Dakwahlah Diri Sendiri Dulu, Baru Ajak Orang Lain

“TAK PERLU SEBOK-SEBOK PEDULIKAN HAL ORANG LAIN,  AMBIK TAHU JE HAL KELUARGA SENDIRI!”

Mereka berkata, kejahatan orang lain bukanlah tanggungjawab kita, dakwahlah diri sendiri dulu, baru orang lain. Uruskan dulu keluarga sendiri baru orang lain.

“..baiki diri dulu baru, kau ni dah baik sangat ke nak ajak orang lain..? Ajak keluarga kau sendiri dulu, baru keluarga orang lain..” seolah-olah menjadi point untuk menilai seseorang.

Masyarakat kita beranggapan bahawa sebelum memperbaiki keluarga dan diri sendiri, maka tidak patut seseorang itu memperbaiki orang lain atau keluarga lain.

Tidak ada tanggungjawab terhadap kerosakan orang lain selama diri sendiri masih rosak. Sebahagian mereka  merasa tidak bertanggungjawab atas dakwah dan amar ma’ruf nahi mungkar.

Kesesatan serta kejahatan orang lain bukanlah tanggungjawab mereka.

Demikianlah kaum muslimin diselewengkan oleh syaitan.

Padahal alim ulama menjelaskan bahawa berdasarkan Al Qur’an, ada lima tugas yang ditanggung oleh setiap umat Nabi Muhammad SAW, iaitu:

1. Tanggungjawab atas diri sendiri

“Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (QS. At Tahrim 6)

Setiap manusia dituntut untuk memperbaiki diri sendiri dan meningkatkan keimanan serta ketaatannya kepada Allah, agar terhindar dari api neraka.

 

2. Tanggung jawab Keluarga.

Selain diri sendiri, seorang mukmin juga bertanggungjawab menjauhkan keluarganya dari murka Allah, dan membawa mereka kepada redha-Nya.

 

3. Tanggungjawab atas kaum kerabat dan sahabat dekat.

Allah berfirman, “Dan peringatilah keluargamu dan kaum kerabatmu.” (QS. Asy syu’ara 214)

Setiap mukmin bertanggungjawab untuk mengajak kaum kerabat dan saudara-saudaranya mentaati Allah.

 

4. Tanggungjawab atas sesama muslim di sekitar

Allah berfirman, “Dan agar kamu memberi peringatan kepada (penduduk) “ibu negeri” (Mekkah) dan (orang-orang)yang di luar lingkungannya.” (QS. Al-An’am 92)

Setiap mukmin dituntut untuk memberi peringatan dan menyampaikan agama kepada penduduk di sekitarnya dan di luar lingkungannya.

 

5. Tanggungjawab seluruh manusia. Firman Allah.

“Kalian sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah” (QS. Ali Imran 110)

Terakhir adalah tanggung jawab sebagai Khoiru Umat, iaitu sebaik-baik umat yang dipilih oleh Allah untuk menemui manusia untuk mengajak mereka kepada kebaikan dan menyelamatkan mereka dari murka Allah Ta’ala.

Kelima-lima tanggungjawab tersebut adalah tanggungjawab setiap muslim, dan untuk menunaikannya, kita tidak terikat oleh salah satu diantara yang lima tersebut.

Ketidaksempurnaan pada diri tidak menghapuskan kewajipan seseorang itu beramar ma’ruf terhadap keluarga.

Dan ketidaksempurnaan pada keluarga tidak menghapuskan kewajipan seseorang itu beramar ma’ruf terhadap kaum kerabat. Dan ketidaksempurnaan terhadap kaum kerabat, tidak menghapuskan kewajipan seseorang beramar ma’ruf terhadap sesama muslim yang lain. Dan demikian seterusnya.

Adalah keliru, jika seseorang menyaksikan kemungkaran dihadapannya, kemudian dia tidak mencegah dengan alasan bahawa dia atau keluarganya belum sepenuhnya baik.

Tidak demikian. Dia tetap juga dituntut meramar ma’ruf nahi mungkar jika kesempatan itu ada di hadapannya, meskipun dia belum sepenuhnya baik.

Perkara ini telah banyak dijelaskan melalui perjalanan Nabi SAW. Baginda tidak membataskan dakwahnya kepada orang lain. Ketika ahli keluarganya sendiri, iaitu kaum Quraisy dan Bani Hasyim  menolak ajakan baginda terhadap Islam.

Baginda terus mendakwah manusia, orang terdekat mahupun jauh, meski pun bapa saudaranya, kaum kerabatnya, dan orang sekitarnya menolak ajakan baginda SAW

Tak dapat dibayangkan bagaimana jadinya jika Nabi SAW mogok dakwah hanya kerana alasan akan memperbaiki keluarganya dulu untuk menerima Islam?

Atau mengajak kaum Quraisy dulu dan mengabaikan kaum yang lain? Tentu Islam tidak akan berkembang.

Begitu juga dalam sejarah perjuangan Islam, ketika Mekkah tanah kelahiran Nabi saw, sendiri menolak Islam. Tetapi mengapa Nabi SAW mendatangi kota Taif dan berhijrah ke Madinah?

Begitu juga ketika Madinah masih lemah dan masih banyak orang munafik, mengapa baginda mengirimkan utusan dakwah keluar kota Madinah?

Disinilah kepentingan dakwah sebagai tunjang Islam. Dakwah tidak perlu menunggu.

Bahkan jemaah dakwah tidak boleh ditunda keberangkatannya walaupun kerana kematian Nabi SAW.

Untuk menyampaikan kebenaran Islam, seseorang tidak mesti menunggu dirinya menjadi baik, atau menunggu keluarga menjadi baik, atau kamu menjadi baik.

Pada waktu mana pun seseorang itu berkesempatan untuk menjalankan dakwah ilallah, maka pada saat itu dia mesti menyampaikannya.

Berikut ini adalah beberapa riwayat yang menyebutkan mengenai kewajipan dakwah:

Dari Jarir Abdulah ra. Rasulullah saw bersabda: tidaklah seseorang berada di suatu kaum, dia berbuat maksiat ditengah mereka, dan mereka mampu untuk mencegahnya, namun mereka tidak mencegahnya, kecuali Allah menimpakan kepada mereka siksaan sebelum mereka mati.” Yakni mereka akan menerima banyak musibah di dunia. (Abu Dawud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al Ashbahani – At Tharghib)

Dari hadis diatas, jelas bahawa meninggalnya amar ma’ruf nahi mungkar atau menunda-nundanya akan menyebabkan laknat dan murka Allah.

Dan apabila umat Islam meninggalkan tugas ini, maka mereka akan ditimpa berbagai musibah bencana kehinaan dan terjauh dari pertolongan Allah

Meninggalnya amar ma’ruf hanya kerana kita belum mengamalkan yang ma’ruf tersebut, akan membuat yang ma’ruf tersebut semakin ditinggalkan oleh umat.

Dan meninggalkan nahi mungkar hanya kerana kita belum meninggalkan yang mungkar tersebut akan membuat kemungkaran tersebut semakin merajalela.

Buat dulu sebelum dakwahkan kepada orang lain?

Sangat besar murka kebencian disisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” QS. Ash Shaff 3)

Peringatan bagi daie yang sama sekali tidak berminat untuk mengamalkan apa yang di dakwahkan.

Tapi bukan untuk orang terhalang untuk mengamalkan apa yang disampaikannya.

Dan ayat tersebut bukan bermakna larangan untuk beramar ma’ruf nahi mungkar.

Ketika diri kita sendiri belum dapat mengamalkan apa yang dinasihatkan kerana suatu uzur, dia tetap boleh menyampaikan apa yang seharusnya dia sampaikan.

Dia tetap harus mengajak kepada sesuatu yang bermanfaat dan menjauhkan sesuatu yang berbahaya dari orang lain.

Ayat diatas adalah supaya kita muhasabah diri kita sendiri atas apa yang kita dakwahkan, bukan dalil bagi seorang murid untuk mengkritik gurunya, sehingga dia enggan menerima nasihat-nasihat dari gurunya tersebut

Mendakwahkan suatu perkara yang belum kita amalkan dan kita berniat dan berusaha untuk mengamalkanya, tetap dituntut untuk menyampaikannya .

Nabi saw, sendiri kadangkala mesti mengajarkan dan menganjurkan suatu amalan, yang beliau sendiri tidak mengamalkannya.

Misalnya; Nabi SAW menganjurkan haji kepada sahabatnya namun baginda sendiri baru melaksanakan haji wada’ menjelang wafatnya.

Oleh itu adakah berdosa jika seorang mengajarkan masalah haji sedangkan dia belum melaksanakan haji? 

begitu juga dengan masalah perkahwinan dan sebagainya?

Dari Anas ra d ia berkata, kami bertanya,

“Ya Rasulullah, kami tidak akan menyuruh orang untuk berbuat baik sebelum kami sendiri mengamalkan semua kebaikan dan kami tidak akan mencegah kemungkaran sebelum kami meninggalkan semua kemungkaran.”

Maka Nabi SAW bersabda,

“Tidak, bahkan serulah kepada kebaikan meskipun kalian belum mengamalkan semuanya, dan cegahlah dari kemungkaran, meskipun kalian belum meninggalkan semuanya.” (HR. Thabrani).

Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yg terbaik dalam kalangan kamu.

Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri.

Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah.

Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan — Imam Hasan al-Basri

 

output_8vyUki

Masukkan alamat email anda untuk subscribe / melanggani blog ini dan menerima setiap artikel baru melalui e-mel.

Join 2,274 other subscribers

Comments

  1. Abu Basyer says

    Ketika diri kita sendiri belum dapat mengamalkan apa yang dinasihatkan kerana suatu uzur, dia tetap boleh menyampaikan apa yang seharusnya dia sampaikan. Dia tetap harus mengajak kepada sesuatu yang bermanfaat dan menjauhkan sesuatu yang berbahaya dari orang lain.

    Ayat diatas adalah supaya kita muhasabah diri kita sendiri atas apa yang kita dakwahkan, bukan dalil bagi seorang murid untuk mengkritik gurunya, sehingga dia enggan menerima nasihat-nasihat dari gurunya tersebut

    Mendakwahkan suatu perkara yang belum kita amalkan dan kita berniat dan berusaha untuk mengamalkanya, tetap dituntut untuk menyampaikannya .

    • yma says

      Assalamualaikum, sye ingin bertanye ttg ”Ketika diri kita sendiri belum dapat mengamalkan apa yang dinasihatkan kerana suatu uzur” andai kte die nasihat kepada orang lain tetapi, orng itu sendiri xmahu mengamalkan dan tidak berusaha walaupun dalam keadaan sihat dan waras adakah diboleh kn atau sebaliknya?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *