LAFAZ NIAT PUASA RAMADHAN (SEBULAN & HARIAN) Rumi

Niat Puasa Ramadhan

Bagaimana lafaz niat puasa Ramadhan sebulan dan harian?

Ini adalah panduan lengkap lafaz niat puasa Ramadhan dalam RUMI.

Artikel ini juga akan menerangkan hukum-hukum berkaitan dengan puasa dan kelebihan-kelebihan yang ada dalam bulan Ramadhan.

Semoga membantu anda melakukan ibadah puasa dengan lebih sempurna.

Maksud Puasa Ramadan

Puasa Ramadhan adalah diambil daripada perkataan Arab iaitu saumu Ramadhan ( صَوْمُ رَمَضَان ). Pengertian puasa dari segi bahasa adalah al-Imsak ( الإِمْسَاك ) iaitu menahan diri. Dari segi istilah pula adalah; menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan solat puasa mengikut cara yang tertentu.

Puasa Ramadhan merupakan khususiyyah (keistimewaan) kepada umat Nabi Muhammad SAW. Ia difardukan pada bulan Syaaban tahun ke-2 Hijrah.

Maksud Ramadhan

Ramadan berasal daripada kata akar رَمِضَ‎ (ramiḍa) yang bererti “terik;…bertambah panas; melecur” yakni panas yang menyengat atau kekeringan, khususnya pada tanah. Daripada kata akar tersebut, perkataan Ramadan digunakan untuk menunjukkan adanya rasa panas ketika seseorang itu kehausan.

Pendapat lain mengatakan bahawa perkataan Ramadan digunakan kerana pada bulan itu dosa-dosa dihapuskan oleh perbuatan baik sebagaimana matahari membakar tanah.

Hal ini dikiaskan dengan umat Islam yang mengambil kesempatan Ramadan untuk betul-betul mencairkan, memuhasabah diri dan memperbaharui kekuatan jasmani, rohani dan tingkah lakunya, sebagaimana panas mewakili sesuatu yang dapat mencairkan bahan

Niat Puasa Ramadhan

Waktu Untuk Berniat Puasa

Waktu untuk berniat puasa adalah bermula daripada terbenam matahari, iaitu masuk waktu maghrib sehinggalah terbit fajar saddiq — iaitu waktu subuh.

Berikut dinyatakan lafaz niat puasa Ramadhan bagi sebulan dan harian.

Lafaz Niat Puasa Sebulan

Niat ini dilakukan sekali sahaja, pada malam pertama Ramadan.

Lafaz niatnya adalah:

 Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala 

Niat dalam Melayu:

Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan kerana Allah Taala


Lafaz Niat Puasa Harian

Jika menggunakan niat ini, kita perlu berniat setiap malam.

Lafaz niatnya adalah:

niat puasa harian ramadhan

  Nawaitu Sauma Rghodin An Ada’ie Fardhi Shahri Ramadana Hazihissanati Lillahi Taala  

Maksudnya:

Sahaja aku berpuasa pada esok hari disebabkan menunaikan fardu bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Taala.”

Nota

Sebahagian ulama muta’akhirin menyarankan agar berniat puasa sebulan Ramadhan pada awal malam Ramadhan atau malam-malam selepasnya sebagai bertaklid kepada Mazhab Maliki.

Hal ini agar puasanya tetap sah jika seseorang itu terlupa berniat pada malam-malam hari tertentu.

Jika perempuan datang haid atau nifas pada pertengahan Ramadhan, maka niat puasa sebulan Ramadhan itu dikira terbatal. Dia perlu memperbaharui niat puasa Ramadhan sebulan selepas dirinya suci.

Begitu juga dengan individu yang terputus puasanya kerana sakit, musafir, gila dan pengsan. Mereka juga perlu memperbaharui semula niat puasa Ramadhan sebulan.

doa berbuka puasa

Doa Berbuka Puasa

Ini adalah panduan lengkap bacaan doa berbuka puasa untuk bersendirian dan juga beramai-ramai (RUMI).

Bacaan doa sebelum masuk waktu berbuka puasa (waktu mustajab) juga turut disertakan.

Lihat panduan tersebut pada pautan di bawah:

Syarat Wajib Puasa

Apakah syarat wajib puasa?

Sebenarnya terdapat empat syarat wajib puasa, iaitu:

1. Islam

Tidak wajib berpuasa bagi orang kafir yang asal dan tidak perlu qada untuk tahun-tahun sebelumnya setelah dia memeluk Islam.

Namun bagi orang yang murtad, diwajibkan ke atasnya untuk qada setiap hari puasa yang ditinggalkan (semasa murtad) setelah dia bertaubat.


2. Berakal

Tidak diwajibkan berpuasa ke atas orang gila, jika gila itu terjadi bukan disebabkan oleh perkara haram.

Tetapi jika sebaliknya seperti seseorang itu hilang akal kerana minum arak, maka wajib qada puasanya setelah dia kembali sedar.


3. Baligh

Tidak diwajibkan berpuasa ke atas orang yang belum baligh.

Namun diwajibkan ke atas walinya untuk menyuruh anaknya berpuasa apabila berumur tujuh tahun dan memukulnya dengan niat mendidik jika enggan apabila berumur 10 tahun.


4. Berkemampuan

Tidak wajib berpuasa bagi orang yang tidak mampu sama ada:

i) Tidak mampu pada zahir seperti menghadapi kesukaran atau sakit berat yang mengharuskan tayamum.1

ii) Tidak mampu pada syarak kerana haid atau nifas. Jika seorang perempuan berhenti haid/nifas pada siang hari Ramadhan, disunatkan imsak baginya.2

Perhatian
  • Bagi orang yang bekerja berat pada siang hari Ramadhan, dia hendaklah berniat puasa pada malam hari. Apabila keletihan dan mengalami kesukaran yang berat, maka dibenarkan untuk berbuka pada siang hari.
  • Tidak boleh berbuka bagi kanak-kanak yang baligh ketika sedang berpuasa, begitu juga bagi orang yang kembali daripada musafir atau orang yang sembuh daripada sakitnya dalam keadaan mereka sedang berpuasa. Namun jika mereka dalam keadaan tidak berpuasa, hanya disunatkan ke atas mereka untuk imsak.

Nota

1 Perkara yang mengharuskan tayamum:

  • Sesuatu yang menyebabkan hilang nyawa atau anggota badan.
  • Sesuatu yang boleh menghilangkan manfaat anggota badan

2 Imsak bermaksud menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa, tetapi bukan dengan niat puasa (sekadar menyerupai keadaan orang yang berpuasa)

Syarat Sah Puasa

Sesuatu ibadah puasa itu akan dikira sah sekiranya memenuhi syarat-syarat ini:

1. Islam

Yakni Islam pada ketika itu. Orang yang murtad tidak sah puasanya.

2. Berakal

Berakal adalah seseorang yang telah mumayyiz, walaupun belum baligh.

3. Suci Daripada Haid, Nifas dan Wiladah (Bersalin)

Iaitu suci daripada haid, nifas dan wiladah sepanjang siang hari.

Termasuk juga dalam hukum ini keluar ketulan daging atau darah yang berasal daripada janin atau bersalin dalam keadaan kering.

4. Hari Yang Dibolehkan Berpuasa

Yakni tidak berpuasa pada hari yang diharamkan berpuasa iaitu:

  • Dua hari raya Islam (Aidilfitri dan Aidiladha)
  • Hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Dzulhijjah)
  • Hari syak3 kecuali berpuasa dengan niat qada, nazar dan puasa sunat yang dilakukan secara adat.
  • Separuh kedua daripada Bulan Syaaban iaitu 16 Syaaban dan ke atas. Namun diharuskan berpuasa padanya jika puasa tersebut disambung dari hari ke-15 atau ia adalah puasa qada, nazar atau puasa sunat yang dilakukan secara adat.
Perhatian

Jika seseorang itu telah berpuasa sunat seperti Isnin sebelum 16 Syaaban walaupun sekali, maka boleh baginya meneruskan puasa sunat hari Isnin pada separuh kedua bulan Syaaban.

Akan tetapi, jika dia memutuskan puasa sunatnya setelah 16 Syaaban, maka tidak dibenarkan baginya untuk kembali menyambung puasa sunat.

Misalnya, dia berpuasa 15, 16 dan 17 Syaaban, kemudian dia tidak berpuasa pada 18 Syaaban. Justeru, tidak dibenarkan untuk berpuasa sunat pada hari-hari berikutnya.

Nota

3 Hari Syak bermaksud; Hari ke-30 Syaaban yang berlaku khabar angin tentang kelihatan anak bulan pada hari tersebut, namun tidak ada penyaksian yang boleh diterima oleh hakim.

5. Tidak Pengsan Sepanjang Hari

Yakni, tidak pengsan sebelum terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Bagi orang yang pengsan, wajib ke atasnya menggantikan puasa yang ditinggalkan sepanjang tempoh pengsan tersebut setelah dirinya kembali sedar.

Jika orang yang pengsan itu sedar walaupun seketika pada siang hari puasa, maka sah puasanya sekiranya dia telah berniat pada malam hari.

Hukum orang yang mabuk sama sebagaimana orang yang pengsan.

Namun berdosa jika dia mabuk dengan sebab yang haram seperti minum arak.

Rukun Puasa

Rukun bermaksud perkara atau sesuatu yang mesti wujud atau ditempuhi semasa melakukan ibadah puasa.

Rukun puasa adalah seperti berikut:

  1. Orang yang berpuasa.
  2. Berniat
  3. Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa

Apakah perkara yang akan membuatkan puasa kita terbatal dan tidak sah?

Puasa akan terbatal jika perkara-perkara ini dilakukan:

  1. Makan dengan minum dengan sengaja walaupun sedikit. Jika terlupa, ia tidak membatalkan puasa tetapi wajib wajib berhenti sewaktu menyedari bahawa diri sedang berpuasa.
  2. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.
  3. Muntah dengan sengaja.
  4. Keluar darah haid dan nifas.
  5. Gila
  6. Murtad
  7. Mengeluarkan air mani dengan sengaja.
  8. Bersetubuh (melakukan hubungan kelamin pada siang hari dalam bulan Ramadhan).

Golongan Yang Dibenarkan Untuk Meninggalkan Puasa

Terdapat beberapa golongan yang dibolehkan untuk meninggal puasa. Mereka adalah:

  1. Orang yang hilang daya upaya untuk berpuasa seperti sakit perut dan sakit kepala yang serius serta jenis-jenis penyakit yang apabila berpuasa  akan menambahkan keuzuran.
  2. Orang musafir dalam perjalanan yang membolehkan qasar (memendekkan rakaat) solat.
  3. Orang yang terlalu tua dan amat lemah untuk berpuasa.
  4. Orang yang tersangat lapar dan dahaga sehingga kalau diteruskan akan mendatangkan mudarat umpamanya dia bekerja berat tengah panas atau sebagainya.
  5. Perempuan hamil atau perempuan menyusukan anaknya yang apabila berpuasa boleh memudaratkan diri sendiri atau anak yang disusui itu.

Hukum Bersetubuh di Bulan Ramadhan

Orang yang bersetubuh pada siang hari bulan Ramadhan, maka kedua-dua suami isteri tersebut perlu mengqada puasa berkenaan dan suami wajib membayar kaffarah (denda) seperti berikut:

  1. Memerdekakan seorang hamba mukmin lelaki atau perempuan, sekiranya tidak mampu;
  2. Berpuasa selama dua bulan berturut-turut tanpa terputus kalau tidak terdaya;
  3. Memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.

Bagaimana pun jika persetubuhan itu dilakukan kerana terlupa, jahil tentang haramnya atau dipaksa ke atasnya, tidaklah wajib kifarah.

Adab-Adab Semasa Berpuasa

  1. Menjauhkan diri daripada perkara-perkara maksiat seperti mengumpat, memfitnah, mengeji, mencela serta mengeluarkan kata-kata kesat.
  2. Mengelakkan dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.
  3. Menahan diri daripada mengikut kehendak nafsu.
  4. Bersederhana ketika berbuka dan makan sahur atau dalam erti kata lain mengambil makanan dalam kuantiti yang sederhana.
  5. Mengurangkan tidur terutamanya pada waktu siang.
  6. Hendaklah sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik seperti membaca al-Quran dan berzikir.
  7. Berazam untuk menjadikan ibadah puasa yang dilakukan itu adalah sebaik-baik ibadah dan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
  8. Sentiasa berfikir hikmah di sebalik melakukan ibadah puasa.

Perkara Sunat di Dalam Ibadah Puasa

Berikut adalah perkara-perkara sunat yang dilakukan semasa berpuasa:

1. Menyegerakan berbuka puasa


2. Memulakan berbuka puasa dengan buah tamar. Jika tiada, bolehlah digantikan dengan air. Jika tiada juga, boleh digantikan dengan juadah manis yang lain.


3. Membaca doa sekurang-kurangnya:

doa bulan ramadhan

 Allahumma laka sumtu, wabika amantu, wa ala rizkika aftortu 

Maksudnya:

Ya Allah, bagi Engkaulah amalan puasaku ini, kepada Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkaulah aku berbuka.


4. Melambatkan bersahur kerana ada padanya berkat.


5. Memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir, berselawat dan membuat amal kebajikan.


6. Sentiasa bersedekah kepada fakir miskin dan anak-anak yang kurang bernasib baik.


7. Menjauhkan percakapan yang sia-sia dan perbuatan yang tidak membawa manfaat.


8. Jika berhadas besar, mandi junub dilakukan lebih awal, iaitu sebelum masuknya waktu subuh.

Hikmah Berpuasa Dan Kelebihan Ramadhan

1. Ketibaan Ramadhan, umat Islam di seluruh pelosok dunia serentak mengerjakan puasa dalam satu masa tertentu. 

Kesatuan hati dan niat tulus ikhlas ini dilakukan semata-mata untuk mengabdikan diri terhadap Allah SWT.


2. Dengan diwajibkan berpuasa, semua golongan Islam, kaya dan miskin, berada dan tidak berada, terpaksa menempuh ujian yang sama.

Dengan berpuasa menimbulkan keinsafan dan perasaan bertimbang rasa serta kasih-mengasihi sesama Islam.


3. Amalan berpuasa melahirkan jiwa insan yang selalu taat kepada Allah, justeru akan lahir pula ketenangan jiwa dan ketakwaan.


4. Dari segi kesihatan, perut yang melalui proses berpuasa dapat dibersihkan, sekali gus beberapa penyakit yang terdapat di dalam tubuh badan manusia dapat diatasi.


5. Puasa disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai separuh daripada kesabaran.


6. Orang yang berpuasa lebih disayangi Allah, selamat daripada api neraka dan menghapuskan dosa-dosa kecil.


7. Kedatangan Ramadhan ada keistimewaan kerana dianjurkan ibadah solat tarawih.

Disamping itu diwajibkan juga zakat fitrah (badan) ke atas golongan yang mampu sebagai satu kewajipan membantu individu muslim yang lain, khususnya mereka yang daif.


8. Puasa yang dilakukan dengan sempurna dapat menghapuskan dosa-dosa yang telah lalu.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

Sesiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan (semata-mata kerana Allah), diampunkan dosa-dosanya yang lalu 

— Hadis riwayat al-Bukhari

9. Ketibaan Ramadhan menandakan terbukanya pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta dirantaikan syaitan.


10. Malam Nuzul al-Quran (17 Ramadhan) merupakan saat penting al-Quran diturunkan dari langit ke dunia untuk menjadi pedoman manusia hingga ke akhir zaman.


11. Terdapatnya Lailatul Qadar iaitu satu malam yang padanya terdapat saat penuh keberkatan dan lebih baik daripada 1000 bulan (83 tahun 4 bulan) ganjaran pahalanya daripada Allah SWT bagi orang-orang yang menghidupkannya dengan amal ibadah.

Panduan Solat Tarawih

selawat solat tarawih

Disunatkan untuk memperbanyakkan ibadah semasa Bulan Ramadan.

Dan antara amalan yang digalakkan semasa bulan yang mulia ini adalah mengerjakan Solat Sunat Tarawih.

Persoalan Dan Permasalahan Berkaitan Puasa

Berikut adalah permasalah dan masalah yang lazim berlaku berkaitan dengan puasa ramadan.

Bolehkah Berniat Puasa Ramadhan Dalam Bahasa Melayu?

Boleh. Tidak menjadi masalah untuk berniat puasa ramadhan dalam apa-apa bahasa yang kita fahami.

Bilakah Waktu Untuk Berniat Puasa?

Untuk puasa wajib seperti Puasa Ramadan, Puasa Nazar dan Puasa Kaffarah, niat wajib dihadirkan pada waktu malam iaitu bermula selepas masuknya waktu Solat Maghrib sehinggalah terbit fajar saddiq (iaitu masuk waktu Solat Subuh).

Jika anda berniat selepas waktu subuh, niatnya tidak sah.

Adakah Perlu Menyebut Jenis Puasa Semasa Niat?

Untuk puasa wajib seperti puasa Ramadan, puasa nazar atau puasa kaffarah, maka wajib menentukan (ta’yin) jenis puasa, sama ada puasa Ramadan, nazar atau kaffarah. Jika tidak ditentukan, puasa tidak sah.

Apakah Hukum Niat Puasa Selepas Selesai Solat Tarawih Dan Witir?

Dalam Mazhab Syafi’e, melafazkan niat sebelum sesuatu ibadah hukumnya sunat kerana ia membantu menghadirkan niat dalam hati; termasuklah melafazkan niat puasa Ramadan seperti yang sudah lama dilakukan di negara ini iaitu bersama-sama melafazkan niat puasa selepas selesai Solat Tarawih dan Solat Witir.

Adakah Wajib Niat Puasa Ramadan Pada Setiap Malam?

Mengikut jumhur ulama, termasuk Mazhab Syafi’e, niat puasa wajib dilakukan pada setiap malam.

Walau bagaimanapun, mengikut Mazhab Imam Malik, boleh berniat puasa pada malam pertama Ramadan untuk sebulan penuh Ramadan sekali gus.

Yang lebih baik ialah menghimpunkan kedua-duanya.

Caranya, pada awal malam Ramadan, berniatlah berpuasa Ramadan untuk sebulan sekali gus, kemudian berniat lagi untuk puasa esok hari. Untuk malam-malam seterusnya, hendaklah berniat pada tiap-tiap malam.

Mengikut pendapat Mazhab Maliki dalam perkara niat, perkara ini adalah harus (ja’iz) dan termasuk dalam perkara berhati-hati (ihtiyyath) supaya jika ditakdirkan tidak sempat berniat puasa Ramadan pada setiap malam, puasa tetap sah.

Jika Seseorang Bersahur, Adakah Ia Cukup Dikira Sebagai Niat?

Ya, ia sudah cukup dikira sebagai niat dengan syarat ketika bangun sahur, terdetik dalam hatinuya untuk berpuasa.

Jika dia hanya bangun kerana lapar tanpa ada niat atau terdetik dalam hatinya untuk berpuasa esoknya, ia dikira belum berniat.

Apakah Perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa?

Ada tujuh keadaan yang tidak membatalkan puasa seseorang, iaitu:

1.   Sesuatu masuk ke dalam mulut secara tidak sengaja.

2.   Orang yang berpuasa tidak tahu hukumnya.

3.   Dipaksa oleh orang lain.

4.   Air liur yang mengalir di antara gigi-giginya sedangkan tidak mungkin dapat mengeluarkannya.

5.   Debu di jalan raya yang masuk ke dalam rongga mulut.

6.   Tepung yang diayak, masuk ke dalam mulut.

7.   Lalat atau binatang lain yang terbang lalu masuk ke dalam mulut.

Bolehkah Membatalkan Puasa Dengan Sengaja?

Jika puasa fardu, maka haram membatalkan puasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran. Jika puasa sunat, ia dibolehkan tetapi makruh.

Apakah Hukum Meninggalkan Puasa Ramadan Dengan Sengaja?

Hukumnya berdosa besar orang yang tidak mahu berpuasa ramadan dan meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa ada uzur syari’e. Dia wajib bertaubat nasuha dan puasa itu perlu diqadha (ganti).

Apakah Hukum Tidak Berpuasa Kerana Tidak Diizinkan Oleh Suami?

Wanita yang suci daripada haid dan nifas wajib berpuasa – walaupun tidak dibenarkan oleh suami.
 
Isteri tidak boleh mentaati perintah atau arahan suami dalam perkara yang bercanggah dengan perintah Allah.
 
Perkara ini berbeza dengan puasa sunat. Isteri yang hendak berpuasa sunat wajib meminta izin daripada suami kerana izin daripada suami merupakan satu syarat bagi isteri yang ingin berpuasa sunat.

Setelah Berniat Puasa Sebulan, Tiba-Tiba Datang Haid Selepas Beberapa Hari Puasa. Adakah Dia Perlu Niat Semula Selepas Suci?

Dalam Mazhab Syafi’e, dia wajib berniat setiap malam. Walau bagaimanapun, jika dia terlupa berniat setiap malam setelah berniat puasa sebulan pada awal Ramadan, maka puasanya sah.

Bilakah Bermulanya Waktu Imsak?

Imsak ialah bermaksud berhenti daripada makan sahur. Walaupun waktu sahur panjang sehingga masuk waktu subuh, sunat imsak iaitu berhenti sahur sebelum masuk waktu subuh sebagai mengikut sunnah Nabi SAW.

Kadar lamanya adalah sekira-kira sempat membaca 50 ayat al-Quran (lebih kurang 15-20 minit) mengikut hadis daripada Sayyidina Anas, Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.

Adakah Sah Puasa Seseorang Yang Meneruskan Makan Sahur Kerana Menyangka Fajar Masih Belum Terbit?

Bagi orang yang meneruskan sahur atau bersetubuh dengan isteri kerana menyangka fajar belum terbit, tetapi sangkaannya itu silap, batal puasanya pada hari itu mengikut jumhur ulama termasuk para imam yang empat.

Walaupun puasanya batal untuk hari tersebut, dia wajib menahan dirinya (imsak) daripada makan, minum dan sebagainya untuk menghormati bulan Ramadan. Dia wajib mengqadha puasanya untuk hari tersebut pada hari lain selepas Ramadan.

Adakah Sah Puasa Seseorang Yang Terdengar Azan Subuh Ketika Sedang Makan Sahur?

Sah puasanya jika mendengar azan itu dia terus berhenti makan dan terus membuang sisa makanan yang ada di dalam mulutnya.

Adakah Sah Puasa Jika Bersahur Selepas Masuk Waktu Imsak?

Puasa itu sah kerana puasa bermula apabila masuh waktu subuh (iaitu apabila terbit fajar saddiq). Walau bagaimanapun, berhenti sahur ketika masuk imsak adalah sunnah Nabi SAW, afdhal dilakukan.

Apakah hukum menelan air liur yang ada di dalam mulut ketika azan subuh berkumandang?

Sah puasanya jika hanya air liur yang biasa. Jika ada sisa makanan yang ada di dalam air liur itu dan ditelan ketika azan subuh, batal puasanya.

Apakah hukum mandi sebelum berbuka puasa?

Mengikut Mazhab Syafi’e, hukumnya makruh kerana ia boleh mengembalikan kesegaran kepada badan. Oleh itu, ia akan menghilangkan hikmah puasa iaitu merasakan kepayahan menahan lapar dan dahaga pada siang hari.

Jika niatnya untuk persediaan solat Maghrib atau menghilangkan bau badan, maka dibolehkan.

Mengikut mazhab lain, mandi sebelum berbuka puasa dibolehkan dan tidak makruh. Menurut Mazhab Hanafi, mandi dan menyelimuti badan dengan kain yang basah supaya badan menjadi sejuk adalah tidak makruh.

Apakah hukum makan dan minum ketika sedang puasa kerana terlupa?

Sah puasanya kerana tidak sengaja.

Apa hukum mengunyah-ngunyah sesuatu ketika berpuasa tanpa menelannya?

Hukumnya makruh. Walau bagaimanapun, jika benda yang dikunyah atau sisa-sisanya termasuk dalam air liur dan air liur ditelan atau tertelan, maka puasanya terbatal.

Bagi ibu bapa atau pengasuh yang terpaksa mengunyah-ngunyah makanan untuk diberikan kepada bayinya atau anak yang masih kecil, ia tidak makruh.

Walau bagaimanapun, makanan yang dikunyah itu hendaklah dipastikan tidak termasuk di dalam air liur seperti penjelasan di atas.

Apa hukum merasa makanan ketika sedang berpuasa?

Hukumnya makruh. Tidak makruh jika perlu seperti ibu yang memasak makanan untuk keluarga atau tukang masak atau ketika membeli juadah makanan untuk berbuka puasa atau sebagainya.

Walau bagaimanapun, jika tertelan bersama air liur, maka batal puasanya.

Bagaimana jika terdapat sisa makanan dicelah-celah gigi?

Jika ia sedikit, susah untuk dipisahkan daripada air liur dan susah juga untuk dikeluarkan (diludah), maka puasanya tidak terbatal jika tertelan. Keadaannya sama seperti air liur yang selalu tertelan.

Jika ia banyak, senang untuk dipisahkan daripada air liur dan boleh dikeluarkan, puasanya sah. Jika ditelan, batal puasanya mengikut jumhur ulama.

Menurut Mazhab Hanafi, batal puasanya jika kadarnya melebihi sebiji kacang. Jika kurang, tidak batal tetapi makruh.

Apakah hukum terminum air wuduk dalam mulutnya ketika sedang berkumur?

Jika dia berkumur-kumur sebanyak tiga kali, tidak batal puasanya jika tidak sengaja walaupun terminum setiap kali berkumur.

Jika dia melebihkan berkumur untuk kali yang keempat dan terminum air walaupun tidak sengaja, maka batal puasanya kerana berkumur kali keempat itu dianggap tidak perlu dalam syarak.

Begitu juga hukumnya untuk memasukkan air ke dalam hidung (istinsyaq).

Adakah sah puasa orang yang dipaksa makan?

Batal puasanya mengikut Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Bagi Mazhab Syafi’e, ada dua qaul (pendapat). Menurut Imam Nawawi, pendapat yang rajih (lebih kuat) adalah tidak batal puasa. Mengikut Imam ar-Rafi’e pula sebaliknya, yang rajih adalah batal puasa.

Bolehkah berbuka puasa kerana lapar dan dahaga kerana bekerja?

Tidak boleh. Hukumnya haram berbuka puasa hanya kerana lapar dan dahaga berkerja kecuali boleh membawa kepada mudarat dan kematian.

Ketika itu, dia boleh berbuka puasa. Dia hendaklah mengqadha puasanya pada hari itu di luar Ramadan.

Dia tidak boleh terus tidak berpuasa dan menggantikan dengan membayar beras kerana keadaannya tidak sama dengan orang tua yang tidak mampu berpuasa.

Apakah hukum berus gigi ketika sedang berpuasa?

Sah puasanya. Hukumnya harus memberus gigi sehingga sebelum waktu zuhur. Selepas waktu zuhur, hukumnya makruh mengikut pandangan Mazhab Syafi’e.

Apakah hukum menelan air liur ketika berpuasa?

Menelan air liur walaupun banyak, tidak membatalkan puasa.

Puasa hanya terbatal jika air liur itu bercampur dengan sisa makanan atau air minuman atau darah (contohnya dari gusi).

Bagaimanapun, menelan air liur yang telah dikeluarkan dari batasan mulut, umpamanya yang ada di bibir, membatalkan puasa.

Jika gusi selalu berdarah dan sukar dikawal, ia dimaafkan. Hendaklah diludah sebagai ganti membasuhnya. Jika dapat dibasuh, adalah lebih baik. Jika tidak, maka tidak diberatkan membasuhnya pada setiap waktu.

Adakah sah puasa jika keluar air mani kerana bermimpi semasa tidur di siang hari?

Sah puasanya kerana ia bukan perkara yang disengajakan.

Bolehkah menyelam ketika berpuasa?

Menurut Mazhab Syafi’e, menyelam termasuk dalam kategori berlebih-lebihan ketika mandi. Oleh itu, jika ada masuk air ke dalam rongga tubuh ketika menyelam, maka batal puasanya.

Jika menyelam ketika operasi menyelamat, contohnya bomba dan polis atau tujuan menyelamat dan ada air masuk ke dalam rongga tanpa sengaja, perkara ini tidak membatalkan puasa.

Apakah hukum muntah ketika berpuasa?

Sah puasanya kerana dia muntah dengan tidak sengaja.

Adakah batal puasa jika mengorek hidung ketika berpuasa?

Sah puasa itu sekiranya ia masih dalam rongga hidung tahap istinsyaq (di hadapan hidung) selama mana tidak sampai ke had khaithum (bahagian paling dalam hidung) atau had batin.

Had batin bagi hidung ialah melepasi tulang hidung.

Adakah sah puasa jika mengorek telinga ketika berpuasa?

Sah puasanya jika berada di permukaan atau hadapan telinga dengan syarat tidak sempat ke had batin telinga iaitu sehingga ke gegendang telinga.

Apakah hukum mencium isteri pada siang hari Ramadan?

Ia tidak membatalkan puasa dan dibolehkan untuk orang yang mampu menahan syahwatnya. Bagi orang yang tidak mampu menahan syahwat dan jika melakukannya akan membawa kepada keluar air mani atau jimak, tidak boleh (haram) baginya mencium atau mengucup isterinya pada siang hari Ramadan.

Adakah sah puasa seseorang yang dipaksa bersetubuh seperti wanita yang dipaksa oleh suaminya?

Ulama khilaf berkaitan hal ini. Menurut Mazhab Syafi’e, puasa isteri tidak batal kerana ia qiyas kepada seseorang yang memasukkan air ke dalam mulut seseorang yang lain secara paksa.

Bagaimana status puasa bagi orang yang mengalami penyakit sawan?

Orang yang terkena penyakit sawan, sama keadaannya dengan orang yang pengsan. Jika dia pengsan atau tidak sedarkan diri sepanjang hari, maka batal puasanya. Jika dia pengsan sekejap sahaja, sah puasanya. Begitulah juga keadaannya dengan orang yang kena sawan.

Adakah puasa terbatal jika pitam?

Sama juga dengan orang yang pengsan. Puasanya sah jika pitam sekejap sahaja dan batal jika pitam sepanjang hari, dari terbit fajar (waktu subuh) sehinggalah terbenamnya matahari.

Adakah mabuk membatalkan puasa?

Orang mabuk hukumnya sama seperti orang pengsan. Sebagai contoh, seseorang minum ubat ketika sahur, lalu pengsan (mabuk ubat) setelah masuk subuh. Jika dia sedar pada mana-mana ketika sebelum maghrib, puasanya sah. Jika dia pengsan sehingga maghrib, puasanya batal.

Hukum yang sama berlaku kepada orang yang mabuk kerana minum arak pada waktu malam.

Apakah hukum bagi orang yang terpaksa mendapatkan suntikan bagi tujuan perubatan?

Puasa itu sah kerana ia termasuk dalam darurat.

Sepakat para imam empat mazhab membolehkan (tidak batal) melakukan suntikan untuk tujuan pengubatan, menyuntik vitamin, memasukkan air, kalsium atau bius.

Bagaimanapun, untuk suntikan bahan makanan seperti glukos atau sebagainya, sebahagian ulama kontemporari mengatakan ia membatalkan puasa kerana ia seperti memberi makan atau minum.

Adakah sah puasa pesakit yang perlu dimasukkan air ke dalam badan?

Sekiranya air yang dimasukkan ke dalam badannya melalui tiub itu masuk ke dalam rongga seperti perut, maka batal puasanya. Sekiranya memasukkan melalui kulit, bukan perut, puasanya sah.

Hukum menitiskan cecair ubat mata ketika sedang berpuasa?

Sah puasanya kerana mata bukan rongga (saluran) tidak terbuka.

Apa hukum meletakkan ubat gigi penahan sakit ketika berpuasa?

Boleh jika perlu. Ia tidak membatalkan puasa dengan syarat anda tidak menelan ubat itu atau menelan darah yang keluar dari gigi (jika ada).

Hukum mencabut gigi ketika puasa?

Boleh, tetapi makruh.

Apakah hukum menitikkan ubat ulser mulut ke atas bibir ketika berpuasa?

Boleh dan sah puasanya. Walau bagaimanapun, jika anda tertelan maka batal puasa.

Apa hukum berkumur dengan ubat kumur listerine ketika berpuasa?

Boleh (harus) berkumur termasuk dengan ubat kumur atau memberus gigi atau bersiwak (bersugi) ketika berpuasa, tetapi hendaklah sebelum masuk waktu zuhur.

Melakukannya selepas waktu zuhur adalah makruh.

Apa hukum menyuntik insulin ketika berpuasa bagi orang yang berpenyakit kencing manis?

Boleh. Ia hanya masuk di bawah kulit, bukan rongga yang terbuka.

Apa hukum menderma darah ketika sedang berpuasa?

Boleh dan tidak batal puasanya. Walau bagaimanapun, perbuatan itu makruh.

Apa hukum berbekam ketika sedang berpuasa?

Boleh dan ia tidak membatalkan puasa. Kecuali jika ia boleh melemahkan badan, maka ketika itu hukumnya makruh.

Bolehkah menggunakan ubat perangsang untuk membuang air (enema) besar ketika berpuasa?

Jika dinasihatkan doktor agar melakukannya, para ulama Syafi’iyyah mengatakan ia tidak membatalkan puasa kerana termasuk dalam keadaan darurat (terpaksa). Walau bagaimanapun, jika sengaja maka batal puasanya.

Apa hukum orang yang buasir memasukkan semula usus yang terkeluar dari duburnya?

Tidak batal puasanya kerana usus yang terkeluar adalah sebahagian daripada anggota badan. Perumpamaannya adalah lidah yang keluar sewaktu bercakap, lalu di masukkan kembali ke dalam mulut.

Ini kerana dia tidak memasukkan sesuatu yang luar ke dalam. Tidak tidak lebih daripada menempatkan sesuatu ke tempat asalnya.

Masalah yang berkaitan adalah jika seseorang buang air besar, sebahagian najis masih ada ditempat keluar najis, lalu masuk balik. Dalam kes ini, ia membatalkan puasa.

Penutup

Semoga panduan ini dapat membantu anda.

Jika anda sebarang pertanyaan berkaitan puasa, anda boleh tinggalkan soalan tersebut pada ruangan di bawah.

InsyaaAllah saya sedaya upaya akan membantu anda.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

34 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Nana
Nana
5 hari yang lalu

Assalamualaikum ustaz, sewaktu membaca tahiyat akhir dalam solat saya rasa air liur terpercik keluar dari mulut saya dan saya dah lap 3 kali dah air liur ni sbb asyik keluar jadi saya buat keputusan untuk tahan sahaja air liur ni hingga habis salam

Tapi sebelum salam tu saya tertelan separuh air liur tu. Jadi adakah puasa saya masih sah?

Nana
Nana
2 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz, kalau saya tgh puasa lepastu air liur mcm ada rasa masam berpunca dari lidah lepastu saya telan air liur tu. Adakah batal puasa saya?

Someone
Someone
11 bulan yang lalu

Assalamualaikum Ustaz, kalau kita niat “nak puasa esok” tapi tak sebut pada bulan Ramadan.. sah ke puasa itu?

nr.nathasya
nr.nathasya
1 tahun yang lalu

Salam . Saya nak tanya . Dulu saya seorang yang sangat lalai 😔, Saya menyesal dengan perbuatan saya . Malu untuk saya bercerita , Tapi saya tetap nak bertanya . 

Setiap kali bulan puasa , Orang perempuan akan ada cuti . Dan saya tahu diwajibkan ganti, tapi saya abaikan benda tu. Saya start haid masa tingkatan 1( Umur 13 Tahun ) dan saya sekarang sudah tingkatan 5 ( Umur 17 Tahun ) . Dalam masa 5 tahun setiap kali bulan puasa , saya tak pernah ganti puasa saya . Macam mana saya nak ganti puasa yang 5 tahun saya tinggalkan tu ? 😔 

Saya tak pernah berniat untuk ponteng puasa cuma saya tak puasa disebabkan haid. Dan tak pernah bayar apa – apa zakat pun selama saya hidup. Ibu bapa saya bercerai, Tanggungjawab seorang ayah pun ayah saya abaikan. 

Saya tak tahu berapa hari saya tinggalkan puasa setiap tahun. Kalau saya tetapkan 50 Hari untuk saya ganti balik puasa, adakah sah? dan adakah saya perlu bayar sendiri zakat2 yg ayah saya tak pernah bayarkan?

50 Hari tu bersamaan dengan 5 Tahun. Maknanya , Setahun 10 Hari saya tinggalkan puasa. Boleh ke macamtu? ☹️

Saya dah berjanji , sebelum masuk tahun 2023 , umur saya pada tahun 2023 adalah 18 Tahun. saya berjanji nak ganti semua solat yang saya tinggalkan masa saya remaja dan akan ganti puasa balik ☹️

Last edited 1 tahun yang lalu by nr.nathasya
liq
liq
2 tahun yang lalu

assalamualikum ustaz adakah niat puasa saya batal sekiranya saya onani dan selepas onani saya mandi wajib (waktu mandi wajib semasa sahur pkl 5.44)dan selepas itu saya tidak membaca niat puasa

maaf ustaz banyak pertanyaan saya x nak tinggal puasa rugi sanggat rasa sanggat berdosa jika saya tiggal tapi saya x tahu mcm mane nak kawal nafsu saya setiap seminggu je time sahur saya onani kalau ustaz boleh x kongsi tip supaya saya menjauhkan diri daripada pornograhpy dan onani

Last edited 2 tahun yang lalu by liq
liq
liq
2 tahun yang lalu

assalamualikum ustaz adakah sah saya punya puasa sbb ketika sahur saya mandi wajib dan waktu imsak adalah 5.48 dan saya mandi pkl 5.44 dan semasa saya keluar bilik air sudah pkl 5.50 adakah masih sah puasa saya sbb saya ade masukan air di dalam hidung dan kumur mulut saya tapi x pasti waktu itu sudah pkl berapa

maaf ustaz banyak pertanyaan saya x nak tinggal puasa rugi sanggat rasa sanggat berdosa jika saya tiggal tapi saya x tahu mcm mane nak kawal nafsu saya setiap seminggu je time sahur saya onani kalau ustaz boleh x kongsi tip supaya saya menjauhkan diri daripada pornograhpy dan onani

Last edited 2 tahun yang lalu by liq
Ibnu Amir
Ibnu Amir
2 tahun yang lalu

assalamualaikum ustaz, mohon izin untuk dikongsikan dengan murid-murid dan warga sekolah saya

Zul
Zul
3 tahun yang lalu

assalam…nak tanya..kalau kita terlupa niat..puasa tak sah kan..adakah dikenakan fidyah juga…atau fidyah ni hanya untuk yang tinggal puasa sahaja?

Macam mana pula bila kita lupa nk mandi wajib ketika puasa…adakah puasa kita sah dan kene fidyah juga?

mohon penerangan ustaz?…terima kasih

Zul
Zul
Reply to  Muhamad Naim
3 tahun yang lalu

terima kasih ustaz…kiranya kalau puasa tak sah sebab lupa niat..tidak perlu kene fidyah ke mcm mana…maksudnya kalau lupa niat..kene ganti…kalau tk sempat ganti baru kene fidyah kan?

Zul
Zul
3 tahun yang lalu

assalam…saya nak tanya…bagaimana kalau kita terlupa nk niat puasa…adakah puasa kita sah.

Lagi satu…berkenaan dengan fidyah..saya kurang faham..saya ade tertinggal puasa pada beberapa tahun..boleh dikatakan..tiap tahun tu ade yang tk penuh puasa saya…macam mana nk bayar fidyah kalau mcm tu..mohon penerangan?

zul
zul
Reply to  Muhamad Naim
3 tahun yang lalu

berkenaan hari saya tinggal tu..saya tk berapa ingat..contoh kalau sminggu..masa tu tujuh tahun dulu…kira sminggu darab tujuh tahun ke?

zul
zul
Reply to  Muhamad Naim
3 tahun yang lalu

Dan saya tak ingat dh brape kali saya terlupa untuk niat puasa tu…andai kata saya kira sebulan….sebulan darab contohnya 12 tahun….adakah setiap tahun yang puasa kita tak sah akan terganti?…maaf saya kurang pandai bab ni..minta tunjuk ajar…sbab betul saya tak ingat brape hari dh saya tinggal puasa tanpa saya sedar…campur dengan lupa niat puasa…allahu?

Zainal
Zainal
3 tahun yang lalu

Assalamulakum ustat kalu kita niat puasa selama satu bulan …dan kita sahur pada pagi hari …ada ke kita nak niat puasa hariaan

Matyiee
Matyiee
Reply to  Zainal
3 tahun yang lalu

Yup kene niat setiap hari kerana rukun..