IBADAH & ZIARAH MADINAH (Panduan Lengkap)

Panduan ibadah ziarah madinah

Ini adalah panduan lengkap ibadah dan ziarah di Madinah.

Dalam panduan ini, saya akan membimbing anda melakukan ibadah-ibadah di Madinah (Masjid Nabawi) dan melakukan ziarah di kawasan-kawasan sekitarnya.

Apa yang menarik:

Setiap bacaan doa yang dinyatakan dalam panduan ini dipermudahkan dengan transliterasi rumi untuk membantu anda yang tidak mahir membaca tulisan jawi atau arab.

Semoga bermanfaat.

Fadhilat Melakukan Ibadat Di Madinah

BERIBADAH DI MADINAH

Seluruh umat Islam dari mana-mana penjuru dunia ketika menunaikan ibadah haji ataupun umrah di Makkah hampir tidak ada satu pun yang ketinggalan untuk menziarahi tempat suci satu lagi iaitu Madinah Al-Munawarah.

Setiap solat fardu di Masjid Nabawi pahalanya akan dilipat-gandakan 1000 kali berbanding solat fardu di masjid lain.

Jika dapat melakukan sehingga 40 kali solat fardu insyaAllah akan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang akan dibebaskan dari api neraka.

Hal ini sebagaimana disabdakan oleh Baginda Nabi SAW yang bermaksud:

“Solat di masjidku ini lebih baik daripada solat 1000 kali solat di tempat lain kecuali di Masjidil Haram.”

(Riwayat Imam Ahmad dan Tabrani dari Abu Hurairah r.a.)

Anda akan memperolehi pahala sebagaimana pahala orang yang menunaikan Haji Kecil atau Umrah, iaitu dengan cara pergi ke Masjid Quba dan solat sunat di dalamnya. Berkenaan dengan hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Barang siapa berwuduk di rumahnya kemudian terus pergi ke Masjid Quba lalu mendirikan solat sunat dua rakaat, maka pahalanya adalah meyerupai pahala dari orang yang menunaikan umrah.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

Barang siapa yang bersabar ke atas sebarang kesusahan dan kesulitan kota Madinah, maka aku kelak di hari Kiamat akan memberikan syafaat kepadanya.”

(Diriwayatkan dari Ibnu Umar dan Abu Said r.a.)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Daripada Anas bin Malik ra katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai Allah, jadikanlah keberkatan di Madinah dua kali ganda dari keberkatan di Makkah.”

(Disepakati atas kesahihannya oleh Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang mampu untuk meninggal dunia di Madinah, maka hendaklah dia mati di sana, sebab tiada seorang pun yang mati di Madinah kecuali kelak di hari Kiamat aku akan memberikan syafaat kepadanya.”

(Diriwayatkan oleh Tarmizi, Ibnu Majah dari hadis Ibnu Umar dan menurut beliau ianya adalah hadis Hasan Sahih)

Di Madinah terletaknya Masjidil Haram yang kedua dan Makam Rasulullah SAW serta tempat-tempat bersejarah yang sebaiknya diziarahi oleh umat Islam.

Berkaitan dengan ziarah ke Makam Nabi Muhammad SAW pula, terdapat satu hadis yang menyatakan bahawa sesiapa yang berziarah ke Makam Baginda SAW, maka akan menerima syafaat nanti.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang menziarahi kuburku maka wajiblah dia mendapat syafaatku.”

(Hadis riwayat al-Bazzar dan Dar Al-Qutni)

Doa Ketika Tiba Di Kota Madinah

Sebaik sahaja anda memasuki kota suci Madinah semasa ziarah Madinah, maka hendaklah membaca doa seperti berikut:

Doa ketika tiba di kota madinah

Allahumma inna Haaza Haramu Nabiyyika Wa Qad Harramtahu ‘Ala Lisaanihi SAW Faj’alhu Wiqaayatan Li Minan-naari Wa Amaanan Min Suu-il Hisaab

“Ya Allah Ya Tuhanku, negeri ini adalah tanah haram Rasul-Mu Muhammad SAW maka, jadikanlah dia sebagai penjaga bagiku dari neraka, aman dari sebarang seksa dan buruknya perhitungan di hari kemudian”.

Doa Memasuki Masjid Nabawi

Tujuan paling utama dalam ziarah Madinah adalah datang ke Masjid Nabawi.

Jika telah tiba di kawasan Masjid Nabawi hendaklah anda mengambil wuduk terlebih dahulu dan memasuki Masjid melalui Babussalam dengan membaca doa seperti berikut:

Doa Memasuki Masjid Nabawi

Bismillahi Wa ‘Ala Millati Rasulillah, Rabbi Adkhilni Mudkhala Sidqin, Wa-akhrijni Mukhraja Sidqin Waj-al Li Min Ladunka Sulthoonan Nasira, Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Aali Sayyidina Muhammadin, Waghfirli Zunuubi, Waftah Li Abwaaba Rahmatika Wa Adkhilni Fiiha Ya Arhamar-raahimin

“Dengan nama Allah dan di atas agama Rasulullah SAW, Ya Tuhanku masukkanlah aku ke dalam pintu kebenaran dan keluarkanlah aku dengan cara keluar yang benar, dan berikanlah aku daripada sisi-Mu kekuasaan (pemerintah) yang dapat menolong. Ya Allah sejahterakanlah junjungan Nabi Muhammad SAW dan seluruh keluarga Nabi Muhammad SAW. Ampunilah dosaku, bukalah pintu rahmat-Mu bagiku dan masukkanlah aku ke dalamnya, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Menziarahi Makam Baginda Nabi Muhammad ﷺ

Menziarahi makam Baginda Nabi ﷺ adalah suatu kemestian dalam tatacara ziarah Madinah.

