Manusia Dan Rezeki

rezekiManusia di dalam hidup mereka akan ada kerisauan tertentu.

Dan kerisauan yang paling menghantui mereka adalah berkaitan rezeki.

Apabila kita tersedar dari tidur apa yang kita fikirkan?

Ya rezeki.

Apabila kita berbual dengan orang sekeliling kita maka tajuk yang banyak menggambil tempat dalam perbualan tersebut adalah berkaitan rezeki.

“hang kerja dimana?”, “tender projek kat sana baik harganye”, “tengah hari ni nak makan apa?” dan pelbagai lagi tajuk perbualan yang mana ia sebenarnya menunjukkan kerisawan kita terhadap rezeki.

Jika kita menilai kembali dalam hal ini maka kita dapati ia memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan insan.

Malapetaka Yang Menimpa Jiwa-Jiwa Manusia

Daripada seorang ayah yang merancang pelajaran anaknya kepada orang jalanan di tengah bandaraya.

Mereka ini dalam setiap langkah kehidupan mereka, perkara utama yang diambil kira dalam setiap perancangan itu mesti berkaitan dengan maslahat mencari rezeki.

Seorang ayah yang menghantar anaknya ke universiti untuk apa?

Supaya anaknya menjadi orang yang berkedudukan tinggi dan memperolehi rezeki yang banyak.

Seorang yang gelandangan pergi ke seluruh pelusuk bandar untuk mencari apa? Rezeki.

Dan kita dapat melihat solat sunat yang paling popular dikalangan kita kerana ia berkaitan denga rezeki.

Bukannya salah tetapi itulah hakikatnya.

Bahkan jika kita melihat masyarakat yang percaya akan tok bomoh, tok pawang, pelaris, tangkal dan lain-lain lagi semuanya berkaitan dengan rezeki.

Hinggakan mereka sanggup melakukan perkara kurafat demi menjamin rezeki mereka.

Hakikatnya, perihal rezeki telah mengubah manusia dalam banyak perkara, perbuatannya, percakapan, malah ia boleh mengubah akidah mereka.

Hatta jika kita melihat pada akhir zaman ketika mana dajjal mendatangi manusia, ketika itu dajjal mengumpan manusia dengan prihal rezeki untuk menyesatkan manusia yang tidak percaya bahawasanya hal rezeki itu adalah urusan Allah s.w.t.

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy apabila menceritakan Khubah Rsulullah SAW tentang dajjal, antaranya:

Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan.

Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.”

Dan ini merupakan malapetakan yang besar yang menghantui jiwa-jiwa manusia.

 

Rezeki itu Di Dalamnya Ada Jaminan Allah SWT

Sesungguhnya penciptaan manusia di dunia ini ada misi dan matlamatnya.

Ada pekara yang perlu dilunaskan oleh mereka Sesungguhnya misi utama manusia diciptakan di dunia ini adalah sebagai hamba yang tidak lain hanyalah beribadat kepada Allah SWT seperti mana firmanNya dalam Surah Az-Zariyat 56:

Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepada-Ku”

Dan hendaklah kita tahu bahawasanya kita sebagai muslim mempunyai wasiat agung yang perlu dilaksanakan, wasiat yang mana dikongsi bersama semua para Rasul yang diutuskan kepada kita, manusia.

Wasiat itu adalah:

Tegakkanlah agama dan janganlah berpecah belah dalamnya..” (Surah asy-Syura: 13)

Malanggnya dek kerana kerisawan mereka terhadap rezeki.

Mereka mula memalingkan matlamat utama mereka daripada menjadi hamba Allah SWT kepada hamba yang bermatlamat kepada kekayaan dunia yakni berkaitan rezeki.

Walhal mereka lupa bahawasanya rezeki itu telah ditetapkan oleh Allah SWT sebelum mereka diciptakan lagi.

Dan Allah SWT menyatakan jikalau hambanya itu bertakwa kepadaNya, maka Allah SWT akan mencukupkan rezekinya.

Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya (rezekinya).

– Surah At-Talaq ayat 2-3

Lihat sejarah khalifah yang agung dalam sejarah umat Islam, Umar Bin Abdul Aziz ketika beliau dipenghujung usianya, orang-orang bertanya kepada beliau:

Apa yang engkau tinggalkan untuk anak-anakmu?!”

Umar bin ‘Abdul Aziz pun menjawab:

aku meninggalkan untuk mereka ketakwaan kepada Allah…

Jika mereka adalah orang-orang yang soleh, maka sesungguhnya Allah adalah wali (pelindung) bagi orang-orang yang soleh…

Jika mereka bukan orang yang soleh, maka tidak akan aku tinggalkan sedikitpun yang membantu mereka bermaksiat kepada Allah…”

Apabila kerajaan Umaiyyah jatuh, semua anak Umar Bin Abdul Aziz menjadi kaya raya tetapi sebaliknya yang berlaku kepada anak khalifah Umaiyyah yang lain walhal mereka mewarisi harta kekayaan yang banyak.

Lihat bagaimana Allah SWT memelihara rezeki orang yang soleh.

 

Rezeki Merupakan Hak Mutlak Allah SWT

Lihat usluk al-quran yang menyatakan bahawasanya rezeki itu bukanlah daripada bumi tetapi ia daripada langit.

Ini bagi menunjukkan bahawasanya urusan rezeki ini adalah hak mutlak Allah SWT.

FirmanNya dalam surah Adz-Dzaariyaat ayat 22:

Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.”

Jika kita mengetahui hakikat ini maka kita akan lebih tenang dalam hal rezeki kerana mereka tahu Allah SWT itu Al-Rahman dan Ar-Rahim terhadap hambaNya.

Tetapi jika mereka tidak mempercayai urusan rezeki itu adalah dari Allah SWT maka kita melihat berapa ramai yang sanggup menjadikan dirinya hamba kepada orang lain dek kerana hal rezeki.

Kerana dia meyakini rezekinya itu terikat dengan orang-orang tertentu walhal dia lupa bahawasanya rezeki yang orang-orang yang dia harapkan itu juga hadir daripada Allah SWT.

Bahawasanya hal rezeki ini telah menjadikan manusia itu sempit jiwanya kerana takut kepada manusia yang lain.

Lihatlah antara doa yang dibaca oleh Rasulullah SAW selepas solat supaya kita tahu segala pemberian didalam kehidupan kita ini adalah hak mutlak Allah SWT:

Ya Allah tidak ada siapa yang boleh menghalang apa yang Engkau berikan, tidak ada siapa yang dapat memberi apa yang Engkau halang dan tiada siapa yang berkuasa memberikan manfaat selain daripada Mu”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Sifat tercela Dalam Diri Manusia

Manusia di dalam diri mereka itu sifat sentiasa meninginkan lebih sama ada dalam hal kebaikan dan keburukan.

Tetapi manusia itu ada kecendungan mereka. Allah SWT menyatakan manusia itu sifatnya zalim dan jahil terhadap diri mereka.

Walaupun mereka tahu sifat-sifat itu akan membinasakan mereka kelak tetapi untuk membebaskan jiwa mereka dari sifat-sifat itu memerlukn peperangan jiwa yang panjang dan satu trabulasi yang memenatkan.

Antara sifat tersebut adalah sifat tamak dalam bab rezeki. Rasullulah SAW bersabda:

Andai kata anak Adam itu telah mempunyai harta benda sebanyak dua lembah emas, mereka masih ingin untuk mendapatkan satu lembah lagi.Tidak ada yang dapat mengisi perutnya sampai penuh melainkan hanya tanah (maut).

(Hadis Muslim)

Lihat bagaimana tamaknya kita, walaupun kita mempunyai rezeki yang orang kata “Tak habis 7 keturunan” tetapi sifat berasa qanaah dengan rezeki Allah SWT tiada.

Mereka itu sentiasa inginkan lebih dan lebih walhal di sisi mereka itu dikurniakan kelapangan rezeki.

Golongan seperti ini kaya zahirnya tetapi miskin jiwanya.

 

Lihatlah Burung

Allah SWT menciptakan alam ini tentunya jika kita merenung dan memerhati ciptaanNya, nescaya kita memprolehi manfaat daripadanya.

Nabi Muhammad SAW mengajar kita supaya melihat dan mengambil mamfaat daripada alam ciptaan Allah SWT termasuk haiwan yang bernama burung. Ini kerana ia merupakan suatu kemuliaan bagaimana makluk Allah SWT itu tenang dengan rezekinya.

Dari Umar bin Khattab RA., ia berkata, Rasulullah SAW Bersabda:

Seandainya kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenarnya, niscaya kalian diberi rezeki, sebagaimana burung mendapatkan rezeki, ia pergi di pagi hari dengan perut kosong dan pulang di petang hari dengan perut yang kenyang.”

(Hadis Riwayat Tirmizi).

Burung pada sisinya itu tiada kerisawan berkenaan rezeki, kerana ia mempunyai sifat kebenggantungan yang penuh kepada Allah SWT.

Walaupun ada hari yang mana ribut melanda, hujan yang berpanjangan, dan kemarau yang teruk, hakikatya Allah SWT menjamin rezeki seekor burung.

Kita seharusnya mempunyai hati seperti burung.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda,

Akan masuk syurga orang-orang yang hati mereka seperti hati burung” (Hadis riwayat Muslim)

Sebahagian ulama menyatakan barangsiapa yang tidak percaya akan rezeki pemberian itu dari Allah SWT, sebenarnya dia tidak percaya akan kewujudan Tuhan.

Oleh itu, letaklah kebenggantungan yang sepenuhnya kepada Allah SWT dalam hal rezeki nescaya kita akan dapati diri kita akan bebas dalam banyak perkara dan ia akan membentuk diri kita insan yang kaya dengan jiwa yang besar.

Dan itulah rezeki yang agung. Benarlah apa yang nukilkan oleh Abu Hurairah, disabdakan oleh Rasulullah SAW:

Bukanlah kekayaan itu lantaran banyaknya harta, kekayaan itu adalah kekayaan jiwa” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Biodata Penulis

Muhamad Syafiq Bin Salim berasal dari Johor Bahru dan sedang melanjutkan pengajian dalam Sarjana (Master) Kejuruteraan dalam bidang Pengurusan Pembinaan di UTM Skudai.

FB: Syafiq Alfatih

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

1 Comment
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
adawiah7887
adawiah7887
6 tahun yang lalu

Assalamualaikum…”kerisauan vs kerisawan”.. kerisauan dan ‘sawan’ seseorang manusia terhadap perencanaan rezekinya tiada dapat dikesali. Fitrah manusia, sentiasa mahukan lebih walaupun sudah sedia mencukupi. manusia sentiasa ketakutan ketiadaan apa yang diingini walaupun sudah sedia termaktub oleh sejak azali segalanya sudah disuratkan. Terima kasih kpd penulis, nukilan yang perlu dicakna tiap jiwa akhir zaman ini sebagai bingkisan moral insafi diri tatkala dihimpit kehidupan nan jerih lagi perih. Allah Maha Tahu..