Ramai yang menitiskan air mata di saat sedih, kecewa. Setiap manusia sudah diciptakan begitu. Inilah yang dinamakan fitrah.
Namun, kadang-kadang, kesedihan dan kekecewaan kita itu berpanjangan.
Ramai yang sedih kerana kehilangan sesuatu yang di sayangi, kegagalan dalam sesuatu pekerjaan dan pelbagai lagi.
Semua ini lah yang dinamakan mehnah dan juga tribulasi buat kita semua di dunia ini. Sukar dan perit untuk melalui semua ini.
Jadi di sini, ingin saya berkongsi sedikit bersama sahabat dan juga seluruh pembaca tentang bagaimana untuk kita mengurangkan rasa sedih dan kecewa itu.
Dengan harapan semua ini dapat memberi manfaat kepada anda dan juga saya.
“Hasbunallah wa ni’mal wakil Ni’mal maula wa ni’man nasir Hasbunallah wa ni’mal wakil Ni’mal maula wa ni’man nasir”
Lagu : Hasbunaallah [ Yoga Al Ghazali ft. Ajeng ]
Dalam kita meniti kehidupan di dunia yang sementara ini, setiap dari kita pasti tidak akan lepas dari menempuh sebarang ujian.
Anda percaya atau tidak, ujian ini adalah tanda Allah cinta kita, buat kita semua?
“Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta. “
( Al Ankabut 2-3)
Nah..
Jelas bukan?
Allah menguji kita kerana DIA ingin jadikan kita orang yang beriman.
Tidak inginkah kita menyahut cabaran hebat dari Allah ini?
Tanda Allah Cinta kita
Ya. Saya sangat pasti di saat kita diuji dengan sesuatu ujian itu, pasti kita kadang-kadang jatuh tersungkur, terasa susah untuk bangkit dan terus melangkah.
Namun, persoalan yang perlu kita tanyakan pada diri kita ialah, adakah apabila kita ditimpa dengan sesuatu ujian itu menyebabkan kita hilang nyawa? Hilang oksigen?
Tidak bukan.
Kita masih lagi mampu berjalan walaupun mungkin perlahan.
‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.’
‘sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.’ (H.R al-Hakim)
Sahabat
Baru-baru ini saya kehilangan seorang teman. Kehilangan buat selamanya.
Kehilangannya sangat dirasai kerana dia antara kawan saya yang selalu mengingatkan saya pada Allah, pada perintah Allah, banyak mengajar tentang kebaikan, banyak memberi nasihat dan sebagainya.
Selepas beliau kembali ke rahmatullah, ramai sahabat bercerita mengenai perkara yang sama.
Arwah seorang yang baik, selalu mengingatkan mereka pada perintah Allah, seorang yang sabar orangnya, lemah lembut, menghormati keluarga dan ia juga diakui oleh keluarganya sendiri.
Subhanallah! Untungnya memiliki seorang kawan sepertinya..
Kehadirannya menyenangkan hati, kehilangannya terasa di hati.. kebaikan dan nasihat olehnya terpahat di hati..
Ya Allah, kadangkala saya terfikir, adakah kita sepertinya?
Kehadiran menyenangkan, kehilangan dirasai. adakah satu hari nanti apabila kita pergi, kita akan dikenang sebegitu rupa? Adakah kawan di luar sana akan mendoakan kita?