GENGGAM KUNCI PENTING INI SUPAYA HIDUP ANDA LEBIH GEMBIRA DAN MENENANGKAN

Photo by Tyler Nix on Unsplash

Artikel ini bakal mengubah hidup anda sepenuhnya.

Jangan terkejut andainya selepasi ini ada orang yang menegur bahawa anda kelihatan selalu tersenyum.

Jadi cuba fahami apa yang disampaikan dalam artikel ini sebaiknya.


Setiap orang pastinya hendak hidup gembira dan bahagia.

Anda juga sudah tentunya inginkan kehidupan yang sedemikian.

Kita inginkan hidup yang dipenuhi dengan senyuman dan hati yang sentiasa tenteram.

Namun mengapakah agaknya kadang-kala sukar untuk kita merasai kegembiraan dalam hidup ini?

Sedangkan nikmat yang Allah SWT limpahkan kepada kita sangat banyak malah mencukupi.

Lebih menyedihkan ramai beranggapan bahawa jika ingin gembira dalam hidup, kita perlu ada wang ringgit yang banyak.

Lantas ramai yang merasakan faktor kesempitan ekonomilah antara faktor utama mengapa hidup mereka tidak bahagia.

Saya kurang bersetuju.

Memang benar hidup yang gembira boleh dikaitkan dengan duit, namun duit sahaja bukanlah penyebab untuk anda menjadi gembira.

Apabila keperluan asas hidup anda sudah mencukupi dan perjalanan hidup anda lancar, duit tidak lagi mampu menjadi penambah perisa.

Buktinya anda dapat lihat menerusi kajian yang telah dijalankan ke atas jutawan-jutawan Amerika dan penduduk miskin di sana.

Soal selidik yang dibuat mendapati antara skala kegembiraan 1 hingga 7, mereka yang jutawan secara purata skalanya hanya 5.8 daripada 7 dan penduduk miskin pula 4.6.

Jika anda lihat perbezaannya tidak jauh.

Dan andainya golongan miskin berkenaan meningkatkan pendapatan mereka sehingga dapat hidup lebih selesa pastinya skala kegembiraan mereka mungkin separas dengan golongan jutawan berkenaan.

Oleh itu mari kita cuba lihat faktor utama yang menyebabkan kita kurang gembira dalam hidup.

Faktor yang saya pasti dirasai oleh semua orang pada era millenium ini.

Antara sebab utama kita kurang gembira dalam hidup  adalah disebabkan kita hidup dalam dunia yang

SIBUK

Ya, Kita sekarang berada dalam persekitaran yang  sibuk dan memenatkan.

Adakah anda bersetuju?

Minda kita sangat sibuk memikirkan pelbagai perkara yang perlu dilaksanakan.

Andainya anda pelajar, anda perlu fikirkan soal kuliah, soal tugasan serta soal peperiksaan.

Andainya anda pekerja, anda perlu fikirkan soal pejabat, soal rakan sekerja serta soal komitmen bulanan.

Andainya anda seorang suri rumah, anda perlu fikirkan soal suami, soal rumah tangga dan soal masa depan keluarga.

Kita hidup dalam dunia yang bergerak pantas. Pastinya anda turut bersetuju.

Apabila tiba satu cabaran, datang pula satu cabaran yang lain.

Tidak cukup dengan beban di tempat kerja, anda juga turut memikul masalah yang menunggu di rumah.

Oleh kerana dugaan yang datang silih berganti, minda yang semakin berserabut, ramai yang mula merasakan tertekan dengan hidup mereka.

Jadi untuk mengekalkan emosi gembira sepanjang masa ternyata bukan satu perkara yang mudah.

Walau bagaimanapun ada satu kunci yang andainya anda mampu genggam dengan erat sekarang, kehidupan anda pastinya akan mula berubah.

Kunci yang selagi anda mampu pegang, selagi itulah kegembiraan itu sentiasa dekat dengan anda.

Apakah kunci itu?

— Kuncinya ORANG YANG GEMBIRA, ADALAH ORANG YANG MINDANYA SENTIASA ADA

“Minda yang ada” merujuk kepada orang yang fikirannya ada pada present moment atau detik ini.

Contohnya anda sedang membaca artikel ini, adakah minda ada fokus membacanya (ada dalam detik ini) atau fikiran anda sedang melayang memikirkan sesuatu perkara lain?

Cuba anda ingat kembali, waktu bilakah dalam hidup anda yang dirasakan paling menggembirakan?

Waktu di mana anda asyik bermain dan sentiasa riang bergelak tawa. Masih ingat lagi?

Jawapan yang pastinya sama bagi setiap orang iaitu zaman kanak-kanak.

Mengapa zaman kanak-kanak gembira?

Sebab minda kita pada waktu itu simple dan ringkas.

Kita hanya menikmati apa yang sedang berlaku di hadapan kita.

Kita bermain dan bergurau senda dengan kawan-kawan tanpa memikirkan soal-soal yang membebankan.

Namun setelah meningkat usia, minda kita disibukkan dengan pelbagai perkara sehingga kita lupa untuk menikmati apa yang sedang berlaku di hadapan kita.

Pernah sekali saya dan mak cik saya menonton satu rancangan yang agak mencuit hati di televisyen.

Ketika saya menonton rancangan tersebut, beberapa kali saya tertawa kecil kerana rasa kelakar.

Namun saya dapati mak cik saya yang turut sama sedang menonton hanya mendiamkan diri.

Tiada langsung saya lihat dia tertawa.

Jadi timbul persoalan di fikiran saya, kami berdua sedang berada dalam satu kondisi persekitaran yang sama, namun mengapa hanya saya seorang yang seronok menonton rancangan itu?

Besar kemungkinan, pada waktu itu mak cik saya sedang runsing memikirkan sesuatu perkara.

Fikirannya sedang menerawang ke dimensi lain dan mengabaikan apa yang sedang berlaku dihadapannya.

Apabila minda anda tidak berada pada detik semasa, anda tidak dapat merasai kegembiraan yang terkandung dalam detik tersebut.

Contohnya jika kita adakan majlis sambutan hari lahir anda, boleh jadi ia menjadi detik paling bermakna dalam hidup anda (Jika anda menikmati apa yang sedang berlaku) dan boleh juga jadi majlis sambutan yang hambar bila mana sewaktu majlis berjalan, minda anda pula sibuk memikirkan soal kerja  dan lain-lain.

Contoh lain yang menarik adalah bagi mereka yang baru berkahwin.

Pasangan yang baru berkahwin pastinya akan melalui satu fasa yang dinamakan fasa bulan madu atau honeymoon period.

Fasa yang paling menggembirakan, paling mengasyikkan dan paling membahagiakan.

Pada tiga bulan pertama kegembiraan tersebut mungkin masih dirasa.

Bagaimana pula setelah setahun berlalu? Adakah keseronokkan atau honeymoon period tersebut masih ada?

Pastinya anda juga kerap mendengar cerita pasangan yang pada awal perkahwinan mereka nampak bahagia, namun setelah beberapa bulan berkahwin ada yang mula bergaduh.

Semuanya boleh dikaitkan dengan apa yang sedang kita bincangkan.

ORANG YANG GEMBIRA ADALAH ORANG YANG MINDANYA SENTIASA ADA

Pada awal perkahwinan, pasangan sangat bahagia kerana minda mereka pastinya berada pada present moment (detik semasa). Fikiran mereka hanya tertumpu pada pasangan yang dicintai.

Gembira melihat raut wajah pasangan, menikmati saat makan bersama dan melayani gurau senda pasangan.

Cuba anda bayangkan, setelah anda berkahwin. Kehidupan mula sibuk.

Pada satu hari anda sedang menceritakan sesuatu kepada pasangan anda.

Namun anda dapat lihat wajah pasangan anda yang tiada respon dan anda tahu mindanya tidak berada pada present moment (detik semasa).

Kelihatan dia sedang memikirkan  sesuatu perkara lain.

Dan sekiranya berlarutan itulah yang boleh menyebabkan hubungan renggang.

Sekiranya anda dan pasangan anda mampu untuk sentiasa menikmati setiap detik dan saat indah bersama, pastinya anda akan menjadi pasangan yang paling bahagia dan gembira.

Justeru itu, kunci yang perlu anda sentiasa ingat

ORANG YANG GEMBIRA, ORANG YANG MINDANYA SENTIASA ADA

Jangan terlalu fikirkan perkara yang sudah lepas.

Tidak perlu risaukan perkara yang sudah berlalu, cukuplah sekadar jadikannya pengajaran.

Dan tidak usah juga bimbangkan dengan masa hadapan yang belum pasti.

Kerana segalanya ditentukan oleh apa yang anda buat pada detik ini.

Jadi jagalah minda anda agar sentiasa berada pada detik ini

Latih minda anda untuk fokus  pada present moment dan nikmati apa yang berlaku di sekeliling anda.

Dengan itu pasti anda akan menjadi seorang yang lebih gembira dengan segala kurniaan yang diberikan Allah SWT.

Artikel ini adalah perkongsian daripada Amirul Ramli, seorang pendidik dan penulis blog motivasi.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

5 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Ally
Ally
4 tahun yang lalu

Kurang info

Kdaycute
Kdaycute
4 tahun yang lalu

Alhamdullilah..satu pencerahan yg sangat baik..terima kasih wahai hamba allah..

Rissnadia
Rissnadia
5 tahun yang lalu

Thanks… Sgt hebat

yusof salim
yusof salim
5 tahun yang lalu

Nasihat serta panduan yang terbaik

Amirul
Amirul
Reply to  yusof salim
5 tahun yang lalu

Alhamdulillahh.. semoga bermanfaat