Cemar Hati Hanya Bersih Dengan Agama Allah SWT

Sesungguhnya Allah SWT perintah dengan wajib manusia supaya makan makanan yang toiyyib (halal). Dalam wahyu-Nya Tuhan letak dahulu larangan makan makanan yang tidak baik sebelum larangan bunuh manusia.

Seperti firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka antara kamu. Dan janganlah membunuh dirimu (membunuh diri dan orang lain); sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu.” (Surah An-Nisa ayat 29)

Terdapat dua hukum dalam satu ayat; pertama larangan memakan harta dengan jalan tiada hak (batil). Tegahan kedua larangan membunuh sama ada membunuh diri atau membunuh individu lain.

Kedua-duanya larangan dalam perkara yang mungkar, tetapi Allah SWT letakkan larangan memakan harta dengan jalan yang tidak betul terlebih dahulu daripada larangan membunuh

Susunan itu menunjukkan agama Islam mengutamakan masalah makan minum dengan cara diredai-Nya lebih dahulu daripada tegahan selainnya.

Sepaling jahat manusia itu tidak akan melakukan pembunuhan, kecuali mesti ada sebab alasannya. Pembunuhan dapat dikawal seandainya manusia dapat mengawal makan minum harta benda daripada penipuan dan pengkhianatan, pencurian serta rompakan.

Masalah harta menjadi kepentingan bersama dalam situasi terkawal itu, dengan sendirinya menutup punca krisis dan jenayah dalam masyarakat. Di sinilah kedudukan ajaran Islam itu adalah agama menyeluruh Allah SWT, tidak boleh di ambil hanya sebahagiannya dan mengabaikan selebihnya yang dianggap merugikan.

Wajib menerima sepenuhnya apa yang disuruh, meninggalkan apa jua yang diharamkan-Nya. Allah SWT letak dahulu larangan makan harta yang tidak baik daripada larangan membunuh, dengan tujuan membesarkan untuk menimbulkan rasa penting dan gerun di kalangan manusia dengannya.

Ini supaya mengutamakan rezeki yang halal selain memenuhi keperluan, ia juga untuk mendapat keberkatan daripada-Nya. Hanya Islam sahaja yang mempunyai ajaran ‘berkat’, ia ajaran agama yang mesti dijaga dan diawasi sepenuhnya. Ini supaya rezeki yang dimakan dan pakaian halal yang di pakai akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Harta di tangan manusia pada hakikatnya hak milik Allah SWT, justeru Dia mengingatkan manusia ditegah mengambilnya dengan cara yang batal. Harta kepunyaan orang lain boleh dimiliki hanya melalui cara yang diizinkn oleh syariat, iaitu dengan cara jual beli sesama reda atau sedekah.

Dikurniakan harta oleh Allah SWT kepada manusia sedangkan seluruh mereka menjadi anggota masyarakat, mereka mesti saling bekerjasama untuk mengambil manfaat daripada rezeki yang dikurniakan itu.

Sebagai anggota masyarakat mesti menjauhi tindakan ambil harta antara mereka dengan cara yang batal, pada hakikatnya mereka saling memerlukan antara satu sama lain.

Setiap daripada anggota masyarakat tidak upaya hidup sendirian, kerana semua keperluan hidup tidak dapat diadakan sendiri. Makan dan pakaian serta tempat tinggal saling bergantung dengan pihak lain.

Dengan adanya para petani di kalangan masyarakat, orang ramai dapat keperluan makanan terhindar daripada kebuluran. Dengan adanya para nelayan orang ramai dapat makan lauk ikan sebagai sumber protein.

Dengan wujudnya pengusaha pakaian orang ramai dapat menutup aurat, begitulah seterusnya dalam perkara penting lain yang diperlukan anggota masyarakat.

Apabila Allah SWT melarang melalui firman-Nya; jangan memakan harta sesama manusia dengan jalan batil, bererti mengajar orang beriman supaya hidup saling bekerjasama dan bersatu padu.

Inilah perpaduan sebenar yang diajar Allah SWT kepada manusia, ribuan tahun sebelum wujudnya kerajaan manusia dengan teori perpaduannya.

Begitulah kedudukan manusia sebagai anggota masyarakat, antara satu sama lain saling memerlukan mesti tali menali paut memaut.

Allah SWT melarang keras pembunuhan, kerana pada hakikatnya individu dibunuh itu ibarat dirinya sendiri. Dalam erti kata membunuh saudaranya sesama anggota masyarakat, yang saling memerlukan dalam kehidupan hariannya.

Kembali kepada persoalan makanan mesti dalam situasi halal, adapun mendapatkan makanan halal itu fardu daripada asas agama. Setiap sajian yang dihidang untuk diri dan keluarga, tentukan kehalalannya terlebih dahulu. Demikianlah yang dituntut oleh Islam.

Perkara adab kedua yang mesti dijaga sebelum makan ialah basuh tangan, juga tangan keluarga yang akan menikmati sajian itu. Basuh tangan sebelum makan bukannya adat resam atau budaya sesuatu bangsa, tetapi ajaran agama Islam.

Sekiranya waktu basuh tangan dengan niat menjunjung ajaran agama, semestinya tangan jadi bersih serta dapat pahala daripada Allah SWT pula. Allah SWT perintahkan basuh tangan sebelum makan, lantaran ia tidak sunyi daripada kekotoran sewaktu melakukan kegiatan harian di mana jua.

Membersihkan tangan dicuci dengan air, sementara pencemaran hati dibersihkan dengan ajaran agama Allah SWT.

Oleh : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

EarthSecret

Masukkan alamat email anda untuk subscribe / melanggani blog ini dan menerima setiap artikel baru melalui e-mel.

Join 1,560 other subscribers

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *