NAJIS MUGHALLAZAH: Maksud, Contoh & Cara Menyucikan

cara sama menyucikan najis mughallazah

Apakah maksud Najis Mughallazah?

Bagaimanakah cara samak atau kaedah menyucikan Najis Mughallazah?

Panduan ini akan menerangkan secara langkah demi langkah cara menyucikan najis mughallazah secara lengkap.

Semoga memberi manfaat..

Maksud Najis Mughallazah

Apakah yang dimaksudkan dengan najis mughallazah?

Dalam bahasa Arab, Mughallazah bermaksud najis yang berat untuk disucikan.

Najis ini tidak memadai membasuhnya dengan air seperti najis-najis lain. Ia perlu dibersihkan dengan cara samak1.

Samak ialah kaedah basuhan menggunakan enam kali basuhan air mutlak dan satu kali basuhan air tanah.

Samak Atau Sertu?

Sebenarnya berlaku kekeliruan dalam masyarakat kita diantara samak dan sertu.

Oleh kerana pengertian samak dan sertu ini adalah sangat hampir dari segi bahasa, sering terjadi kekeliruan terhadap samak dan sertu.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sertu ialah menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali, menyamak.

1 Samak pula mempunyai beberapa makna.

Antaranya ialah bahan zat yg digunakan untuk memasak serta mewarnai kulit binatang, membersihkan najis mughallazah dengan air tanah sekali dan air mutlak enam kali, sejenis tumbuhan yang digunakan untuk menyamak kulit.

Maka, kekeliruan yang timbul berkemungkinan datang daripada takrifan sudut bahasa kerana menyamak juga mengandungi makna yang sama seperti sertu iaitu membersihkan najis mughalazah dengan air dan tanah.

Boleh rujuk penerangan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan: AL-KAFI #1316: BEZA SERTU DENGAN SAMAK


Nota

Tajuk panduan ini saya menggunakan perkataan “samak” kerana memudahkan carian pengguna berkaitan tajuk penyucian ini.

Ini disebabkan kata kunci “samak” digunakan secara meluas dalam enjin carian.

Oleh itu, diharapkan sisipan nota ini diharapkan akan memperbetulkan kefahaman yang silap sebelum ini

Jenis & Contoh Najis Mughallazah

Apakah jenis dan contoh Najis Mughallazah?

Najis mughallazah atau najis berat ini terbahagi kepada dua, iaitu:

1. Anjing

Anjing dan keturunannya serta semua yang berasal daripadanya adalah najis, termasuk air liur, peluh dan darah.

Jika bekas, pakaian atau anggota badan terkena najis ini, ia hendaklah dibersihkan sebanyak tujuh kali dan salah satunya hendaklah menggunakan air yang dicampurkan dengan tanah.

Hukum ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

Bekas air sesiapa diantara kamu yang dijilat anjing boleh dibersihkan dengan membasuhnya tujuh kali dan pertamanya dengan tanah.

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Taharah, Bab Hukum jilatan anjing)

Boleh difahami disini, jika mulut anjing yang lebih bersih adalah najis, bahagian-bahagian lain sudah tentu lebih najis.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah dijemput ke rumah satu keluarga Ansar dan dia menerimanya.

Kemudian, dia sekali lagi dijemput ke sebuah rumah lain, tetapi dia tidak pergi.

Apabila mereka bertanya, Baginda menjawab:

“Kerana di rumah kamu ada anjing.” Mereka membalas. “Tapi di rumah mereka ada kucing”. Baginda menjawab: “Kucing adalah haiwan pemangsa”

(Riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah)

2. Babi

Babi dan keturunannya sama ada disembelih mengikut syarak atau tidak, haiwan ini adalah najis berat.

Oleh itu, air liur darah, darah, najis, daging, bulu, tulang atau kulit sama ada yang telah disamak atau tidak, adalah najis.

Ini adalah berdasarkan firmah Allah SWT:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi, kerana sesungguhnya ia adalah kotor.

— Surah al-An’am 6: 145)

Cara Samak (Kaedah Menyucikan Najis Mughallazah)

Bagaimana cara menyucikan Najis Mughallazah?

Najis ini apabila terkena pada pakaian, badan atau tempat, hendaklah dibersihkan dengan tujuh basuhan.

Salah satu daripada tujuh basuhan itu hendaklah menggunakan air bercampur tanah.

(1 air tanah + 6 kali air mutlak = 7 basuhan)

Cara samak (sertu) ini terpakai tidak kira sama ada najis itu nampak zahir najisnya (aini) atau tidak meninggalkan kesan (hukmi)

Kaedah penyuciannya adalah seperti berikut:

Time needed: 10 minutes

Berikut dinyatakan kaedah menyucikan Najis Mughallazah secara langkah demi langkah.

  1. Kenalpasti Jenis Dan Kedudukan Najis Mughallazah Tersebut

    Contohnya najis anjing yang terkena karpet atau tikar. Najis biasanya mempunyai warna, bentuk dan bau.Menyucikan najis mughallazah

  2. Singkirkan Najis Sehingga Hilang Ainnya

    Gunakan alat yang sesuai untuk mengalihkan najis tersebut seperti penyapu dan surat khabar.menyucikan najis mughallazah

  3. Siram Air Ditempat Bekas Najis Tersebut

    Siram dengan air mutlak ke atas tapak najis tadi sehingga hilang warna dan baunya.Menyucikan Najis Mughallazah

  4. Basuh Dan Siram Dengan Air Tanah

    Dalam salah satu basuhan air, gunakan air bercampur tanah. Air tanah boleh disiram pada awal, ditengah atau pada akhir basuhan.menyucikan najis mughallazah

  5. Seterusnya Dibasuh Dengan Enam Basuhan Air Mutlak

    Basuh tapak najis tadi dengan enam basuhan air mutlak sehingga bersih

Penutup

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita sebagai seorang Muslim di dalam hal-hal agama.

Marilah kita membiasakan diri untuk membuat perkara yang betul dan memperbetulkan perkara yang biasa kita lakukan.

Semoga panduan ini membantu saudara saudari sekalian.

Photo of author

Muhamad Naim

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

203 thoughts on “NAJIS MUGHALLAZAH: Maksud, Contoh & Cara Menyucikan”

  1. Nampak macam mudah…tetapi situasi saya sangat sukar…kawasan yg luas..dan kerap terkena air kencing anjing …( Lihat di cctv)..bahagian porch, laluan dan halaman rumah..

    Reply
    • Waalaikumussalam tuan Azman.

      Saya faham situasi tuan memang mencabar bila kawasan luas dan kejadian berulang.

      Dalam mazhab Syafi‘e, air kencing anjing ialah najis mughallazah, tetapi tuan tidak perlu menghukum seluruh porch, laluan dan halaman sebagai najis. Cukup fokus pada tempat yang tuan benar-benar yakin terkena (berdasarkan CCTV) sahaja.

      Wallahu a’lam

      Reply
      • Terima kasih tuan kerana respon masaalah saya..
        Dan saya ada kemuskilan lagi..
        Jika halaman berumput itu..dibiarkan adakah lama2 akan auto suci (disebabkan hujan/panas)
        Dan bagaimana nak potong rumput halaman tersebut..adakah kena sertu dahulu..?
        Dan situasi tersebut kerap berlaku..dan saya dah penat dan terganggu dengan masaalah tersebut

        Reply
        • Waalaikumussalam tuan Azman.

          1/ Halaman berumput “auto suci”
          Dalam mazhab Syafi‘e, matahari/panas semata-mata tidak menyucikan najis. Najis mughallazah (anjing) hanya suci bila disertu pada tempat yang tuan benar-benar yakin terkena. Tetapi untuk kawasan rumput yang luas, jika tuan tidak pasti spot mana, jangan hukum semuanya najis. Pegang kaedah: asal sesuatu itu suci, dan yakin tidak hilang dengan sangkaan.

          2/ Potong rumput perlu sertu dulu?
          Tak perlu sertu seluruh halaman semata-mata nak potong rumput. Potong ketika rumput kering. Najis tidak “merebak” kalau tiada lembapan yang berpindah. Jika tuan yakin ada satu spot yang baru terkena (masih basah/jelas), elak spot itu atau buat sertu pada spot tersebut sahaja.

          3/ Bila kerap berlaku dan tuan penat
          Saya cadangkan fokus pada pencegahan (pagar kecil, halang akses, lampu sensor, spray penghalau). Dari sudut ibadah, cukup jaga tempat yang benar-benar yakin sahaja. Jangan biarkan isu ini jadi beban dan was-was berpanjangan.

          Wallahu a‘lam.

          Reply
  2. Assalamualaikum, Tuan.

    Di dalam ruangan komen, Tuan ada sebut

    “najis hanya berpindah jika ada basah pada salah satu pihak”

    Dan Tuan ada juga sebut

    “najis hanya berpindah kalau bahagian yang terkena itu sama-sama basah”.

    Boleh Tuan berikan pencerahan terhadap dua ayat itu?

    Saya agak keliru kerana satu menyebut “satu belah basah” dan lagi satu menyebut “kedua-dua belah basah”.

    Reply
    • Waalaikumussalam Tuan Asyraf,

      Terima kasih atas soalan dan mohon maaf jika tulisan sebelum ini menimbulkan kekeliruan. Sebenarnya dua ayat itu tidak bercanggah, cuma sudut pandang yang berbeza.

      Secara asasnya, dalam mazhab Syafie, najis boleh berpindah jika ada basah pada salah satu pihak sama ada najis itu sendiri basah, atau benda suci yang menyentuhnya basah. Kalau kedua-duanya betul-betul kering, najis tidak berpindah.

      Apabila saya sebut “najis hanya berpindah kalau bahagian yang terkena itu sama-sama basah”, itu dalam konteks kita bimbang najis “merebak” ke banyak tempat (lantai → sejadah → tangan → baju dan sebagainya).

      Maksudnya, untuk kita hukum najis itu terus berpindah dalam rantaian yang panjang, tiap-tiap sentuhan itu mestilah melibatkan lembapan yang munasabah pada kedua-dua permukaan yang bertemu.

      Jika di mana-mana peringkat salah satunya sudah kering, rantaian perpindahan najis terhenti di situ.

      Contoh ringkas:

      Air liur anjing (basah) kena seluar kering → bahagian itu najis. Seluar yang masih basah kena lantai kering → bahagian lantai itu najis. Bila lantai sudah kering, orang lain pijak dengan kaki kering → kaki orang itu tidak dihukum najis.

      Jadi, rumus mudahnya:

      • Hukum asas: cukup salah satu basah untuk najis berpindah.
      • Dalam rantaian was-was: kita lebih berhati-hati untuk TIDAK mudah menghukum najis kecuali jelas ada basah yang berpindah pada setiap sentuhan.

      Pegang kaedah fiqh: “Al-yaqin la yazulu bisy-syakk” iaitu yang yakin (suci) tidak hilang dengan sangkaan.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  3. Salam tuan, anak sy terpijak kelembapan anjing yg tumpang berteduh dikawasan rumah sy, sy tidak ada tanah pada hari tersebut, sy tangguh ke esokkan harinya, tapi sy dah basuh dengan air paip kakinya n tempat2 yg dia terpijak, cuma sy nak tanya disini, apa sy perlu buat, sbb anak n kami dah ada dalam rumah seharian, pakaian tempat tidur bagaimana pula, kalau kami solat dan terpijak sejadah bagaimana pula..?? Solat kami pada hari semalam bagaimana pula.?? Bagaimna kami nak menyucikan..??

    Reply
    • Waalaikumussalam tuan,

      Pertama sekali, tuan jangan terlalu risau ya. Kalau anak terpijak kelembapan anjing, memang itu dikira najis mughallazah jika lembapan itu benar-benar daripada air liur atau badan anjing yang basah.

      Apa yang tuan boleh buat sekarang:

      1. Sertu (samak) kaki anak di bahagian yang terkena sahaja: 1 kali air bercampur tanah, kemudian 6 kali air paip biasa.
      2. Tempat yang dia pijak pun, hanya bahagian yang tuan yakin ada kesan basah najis, itu sahaja yang perlu disertu. Tak perlu satu rumah.

      Tentang pakaian, sejadah dan tempat tidur: najis hanya berpindah kalau bahagian yang terkena itu sama-sama basah (contoh: kaki basah pijak sejadah yang basah).

      Kalau kering, atau kita cuma rasa “macam kena” tapi tak pasti, hukumnya kembali kepada asal iaitu suci. Jangan dilayan sangat rasa was-was.

      Solat yang tuan dan anak sudah tunaikan sebelum sedar hal ini insyaAllah sah, kerana ketika itu tuan belum tahu dan tidak sengaja. Selepas tuan sedar, barulah kita ambil langkah sertu pada bahagian yang diyakini terkena.

      Pegang satu kaedah fiqh mudah: “Asal sesuatu itu suci, dan yakin tidak hilang dengan sangkaan.” (اليقين لا يزول بالشك)

      Moga Allah mudahkan urusan tuan sekeluarga.

      Wallahu a’lam

      Reply
      • Terima kasih tuan, tapi pada hari kejadian sy hanya basuh biasa sahaja, keesokkannya baru saya guna 1+6, apa yang berlaku pada hari tersebut, solat keberadaan kami seharian sebelum sertu, sbb ketiadaan tanah pada hari kejadian

        Reply
        • Waalaikumussalam tuan.

          Tentang apa yang berlaku pada hari pertama sebelum tuan sempat sertu, solat-solat yang telah dikerjakan pada hari tersebut insyaAllah sah dan tidak perlu diulang. Pada waktu itu tuan sudah berusaha membasuh kaki anak dan tempat pijak dengan air paip sedaya mampu berdasarkan ilmu dan keadaan yang ada.

          Kewajipan sertu dengan 1 kali air bercampur tanah dan 6 kali air mutlak hanya terpakai selepas kita benar-benar yakin tentang adanya najis mughallazah dan tahu cara menyucikannya.

          Selepas tuan sertu kaki anak pada hari berikutnya, maka dianggap bersihlah bahagian yang diyakini terkena najis. Tentang lantai rumah, pakaian, tempat tidur dan sejadah pula, hukumnya kembali kepada asal iaitu suci, kecuali pada tempat yang tuan benar-benar yakin ada sentuhan basah dengan najis.

          Najis tidak berpindah hanya dengan andaian atau rasa takut; ia hanya berpindah jika ada lembapan yang nyata pada kedua-dua pihak (contohnya kaki basah yang kita pasti masih ada kesan najis, memijak lantai yang juga basah). Jika sekadar kemungkinan dan tidak jelas, kita tidak dihukumkan sebagai najis.

          Jadi, tuan tidak perlu menyertu seluruh rumah, pakaian atau sejadah, dan tidak perlu mengulang semua solat yang telah dilakukan sebelum sertu.

          Cukup dengan menyertu bahagian yang diyakini terkena najis sahaja. Pegang kaedah fiqh yang penting: hukum asal segala sesuatu adalah suci, dan keyakinan tidak gugur hanya dengan sangkaan atau was-was.

          Semoga Allah memberi tuan ketenangan dan menerima semua amalan tuan sekeluarga.

          Wallahu a’lam

          Reply
  4. Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya mengenai kenajisan anjing. Saya sekarang menetap di luar negara. Dalam 2 atau 3 minggu lalu, anak- anak saya bermain di taman berdekatan rumah bersama kawan-kawan. Seorang daripada mereka mengusap bulu anjing(mereka Islam tetapi mungkin berpegang kepada mazhab selain mazhab Shafie).

    1. Selepas usap bulu anjing itu, dia memegang beg anak, tangan anak dan lain- lain. Saya merasa was-was adakah najis berpindah sehingga mengganggu urusan seharian saya.
    2. Anak memberitahu kemungkinan tangan dan bulu anjing itu kering.
    3. Penyakit was was saya datang kembali disebabkan hal ini. Anak pegang beg yang dikhuatiri najis berpindah dan pegang pintu kereta, pintu rumah dan sebagainya. Sekiranya tangan basah memegang benda contohnya pintu rumah(yang saya was- was ada najis berat kerana anak pegang beg @ tangan kawan yang usap bulu anjing tadi), adalah najis berpindah? Was was terhadap najis berat sangat menyukarkan saya..
    4. Sekiranya kita bersalam dengan Muslim yang memegang anjing sebelum itu, perlukah sertu? Bila was was datang ia sangat menyukarkan saya kerana pada waktu saya yakin, saya tidak sertu tetapi nanti bila teringat kembali, rasa semuanya najis.

    Terima kasih banyak- banyak ustaz. Saya telah baca semua komen ustaz dalam soal jawab berkaitan was was ini. Ramai rupanya yang menghidap penyakit seperti yang saya alami..
    Terima kasih sekali lagi. Assalamualaikum

    Reply
    • Waalaikumussalam, puan.

      Dalam mazhab Syafi‘e, hukum asal sesuatu itu suci, dan ia hanya berubah apabila ada bukti yakin.

      Prinsip utamanya: najis hanya berpindah jika ada basah pada salah satu pihak.

      1. Rakan anak usap anjing lalu pegang beg/tangan anak. Jika sentuhan berlaku dalam keadaan kering, beg dan tangan anak kekal suci. Jika puan tidak pasti ada kelembapan, ambil hukum asal: suci, dan tidak perlu sertu.
      2. Anak memaklumkan tangan dan bulu anjing itu kering. Dalam keadaan ini, puan anggap semuanya suci dan teruskan urusan seperti biasa. Islam tidak membebankan dengan sangkaan.
      3. Risau “merebak” ke pintu kereta, tombol rumah dan lain-lain. Pemindahan najis memerlukan punca asal yang benar-benar najis basah dan sentuhan dengan basah yang nyata pada waktu itu. Jika punca asal tidak pasti, atau mana-mana peringkat kering, rangkaian pemindahan terputus. Jika suatu ketika benar-benar yakin ada sentuhan basah dengan najis anjing, cuci bahagian yang terkesan sahaja, bukan seluruh rumah/kereta.
      4. Bersalam dengan Muslim yang baru memegang anjing. Jika tangan mereka kering atau puan tidak pasti keadaannya, hukumnya tidak najis. Hanya jika yakin ada kelembapan yang membawa najis (terutamanya air liur) barulah perlu menyucikan tempat yang tersentuh.

      Sertu hanya diperlukan apabila pasti terkena najis anjing dengan basah: 1 kali air bercampur tanah suci, diikuti 6 kali air mutlak, pada bahagian yang terkena sahaja.

      Berdasarkan situasi yang puan gambarkan (umumnya kering dan banyak andaian), tiada keperluan sertu.

      Pegang kaedah fiqh: asalnya suci; keyakinan tidak gugur dengan sangkaan.

      Semoga Allah menenangkan hati puan dan mempermudah urusan sekeluarga.

      Wallahu a’lam

      Reply
      • Terima kasih banyak ustaz atas penerangan. Alhamdulillah syukur dan terima kasih atas jawapan yang dikongsikan. Semoga ustaz sentiasa dalam rahmat Allah. Semoga Allah mempermudah urusan ustaz sekeluarga juga.

        Assalamualaikum

        Reply
        • Perkongsian ustaz dalam blog ini dan jawapan kepada permasalahan banyak membantu saya untuk mengatasi was-was semasa wudhu’, solat, lintasan hati yang menggangu(seperti keluar Islam dan sebagainya) dan ibadah lain. Semoga Allah mengampunkan saya😥. Semoga amalan diterima Allah hendaknya, Aamin ya Rabb.

          Terima kasih sekali lagi.

          Reply
      • Perkongsian ustaz dalam blog ini dan jawapan kepada permasalahan banyak membantu saya untuk mengatasi was-was semasa wudhu’, solat, lintasan hati yang menggangu(seperti keluar Islam dan sebagainya) dan ibadah lain. Semoga Allah mengampunkan saya😥. Semoga amalan diterima Allah hendaknya, Aamin ya Rabb.

        Reply
        • Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh puan Ana,
          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mengizinkan sedikit usaha di sini memberi manfaat kepada puan.

          Sebenarnya, puan yang lebih layak dihargai kerana terus mencari ilmu dan berjuang melawan was-was, bukan menyerah kepada bisikan syaitan.

          Tentang lintasan hati seperti “keluar Islam” dan seumpamanya – selagi puan benci lintasan itu, tidak mengucapkannya dengan sengaja, tidak beramal dengannya dan tidak redha, maka aqidah puan masih selamat, insyaAllah. Lintasan seperti itu adalah gangguan, bukan keadaan iman puan yang sebenar. Jangan dilayan, cukup istighfar sedikit, alihkan perhatian dan teruskan ibadah.

          Teruskan berdoa agar Allah mengampunkan dosa-dosa yang lalu, sekarang dan akan datang. Moga Allah menerima setiap wudhu’, solat dan ibadah puan, menjadikannya berat di timbangan kebaikan dan menjadi sebab diampunkan segala kekurangan.

          Saya juga doakan semoga Allah memberi puan hati yang tenang, jiwa yang tetap atas iman, dan diganjari pahala besar atas kesabaran melawan was-was ini.

          Amin ya Rabbal ‘alamin. 🌿

          Reply
  5. Assalamualaikum Ustaz. Isteri saya ada membeli kasut online untuk anak. Setelah beberapa bulan baru saya perasan belah dalam kulit kasut itu ada banyak 3 titik. Saya periksa di platform online tempat jual kasut tersebut dan disitu ditulis material dari pu leather(kulit tiruan). Saya buat research ada pu leather yg dibuat seperti kulit babi(ada 3 titik). Persoalannya apakah status kasut tu? Mula2 saya yakin, lama kelamaan saya jadi ragu2 dan buat keputusan untuk membuangnya.

    1. Jika anak saya pernah pki kasut tu dalam keadaan basah dan pijak lantai, perlukah saya sertu?
    2. Betul ke kalau kita hanya syak sebab nampak ada 3 titik tu belum cukup kuat untuk membuktikan yang tu kulit babi. “Keyakinan tidak hilang dengan syak.”
    3. Saya taknak menyiasat terlalu dalam kerana takut was was dan membuangnya terus. Betul ke keputusan saya?
    Reply
    • Wa‘alaikumussalam wbt.

      Jika kasut itu PU leather (kulit tiruan/sintetik), hukumnya suci, bukan najis mughallazah. Pola “tiga titik” memang ciri lazim kulit babi, tetapi ia bukan bukti muktamad kerana ada bahan sintetik yang meniru tekstur tersebut.

      Dalam fiqh, keyakinan tidak hilang dengan syak iaitu hukum asalnya suci. Jadi, jika setakat ragu tanpa kepastian (label/material menyebut “PU leather”), tidak wajib sertu.

      Sekiranya kemudian pasti itu kulit babi dan ada sentuhan basah (contoh: kasut basah terpijak lantai), barulah sertu pada bahagian yang terkesan sahaja. 1 kali air bercampur tanah suci, diikuti 6 kali air mutlak. Jika kering, najis tidak berpindah.

      Keputusan tuan membuang kasut demi mengelak was-was adalah harus, tetapi ia tidak wajib tanpa kepastian.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  6. Assalamualaikum ustaz, saya masuk tandas dan saya bawak sekali telefon untuk standby emergency, masa saya masuktandas tu ade tempat untuk letak barang tapi ade kesan air di situ, saya letak fon saya dekat atas tu fon saya tu ade casing, cuma saya mula terfikir air yang terkena casing saya tu najis atau tidak jadi, saya cuma lap sahaja bahagian casing yang kena air tersebut dan telefon. Jadi apa hukum jika kita tak pasti tempat letak barang tersebut basah air biasa atau basah air najis sebab tempat letak barang tu basah air jernih?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      Jika tidak yakin air pada tempat letak barang itu najis, hukum asalnya suci. Keraguan semata-mata tidak menajiskan (al-yaqin la yazulu bisy-syakk). Air jernih tanpa bau/warna/rasa najis dikira air biasa.

      Jadi:

      • Casing telefon yang terkena basahan itu dikira suci. Lap/bilas ringkas sudah memadai.
      • Solat adalah sah, dan tangan/pakaian yang tersentuh selepas itu juga tidak dikira najis.
      • Tidak perlu sertu (samak), kecuali tuan/puan pasti ada najis anjing/babi atau jelas terlihat ‘ain najis (kesan warna/bau/rasa najis).

      Jika hati masih ragu, bilas bawah paip sekali lalu dan anggap selesai. Elak mengulang-ulang kerana itu hanya menambahkan waswas.

      Reply
  7. Assalamualaikum ustaz,
    Saya nak tanya. Tadi masa saya kerja di tol, saya ambil kad daripada pengguna. Dia pegang kad dengan tangan kanan, manakala tangan kirinya pegang anjing. Dalam keadaan begitu, adakah saya perlu sertu?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      Tidak perlu sertu (samak) kecuali jika ada kepastian lembapan najis anjing (air liur/basahan bulu) berpindah ke kad lalu menyentuh tangan tuan/puan dalam keadaan lembap.

      • Jika kedua-dua kering, najis tidak berpindah. Tangan dan kad dikira suci.
      • Jika sekadar ragu, hukum asalnya suci (jangan layan waswas).

      Jika benar-benar yakin terkena basah najis mughallazah, maka sertu bahagian yang terkena sahaja: 1 kali air bercampur tanah, diikuti 6 kali air biasa.

      Boleh ditangguhkan sehingga ada tempat sesuai.

      Wallahu a’lam

      Reply
  8. Salam. Mertua saya dtg ke rumah bawa makanan yg dimasak di rumah. Dia letak di dalam beg plastik yg bertulisan cina dan ada nama company tu. Untuk sy mengelakkan rasa was2, sy terus keluarkan bekas lauk itu dan buang plastik tu. Setelah 2 minggu kejadian, dlm perjalanan ke rumah mertua, sy terperasan kedai menjual daging babi berdekatan rumah mertua. Logo dan nama se akan2 sama dgn beg plastik tu. Saya cuba untuk menidakkan tp sy x mampu. Saya terfikir, mustahil mertua saya beli di kedai tersebut. Atau sy fikir mungkin jiran cina memberi sesuatu dan letak di dalam beg plastik tersebut. Saya merasa was2 dan takut jika betul plastik tu dari kedai tersebut. Saya terfikir sy pegang bekas makanan tersebut dan pegang barangan seperti meja, kerusi, almari, peti ais tu semua. Tangan itu juga saya suap mkn ke anak sy dan anak sy buang mknn tersebut ke lantai. Saya jadi was2 nk pgg brgn di rumah sy.

    Reply
    • Waalaikumussalam wbt.

      Hukum asal semua benda adalah suci; yaqin tidak hilang dengan syak (اليَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ). Beg plastik berlogo/bernama kedai bukan bukti najis. Ia hanya dikira najis jika ada ‘ain najis (contoh: lemak/cecair babi) dan basah sehingga memindahkan kesan (warna/rasa/bau).

      Dalam situasi tuan/puan, sekadar ragu tentang asal beg dan tiada tanda najis di rumah, tangan, bekas lauk, meja, kerusi, peti ais, malah anak yang disuapkan maka hukumnya kekal suci; tidak perlu samak tujuh kali, memadai teruskan seperti biasa.

      Jika hati belum tenang, cukuplah basuh sekali dengan air mutlak pada tempat yang dirisaukan, bukan seluruh rumah.

      Hanya jika pasti berlaku sentuhan basah dengan najis mughallazah barulah disamak (7 basuhan, satu bercampur tanah) pada bahagian yang terkena sahaja.

      Elakkan waswas; banyakkan isti‘ādzah dan jangan dilayan sangka-sangka. Wallahu a‘lam.

      Reply
  9. Salam ustaz, Nak dijadikan cerita masa saya nak keluar dari rumah ada seekor anjing yang berlari berhampiran pokok halia ibu saya yang condong sedikit.Di hadapan pokok tu ada kolam ikan.Jadi ada sedikit ruang tak besar di antara mereka(Muatlah untuk orang lalu tapi tersentuh daun pokok halia tu), Masa saya kejar anjing tu untuk halau,seluar saya terkena dekat/hujung daun pokok halia.

    Saya tak pasti sama ada bulu/badan anjing tu terkena pada hujung/daun pokok halia ibu saya atau tidak.Pagi tadi pun hujan tapi tak lebat(sederhana kot lepas tu gerimis).Bila saya tengok dekat hujung daun dan bahagian daun tu tak basah pon, dan badan anjing tu pon tak nampak macam basah pun.

    Saya buang je seluar yang saya pakai tu dan
    tengah hari ni saya lalu sekali lagi tempat yang sama dan terkena pada hujung/daun halia tu pada betis saya.

    Jadi perlu ke saya sertu/samak? Mohon perjelasan ustaz dan maafkan saya kalau tulisan saya terlalu panjang.Terima kasih.

    Reply
    • Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh.

      Hukum asal sesuatu itu adalah suci, dan najis anjing hanya berpindah jika ada basah atau lembapan yang ketara berpindah sama ada pada anjing, air liurnya atau pada benda yang disentuh.

      Jika kedua-duanya kering, najis tidak berpindah. Kaedahnya, yakin tidak hilang dengan syak iaitu rasa ragu-ragu sahaja tidak menjadikan sesuatu itu najis.

      Dalam situasi awak, tidak pasti anjing menyentuh daun, daun kelihatan kering, dan anjing juga tidak nampak basah maka hukumnya tidak najis dan tidak perlu sertu. Begitu juga kali kedua terkena daun pada betis, jika kedua-duanya kering, ia tidak najis.

      Jika ada basah berpindah, dan basah itu daripada air hujan sahaja, hukumnya suci dan cukup dibasuh biasa. Hanya jika yakin ada kelembapan liur atau badan anjing berpindah ke pakaian/kulit, barulah wajib sertu pada bahagian yang terkena sahaja.

      Cara sertu: basuh tujuh kali dengan air suci, salah satunya dicampur tanah bersih, sehingga hilang bau, warna dan rasa najis.

      Tidak perlu membuang pakaian, dan elakkan was-was. Solat seperti biasa jika tiada kepastian berlakunya najis.

      Allahu a‘lam.

      Reply
  10. Assalamualaikum ustaz, seseorang itu duduk untuk beberapa hari dalam rumah yang penuh bulu anjing di lantai dan katil tapi anjing tiada di rumah. Dia juga mandi dan kaki serta badan yang basah terkena bulu anjing. Apa harus dilakukan selepas keluar dari rumah tu?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah

      Jika badan atau pakaian dalam keadaan basah dan terkena bulu anjing, maka najis telah berpindah dan wajib disertu. Caranya: basuh tempat yang terkena itu tujuh kali, dan salah satu daripadanya mestilah dengan air bercampur tanah.

      Tapi jika bulu anjing itu kering, dan badan serta pakaian tuan juga kering, maka najis tidak berpindah. Cukup sekadar buang bulu yang melekat, tak perlu sertu.

      • Jika tuan yakin tempat yang basah (contohnya kaki selepas mandi) terkena bulu anjing → wajib sertu.
      • Kalau tak pasti sama ada betul-betul terkena atau tidak → hukumnya kembali kepada asal, iaitu suci (tak perlu sertu).
      • Pegang kaedah: “Yakin tidak hilang dengan syak.”

      Semoga Allah mudahkan urusan tuan dan terpelihara kesucian ibadah.

      Wallahu a‘lam.

      Reply

Leave a Comment