogenik. Tidak kira sama ada anda bercadang untuk masuk ke dalam atau hanya melawat dari luar, merakam gambar kenangan di sini adalah satu kemestian.

Menara ini cantik dari hampir semua sudut, tetapi berikut adalah beberapa ‘spot’ kegemaran saya untuk mendapatkan gambar yang terbaik.

Ini adalah ‘spot’ utama yang anda lihat di Instagram atau poskad. Berdiri di taman rumput (Jardim da Torre de Belém) di hadapan menara. Ambil gambar dari sudut rendah (low angle) untuk menampakkan keseluruhan Belém Tower Lisbon yang gah berlatarbelakangkan langit.

Tips: Datang pada waktu pagi apabila matahari berada di belakang anda (menyinari menara), atau pada waktu ‘golden hour’ (lewat petang) untuk gambar siluet yang dramatik.

Jika anda memilih untuk masuk ke dalam dan mendaki tangga sempit itu, ganjaran anda ialah pemandangan 360 darjah dari teres (bumbung) Belém Tower Lisbon.

Tip Pro: Ini adalah tempat terbaik untuk merakam pemandangan luas muara Sungai Tagus, Jambatan 25 de Abril (yang kelihatan seperti Golden Gate), dan Tugu Penjelajah (Padrão dos Descobrimentos) dari sudut tinggi.

Semasa anda berjalan di atas jambatan kayu kecil menuju ke pintu masuk, ambil peluang untuk merakam gambar close-up.

Dari sini, anda boleh fokus pada perincian seni bina Manueline yang unik, seperti ukiran tali, balkoni, dan perisai diraja pada dinding batu menara.

Nasihat paling penting jika anda masuk ke dalam: jangan halang laluan tangga semata-mata untuk bergambar.

Tangga berpusing itu sangat sempit dan menggunakan sistem lampu isyarat (merah/hijau). Menghalang laluan akan menyebabkan kesesakan teruk.

Selain itu, penggunaan dron adalah dilarang sama sekali di sekitar kawasan warisan ini.

Kemudahan Tempat Solat & Tandas

Kemudahan solat (surau rasmi atau musolla) tidak disediakan di Belém Tower Lisbon, Padrão dos Descobrimentos (Tugu Penjelajah), atau Mosteiro dos Jerónimos (Biara Jerónimos).

Masjid terdekat, Mesquita Central de Lisboa (Masjid Pusat Lisbon), terletak di pusat bandar dan memerlukan perjalanan sehala anggaran 40-50 minit. Anda disyorkan untuk meluangkan masa 3-4 jam untuk lawatan di Belém, dan kemudian kembali ke pusat bandar untuk menunaikan solat di Masjid Pusat Lisbon secara Jamak Qasar.

solat jamak qasar

Tidak Pasti Cara & Kaedah Solat Jamak?

Disini kami ada menyediakan panduan lengkap secara langkah demi langkah mengerjakan solat secara jamak & qasar.

Lihat Panduan Ini

Berkenaan keperluan wuduk dan istinja, ini adalah cabaran praktikal di kebanyakan lokasi di Eropah.

Tandas awam (berbayar, anggaran €0.50 – €1.00) yang terdapat di taman sekitar Belém, atau tandas di kafe (mungkin memerlukan pembelian), tidak dilengkapi dengan paip air atau hos bidet.

Kemudahan ini hanya menyediakan tisu tandas. Bagi tujuan bersuci, anda disyorkan untuk membawa botol air kosong atau *travel bidet* (spray wuduk) mudah alih. Botol tersebut boleh diisi di sinki sebelum memasuki bilik tandas.

Kemudahan Makanan Halal

Saya perlu berterus terang dengan anda tentang situasi makanan halal di Belém: ia sangat sukar, hampir tiada.

Kawasan pelancongan ini dipenuhi dengan kafe-kafe mahal yang tidak mempunyai pensijilan halal.

Perkara pertama yang anda mungkin teruja nak cuba ialah Pastéis de Belém (tart telur Portugis) yang terkenal itu, kerana kedai asalnya ada di sini.

Pastéis de Belém

Nasihat saya ialah lebih baik elakkan kerana tiada sijil halal. Resepi asal pastri ini dirahsiakan, dan berkemungkinan ia menggunakan lard (lemak babi) atau esen vanila berasaskan alkohol dalam resipinya.

Jadi, apa pilihan yang ada?

Pilihan terbaik dan paling jimat ialah membawa bekal sendiri. Sebelum anda naik Trem 15E, singgah di pasar raya (seperti Pingo Doce) di pusat bandar Lisbon dan beli sandwich, buah-buahan, atau bekalan lain.

Terdapat banyak taman dan bangku yang cantik di tepi sungai Belém untuk anda berkelah. Ini adalah pilihan yang paling mudah dan pasti halal.

Jika anda benar-benar perlu membeli makanan, pilihan terdekat mungkin beberapa kedai kebab berhampiran stesen Cais do Sodré (tempat anda naik trem).

Anda boleh singgah di sana semasa anda dalam perjalanan pulang, tetapi pastikan anda bertanya sendiri dengan pemiliknya tentang status halal.

Pilihan “syurga halal” yang sebenar terletak jauh di pusat bandar, iaitu di kawasan Martim Moniz atau Mouraria.

Di sinilah anda akan jumpa deretan restoran Halal milik orang Pakistan, Bangladesh, dan Timur Tengah dengan harga yang jauh lebih berpatutan (set bajet sekitar €8-€12).

Cadangan saya ialah, habiskan lawatan anda di Belém, kemudian kembali ke pusat bandar dan makan di Martim Moniz.

Kemudahan Untuk Keluarga, OKU & Warga Emas

Kemudahan di Torre de Belém (Belém Tower)

Bagi anda yang melancong bersama keluarga, warga emas, atau individu dengan keperluan khas (OKU), ada beberapa perkara penting yang perlu diambil kira.

Berita baiknya, kawasan taman dan laluan persiaran di luar menara yang luas itu sememangnya rata, mesra stroller, dan boleh diakses oleh kerusi roda. Anak-anak boleh berlari bebas di taman rumput sementara warga emas boleh berehat di banyak bangku yang disediakan.

Walau bagaimanapun, keadaan di dalam menara adalah sebaliknya dan saya perlu tegaskan perkara ini: ia sangat tidak digalakkan (hampir mustahil) untuk pengguna kerusi roda dan stroller.

Ia juga amat mencabar bagi warga emas atau sesiapa sahaja yang mempunyai masalah pergerakan (seperti sakit lutut). Laluan utama ke puncak ialah tangga batu berpusing yang amat curam, sempit (hanya muat seorang pada satu masa), dan tiada lif disediakan.

Jika anda membawa anak kecil, pilihan terbaik adalah menggunakan baby carrier (gendongan). Bagi warga emas atau rakan OKU, pengalaman terbaik adalah menikmati keindahan seni bina Belém Tower Lisbon ini dari kawasan taman di luar sahaja.

Untuk kemudahan asas pula, tandas awam berbayar yang terdapat di taman biasanya dilengkapi dengan kemudahan menukar lampin (baby changing facilities) dan tandas khas untuk OKU.

Peringatan & Keselamatan

Monumen sekitar Torre de Belém (Belém Tower)

Secara umumnya, Lisbon dan kawasan Belém sendiri selamat untuk berjalan-jalan, terutamanya pada waktu siang. Anda tidak perlu rasa takut.

Walau bagaimanapun, ada satu ‘tetapi’ yang sangat besar, yang sering diingatkan oleh hampir semua pelancong: Tolong berhati-hati semasa menaiki Trem 15E.

Trem ini sentiasa sesak seperti sardin kerana ia laluan pelancong utama. Ini menjadikannya ‘lubuk’ kegemaran pencopet (pickpocket) yang sangat cekap. Nasihat ikhlas saya, semasa anda beratur dan berada di dalam trem:

  • Pastikan beg anda berada di hadapan badan, bukan digalas di belakang.
  • Pastikan semua zip tertutup rapat.
  • Jangan sekali-kali letak dompet atau telefon bimbit di poket seluar belakang anda.
  • Sentiasa waspada jika ada orang yang cuba mengalih perhatian anda (cth: tiba-tiba bertanya soalan, ‘terlanggar’, atau ‘terjatuh’ barang). Ini mungkin taktik mereka yang bekerja dalam kumpulan.

Selain risiko utama di dalam trem itu, anda juga perlu berwaspada di mana-mana kawasan sesak di Belém. Ini termasuk semasa anda sedang beratur panjang untuk masuk ke Belém Tower Lisbon atau Mosteiro dos Jerónimos. Pencopet sentiasa mencari peluang di tempat tumpuan pelancong.

Akhir sekali, ada dua scam umum yang sering berlaku. Pertama, scam ‘petisyen’, di mana seseorang (mungkin berpura-pura pekak/bisu) akan meminta anda menandatangani sesuatu, kemudian memaksa anda memberi ‘derma’.

Kedua, scam ‘gelang persahabatan’, di mana seseorang akan mengikat gelang di tangan anda ‘sebagai hadiah’ dan kemudian menuntut bayaran.

Nasihat terbaik untuk kedua-dua scam ini? Jangan layan. Hanya kata ‘Tidak, terima kasih’ (Sebut: “Não, obrigado”) dengan tegas dan terus berjalan.

Sebagai amalan standard di Eropah, pastikan anda simpan nombor kecemasan universal Eropah, iaitu 112, di dalam telefon anda (ia merangkumi Polis, Ambulans, dan Bomba).

Soalan Lazim (FAQ)

Berikut adalah beberapa soalan lazim yang sering ditanya oleh ramai orang. Ini mungkin dapat membantu anda merancang lawatan anda dengan lebih teliti.

Perlukah saya bawa pasport fizikal untuk masuk?

Tidak perlu untuk masuk ke menara, tetapi anda dinasihatkan membawa salinan atau gambar pasport setiap masa di Eropah.

Bolehkah saya masuk semula (re-entry) selepas keluar?

Tidak. Tiket adalah untuk satu kemasukan sahaja.

Adakah berbaloi masuk ke dalam Belém Tower?

Jika anda minat sejarah dan seni bina, ya. Jika anda hanya mahu pemandangan, pemandangan dari Padrão dos Descobrimentos berdekatan mungkin lebih baik dan kurang sesak.

olehkah bawa stroller masuk ke dalam menara?

Tidak. Ia sangat berbahaya dan tidak dibenarkan.

Berapa lama perlu beratur jika tiada tiket online?

Pada musim puncak (Musim Panas), barisan boleh mengambil masa 45 minit hingga 1.5 jam.

Penutup

Sebagai kesimpulan, lawatan ke Torre de Belém (Belém Tower) adalah satu kemestian untuk melengkapkan pengalaman anda di Lisbon. Ia adalah ikon bersejarah yang menceritakan kisah zaman kegemilangan maritim Portugal yang mengagumkan.

Walaupun kawasan Belém ini mempunyai cabaran logistiknya terutamanya ketiadaan kemudahan solat dan pilihan makanan halal yang terdekat, namun ia bukanlah satu halangan yang tidak boleh diatasi.

Dengan berbekalkan maklumat dan perancangan yang rapi (seperti merancang solat jamak dan membawa bekal sendiri), anda pasti dapat menikmati keindahan seni bina Manueline dan pemandangan Sungai Tagus ini dengan tenang dan selesa.

Selamat merancang perjalanan anda ke Belém!

Photo of author

Muhamad Naim

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments