Ghibah : Mari Lakukan 4P

“Fuhh! Gemuk gilerkan die tu.. Besar je perut!”

A’ah, mesti jenis kuat makan. Nanti mesti takde orang nak kat die!”

Penyakit Ghibah memang sukar dibanteras. Ia seakan-akan sudah sebati menjadi sebahagian daripada sifat masyarakat kita.  Perbuatan sudah terlalu biasa dalam masyarakat, seolah-olah tidak salah untuk dilakukan. Bahkan ramai yang melakukan tanpa sedikit pun rasa bersalah didalam hati kita kerana perkara sudah menjadi sesuatu yang biasa dalam hidup kita.

Maka bukanlah sesuatu yang menghairankan bila kita berkumpul didepan tv menyaksikan rancangan hiburan, duduk berlingkar seperti lingkaran usrah, tetapi info gosip terbaru tentang dunia hiburan dan artis bernama itu dan ini dibincangkan. Awas, penyakit ini bukan hanya berlaku pada perempuan, tetapi lelaki pun banyak juga yang terlibat sama. Ye kan? :)

Apakah itu “Ghibah?”

Secara bahasa, ghibah bererti mengumpat. Ghibah bukan hanya pada ucapan lidah, tetapi setiap gerakan, isyarat, ungkapan, sindiran, celaan, tulisan atau segala sesuatu yang dipahami sebagai hinaan. Mendengar orang yang sedang ghibah dengan sikap kagum dan menyetujui apa yang dikatakannya, hukumnya sama dengan ghibah. Pahala amal kebaikan orang yang melakukan ghibah akan berikan kepada orang yang menjadi sasaran ghibahnya.

credit gambar to : http://rosdianaramli.blogspot.com/

credit gambar : http://rosdianaramli.blogspot.com/

credit gambar : http://rosdianaramli.blogspot.com/

credit gambar : http://rosdianaramli.blogspot.com/

Apabila diajak “bersembang” oleh sahabat

Saya percaya ramai diantara kita tidak suka untuk melakukan ghibah ini. Tetapi kadang-kadang kita akan “terpancing” apabila seseorang atau  rakan-rakan mengajak kita berbual dan bersembang. Kita tidak mahu, tetapi atas dasar mahu menjaga hati sahabat itu, kita mengiyakan sahaja apa yang diumpatkannya. Kerana jenis diri kita yang lebih suka memilih ketenangan dan tidak suka mencetus ketegangan.

Persoalannya, adakah cara ini betul dan terbaik? beranikah kita menolak apabila diajak untuk bercakap tentang keaiban dan kejelekan orang lain? Adakah kita mempunyai semangan untuk mengatakan:

” Maaf, itu ghibah. Bersegeralah bertaubat..”

Pasti ramai yang tidak berani untuk bertegas sebegini bukan?

Tidak berani tidak mengapa, kita masih boleh  mengalihkan perhatian untuk mengelakkan perbualan ghibah itu dari terus berlarutan. Ajaklah dia berbual perkara lain. Insyaallah cara ini afdal dan berkesan, malah dapat mengelakkan berlakunya ketegangan diantara kita dengan si pengumpat.

.

LAKUKAN 4P

1. Pilih Perkataan Yang Baik

Lebih baik berdiam diri daripada berbual perkara yang tidak jelas. Pilihlah kata – kata yang benar sahaja apabila ingin berbicara. Tidak perlu menambah perbualan orang, dan tidak perlu juga mengurangi sesuatu yang memang benar. pilih yang baik, pilih yang tidak rosak supaya setiap butir perkataan kita adalah bermakna dan tidak sia-sia. Oleh itu, kenal pasti topik perbualan supaya tutur bicara kita sentiasa mengandungi manfaat.

2. Perjelas Dengan Tabayyun

Tabayyun itu adalah sesuatu yang remeh dan mudah. Tetapi aneh peminatnya sedikit. Kadangkala kita sanggup bertegang leher, bersikap sinis dan anti senyuman hanya disebabkan oleh perkara-perkara yang remeh. Padahal masalahnya masih belum jelas, kedudukan sebenar belum kita pastikan, malahan hanya termakan adu domba tanpa penjelasan. Maka Tabayyun diperlukan untuk memastikan kita tidak terperangkap dalam ketidakpastian hingga boleh mendatangkan natijah buruk. Bertanyalah apa yang terjadi, jangan mencela di belakang tanpa tahu keadaan yang sebenar.

3. Perkuat Dengan Nasihat Dan Zikir

Orang yang dinasihati  itu akan merasa senang apabila menerima nasihat daripada seseorang. Mereka merasa diri mereka diambil berat. Ada yang peduli, dan mahu memberi nasihat pada dia. Maka jangan ragu untuk maju. Maju untuk memberi nasihat yang bermutu. Jangan mundur sebelum bertempur. Maju dulu, walaupun terpaksa berdepan dengan risikonya.

Ini kerana tiada satu pun yang baik untuk kita lakukan tanpa berdepan dengan risiko, kerana risiko itu adalah sebahagian daripada cabaran yang akan menguji ketabahan dan keimanan diri. Apatah lagi menasihati itu banyak sekali pahalanya.

Zikir juga tidak boleh dilupakan. Kerana itulah kekuatan orang Islam. Zikir boleh memberikan ketenangan dan kekuatan dalaman bagi seseorang. Ia mendekatkan kita dengan Allah SWT. Justeru itu, basahi bibir dan getarkan hati dengan zikir.

4. Perbaiki Kelemahan Diri

Sibukkan diri dengan membaiki kelemahan sendiri, jangan asyik memerhati kelemahan orang lain. Bak kata seorang penyair: “Perhatikanlah dirimu dan periksa kelemahannya; biarkanlah kekurangan manusia itu diurus oleh mereka.”

.

.

Rujukan:

1. Engkau Memang Cantik  (Ust Burhan Sodiq)

2. Gambar Strip diambil dari blog http://rosdianaramli.blogspot.com/. Klik sini untuk ke sumber tersebut

output_8vyUki

Masukkan alamat email anda untuk subscribe / melanggani blog ini dan menerima setiap artikel baru melalui e-mel.

Join 2,423 other subscribers

Comments

  1. Nona says

    Maksud firman Allah dalam ayat 12 surah al-Hujurat yang bermaksud : ……….Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah di kalangan kamu orang yang suka memakan daging saudaranya yang telah mati sedangkan mereka tidak menyukainya………

    Bertanyalah nabi s.a.w kepada mereka : Tahukah kamu apakah yang dimaksudkan dengan Ghibah itu?. Lalu mereka menjawab : Allah dan rasulNya yang lebih tahu. Maka sabda nabi s.a.w : iaitu kamu membicarakan saudaramu tentang sesuatu yang dia tidak menyukainya. Kemudian nabi ditanya : bagaimana jika pada saudaraku itu terdapat apa yang saya katakan tadi?. Rasulullah s.a.w menjawab : Jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu mengumpatnya dan jika tidak seperti apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu telah menuduhnya ( Riwayat imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasai’e)

    Daripada Jabir berkata : Kami pernah berada disamping nabi kemudian menghembuslah angin berbau busuk lalu bertanyalah nabi : Tahukah kamu apakah bau ini? Inilah bau orang-orang yang mengumpat orang mukmin { Riwayat imam Ahmad dan perawinya thiqah)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *