13 RUKUN SOLAT (Panduan Mudah & Lengkap)

rukun solat

Panduan ini akan menjelaskan kepada anda mengenai rukun solat, perkara yang membatalkan solat, dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan solat.

Anda WAJIB TAHU kerana jika anda tertinggal salah satu rukun solat, maka solat anda tidak sah.

Oleh itu, mari kita teliti satu persatu perkara-perkara tersebut.

Maksud Rukun Solat

Rukun dari segi bahasa bermakna asas atau tiang bagi sesuatu. Oleh itu, secara mudahnya, rukun solat solat bermaksud perbuatan-perbuatan yang tersusun dimana solat tidak akan lengkap dan tidak sah tanpanya.

Contohnya:

Kita tidak melakukan takbiratul ihram (rukun), maka solat kita tidak sah kerana rukun solat kita tidak lengkap.

Bilangan Rukun Solat

Pendapat yang rajih (kuat) dan muktamad (yang dipegang) dalam mazhab Syafi’e adalah terdapat 13 perkara yang menjadi rukun solat.

Ringkasan Rukun Solat

  1. Niat
  2. Berdiri tegak
  3. Takbiratul Ihram
  4. Membaca al-Fatihah
  5. Rukuk
  6. Iktidal
  7. Sujud
  8. Duduk antara dua sujud
  9. Duduk tahiyat akhir
  10. Membaca tahiyat akhir
  11. Membaca selawat ke atas Rasulullah
  12. Memberi salam
  13. Tertib

Rukun solat mesti diketahui dan dilaksanakan dalam solat. Solat tidak sah apabila tertinggal mana-mana satu rukun.

Apabila kamu bangun untuk solat, sempurnakanlah wuduk, kemudian hadaplah ke kiblat lalu bertakbir. Kemudian bacalah apa yang mudah daripada al-Quran. Kemudian rukuklah sehingga kamu rukuk dengan tamakninah. Kemudian bangunlah sehingga kamu berdiri tegak. Kemudian sujudlah sehingga kamu sujud dengan tamakninah. Kemudian bangkitlah sehingga kamu duduk dalam tamakninah. Kemudian sujudlah sehingga kamu sujud dalam tamakninah. Kemudian bangkitlah sehingga kamu duduk dengan tamakninah 

— Riwayat Bukhari

13 Rukun Solat Fardu

Pada bahagian ini saya akan menerangkan secara lebih terperinci mengenai setiap rukun solat daripada 13 rukun tersebut.

Rukun Solat Pertama

Niat

Niat ialah lintasan atau ingatan di dalam hati mahu mengerjakan solat itu.

Tidak dikatakan berniat apabila hanya lidah yang melafazkan, tetapi tidak diikuti dengan mengingat di dalam hati. Niat solat perlu dihadirkan di dalam hati ketika mengangkat takbiratul ihram

Sekurang-kurangnya niat itu merangkumi tiga perkara:

  • Qasad (ﻗﺼﺪ) iaitu solat semata-mata.
  • Ta’arudh (ﺗﻌﺮﺽ) iaitu jenis fardhu
  • Ta’yin (ﺗﻌﻴﻴﻦ) iaitu menentukan waktu solat yang hendak didirikan sama ada Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib atau Isyak.

    Contohnya apabila seseorang hendak mendirikan solat Zuhur, memadai dia berniat “Sahaja aku solat fardu Zuhur”

Rukun Solat Kedua

Berdiri Lurus & Tegak

rukun solat berdiri tegak

Maksud berdiri dengan betul adalah berdiri tegak lurus iaitu tulang belakang tegak dengan dada menghadap kiblat.

Sunat menundukkan sedikit kepala dan memandang ke tempat sujud.

Untuk yang tidak mampu berdiri dengan betul kerana cacat, bongkok atau sakit, boleh menunaikan solat mengikut cara yang termampu oleh mereka.

Solatlah dengan berdiri, sekiranya tidak mampu maka dengan duduk, sekiranya tidak mampu, maka dengan berbaring 

— Riwayat Bukhari, Ahmad, Ibnu Majah dan Abu Dawud


Rukun Solat Ketiga

Takbiratul Ihram

rukun solat takbiratul ihram

Takbiratul ihram adalah melafaz “Allahuakbar” untuk memulakan solat dengan suara yang dapat didengar sekurang-kurangnya oleh diri sendiri.

Lafaz ini tidak boleh ditukar dengan lafaz lain atau dilafazkan dalam bahasa lain selain bahasa arab.

Lafaz ini juga perlu dibuat dalam satu nafas sambil memasang niat.

Anak kunci solat ialah berwuduk, yang mengharamkan perlakuan yang dihalalkan sebelum solat ialah takbir dan yang menghalalkannya ialah salam.

— Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Abu Dawud


Rukun Solat Keempat

Membaca Surah al-Fatihah

surah al fatihah

Surah al-Fatihah wajib dibaca ketika berdiri pada setiap rakaat solat dengan tajwid yang betul.

Tidak (sah) solat bagi seseorang yang tidak membaca Fatihatul Kitab (surah al-Fatihah).

— Riwayat Bukhari

Rukun Solat Kelima

Rukuk

rukun solat rukuk solat

Rukuk ialah membongkokkan badan dan kepala ke hadapan sehingga sama rata dengan punggung.

Kedua-dua telapak tangan dilekapkan pada kedua-dua kepala lutut. Sunat berdoa atau bertasbih sewaktu rukuk.

Sekiranya tidak tahu berdoa atau bertasbih, cukup diam seketika sekadar masa membaca sekali “Subhanallah”.

Berada dalam keadaan tersebut dinamakan tamakninah.

Maksud Tamakninah

Tamakninah dalam bahasa mudah bawa maksud BERTENANG.

Ibarat memandu kenderaan, waktu di simpang hentikan kereta sepenuhnya sebelum bergerak semula.

Selagi kenderaan itu masih bergerak, tidaklah dikira tamakninah


Rukun Solat Keenam

Iktidal

Iktidal ialah berdiri tegak selepas rukuk.

Perlu ada tamakninah dalam keadaan berdiri tegak sebelum beralih ke rukun solat seterusnya. Kadar tamakninah sama seperti rukuk, iaitu kadar sekali nafas atau kadar menyebut “subhanallah”.

Allah tidak akan memerhatikan solat seorang hamba yang tidak menegakkan punggungnya di antara rukuk dan sujudnya

— Riwayat Ahmad

Rukun Solat Ketujuh

Sujud dua kali

sujud rukun solat

Sujud ialah merendah dan tunduk. Sujud yang minimum adalah meletakkan dahi yang terdedah ke tempat solat.

Tapak tangan dilekapkan rata pada tempat sujud bersetentang dengan bahu. Sujud dilakukan dua kali untuk setiap rakaat.

Sujud yang sempurna adalah dengan meletakkan semua tujuh  anggota sujud di atas lantai.

Anggota sujud adalah:

  • Dahi
  • Kedua-dua tapak tangan
  • Kedua-dua lutut
  • Kedua-dua kaki

Sunat meletakkan hidung ketika sujud.

Sujud wajib dilakukan dengan tamakninah.


Rukun Solat Kelapan

Duduk antara dua sujud

rukun solat

Duduk antara dua sujud ialah duduk sebentar selepas sujud pertama sebelum melakukan sujud yang kedua dalam setiap rakaat.

Sujud ini juga perlu dilakukan dengan tamakninah.

Duduk ini juga dilakukan secara iftirasy iaitu membaringkan tapak kaki kiri dan duduk diatasnya sementara tapak kaki kanan ditegakkan dengan anak-anak jari dihadapkan ke kiblat.

Kedua-dua tapak tangan diletakkan di atas kedua-dua paha dengan hujung jari berada hampir dengan pangkal lutut.


Rukun Solat Kesembilan

Duduk tahiyat akhir

tahiyat akhir rukun solat

Duduk tahiyat akhir ialah duduk ketika membaca tahiyat akhir sebelum memberi salam. Duduk ini dilakukan secara tawarruk dan kedua-dua tangan diletakkan di atas paha.


Rukun Solat Ke-10

Membaca tahiyat akhir

Tahiyat akhir dibaca ketika duduk tahiyat akhir.

Bacaan tahiyat atau ucapan penghormatan ini merangkumi dua sebutan iaitu:

Ungkapan memuji Allah SWT yang bermula daripada:

memuji Allah

Dan salam:

salam

Diakhiri dengan lafaz syahadah:

Lafaz syahadah

Rukun Solat Ke-11

Membaca selawat ke atas Rasulullah SAW

Bacaan selawat ke atas Rasulullah SAW yang menjadi rukun solat adalah semasa duduk tahiyat akhir iaitu selepas melafazkan dua kalimah syahadah:

dua kalimah syahadah

Rasulullah SAW juga berselawat atas dirinya semasa Baginda mendirikan solat.


Rukun Solat Ke-12

Memberi salam

salam rukun solat

Memberi salam adalah penutup solat. Sekurang-kurangnya dengan lafaz “Assalamualaikum”


Rukun Solat Ke-13

Tertib

Setiap rukun solat wajib dilaksanakan dengan tertib iaitu mengikut turutan.

Hal ini terkecuali untuk rukun yang dilakukan serentak seperti  takbiratul ihram bersama niat, berdiri tegak bersama membaca al-Fatihah dan duduk tahiyat akhir semasa membaca tahiyat, tasyahud dan selawat.

Pembahagian Rukun Solat

Dalam 13 rukun solat tersebut, rukun-rukun ini terbahagi pula kepada tiga bahagian, iaitu fi’li, qauli dan qalbi.

  • Maksud Qalbi ialah rukun melibatkan hati
  • Maksud Qauli pula ialah rukun melibatkan perkataan atau bacaan.
  • Manakala rukun Fi’li ialah rukun yang melibatkan pergerakan atau perbuatan.
rukun qauli rukun solat

Rukun Qalbi

Rukun qalbi (hati) adalah melibatkan perkara yang perlu dilakukan dalam hati.

Antara perkara yang terdapat dalam rukun qalbi ada dua, iaitu:

  1. Niat
  2. Tertib

Rukun Qauli

Rukun qauli (perkataan atau bacaan) ialah rukun yang wajib didengari oleh telinga sendiri setiap bacaan lafaznya.

Jika tertinggal satu huruf, maka wajiblah diulangi bacaan itu.

Antara bacaan yang terlibat dengan rukun qauli ialah:

  1. Takbiratul Ihram (ucapan Allahu Akbar)
  2. Al Fatihah
  3. Tahiyat Akhir
  4. Selawat atas nabi
  5. Salam yang pertama

Rukun Fi’li

Seperti yang telah diterangkan di atas, rukun fi’li adalah rukun pergerakan atau perbuatan.

Dalam rukun fi’li terdapat enam rukun.

Rukun tersebut adalah:

  1. Berdiri (qiam).
  2. Rukuk.
  3. Iktidal.
  4. Sujud.
  5. Duduk antara dua sujud.
  6. Duduk tahiyat akhir.

Jika terlupa atau tertinggal diantara rukun ini, maka perlu berpatah balik kepada rukun tersebut.

Bacaan lanjut mengenai rukun Qauli, Fi’li dan Qalbi boleh dibaca pada pautan ini

Perkara Yang Membatalkan Solat

Pada bahagian ini, saya akan menerangkan perkara-perkara yang membatalkan solat berserta penerangan berkaitan perkara tersebut.

Terdapat beberapa perkara yang akan membatalkan solat. Antaranya:

1. Sengaja Meninggalkan Rukun Solat

Meninggalkan salah satu rukun solat secara sengaja, solat akan terbatal.

Sekiranya terlupa, tidak terbatal solat. Tetapi perlu ditambah rukun yang terkurang itu apabila ingat kembali.

Contohnya seorang yang terlupa membaca tahiyat semasa duduk tahiyat akhir, sebaliknya membaca al-Fatihah. Apabila menyedari kesilapannya, dia perlu terus membaca tahiyat.


2. Berkata-kata Dalam Solat

Berkata-kata dengan sengaja dalam bahasa manusia selain zikir, doa atau kalimah daripada al-Quran walaupun dengan satu huruf yang difahami dan untuk kepentingan solat.

Contohnya seperti berkata kepada imam yang tersalah bilangan rakaat, “jangan berdiri” atau “duduk”


3. Berhadas Semasa Solat

Berhadas atau didatangi hadas sama ada hadas kecil atau hadas besar ketika sedang solat. Contohnya terkentut atau terkeluar air kencing walaupun sedikit.


4. Makan atau Minum Semasa Solat

Menelan sisa makanan yang ada di celah-celah gigi akan membatalkan solat.

Sekiranya berasa ada sisa makanan di dalam mulut, perlu dibuang atau dikawal supaya tidak tertelan.


5. Melakukan Pergerakan Yang Banyak

Melakukan pergerakan besar sebanyak tiga kali berturut-turut atau lebih yang bukan perbuatan solat.

Contohnya mengangkat dan menurunkan tangan sebanyak tiga kali, menggerakkan badan keseluruhannya dan melompat dengan sekali lompat.

Kecuali dalam solat Khauf dan solat sunat semasa dalam musafir.

Apabila menggerakkan jari berulang kali kerana bertasbih atau menggaru kerana gatal atau lain-lain, tidak membatalkan solat.


6. Terkena Najis

Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan, pakaian atau tempat solat boleh membatalkan solat.

Sekiranya najis itu dapat dibuang serta-merta, solat tidak batal.

Contohnya seperti tahi cicak yang kering terjatuh ke atas pakaian orang yang sedang solat tetapi dapat ditepis serta-merta.


7. Terbuka aurat

Terbuka aurat dengan kadar yang lama sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja seperti ditiup angin atau ditarik oleh anak-anak, tetap membatalkan solat.

Apabila ditutup dengan cepat, solat tidak terbatal.


8. Berpaling Dari Kiblat

Berpaling dada dari kiblat selain daripada solat Khauf.

Dalam solat Khauf, seseorang mungkin terpaksa memalingkan dada dari kiblat untuk mengelakkan senjata musuh atau seumpamanya dan tidak membatalkan solat.


9. Berubah Niat Solat

Berubah niat kepada solat lain seperti mengubah niat solat fardu kepada solat fardu lain dengan sengaja.


10. Murtad

Murtad adalah keluar daripada Islam sama ada melalui perkataan, perbuatan dan keyakinan.


11. Memanjangkan Rukun Yang Pendek Dengan Sengaja

Contohnya menambah doa yang panjang ketika iktidal sehingga menjadikan iktidal lebih lama daripada berdiri tegak.

Atau duduk antara dua sujud lebih lama daripada tahiyat.


12. Mendahului Imam Dalam Solat Berjemaah

Solat batal apabila makmum mendahului imam sebanyak dua rukun fi’li (perbuatan) dengan sengaja.

Apabila makmum mendahului imam secara tidak sengaja seperti ketika bangun dari sujud dan dia mendapati imam masih sujud, dia perlu duduk menunggu imam yang sedang sujud dalam kedudukan itu.


13. Memberi Salam Sebelum Masanya

Memberi salam sebelum selesai membaca tahiyat akhir kerana salam menunjukkan tanda berakhirnya solat.


14. Kembali Melakukan Sunat Yang Tertinggal Sesudah Melakukan Rukun.

Contohnya, seseorang terlupa melakukan tahiyat awal sedangkan dia sudah berdiri.

Sekiranya dia kembali duduk untuk melakukan tahiyat awal, maka batal solatnya. Hal ini disebabkan tahiyat awal hukumnya sunat sedangkan berdiri tegak dalam rakaat seterusnya adalah rukun.

Apa yang diperlu dilakukan adalah melakukan sujud sahwi.


15. Mengulang-ulang Rukun Fi’li Dengan Sengaja

Batal solatnya kerana dianggap bermain-main atau mendahulukan yang kemudian.


16. Teragak-agak Dalam Solat

Teragak-agak sama ada hendak berhenti solat atau meneruskan solat ketika solat belum selesai.

Perkara ini biasanya berlaku dalam keadaan tertentu seumpamanya:

  • Makmum berasa ragu tentang suci daripada najis atau ragu terhadap sah wuduknya.
  • Berasa ragu atau syak niatnya sama ada berniat solat zuhur atau asar dan seumpamanya.

Apabila berasa ragu-ragu dan masih belum mendapat kepastian sehingga berlalu satu rukun atau berlalu satu masa yang cukup untuk melaksanakan satu rukun, maka batal solatnya.

Sebaliknya apabila berasa ragu semasa sedang berdiri, tetapi sudah memastikan sah wuduknya atau betul niatnya ketika  masih berdiri iaitu sebelum rukuk, maka sah solatnya.


17. Ketawa Dalam Solat

Ketawa terbahak-bahak dan gila akan membatalkan solat.

Perkara Yang Membolehkan Solat Dihentikan

Solat hanya boleh dihentikan kerana darurat atau uzur.

Ini adalah kelonggaran yang Allah SWT berikan walaupun ketika itu sepatutnya kita menumpukan sepenuh perhatian kepadaNya.

Perkara ini melibatkan maslahah atau keselamatan ramai orang atau orang lain.

Ada perkara-perkara yang mewajibkan berhenti solat dan ada pula yang hanya mengharuskan berhenti solat.

Perkara Yang Menyebabkan Solat WAJIB Dihentikan

Maksud wajib disini adalah:

Solat itu mesti dihentikan dan berdosa jika tetap meneruskan solat

1. Untuk menyelamatkan nyawa manusia.

Contohnya menolong orang dalam keadaan terancam nyawanya seperti terjatuh ke dalam perigi, diserang binatang yang ganas dan dipukul penjenayah.

Wajib seseorang itu memberhentikan solat sekiranya dia yakin mampu menolong.

2. Untuk menjaga keselamatan diri atau harta.

Contohnya ketika sedang solat ternampak kanak-kanak berjalan menuju ke parit, sungai atau tempat-tempat berbahaya dan ditakuti terjatuh ke dalamnya.

Demikian juga untuk menyelamatkan harta ketika berlaku kebakaran.

Perkara Yang Menyebabkan Solat HARUS Dihentikan

Maksud harus disini adalah:

Solat boleh diteruskan dan boleh juga dihentikan. Jika berhenti solat tidak menyebabkan dosa.

  1. Berlaku kecurian barang, walaupun yang dicuri itu barang orang lain.
  2. Ibu yang bimbang akan keselamatan anak kecilnya atau orang yang baru menyedari ada masakan sedang dimasak dan bimbang masakan itu hangit.
  3. Musafir yang bimbang gangguan pencuri dan perompak.
  4. Membunuh binatang berbahaya apabila itu memerlukan pergerakan yang banyak.
  5. Rasa hendak buang air besar atau buang air kecil sekalipun terpaksa keluar dari solat berjemaah
  6. Menyahut panggilan ibu bapa ketika melakukan solat sunat. Sekiranya yang dilakukan itu solat fardu, maka tidak boleh berhenti. Kecuali apabila panggilan ibu bapa itu jika dibiarkan akan membawa kepada mudarat seperti mereka memanggil kerana kesakitan dan memerlukan perhatian segera.

Perkara Makruh Dalam Solat

Apakah maksud makruh?

Makruh bermaksud:

Sesuatu perbuatan yang diberi pahala jika ditinggalkan dan tidak berdosa apabila mengerjakannya

Antara contoh perkara makruh dalam solat adalah:

1. Mendongak ke langit.


2. Menoleh atau melirik sehingga berpaling muka dari tempat sujud tanpa sebarang keperluan.

Sekiranya ada keperluan seperti mahu memastikan sama ada imam sudah rukuk atau belum, maka diharuskan.

Perbuatan memalingkan muka tanpa sebab melambangkan seseorang itu tidak menghayati solatnya.

Sekiranya memalingkan muka secara keterlaluan sehingga dada turut terpaling dari arah kiblat, maka terbatal solat.


3. Menyapu-nyapu pasir, tanah, habuk dan benda-benda lain yang melekat pada tempat sujud lebih daripada sekali.


4. Meludah ke kanan atau ke hadapan walaupun ketika solat di luar masjid.

Tetapi meludah ke sebelah kiri diharuskan dengan syarat tiada orang di situ.

Dibolehkan juga meludah ke bawah iaitu berhampiran tapak kaki kiri.


5. Memberi isyarat dengan tangan kanan bertujuan menjawab salam atau hal-hal lain yang terpaksa dilakukan.


6. Menahan kentut, menahan buang air kecil atau besar dan menahan lapar kerana perkara ini boleh menggangu kekhusyukan solat.

Sekiranya lapar atau berasa hendak buang air sebelum memulakan solat, maka perlulah diselesaikan hajat itu dahulu.

YouTube video

7. Melakukan pekerjaan yang sia-sia yang membuatkan lalai dalam solat.

Contohnya mematah-matahkan jari, menyilang-nyilang anak jari, memperbetulkan rambut, mengusap misai dan janggut, menutup hidung dan mulut tanpa sebab, bersandar pada dinding tanpa sebarang keuzuran dan seumpamanya.


8. Solat dalam keadaan terlalu mengantuk.


9. Membaca surah yang lebih panjang dalam rakaat kedua berbanding surah yang dibaca dalam rakaat pertama.


10. Membaca surah dalam dua rakaat terakhir

Kecuali untuk makmum yang masbuq yang tertinggal dua rakaat awal daripada imam.

Dia boleh membaca surah pada dua rakaat terakhir imam kerana untuk dirinya sendiri dua rakaat itu adalah dua rakaat awal.


11. Membaca dengan nyaring di tempat yang sepatutnya dibaca perlahan.

Contohnya, membaca al-Fatihah dengan nyaring pada rakaat ketiga dan keempat.

Termasuk juga dalam masalah ini makmum yang menyaringkan bacaannya. Bahkan apabila bacaan nyaringnya itu mengganggu makmum lain, hukumnya haram.


12. Melakukan duduk istirahah lebih lama daripada duduk antara dua sujud.


13. Membaca tahiyat awal lebih panjang daripada tahiyat akhir.


14. Tidak duduk secara iftirasy dan tawarruk.


15. Merapatkan kedua-dua lengan ke lantai semasa sujud seperti anjing atau singa tidur.

Perkara Harus Dalam Solat

Apakah maksud harus?

Maksud harus adalah:

Sesuatu amalan yang tidak berpahala jika dikerjakan dan tidak berdosa apabila meninggalkannya

Antara perkara harus dalam solat adalah:

1. Menangis yang tidak mengeluarkan bunyi dan tidak tersedu-sedu atau hingga bergerak-gerak badan.

Menangis di sini adalah kerana takut dan rasa berdosa kepada Allah SWT.


2. Membunuh binatang berbisa yang membahayakan nyawa ketika sedang solat seperti lipan, ular dan kala jengking.


3. Bergerak atau berjalan ke hadapan atau ke belakang, ke kiri atau ke kanan sekiranya ada keperluan dengan syarat tidak sampai tiga pergerakan berturut-turut.

Info Solat

Apabila salah seorang ahli jemaah meninggalkan saf solat, makmum di belakang atau di sisi boleh bergerak ke tempat yang kosong itu.

Atau apabila najis cicak tiba-tiba terjatuh ke tempat sujud, maka diharuskan bergerak ke tempat lain untuk mengelakkan terkena najis yang menyebabkan batal solat.


4. Menjawab salam dengan isyarat anak jari atau tangan.


5. Membetulkan imam dengan niat berzikir apabila imam tersilap seperti tersalah bilangan atau terlupa bacaan al-Fatihah.

Makmum lelaki dibolehkan membetulkan imam dengan bertasbih (subhanallah).

Bagi makmum wanita, perlu memperbetulkan imam dengan menepuk tangan ke atas belakang tapak tangan kiri.


6. Mengingatkan imam yang terlupa ayat yang sedang dibacanya. Makmum boleh mengingatkan dengan membaca bacaan itu.


7. Membaca dengan melihat al-Quran.

Seseorang yang tidak hafal surah atau ayat al-Quran yang hendak dibaca dalam solat, boleh melihat al-Quran atau lembaran kertas yang bertulis ayat tersebut.


8. Menggerakkan anggota badan seperti menggaru-garu di tempat yang gatal dengan syarat tidak sampai tiga kali berturut-turut.

Sekiranya menggaru menggunakan anggota kecil seperti jari, tidak mengapa apabila melebihi tiga kali.

Penutup

Saya berharap panduan ini dapat memberi pencerahan kepada anda.

Jika terdapat kesalahan dalam artikel ini, mohon perbetulkan saya.

Semoga kita sama-sama dapat belajar dan memperbetulkan amal ibadah kita kepada Allah.


Jika terdapat sebarang persoalan atau permasalahan berkaitan topik ini, anda boleh nyatakan perkara tersebut pada ruangan komen di bawah.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

158 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Norhayuzi
Norhayuzi
4 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz,

Jika saya solat lelapkan mata sebab untuk elakkan rasa tidak kusyuk, contohnya tiba² perasan org yg sedang duduk disana ada yang memandang..sah ke solat saya atau apa hukumnya?

Lagi satu soalan saya, boleh ke saya kuatkan bacaan dalam solat saya utk lebih kusyuk jika terdengar bunyi suara TV atau radio atau suara org berbual kuat sehingga menganggu.. Sah ke solat saya atau apa hukumnya?

Din
Din
5 bulan yang lalu

Ketika Iktidal kita tak baca sah tak solat

diddy
diddy
1 tahun yang lalu

الحمد الله… terima kasih…

Hamba Allah
Hamba Allah
1 tahun yang lalu

Terima kasih atas perkongsian ilmu. Sangat memberi manafaat. Semoga dirahmati Allah atas ilmu yg dikongsi. Aamiin.

Mohd Sabri Bin Mamat
Mohd Sabri Bin Mamat
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz.
Saya ada terdengar dari ustaz yang mengajar ditempat saya. Selain dari niat dalam takbiratulihram, ada lagi niat lain yang wajib kita niatkan . Sepertinya selepas Lafaz Allahuakbar. Sebelum baca doa iftitah atau alfatihah kita wajib niat bahawa lafaz takbir itu adalah zikir. Dan seterusnya takbir utk rukuq(intiqal)kena niat jugak dan seterusnya sehingga habis solat. Buleh ustaz tolong perjelaskan, sebab kalau tak niat ,solat akan terbatal. Betulkah.

Hamid
Hamid
Reply to  Mohd Sabri Bin Mamat
11 bulan yang lalu

Tuan Mohd Sabri Bin Mamat, saya bukan ustaz, sekadar mencelah soalan tuan yang tidak jelas. Adakah niat-niat lain setiap kali lafaz takbir berikutnya? Contoh niat untuk diberi kesihatan yang baik, niat untuk rumah tangga aman damai,,,, bagaimana?

NOR FAZIANA
NOR FAZIANA
1 tahun yang lalu

ASSALAMUALAIKUM NAK TANYA BILA ARTICLE INI DITERBITKAN ?

Yanti mohd yasin
Yanti mohd yasin
2 tahun yang lalu

Assalamualaikum… minta izin saya screenshot beberapa info solat utk saya gunakan dalam kelas pemantapan solat muslimah di surau kami boleh ustaz.?

adam
adam
2 tahun yang lalu

Assalamualakum ustaz , saya nak tanya , sayke solat saye kalau saya dah beri salam yang pertama dan kedua , lepastu saya ulangbalik salam pertama dan kedua.
maksudnya saya buat 2 kali(kanan , kiri lepastu kanan dan kiri semula)

Sbb saya sedang was was bahawa saya tersalah beri salam ketika itu
Mohon penjelasan ustaz.

adam
adam
Reply to  adam
2 tahun yang lalu

saya was was yang saya tersalah sebut ‘Assalamualaikum warahmatullah’ ketika itu

Sha
Sha
2 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz.. Saya nak tanya, apa hukum berhenti solat atas ganguan anak kecil.. Sampai mengulangi 2kali.. Atas faktor anak tarik telekung sampai napak aurat rambut.. Saya selalu berdua dengan anak kecil. Kalau nak solat zohor dan asar tu, memang kena gangu dengan anak.. Kadang dah sampai rakaat terakhir, terpaksa berhenti sebab telekung tertanggal anak tarik.. Dan jika digangu anak boleh ke melakukan gerakan lebih dari 3kali..? Terima kasih ustaz

Bakar
Bakar
2 tahun yang lalu

Salam ustaz Saya nak tanya seliranya solat seperti isyak Sepanjang 4 rakaat tu hanya dilakukan 4 takbir ke???