Berdiri Tegak Dalam Solat (Siri Panduan Solat Sempurna)

berdiri tegak

Apakah yang dimaksudkan berdiri tegak dalam solat?

Panduan ini akan menerangkan bab kaedah berdiri tegak yang betul dan sempurna dalam solat, secara lengkap.

Apa yang menarik:

Saya juga menyediakan bahagian soal jawab masalah lazim berkaitan berdiri tegak dalam solat.

Pengenalan Panduan Siri Solat Sempurna

Ini adalah bab 1 dari siri panduan solat sempurna.

Untuk bab ini, saya akan menerangkan mengenai rukun solat berkaitan berdiri tegak dalam solat secara spesifik.

Matlamat panduan ini adalah agar kita semua tahu dan faham mengenai rukun berdiri secara sempurna seterusnya ibadah kita menjadi lebih baik.

Mari kita mulakan..

Maksud Berdiri tegak Dalam Solat

berdiri tegak

Sebelum melafazkan niat, berdirilah dengan tegak, tanpa bergerak-gerak untuk solat fardu (bagi mereka yang boleh berdiri) dengan cara meluruskan tulang belakangnya..

… walaupun bersandar kepada sesuatu seperti tembok.

Hadis daripada ‘Imran bin Hushain, beliau berkata:

Aku pernah terkena penyakit buasir, lalu aku bertanya Nabi SAW tentang cara menunaikan solat, lalu Baginda bersabda: Solatlah berdiri, jika kamu tidak mampu maka duduk. Jika kamu tidak mampu maka (solatlah) di atas rusuk (iaitu mengiring di sebelah rusuk kanan)

— Riwayat Bukhari dan Muslim

Imam an-Nasai’ menambah:

Maka jika kamu tidak mampu, maka solatlah dengan berbaring. Allah SWT tidak membebankan sesorang melainkan mengikut kemampuannya.

— Riwayat Bukhari, al-Baihaqi, Abu Dawud, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad

Syarat Sah Berdiri Tegak

Para Ulama secara ijmak bersepakat tentang perlunya berdiri tegak dalam solat fardu.

Oleh itu bagaimanakah syarat sah berdiri tegak?

Syarat sahnya adalah:

Berdiri tegak iaitu tidak condong sehingga ke tahap rukuk tanpa keuzuran bagi mereka yang mampu berbuat demikian dalam solat fardu.

Niat Dahulu Atau Berdiri Tegak Dahulu?

Imam asy-Syirazi dan lain-lain mendahulukan rukun berdiri tegak ini daripada niat dan takbir kerana niat dan takbir adalah dua rukun dalam solat secara mutlak, sedangkan berdiri tegak adalah rukun dalam solat fardu sahaja.

Imam Nawawi walau bagaimanapun meletakkan berdiri tegak selepas niat dan takbiratul ihram.

Setelah Berdiri Dengan Betul, Barulah Melafaz Niat

Setelah semua anggota badan serta hati tenang dan bersedia untuk mendirikan solat, lafazkanlah niat solat ketika itu.

Contohnya:

Sahaja aku solat fardu asar 4 rakaat tunai kerana Allah Taala

Hukum bagi lafaz niat adalah sunat hai’ah.

Soalan Lazim Berkaitan

1. Saya pernah melihat jemaah bersolat sambil bersandar ke dinding. Adakah sah solat seperti itu?

Solat dengan bersandar pada dinding ataupun tiang ataupun sesuatu yang sekiranya diubah objek itu, orang yang bersolat akan jatuh, sah solatnya.

Tetapi perbuatan seperti ini tidak elok dan makruh.


2. Saya mengalami luka kecil pada tapak kaki. Ini menyebabkan saya tidak dapat berdiri dengan sempurna. Bolehkah saya solat sambil duduk?

Jika luka tidak serius dan masih boleh berdiri (walaupun tidak sempurna), keadaan anda tidak membolehkan solat duduk.

Anda boleh bersandar pada dinding ataupun memegang tiang bagi membantu anda berdiri dengan stabil.

Kewajipan berdiri tetap tidak hilang dalam keadaan seperti ini.


3. Saya belajar di luar negara. Saya sukar untuk solat kerana pihak universiti tidak menyediakan tempat untuk solat. Dalam keadaan ini, bolehkan saya solat sambil duduk, kerana cara ini paling mudah?

Ketiadaan tempat solat tidak membenarkan kita solat duduk sedangkan kita mampu berdiri.

Ketiadaan surau tidak sepatutnya menjadi masalah kerana solat mampu dikerjakan di mana-mana sahaja asalkan tempat itu bersih.

Oleh itu, tidak salah sekiranya anda membawa kain yang bersih dan hamparkannya di taman ataupun di kaki lima kelas untuk bersolat.


4. Akibat kemalangan, saya sukar untuk berdiri tegak. Jikalau dapat berdiri pun, saya tidak mampu berdiri dengan lama. Bagaimana saya hendak berdiri tegak dalam solat?

Berdiri tegak termasuk salah satu rukun solat, namun tidak diberatkan kepada mereka yang tidak mampu melakukannya.

Memandangkan saudara tidak mampu meluruskan belakang kerana sakit, memadai berdiri sekadar yang mampu dan rukuk sekadar membezakan antara berbuatan berdiri dan rukuk.


5. Saya mengalami masalah pinggang hingga tidak dapat bongkok untuk rukuk dan sujud. Adakah saya boleh bersolat duduk ataupun terpaksa juga berdiri?

Hukum Fiqh menyatakan “apa yang tidak boleh dilakukan semuanya tidak ditinggalkan semuanya“.

Dalam kes ini, saudara perlu berdiri untuk solat.

Tetapi untuk rukuk, saudara perlu merendahkan sedikit tubuh sekadar yang mampu bagi membezakan antara rukun berdiri dan rukuk.

Untuk sujud pula, saudara boleh duduk dengan membongkokkan sedikit tubuh sekadar kemampuan bagi membezakan antara rukun dan sujud.


6. Ayah saya sudah tua dan tidak lagi mampu berdiri untuk solat, adakah dia boleh solat duduk ataupun baring?

Sekiranya tidak mampu berdiri, seseorang itu perlu melakukan apa yang mampu.

Dalam ini, sekiranya ayah masih boleh duduk di atas kerusi, maka hendaklah dia solat dalam keadaan duduk di kerusi.


7. Saya mengalami masalah buasir yang serius hingga tidak mampu untuk duduk. Bagaimana saya hendak solat?

Satu rukun yang tidak mampu dilakukan dengan sempurna, hendaklah dilakukan sekadar kemampuannya.

Dalam keadaan tidak dapat duduk kerana sakit buasir, tuan boleh duduk dengan apa-apa posisi yang tidak menyakitkan.

Sekiranya tidak mampu juga, memadailah dengan berdiri sepanjang solat, cuma digalakkan membezakan kedudukan rukun berdiri dan sujud dengan membongkokkan sedikit tubuh.

Satu rukun yang tidak mampu dilakukan sempurna, hendaklah dilakukan dilakukan sekadar kemampuannya.


8. Saya sering melihat beberapa jemaah solat dalam keadaan duduk semasa solat sunat tarawih, sedangkan saya pasti mereka mampu berdiri. Adakah sah solat sebegini?

Dalam solat sunat, hukumnya adalah harus.

Maknanya kalau kita solat duduk atau baring untuk SOLAT SUNAT walaupun tanpa masalah kesihatan, dibolehkan (harus).

Tetapi ganjaran pahala yang diperolehi oleh orang yang solat duduk ini hanyalah separuh pahala orang yang bersolat berdiri.

Begitu juga pahala orang yang bersolat dalam keadaan baring adalah separuh daripada pahala orang solat duduk.

Rasulullah bersabda:

Siapa solat berdiri, ia adalah lebih baik, dan siapa solat duduk, dia mendapat separuh pahala orang yang berdiri. Siapa yang (bersolat) dalam keadaan berbaring, dia mendapat separuh pahala orang yang duduk.

— Direkodkan oleh al-Bukhari dalam kitab sahih al-Bukhari pada bab jumaat; solat orang yang duduk

9. Saya mengalami kecederaan hingga tidak dapat berdiri dan duduk, bagaimana sepatutnya saya solat?

Tuan boleh bersolat dengn cara duduk di atas kerusi.

solat duduk di kerusi

ketika rukuk, tuan perlu membongkokkan tubuh sedikit lebih daripada keadaan duduk ketika takbiratulihram.

Apabila sujud, bongkoklah melebihi paras bongkok ketika rukuk tadi.

Ini bertujuan membezakan gerakan-gerakan ini.

Bagaimana pun, semua ini dilakukan mengikut keadaan yang tuan mampu.


10. Saya tidak dapat berdiri, tetapi masih boleh duduk dan sujud, bagaimana cara saya boleh solat?

Tuan boleh solat dalam keadaan duduk antara dua sujud.

Rukun berdiri dan rukuk dilakukan dengan membongkokkan sedikit tubuh.

Sementara rukun sujud boleh dilakukan seperti biasa.


10. Sekiranya tidak dapat solat berdiri atau duduk kerana keuzuran, bolehkah seseorang itu solat dalam keadaan baring terlentang?

Untuk sesiapa yang tidak mampu bersolat berdiri ataupun duduk, maka dia boleh solat mengiring.

Caranya dengan mengiringkan badannya badannya ke kanan dalam keadaan dada mengadap kiblat.

Sekiranya tidak mampu juga kerana rusuk kanan cedera, maka dia boleh berbaring ke sebelah kiri dengan mengadap ke arah kiblat.

solat baring

Andainya tidak mampu mengiring, maka dia boleh berbaring terlentang dengan bahagian kepala dan dadanya dinaikkan sedikit dan mengadap ke arah kiblat.

Dalam keadaan ini, sama ada mengiring atau terlentang, perbuatan-perbuatan solat seperti rukuk, duduk dan sujud dilakukan dengan menggerakkan apa yang termampu sebagai isyarat.

Contohnya seperti menggerakkan kepala, tangan, jari atau kelopak mata.

Gerakan-gerakan hendaklah dapat membezakan rukun-rukun perbuatan dalam solat.

Boleh rujuk mengenai solat baring dalam panduan ini: Panduan Solat Baring


11. Bagaimana hendak solat ketika dalam kapal terbang?

Solat tetap wajib walaupun di atas kapal terbang.

Sekiranya perjalanan tidak jauh, boleh dilakukan solat jamak dua waktu sama sebelum berlepas ataupun selepas mendarat.

Tetapi sekiranya masa penerbangan terlalu lama hingga melebihi dua waktu solat ataupun ketika masuk waktu subuh, solat hendaklah dikerjakan di dalam pesawat.

Berada di dalam pesawat yang terhad ruangnya sudah tentu menimbulkan kesukaran.

Tetapi kita perlu solat berusaha untuk solat dengan memenuhi semua rukunnya.

Hanya apabila selepas tidak dapat dipenuhi, barulah solat dilakukan sekadar kemampuan dengan meninggalkan beberapa rukun seperti solat orang sakit.

Panduan mengenai solat di atas pesawat boleh dirujuk pada pautan ini: Cara Solat Dalam Kapal Terbang

Rujukan

Rujukan panduan ini adalah:

  1. Praktikal Solat Sempurna, Ustaz Muhadir Haji Joll
  2. Anda Bertanya Ustaz Menjawab Mengenai Solat, Ustaz Rohidzir Rais
  3. Ensiklopedia Solat A-Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa
  4. Indahnya Hidup Bersyariat, Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid.

Penutup

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda semua dalam meningkatkan kualiti solat.

Jika ada sebarang persoalan berkaitan topik ini, bolehlah nyatakan hal tersebut pada ruangan di bawah.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

7 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Syu
Syu
2 tahun yang lalu

Assalamualaikum..sah ke sembahyang kalau masa berdiri tu badan sedikit ke belakang maksudnya tak betul2 lurus/tak berdiri tegak?

Last edited 2 tahun yang lalu by Syu
Fauzi
Fauzi
2 tahun yang lalu

Sekiranya sudah berdiri tegak utk memulakan solat, tapi tangan tidak diluruskan atau diangkat diangkat siap-siap ketepi telinga dan kemudiannya terus bertakbir.. , adakah sah?

Persoalannya berdiri tegak dgn tangan diluruskan tanpa ada apa2 gerakkan sebelum bertakbir adakah rukun yg perlu berlaku serentak?

Last edited 2 tahun yang lalu by Fauzi
Arnie
Arnie
3 tahun yang lalu

As-salamu alaykum ustadz saya ingin bertanya bolehkah dalam solat kita membaca doa yang kita lekatkan di dinding dpn tmpt kita solat ???contoh saya ni bila solat hanya hafal2 surah2 pendek saja dan berulang2 kali saya baca surah yg sama bila waktu solat jadi kerna teringin sekali membaca surah yang berlainan jadi saya menulis surah tue di kertas bersama ertinya dan saya lekatkan didinding didepan tempat saya solat persoalan sekarang adakah diperbolehkan saya buat mcm itu sedangkan yang saya tahu waktu solat mata mesti tertuju ke sejadah mohon pencerahannya ustadz as-salamu alaykum

Arnie
Arnie
Reply to  Muhamad Naim
3 tahun yang lalu

Allhamduliah…jazakallah khairan ustadz