Pihak berkuasa Arab Saudi selalunya tidak membenarkan orang ramai berkerumun di sekeliling makam Rasulullah SAW. Mereka hanya membenarkan orang ramai melihat makam Baginda SAW secara sepintas dengan melintasi makam tersebut secara beratur.

makam nabi

Mengucapkan Salam Kepada Nabi Muhammad ﷺ

Pada masa melintas itulah anda baca salam kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana berikut:

Mengucapkan Salam Kepada Nabi Muhammad ﷺ

Assalamu’alaika Ya Rasulallahi Warahmatullahi Wa Barakatuh, Assalamu’Alaika Ya Nabiyyallah, Assalamu’Alaika Ya Sofwata Khalqillah, Assalamu Alaika Ya Habiballah, Asyhadu An La Ilaaha Illallaha Wahdahu La Syariikalah, Wa Annaka ‘Abduhu Wa Rasuuluh, Wa Asyhadu Annaka Ballaghtar-risaalah, Wa Addaital-amaanah, Wa Nasohtal-ummah, Wa Jaahadta Fi Sabiilillah, Fa Sollallahu ‘Alaika Solaatan Daa-imatan Ila Yaumid-din, Rabbana Aatina Fid-dunya Hasanah, Wa Fil-aakhirati Hasanah, Wa Qina Azaaban-nar, Allahumma Aatihil-wasiilata Wal-fadhiilah, Wad-darajatar-rafiah, Wab-‘as-hu Maqaaman Mahmuudanillazi Wa’adtah, Innaka Laa Tukhliful-milad

“Salam sejahtera ke atas engkau wahai junjungan yang mulia. Semoga rahmat dan keberkatan serta salam Allah tetap ke atas engkau wahai nabi Allah. Salam sejahtera ke atas engkau wahai makhluk pilihan Allah. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan hanya Allah dan Muhammad SAW adalah utusan-Nya. Aku bersaksi bahawa engkau telah pun melaksanakan tanggungjawab risalah, dan telah memulakan segala amalan dengan memberi nasihat kepada umat, dan telah berjihad bagi meninggikan agama Allah. Maka semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas engkau yang berkekalan sehingga ke hari kiamat. Ya Allah berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jagalah kami dari api neraka. Ya Allah kurniakanlah kepada junjungan Nabi Muhammad SAW akan kemuliaan dan darjat yang tinggi serta anugerahkanlah kepadanya tempat kedudukan yang terpuji sebagaimana yang telah Engkau janjikan, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.”

Cara Menyampaikan Salam Yang Dikirim Kepada Rasulullah

Kadangkala seseorang yang akan berziarah ke makam Nabi Muhammad SAW ada mendapat amanah daripada orang lain untuk menyampaikan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.

Sekiranya anda termasuk orang yang diberi amanah tersebut maka anda boleh menyampaikannya kepada Baginda SAW dengan ucapan sebagaimana berikut:

Assalaamu’alaika Ya Rasulallahi warahmatullahi Wabarakatuh Min …

“Salam sejahtera ke atas engkau wahai Rasulullah SAW dari….. (sebut nama orang tersebut).”

Ucapan Salam Kepada Abu Bakar As-Siddiq R.A

Seterusnya di sebelah Rasulullah SAW terdapat dua makam lagi, iaitu makam sahabat Abu Bakar As-Siddiq dan Umar bin Al-Khattab r.a. Anda digalakkan mengucapkan salam kepada kedua-duanya.

Adapun untuk Abu Bakar adalah seperti berikut:

Ucapan Salam Kepada Abu Bakar As-Siddiq R.A

Assalamu ‘Alaika Ya Khalifata Rasulillah, Assalamu ‘Alaika Ya Sohiba Rasulillahi Fil-ghar, Assalamu ‘Alaika Ya Amiinatu ‘Alal-asrar, Jazaakallahu ‘Anna Afdhala Ma Jaza Imaman ‘An Ummati Nabiyyihi, Falaqad Khalaftahu Ahsana-khalfi, Wa Salakta Thoriiqahu Wa Minhaajahu Khaira Suluuk, Wa Nasortal-Islaama WaWasoltal-arhaam, Wa Lam Tazal Qaa-iman Bil-haqqi Hatta Ataakal-yaqiin, Fassalaamu ‘Alaika Warahmatullahi Wabarakaatuh

“Salam sejahtera kepada tuan wahai Khalifah Rasulullah SAW, selamat sejahtera wahai teman Rasulullah SAW di gua, yang setia menyimpan rahsia. Terimalah balasan daripada Allah SWT sebagai balasan ketua yang memimpin umat Nabinya. Bahawasannya Tuan telah menggantikan Rasulullah SAW dengan menjalankan tanggungjawab sebaik-baiknya, dan Tuan telah mengikut jalan dengan bersungguh-sungguh serta berkhidmat kepada agama Islam sehingga akhir hayat Tuan. Maka terimalah balasan selamat sejahtera dan rahmat Allah SWT serta keberkatannya.”

Ucapan Salam Kepada Khalifah Umar Bin Khattab R.A

Selesai salam kepada Abu Bakar, hendaklah anda juga mengucapkan salam kepada Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a. yang makamnya terletak di sebelah makam Abu Bakar dengan ucapan seperti berikut:

Ucapan Salam Kepada Khalifah Umar Bin Khattab R.A

Assalamu ‘Alaika Ya Muzhiral-Islaam, Assalamu ‘Alaika Ya Faaruq, Assalamu ‘Alaika Ya Man Nataqta Bis-swaab Wa Kafaltal-aitaam Wa Wasoltal-arhaam Wa Qawiyya Bikal-Islaam, Assalamu ‘Alaika Warahmatullah

“Selamat sejahtera kepada Tuan wahai penyebar agama Islam, salam sejahtera kepada Tuan wahai orang yang tegas dalam memisahkan yang benar dan yang salah, selamat sejahtera wahai orang yang sentiasa berkata benar, engkau telah membela anak yatim, engkau telah menyambung tali silaturrahim, dan kerana engkaulah Islam menjadi kuat, salam sejahtera dan rahmat Allah semoga tetap ke atas engkau juga.”

Solat & Doa Di Raudhah

Raudhah adalah satu ruangan yang terletak di sebelah kanan makam Baginda Rasulullah. Sesungguhnya Raudhah inilah satu-satunya tempat mustajabah (antara tempat yang paling makbul bagi orang yang berdoa kepada Allah) di Madinah ini.

Dalam ziarah Madinah ini, jangan lepaskan peluang untuk datang ke Raudhah. Berkaitan dengan perkara ini Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Tempat antara rumahku (bilikku) dan mimbarku adalah sebuah taman daripada taman-taman syurga.”

(Riwayat Tabrani, Al-Bazzar dan Ibnu Syaibah, rijalnya thiqah)

Oleh itu, lakukanlah solat-solat sunat dan berdoalah secara bersungguh-sungguh apabila berpeluang untuk memasuki Raudhah.

Solat-Solat Sunat

Perbanyakkan solat-solat sunat semasa ziarah madinah, terutamanya apabila berada di Masjid Nabawi.

Antara solat-solat sunat yang boleh dikerjakan apabila berada di Raudhah adalah:

Bacaan Doa Di Raudhah

Salah satu doa yang muktabar dibaca di Raudhah ini adalah bacaan doa seperti di bawah:

Doa Ma'thur ketika berada di Raudhah

Bismillahir-rahmanir-rahim, Alhamdulillahi Rabbil-‘aalamin, Hamdan Yuwafi Ni’amahu Wa Yukafi-u Mazidah, Ya Rabbana Lakal-hamdu Kama Yanbaghi Lijalaali Wajhika Wa ‘Azhiimi Sulthonik, Wa Sollallahu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasahbihi Ajma’in. Allahummagh-firli Zunuubi Wa Liwaalidayya Wa Ajdaadi Wa Jaddaati Wa Aqaaribi Wa Ikhwaani Wa Masyaa-ikhi Wa Lijami’il-mukminiina Wal-mukminaat Wal-muslimiina Wal-muslimaat Al-Ahyaa-I Minhum Wal-amwaat Birahmatika Ya Arhamar-raahimin. Allahumma Innaka Qulta Wa Qaulukal-haqqu Wa Lau Annahum Iz-zholamu Anfusahum Ja-uuka Fastaghfarullah, Was-taghfara Lahumur-rasul Lawajadullaha Tawwaban Rahiima. Allahumma Inni As-aluka An Tasyfa-a Fi Nabiyyika Wa Rasuulika Muhammadin Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Yauma La Yanfa- u Maalun Wa La Banuun, Illa Man Atallahu Bi Qalbin Salim, Wa An Tuujiba Lil-maghfirata Kama Aujabtaha Liman Jaa-a Fi Hayaatih. Allahummaj- ‘alhu Awwalasy-syaf’iin, Wa Anjahas-saa-ilin, Wa Akramal-awwaliina Wal-aakhirin, Bimannika Wa Karamika Ya Akramal-akramiin. Allahumma Inni As-Aluka Iimaanan Kaamila Wa Yaqiina Soodiqa, Hatta A’lama Annahu La Yusiibuni Illa Ma Katabta Li, Wa ‘Ilman Naafia Wa Qalban Khasyi-a Wa Lisaanan Zaakira, Wa Rizqan Waasia Wa Halaalan Toyyiba Wa ‘Amalan Soolihan Maqbula, Wa Tijaaratan Lan Tabur. Allahummasyh-rah Suduurana Was-tur ‘Uyuubana Waghfir Zunuubana Wa Aamin Khaufana Wakhtim Bis-solihaati A’maalana Wa Taqabbal Ziyaaratana Wa Ruddana Min Ghurbatina Ila Ahlina Wa Aulaadina Salimiina Ghanimiina Ghaira Khazaaya Wa La Maftuunin, Waj’alna Min ‘Ibaadikas-solihiina Minal-laziina La Khaufun ‘Alaihim Wa La hum Yahzanuun. Rabbana Aatina Fid-dunya Hasanah, Wa Fil-aakhirati Hasanah, Wa Qina Azaaban-nar, Rabbana La Tuzigh Quluubana Ba’da Iz Hadaitana Wa Hablana Min Ladunka Rahmah, Innaka Antal-wahhaab, Rabbigh-firli Wa Liwaalidayya Wa Lil-mukminiina Yauma Yaquumul-hisaab, Allahumma Sahhil Lana Fi Diinana, Subhaana Rabbika Rabbil-‘izzati ‘Amma Yasifuun, Wa Salaamun ‘Alal-mursalin, Walhamdulillahi Rabbil-‘aalamiin

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian adalah milik Allah SWT Tuhan yang menguasai sekalian alam. Puji-pujian yang menepati segala nikmat-Nya yang sejajar dengan segala kelebihan-Nya. Wahai Tuhan kami kepada Engkaulah puji-pujian yang selayak dengan keagungan kekuasan-Mu. Semoga Allah mencucurkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW dan seluruh keluarganya serta sahabatnya. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku, dosa-dosa kedua ibu bapaku, dosa-dosa datuk moyangku, semua kaum kerabatku, saudara-maraku, dan sekalian guru-guruku dan seterusnya dosa sekalian kaum mukminin dan mukminat, dan muslimin muslimat, sama ada yang mash hidup atau pun yang telah mati dengan segala limpahan rahmat-Mu, wahai Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Ya Allah sesungguhnya Engkau telah berfirman dan firman-Mu adalah benar, “Jika sekiranya mereka telah menzalimi diri mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon keampunan kepada Allah dan Rasulullah memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka akan mendapati Allah itu sebagai Zat yang Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang. Ya Tuhanku sesungguhnya aku memohon syafaat (pertolongan) dari Nabi dan Rasul-Mu Muhammad SAW pada hari di mana harta benda dan anak-anak tidak dapat memberi sebarang pertolongan sesuatu apa pun kecuali orang yang menerahkan diri kepada Allah dengan hati yang selamat (bebas dari syirik dan penyakit nifaq). Dan berilah kepastian keampunan kepadaku sebagaimana Engkau telah memastikan bagi memberi ampunan kepada orang yang datang kepada Rasul di waktu hidupnya. Ya Allah ya Tuhanku jadikanlah Nabi Muhammad SAW sebagai orang yang pertama memberi syafaat, yang paling berjaya di antara orang-orang yang memohon dan paling mulia dari golongan mereka yang terdahulu dan yang terakhir dengan kemuliaan dan kemurahan-Mu wahai Tuhan Yang amat Mulia lagi Maha Pemurah. Ya Allah ya Tuhanku aku mohon kepada-Mu keimanan yang sempurna, keyakinan yang sebenar, sehingga aku dapat mengetahui bahawa tiada sesuatu bencana yang menimpa kepadaku kecuali apa yang telah Engkau tetapkan. Aku mohon ilmu yang bermanfaat, hati yang khusyuk, lidah yang selalu berzikir dan menyebut nama-Mu, rezeki yang luas dan halal serta baik, amal yang soleh yang diterima serta perniagaan yang tidak akan rugi. Ya Allah ya Tuhan kami, lapangkanlah dada kami, tutupilah keburukan kami, ampunilah dosa kami, tenteramkanlah kami dari ketakutan, sudahilah amalan kami dengan kebaikan, terimalah ziarah kami ini, kembalikanlah kami kepada ahli dan keluarga kami dalam keadaan selamat dan sejahtera, tidak kecewa dan tidak mendapat bala bencana. Engkau jadikanlah kami dari golongan hamba-Mu yang soleh, iaitu dari golongan mereka yang tidak merasa takut dan tidak pula bersedih hati. Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah Engkau palingkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, limpahkanlah rahmat-Mu kepada kami. Engkaulah Tuhan yang Maha Pemurah yang memberi anugerah. Ya Allah ya Tuhan kami ampunilah segala dosaku, dosa kedua orang tuaku serta seluruh kaum mukminin dan mukminat pada hari perhitungan segala amal. Maha Suci Tuhanmu yang mempunyai keperkasaan dari apa yang mereka katakan, dan salam sejahtera kepada semua Rasul serta segala pujian adalah milik Allah SWT Tuhan yang Memelihara segala alam.”

Jika anda berada di Raudhah anda akan melihat mimbar Nabi SAW yang menjadi tempat baginda SAW berkhutbah.

Bagaimanapun untuk mengesan mana satu yang asal adalah sangat susah kerana pihak pengurusan Masjid telah pun membuat banyak mimbar di sekitar Raudhah tersebut.

Berkaitan dengan keutamaan mimbar ini terdapat satu hadis Nabi dari Ummu Salamah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya tiang-tiang mimbarku ini adalah tiang-tiang yang teguh berdiri dalam syurga.”

(Hadis riwayat Abdul Razak, Al-Humaidi, An-Nasa’i, Ibnu Hibban dan lain-lain)

Jika anda berada di dalam Masjid Nabawi dan keadaan mengizinkan maka carilah tiang-tiang di atas yang terletak di ruangan Raudhah, seterusnya beribadahlah di situ.

Kerana ianya mengandungi berbagai keutamaan sebagaimana keterangan di bawah:

“Daripada Zaid bin Abu Ubaid daripada Salamah bin Al-A’wa r.a. bahawa beliau memilih tempat di Mashaf di mana dia bertasbih di sana. Dinyatakan bahawa Rasulullah SAW telah memilih tempat itu. la terletak di antara mimbar Nabi dan Kiblat yang keluasannya sekadar seekor kambing boleh lalu.”

(Hadis ini disepakati atas kesahihannya oleh Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya di dalam Masjid Nabawi terdapat satu tempat yang bertentangan dengan Kiblat, sekiranya manusia mengetahui (akan kelebihannya) bersolat di sana nescaya mereka akan berebut walaupun terpaksa mengundi.”

(Hadis riwayat At-Tabrani di dalam Kitab Al-Ausat)

Terdapat sedikit perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang tiang di atas yang sebagaimana dinukilkan oleh Salamah r.a. Adakah ianya adalah tiang Mashaf yang terletak di sebelah kanan mimbar ataupun tiang Aisyah r.a. yang dinamakan Tiang Muhajirin?

Adakah ianya tiang di mana Rasulullah SAW bersolat di tempat itu selama sepuluh hari selepas pertukaran Kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah yang kemudian Baginda SAW bersolat di tempat di mana Baginda SAW bersolat sebagaimana biasanya.

Dikatakan bahawa berdoa di tempat tersebut adalah sangat mustajab. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani dan juga oleh ulama lain. Adalah Rasulullah SAW juga sentiasa beriktikaf di Tiang Taubat

Ziarah Masjid-Masjid Di Sekitar Madinah

Selain Masjid Nabawi, masih banyak lagi Rumah Allah SWT yang perlu anda ziarahi dan bersolat sunat di dalamnya. Sekiranya pihak penganjur atau syarikat tidak menyediakan kenderaan, anda boleh menaiki kereta sewa untuk meneruskan ziarah madinah ke tempat-tempat lain.

Bacalah doa di bawah ini setiap kali menziarahi masjid yang anda ziarahi:

Doa  ziarah masjid di Madinah

Allahumma Rabbana Taqabbal Minna Wa ‘Aafina Wa’fun ‘Anna, Allahumma Tawaffana Musimiina Wa Ahyiina Muslimiina Wa Alhiqna Bis-solihiin, Allahumma Inni Auda’tu Hazal-mahallas-syariifa Min Yaumina Haza Ila Yaumil-qiyaamati Kholisan Mukhlisa

“Ya Allah ya Tuhan kami, perkenankanlah doa kami, afiatkanlah kami, maafkanlah kesalahan kami, matikanlah kami dalam keadaan Islam, hidupkanlah kami di dalam Islam, himpunkanlah kami dengan orang-orang yang soleh.

Ya Allah ya Tuhanku, aku abadikan tempat yang suci ini mulai hari ini sehingga hari kiamat dengan ikhlas dan jujur dengan kalimah:

Asyhadu An La Ilaaha Illallaha, Wa Anna Muhammadan ‘Abduhu Wa Rasuuluh

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku juga bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul (utusan) Allah.”

Masjid Quba

masjid quba

Solat di Masjid Quba Mendapat Pahala Seperti Umrah

Masjid Quba adalah masjid yang pertama kali dibina oleh Rasulullah SAW bersama para sahabat Baginda sebaik sahaja tiba berhijrah di Madinah. Kerana itulah Masjid Quba ini merupakan masjid yang pertama kali dibina dalam Islam. Terletak 5 km dari Masjid Nabawi.

Salah satu kelebihan masjid ini adalah bahawa orang yang solat sunat dua rakaat di dalamnya akan mendapat pahala seperti umrah. Di dalam Al-Quran, masjid ini disebut sebagai Masjid Taqwa sebagaimana dinyatakan di dalam Surah At-Taubah ayat 108.

Di sebelah Masjid Quba terdapat sebuah telaga yang dinamakan Telaga Qatlah atau Al-Khatim. Disebut Al-Qatlah kerana dia pernah diludahi Rasulullah SAW untuk menghilangkan racunnya dan dinamakan Al-Khatim kerana cincin Rasulullah SAW yang dipakai oleh Saidina Uthman bin Affan terjatuh di dalam telaga ini. (Namun kini telaga ini telah tiada).

Rasulullah SAW sentiasa datang ke masjid ini pada setiap hari Sabtu sama ada dengan berjalan kaki atau pun menunggang kenderaan. Hal ini sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a.

Solat di masjid ini juga lebih utama berbanding dengan mengunjungi Baitul Maqdis di Palestin. Berkaitan dengan keutamaan Masjid Quba ini Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa berwuduk di rumahnya kemudian mendatangi Masjid Quba dan bersolat di dalamnya maka baginya adalah pahala seperti pahala umrah.”

(Hadis riwayat An-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Abi Syaibah, Al-Hakim dan disahihkan oleh yang lain)

Masjid Qiblatain

masjid qiblatain

Dinamakan Qiblatain (Dua Kiblat) kerana bersempena dengan peristiwa pertukaran kiblat dari Masjid Al-Aqsa ke Kaabah pada tahun ke-2 Hijriah.

Firman Allah SWT turun ketika Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat sedang solat Zohor berjemaah di dalam masjid ini.

Dalam rakaat kedua, turunlah wahyu Allah yang memerintahkan agar Baginda SAW mengubah kiblat ke arah Baitullah di Makkah. Firman ini sebagaimana disebutkan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 144.


Masjid Jumaat

masjid jumaah madinah

Masjid ini terletak kira-kira 1 km dari Masjid Quba. Dinamakan Masjid Jumaat kerana di sinilah buat pertama kalinya Rasulullah SAW mendirikan solat Jumaat bersama penduduk Wadi Ranuna’ semasa perjalanan Baginda SAW dari Quba ke Madinah.


Masjid Fath

masjid fath

Di sinilah Rasulullah SAW solat dan berdoa selama tiga hari iaitu Isnin, Selasa dan Rabu supaya Allah menghancurkan tentera Ahzab seramai 10,000 yang terdiri daripada Yahudi, Nasrani dan kaum kafir Quraisy berhadapan dengan 3000 tentera kaum Muslimin.

Allah SWT telah memperkenankan doa Baginda SAW dengan mengirimkan angin yang amat kencang sehingga musnahlah khemah-khemah musuh tersebut. Masjid ini terletak lebih kurang 3km dari Masjid Nabawi.


Masjid Ghamamah

masjid ghamamah

Solat Hari Raya yang pertama kali berlaku di masjid ini, iaitu pada tahun ke-2 Hijriah. Ghamamah bermaksud awan, kerana setiap kali Rasulullah SAW mengadakan solat Hari Raya di sini maka awan akan melindungi dari panas terik matahari.


Masjid As-Syajarah

Masjid As-Syajarah

Dinamakan demikian kerana Rasulullah SAW solat di bawah pokok Samarah di Zul Hulaifah. Masjid ini sekarang lebih terkenal dengan nama Masjid Bir Ali, yang juga tempat Miqat Ihram Haji dan Umrah bagi penduduk Madinah atau orang-orang yang melalui Madinah.


Masjid Abu Zar

Di Masjid inilah Rasulullah SAW sujud paling lama sehingga Abdul Rahman bin Auf menyangka bahawa Allah SWT telah mewafatkan Baginda SAW dalam keadaan sujud.

Sejurus peristiwa itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa Jibril membawa berita gembira bahawa sesungguhnya sesiapa berselawat ke atasku maka Allah juga berselawat ke atasnya, dan sesiapa memberi salam ke atasku maka Allah juga memberi salam (doa) ke atasnya.”

Masjid ini terletak di jalan Abi Zar menghala ke Lapangan Terbang Madinah.


Masjid Bani Saidah

Muktamar umat Islam yang pertama kali selepas Rasulullah SAW wafat berlaku di masjid ini. Diriwayatkan bahawa di sini jugalah berlaku kesepakatan antara kaum Muhajirin dan Ansar ke atas Abu Bakar As-Siddiq sebagai Khalifah Pengganti Rasulullah SAW.


Ziarah Masjid-Masjid Lain

Masih terdapat banyak lagi masjid di Madinah yang kesemuanya mempunyai sejarah keutamaan masing-masing. Antara lain adalah Masjid Khamsah 5 masjid yang terletak berdekatan), Masjid Al-Fadikh, Masjid Al-Syams, Masjid Fatimah, Masjid Bilal dan lain-lain. Jika ada peluang adalah sangat baik anda menziarahi masjid-masjid di atas

Menziarahi Perigi Yang Pernah Diminum Oleh Rasulullah ﷺ

Anda juga digalakkan untuk mendatangi perigi-perigi yang pernah diminum airnya oleh Rasulullah SAW. Jika telah sampai di perigi tersebut minumlah airnya dengan niat untuk mengenang sejarah Islam dan mengambil berkat dari airnya.

Jika niat anda ikhlas insyaAllah akan mendapat kebaikan daripada Allah SWT.

Di antara beberapa perigi di atas adalah:

Perigi Urais

Terletak 200 meter di sebelah Barat Daya Masjid Quba. Diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari bahawa Rasulullah SAW pergi ke perigi ini untuk meminum airnya dan berwuduk.

Perigi Ihab

Perigi ini disebut juga Perigi Zam-zam. Kerana airnya hampir menyerupai air zam-zam sama ada dari segi warnanya, rasanya dan juga khasiatnya.

Perigi Bairuha’

Terletak di sebelah Timur kota Madinah. Rasulullah SAW pernah mendatangi perigi ini yang ketika itu masih merupakan kebun. Rasulullah SAW bernaung di bawah pokok-pokok yang ada di sekitar perigi tersebut dan meminum airnya.

Perigi Bidha’ah

Ia terletak di sebelah Barat Laut perigi Bairuha’. Nabi Muhammad SAW pernah mendatanginya dan meminum airnya. Sahal bin Sa’ad berkata, “Saya pernah mengambil air untuk Rasulullah SAW dari perigi Bidha’ah”.

Perigi Raumah

Perigi ini juga disebut Perigi Uthman, kerana Saidina Uthman r.a. telah membeli perigi ini kemudian mewakafkannya untuk kaum muslimin Madinah. Perigi ini terletak di hadapan Masjid Qiblatain.

Menziarahi Perkuburan Baqi’

Tanah Perkuburan ini terletak tidak begitu jauh dari Masjid Nabawi.

Di sini dimakamkan Khalifah ketiga Uthman bin Affan, isteri-isteri dan juga anak-anak Baginda Rasulullah SAW.

Diriwayatkan juga di sinilah dimakamkan kira-kira 10,000 orang sahabat Nabi SAW.

Ketika anda berziarah ke tempat ini sila baca doa seperti di bawah:

Doa di perkuburan Baqi'

Assalamu Alaikum Daara Qaumin Mukminiin, Wa Inna In Shaa-allahu Bikum Laahiqun, Antum Salafuna Wa Nahnu Bil-asar. Yaghfirullahu Lana Wa Lakum Wa Yarhamullahul-mustaqdimiina Minkum Wal-mustak-khiriin. Allahumma La Tahrimna Ajrahum Wa La Taftinna Ba’dahum Waghfirlana Wa Lahum, Allahummagh-fir Li-ahlil-baqi’il-gharqad

“Selamat sejahtera kepadamu wahai penghuni negeri kaum mukminin. Kami insya-Allah akan menyusul kamu sekalian. Kamu semua mendahului kami dan kami akan menyusulmu. Mudah-mudahan Allah akan mengampuni kami dan juga kamu dan Allah mengasihi mereka yang terdahulu dari kami sekalian dan mereka terkemudian. Ya Allah janganlah meluputkan kami ganjaran untuk mereka, jangan pula memberi fitnah kepada kami sesudah mereka serta ampunilah kami dan juga mereka. Ya Allah ampunilah ahli Bagi.”

Ucapan Salam Kepada Uthman Bin Affan

Seterusnya ucapkan salam kepada Khalifah Uthman bin Affan dengan bacaan seperti berikut:

Ucapan Salam Kepada Uthman Bin Affan

Assalamu’ alaika Ya Zannurain ‘Usman bin ‘Affan, Assalamua’alaika Ya Saalisal-khulafa-irrasyidin. Assalamu’alaika Ya Mujahhiza Jaisyin Al-Usrati Bin-naqdi Wal-‘Aini Wa Jama’al-Quran Bainad-dafataini, Jazaakallahu ‘An Ummati Rasuulillahi Sallallahu ‘Alaihi Wasallama Khairal Jazak. Allahummar-dha ‘Anhu Warfa’ Darajaatahu Wa Akrim Maqamahu Wa Ajzil Sawaabahu. Aamin

“Salam sejahtera ke atas engkau wahai Saidina Uthman bin Affan yang mempunyai dua cahaya. Salam sejahtera kepada engkau wahai Khalifah Ar-Rasyidin yang ketiga, salam sejahtera ke atas engkau wahai orang yang membekalkan senjata, harta benda dan wang kepada bala tentera Islam di dalam masa kesusahan (perang Tabuk), salam sejahtera ke atas engkau wahai orang yang mengumpulkan Al-Quran dalam satu kitab yang tersusun, mudah-mudahan Tuhan akan memberi ganjaran sebaik-baik pembalasan di atas segala amalanmu demi untuk kebaikan dan kebajikan ummat Muhammad SAW. Ya Allah tinggikan pangkat dan darjat kebesarannya, muliakanlah kedudukannya, dan kurniakan pahala kepadanya.”

Ucapan Salam Kepada Isteri-Isteri Nabi Muhammad ﷺ

Ucapan Salam Kepada Isteri-Isteri Nabi Muhammad ﷺ

Assalamua’alaikunna Ya Azwaaja Rasuulillah, Assalaamu’alaikunna Ya Azwaaja Nabiyyillahi Ummahaatil-mukminiina Warahmatullahi Wabarakaatuh. Allahummar-dho ‘Anhunna Warfa’ Darajatahunna Wa Akrim Maqamahunna Wa Ajzil Sawaabahunna. Aamin

“Salam sejahtera wahai engkau isteri-isteri Rasulullah, salam sejahtera ke atas puan-puan isteri Nabi yang juga sebagai ibu-ibu kaum mukminin dan semoga rahmat dan berkat Allah tetap ke atas puan-puan semua. Ya Allah redhailah mereka. Ya Allah tinggikan pangkat dan darjat kebesaran mereka, muliakanlah kedudukan mereka, dan kurniakan pahala kepada mereka. Amin.”

Ucapan Salam Kepada Puteri-Puteri Rasulullah ﷺ

Ucapan Salam Kepada Puteri-Puteri Rasulullah ﷺ

Assalamu’alaikunna Ya Banaata Rasuulillah, Assalamu’alaikunna Ya Banaata Nabiyyillahi Warahmatullahi Wabarakaatuh

Salam sejahtera ke atas kamu sekalian wahai puteri-puteri Rasulullah SAW, salam sejahtera ke atas kamu semua wahai puteri-puteri Nabi Allah SAW, semoga rahmat dan berkat Allah tetap ke atas kamu semua.

Ucapan Salam Kepada Saidina Abbas, Fatimah Az-Zahra & Saidina Hasan Bin Ali

Ucapan Salam Kepada Saidina Abbas, Fatimah Az-Zahra & Saidina Hasan Bin Ali

Assalamua’ alaika Ya Abbaasu ‘Ammu Rasulillah, Assalamu’alaika Ya ‘Ammu Nabiyvilla, Assalamu’alaika Ya Sayyidatu Fatimatuz-zahra’, Assalamu’alaika Ya Sayyidata Nisaa-il-aalamin, Assalamua’alaika Ya Ummu Sayyidi Syabaabi Ahlil-Jannati fil-jannah. Assalamu’alaika Hasan Bin ‘Ali Ya Hubba Rasuulillah. Ya Man Qaala Fi Haqqika Jadduka Rasuulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Allahumma Inni Uhibbuhu Fa-ahibbuhu, Assalamu’alaika Ya Sayyid Syabaabi Ahlil-jannati, Assalamu’alaika Ya Ahla Baitin-nubuwwah Warahmatullahi Wabarakaatuh

“Salam sejahtera ke atas engkau wahai Saidina Abbas bapa saudara Rasulullah SAW, salam sejahtera ke atas engkau wahai bapa saudara Nabi Allah, Salam sejahtera ke atas engkau wahai Fatimah Az-Zahra. Salam sejahtera ke atas engkau wahai ketua dari seluruh perempuan di alam ini, Salam sejahtera ke atas engkau wahai ibu kepada ketua pemuda ahli syurga di dalam syurga, salam sejahtera ke atas engkau wahai Hasan bin Ali kesayangan Rasulullah SAW, salam sejahtera ke atas engkau wahai orang yang didoakan oleh datuk engkau (Nabi Muhammad SAW) dengan ucapan, “Ya Allah aku sangat sayangkannya, maka kasihanilah oleh-Mu akan dia”, salam sejahtera ke atas engkau wahai ketua pemuda ahli syurga, salam sejahtera ke atas kamu sekalian wahai seluruh keluarga Nabi Muhammad SAW dan semoga rahmat dan berkat Allah tetap dicurahkan ke atas kamu semua.”

Ucapan Salam Kepada Abi Sa’id Al-Khudri

Abi Sa’id Al-Khudri adalah salah seorang periwayat hadis terbanyak:

Ucapan Salam Kepada Abi Sa'id Al-Khudri

Assalamu’alaika Ya Aba Sa’id Al-Khudri Sohiba Rasulillah, Assalamu’alaika Ya Rawiya Ahaadiisi Nabiyyillah, Jazaakallahu ‘an Ummati Rasulillahi Khairal-jazak

Salam sejahtera ke atas engkau wahai Abi Said Al-Khudri sahabat Rasulullah SAW, salam sejahtera ke atas engkau wahai orang yang telah banyak meriwayatkan hadis-hadis Nabi Allah SAW, hanya Tuhanlah yang memberi sebaik-baik ganjaran di atas segala amalan kebaikan engkau demi untuk kebaikan dan kebajikan umat Muhammad SAW.

Ucapan Salam ke Atas Saad bin Muaz

Saad bin Muaz adalah seorang sahabat yang arwahnya menggegarkan ‘Arasy

Ucapan Salam ke Atas Saad bin Muaz

Assalamu’alaika Ya Sa’id bin Mu’az Soohiba Rasulillah, Assalamu’alaika Ya Man Ihtazza Limautihi ‘Arsyur-rahmaan, Jazaakallahu ‘An Ummati Rasulillahi khairal-jazak

“Salam sejahtera ke atas engkau wahai Sa’id bin Muaz sahabat Rasulullah SAW, salam sejahtera ke atas engkau wahai orang yang kematiannya menyebabkan bergegarnya ‘Arasy Allah, semoga Allah memberi kepadamu sebaik-baik ganjaran di atas amalan engkau demi kebaikan dan kebajikan umat Nabi Muhammad SAW.”

Ziarah Bukit Uhud

Bukit Uhud adalah satu tempt di mana berlaku peristiwa sangat penting di dalam sejarah Islam, iaitu Perang Uhud pada tahun ke-3 Hijrah.

Pada peperangan ini bapa saudara Nabi Muhammad SAW yang sangat berani Hamzah bin Abdul Muttalib terkorban yang kemudian Rasulullah SAW memberikan gelaran kepada beliau sebagai Sayyid As-Syuhada’ atau penghulu bagi sekalian orang-orang yang mati syahid. Di antara sahabat yang tewas lagi adalah Abdullah bin Jahsyi dan Mus’ab bin Umair r.a.

Peperangan ini mengakibatkan 70 sahabat Nabi Muhammad gugur dari tentera kaum Muslimin yang kesemuanya 700 tentera. Sedangkan pihak kaum kafir Makkah berjumlah 3000 orang. Bukit ini terletak 4.5 km dari kota Madinah.

Sebaik sahaja anda sampai di Bukit Uhud maka bacalah doa untuk para sahabat yang mati syahid dengan bacaan seperti berikut:

Doa untuk para sahabat yang mati syahid di Bukit Uhud

Assalamu ‘Alaikum Ya Syuhadaa-a Uhud Allahuma Ajzihim ‘Anil-Islaami Wa Ahlahu Afdhalal-jazaa-I War-fa’ Darajaatahum Wa Akrim Maqaamahum Bifadhlika Wa Karamika Ya Akramal-akraminn

“Salam sejahtera wahai para syuhada’ pada peperangan Uhud, salam sejahtera ke atas tuan sekalian kerana kesabaran tuan dalam menghadapi musuh untuk menegakkan kebenaran Islam iaitu berupa sebaik-baik balasan yang akan engkau terima dari sisi Allah. Ya Allah gandakanlah pahala amalan mereka yang mereka telah lakukan untuk kesucian agama Islam dan pemeluk-pemeluknya. Tinggikanlah pangkat dan darjat mereka dengan segala kemuliaan dan kemurahan Engkau Zat yang sangat Maha Mulia.”

Ucapan Salam Khas Kepada Saidina Hamzah

Seterusnya anda boleh menyambung dengan mengucapkan salam khas kepada Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib dengan ucapan sebagaimana berikut:

Doa Kepada Saidina Hamzah

Assalamu ‘Alaika Ya ‘Amman-nabiyya Sayyidina Hamzah Bin Abdil-Muttalib. Assalamu ‘Alaika Ya Asadallahi Wa Asada Rasuulillah. Assalamu ‘Alaika Ya Sayyidasy-syuhadaak

Salam sejahtera semoga tetap ke atas engkau wahai bapa saudara Nabi Allah Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib r.a, salam sejahtera ke atas engkau wahai singa Allah dan singa Rasulullah SAW, salam sejahtera semoga tetap ke atas engkau wahai penghulu sekalian orang-orang yang mati syahid.

Ziarah Bukit Rumat Dan Khandaq (Parit)

Bukit Rumat terletak tidak begitu jauh dengan Bukit Uhud. Di sinilah pasukan pemanah kaum Muslimin seramai 50 orang bertahan di dalam peperangan Uhud.

Sebaik sahaja mereka turun tanpa mendapat arahan dan perintah dari Rasulullah SAW kerana terpengaruh dengan harta rampasan perang, ianya menyebabkan kekalahan teruk pada pihak tentera Islam. Dalam peperangan inilah Rasulullah SAW mengalami kecederaan.

Adapun Khandaq pula bererti Parit. la digali oleh Rasulullah SAW dan para sahabat untuk menangkis serangan tentera Ahzab pada tahun ke-5 Hijriah. Panjang parit ini adalah 3km, dalamnya 8 kaki serta lebarnya 6 meter. Kerja-kerja menggali pula memakan masa selama 20 hari. Bagaimanapun parit ini sekarang sudah tiada.

Ziarah Wada’ Ke Makam Rasulullah ﷺ

Sekiranya anda telah berpuas hati dalam menziarahi tempat-tempat bersejarah di Madinah dan mungkin anda juga telah membeli belah cenderamata ataupun kurma, maka sebelum meninggalkan kota Madinah anda dikehendaki untuk ziarah Wada’ ke makam Rasulullah SAW.

Ziarah perpisahan dengan makam Baginda Nabi SAW dimaksudkan untuk memberikan penghormatan kali terakhir kepada Nabi Muhammad SAW ketika hendak meninggalkan Madinah.

Sewaktu melakukan ziarah ini bacalah doa seperti di bawah:

Doa ziarah wada maqam Rasulullah

Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Aali Sayyidina Muhammad, Allahumma La Taj’alhu Aakhiral-ahdi Min Hazal-makaanis-syarif, Warzuqni Ilaihil-‘Audati Fi Khairin Wa ‘Afiatin Wa Sihhatin Wa Salaamatin In ‘Isyta Insyaa-Allahu Jiktu Wa In Muttu Auda’tu Indaka Syahaadati Wa Amaanati Wa ‘Ahdi Wa Miitsaaqi Min Yaumina Haza Ila Yaumil-Qiyaamah, Wa Hiya Syahadatu An Laa Ilaaha Illallahu Wahfahu Laa Syariikalahu Wa Syahadatu Anna Muhammadan ‘Abduhu Wa Rasuuluh, Subhaana Rabbika Rabbi-‘izzati Amma Yasifun, Wa Salaamun ‘Alal-mursaliina Walhamdu Lillahi Rabbil-‘alamin

“Ya Allah! Berilah selawat kepada Nabi Muhammad SAW dan seluruh keluarganya. Ya Allah ya Tuhanku, janganlah Engkau jadikan ziarah hamba-Mu ini di tempat yang mulia ini sebagai ziarah yang penghabisan, kurniakanlah kepada hamba-Mu peluang-peluang untuk menziarahi kembali ke tempat-tempat ini dalam keadaan sihat dan ‘afiat, jika ada umur yang panjang insya-Allah hamba akan berziarah kembali, jika ajal telah sampai maka hamba telah mengabdikan diri kepada-Mu syahadat dan perjanjian hamba dari hari ini sehinggalah hari kiamat, iaitu hamba bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan hanya Allah SWT Tuhan yang Maha Esa dan hamba naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW adalah hamba-Nya dan utusan-Nya. Maha Suci Allah yang mempunyai keagungan dan kekuasaan dari apa yang mereka sifatkan, salam sejahtera ke atas sekalian Rasul serta segala pujian adalah bagi Allah SWT Tuhan yang memelihara sekalian alam.”

Penutup

Kini anda telah pun selesai di dalam mengadakan perjalanan Ziarah dan Umrah di tanah Haram sama ada di Makkah atau pun Madinah. Tibalah anda membuat persediaan untuk berlepas pulang ke tanah air.

Pastikan semua dokumen perjalanan, tiket dan lain-lain yang penting tidak ada yang tercicir atau ketinggalan. Semoga Allah SWT memberkati ziarah dan ibadat anda. Amin

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila tinggalkan pertanyaan anda tersebut pada ruangan komen di bawah. InsyaAllah saya akan segera memberi response.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments